Saturday, January 23, 2010

Setiap Tutur Kata Cermin Peribadi (HARIAN METRO, 22 Januari 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir


PENCIPTAAN manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan. Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.Firman Allah bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).


Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia. Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.

Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya.

Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat.

Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir" (Surah Qaaf, ayat 18).

Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam.

Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Surah Toha, ayat 43-44).

Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur'an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (' ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik" (Surah al-Furqan, ayat 63).

Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.

Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya.

Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya.

Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak. Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah.

Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram" (Surah al-Ra'd, ayat 28).



Sultan Johor Mangkat Pada 22 Januari 2010


Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, mangkat pada jam 7.15 malam, 22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru selepas memerintah hampir tiga dekad. Baginda berusia 77 tahun.
Semoga roh Al-Marhum Sultan Iskandar ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman....amin!

Sunday, January 10, 2010

Takwa Pelindung Daripada Sebarang Perkara Buruk (BERITA HARIAN, 8 Januari 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

SABAN minggu kita diingatkan khatib dalam khutbahnya supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam peringatan itu khatib berkata, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham apa itu takwa atau disebabkan sering kali diingatkan lantas membuatkan kita menganggap takwa sebagai perkataan yang tidak membawa sebarang erti mendalam serta tidak berkaitan dengan iman.

Kepentingan takwa sebenarnya jelas apabila ia menjadi antara rukun khutbah yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk bertakwa kepada Allah dalam teks khutbah akan menyebabkan ia tidak sempurna.

Sebenarnya bagi mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.

Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepadaNya dengan menjauhi segala laranganNya. Asal kepada perkataan 'ittaqa' itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.

Jelaslah takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hambaNya yang rugi di akhirat nanti.

Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai satu cara untuk mencapai takwa bagi kita yang mungkin boleh dikategorikan dalam golongan bawahan jika dimuhasabah dari segi tahap keimanan, beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti antaranya:-

Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan

Ayat ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang bercerai. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa juga yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Sentiasa berlaku adil

Allah menjelaskannya menerusi firman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8)

Melakukan amalan dengan keikhlasan

Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, dalam firman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37)

Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran

Hal ini dijelaskan Allah melalui perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya. Gangguan syaitan dan dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadat dan perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132)

Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji

Firman Allah yang bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 76)

Dapat disimpulkan sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada Allah. Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda adalah amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji serta prasyarat mencapai martabat golongan bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada diri dan kehidupan dunia serta akhirat. Allah secara jelas menyatakan takwa seharusnya dijadikan pakaian diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26)

Monday, January 4, 2010

Ulama Ikhlas Tidak Jatuhkan Air Muka Pemimpin (BERITA HARIAN, 4 Jan 2010)

DR Wahbah Zuhaily (kiri) bersama bukunya Eqhal Islam dan Dahil, adalah ulama Fiqh yang tidak asing di kalangan pelajar jurusan Fiqh dan Usul Fiqh di negara ini. - Gambar hiasan


Oleh Mohd Hilmi Ramli

Ketinggian ilmu, peribadi ilmuwan Islam sampaikan risalah kebenaran perlu dicontohi

BULAN lalu, tanah air kita dikunjungi ramai ulama dan ilmuwan. Yang paling diingati ialah kunjungan Sheikh Yusuf Qaradawi, ulama tersohor dan pemimpin Persatuan Ulama Sedunia. Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah. Sheikh Qaradawi bukan ulama yang asing di kalangan umat Islam di Malaysia.

Karyanya menjadi sumber bacaan dan inspirasi bagi golongan pelajar pengajian Islam, pendukung gerakan Islam dan masyarakat awam yang dahagakan kefahaman Islam. Kehadiran beliau sangat dinanti oleh masyarakat Islam di sini, selepas hampir sedekad tidak menjejakkan kaki di Malaysia, yang kali terakhir ialah pada 1997.

Pada tahun itu, beliau menjadi tetamu kerajaan Malaysia, dan melalui Kementerian Belia dan Sukan bercakap mengenai peranan belia dan dakwah Islam. Kehadiran beliau kali ini mengubat kerinduan dengan berkongsi 'buah tangan' terbaru beliau iaitu karyanya Fiqh Jihad. Kunjungan pertama kali beliau ke Malaysia ialah pada 1974 antaranya melawat pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sumbangan terpenting beliau ialah manhaj kesederhanaan dalam dakwah dan pendekatan yang mengiktiraf segala perbezaan pandangan di kalangan ulama dalam bidang fiqh. Abim berjasa menerbitkan dan menterjemahkan banyak karya Sheikh Qaradawi.

Di samping itu, seorang ulama fiqh yang tersohor juga, Sheikh Dr Wahbah Zuhaily juga berada di Malaysia kerana memberi ucaptama pada Kongres Pendidikan Islam Sedunia ke-7 yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor. Sheikh Wahbah juga tidak asing di kalangan umat Islam di Malaysia, terutama pelajar jurusan agama di bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

Karya magnum opusnya Fiqh Islam Wa Adillatuhu yang menjadi sukatan penting dalam pengajian Fiqh di universiti tempatan. Beliau juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun sebelumnya.

Sebelum itu, Prof Tariq Ramadan, cucu kepada Hassan Al Bana, pengasas Ikhwan Muslimin juga berada di Malaysia. Beliau yang sering dengan kenyataan kritis dan kontroversinya, mengupas dokumentari 'Road To Mecca' yang berpandukan kisah sebenar Muhammad Asad, seorang pemikir Yahudi yang memeluk Islam kemudiannya.

Bagi pengamal aliran sufi, kehadiran Sheikh Yusuf Al Bakhur Al Shazili dan Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al Bantany ke Seminar Sufi 2009 sangat bermakna. Keduanya pernah menjadi tetamu Abim di Anjung Rahmat. Bahkan kehadiran Sheikh Muhammad Al Yaqoubi ke Konvensyen Perpaduan Muslim 2009 di PWTC satu lagi kunjungan yang dinantikan. Beliau masyhur kerana mendidik sebahagian besar ilmuwan kontemporari seperti Sheikh Hamza Yusuf, Sheikh Jibril Haddad dan ramai lagi .

Ketika kita meraikan kehadiran ulama dan ilmuwan dari luar negara, kemunculan Prof Naquib Al Attas selepas hampir empat tahun tidak berceramah di hadapan massa kerana kesihatan yang tidak mengizinkan, adalah perkara yang menakjubkan juga. Satu seminar anjuran Himpunan Keilmuwan Muda (Hakim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkenaan Seminar Pengukuhan Pandangan Alam Islam dan Syarahan Perdana Prof Naquib Al Attas diadakan.

Tidak keterlaluan dikatakan, seminar ini merakam sejarah tersendiri apabila seorang Timbalan Menteri membatalkan urusan politiknya untuk mendengar pembentangan kertas kerja yang bermula seawal pagi sehinggalah malamnya, Syarahan Perdana oleh Prof Naquib Al Attas.

Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi harus diberi pujian kerana jemputan kepada beliau hanyalah untuk merasmikan majlis, namun dengan kecintaan dan penghormatan yang tinggi terhadap ilmuwan dan pembudayaan ilmu, beliau setia dengan seminar dari pagi sehingga ke penghujungnya iaitu malam Syarahan Perdana.

Prof Al Attas memberi inspirasi kepada gerakan Abim peringkat awalnya, dengan mendidik generasi awal pendukung Abim, mencipta logo dan memberi nama majalah Abim sebagai Risalah. Buku Islam and Secularism terbitan Abim pada 1978 menempatkan nama Abim di persada dunia sebagai pertubuhan belia Islam yang berwibawa menerbitkan sebuah karya penting oleh ilmuwan besar.

Dalam tradisi ilmu Islam, ulama diberi penghormatan tinggi dan mulia. Ini dirakamkan dalam al-Quran dan hadis mengenai penghormatan yang diberikan kepada mereka.

Persoalan adab kepada golongan ulama tidak boleh dipertikaikan lagi. Burhanuddin Zarnuji dalam kitab mashyurnya Ta'lim Muta'alim Tariq Ta'alum (Bimbingan Bagi Penuntut Ilmu Pengetahuan) menulis, menghormati guru ialah jangan berjalan di depannya, duduk di depannya, duduk di tempatnya, memulai mengajak berbicara atas perkenan darinya, berbicara hal lagha di depannya dan menanyakan hal yang membosankan. Hal seperti ini sememangnya kita sudah bersetuju sejak azali lagi bahawa ini bentuk penghormatan yang diberikan kepada mereka.

Ulama yang wibawa tidak perlu merasa gentar berdepan dengan pemimpin. Mereka menyampaikan risalah kebenaran, nasihat mahupun teguran ikhlas. Bagi pihak pemimpin pula, kedudukan mereka ialah mendengar dengan ikhlas nasihat itu dan dengan rendah diri cuba menerima kelemahan jika ada bentuk teguran diberikan.

Nasihat ulama yang ikhlas tidak sama sekali untuk menjatuhkan air muka seseorang pemimpin, bahkan itu sebenarnya tugas hakiki seseorang ulama dalam sejarah tradisi keilmuan dan kepemimpinan Islam. Ulama yang menegur pemimpin tidak sama sekali bertujuan menggantikan kedudukan pemimpin itu.

Penulis ialah Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Buanglah Jauh-jauh Keegoaan Yang Membinasakan...

Errrmmmm.....dalam dikesibukan menyiapkan beberapa makalah untuk mencuba nasib, dihantar ke beberapa jurnal, terlintas hendak meluahkan sesuatu dalam blog ni. Saya bukan jenis orang yang suka meluahkan perasaan tapi hanya sekadar nak berkongsi pendapat.

Manusia ni diciptakan dengan pelbagai ragam dan kerenah. Hanya dengan panduan wahyu dan logik akal yang salim, semua ragam dan kerenah tadi akan dapat dibendung daripada terus pergi jauh dan jauh.

Ada jenis manusia yang akan pertahankan ideologi politik kepartiannya sampai kadang-kadang tu menidakkan kebenaran yang datang dari pihak "musuh"nya. Inilah yang menjadikan jurang perselisihan itu makin jauh dan jauh.

Bukankah indah lagi manis jika setiap perselisihan itu dicari titik pertemuannya agar natijah yang terbaik dapat dinikmati, dan jurang percanggahan dapat dihapuskan. Sesungguhnya kadang-kala kita lupa bahawa apa yang kita pandang buruk itu, bukanlah kesemuanya buruk, tapi disebabkan keegoaan diri untuk menerima sekelumit kebenaran daripada "musuh" politik, menyebabkan semua benda itu sama, buruk semuanya.

Inilah masalah ummah yang sedang membarah sekarang. Sepatutnya, kita sama-sama menerima apa jua bentuk kebaikan untuk sama-sama kita manfaatkan. Buangkanlah jauh-jauh perasangka buruk yang masih tegar dalam diri. Ya.....strategi politik itu memerlukan segalanya dalam keadaan syak-wasangka dan berwaspada, namun yang sudah jelas kebaikan dan faedahnya, usah disirami dengan noda kekejian yang menampakkan aku sahajalah yang bagus, engkau semuanya jahat.

Sama-sama kita muhasabah diri. Yang baik itu jelas, yang buruk itu pun jelas, maka janganlah jadi insan yang cuba mencampur-baurkan keduanya. Akhirnya musuh di luar berpesta tanda gembira melihat titik peluh mereka membuahkan hasil yang lumayan, buat mereka terus maju ke hadapan, sedangkan Islam semakin longlai dipukul keegoaan umatnya sendiri.

Wa Allahu Ta'ala A'lam

Saturday, January 2, 2010

1Malaysia Selari Tuntutan Islam (HARIAN METRO, 1 Januari 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kejayaan Rasulullah s.a.w membina negara Islam daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan membuktikan mementingkan perpaduan dan keamanan.

Sebuah negara Islam bukan bermaksud kesemua warganya memiliki pegangan agama yang satu.

Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan asal keturunan.

Bagi memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan oleh syarak bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.

Tiada istilah tolak ansur dalam menangani sebarang isu berkaitan soal akidah. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu telah tergelincir daripada landasan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (surah al-Kafirun, ayat 4-6)

Masyarakat Islam, Yahudi dan golongan munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan dengan satu piagam yang cukup bermakna berdasarkan situasi dan keperluan mereka. Piagam Madinah adalah antara langkah pertama yang dilakukan dalam pentadbiran Rasulullah s.a.w.

Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa’ dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Segala hak mereka selaku sebahagian daripada warga negara Madinah tidak dinafikan sama-sekali malah diiktiraf masyarakat Islam yang mendiami bumi Madinah. Allah s.w.t menjelaskan keadaan ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.” (surah al-Taubah, ayat 4)

Bagi menjamin keutuhan Piagam Madinah , ia melindungi orang yang bersetuju dan mengambil tindakan terhadap orang yang ingkar.

Ini yang akhirnya membawa kepada penyingkiran kaum Yahudi dari Madinah kerana mereka melanggar persetujuan yang dimeterai bersama. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).” (surah al-Anfal, ayat 56)

Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Dalam konteks Malaysia, pemahaman, pegangan dan penghormatan rakyat terhadap Perlembagaan Malaysia adalah resepi terbaik bagi mempertahankan kesejahteraan negara.

Konsep 1Malaysia selari dengan tuntutan agama kerana ia bermatlamat mengekal dan meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Melalui konsep ini, setiap rakyat mempunyai hak yang sama dari sudut sosial, keselamatan, undang-undang, ekonomi serta pendidikan.

Inilah keindahan Islam yang mementingkan prinsip keadilan dalam setiap tingkah laku pengikutnya lebih-lebih lagi yang membabitkan soal pemerintahan sesebuah negara.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Namun, dalam usaha mulia mengukuhkan hubungan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

Firman Allah SWT ada menjelaskan berkenaan perkara ini yang bermaksud: ”Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.” (surah al-Mu’minun, ayat 52)

Tidak dapat dinafikan bahawa sikap tolong-menolong antara satu sama lain adalah antara perkara yang boleh mengukuhkan perpaduan ummah. Allah s.w.t menggesa umat Islam agar sentiasa mempraktikkan amalan yang mulia ini dalam kehidupan seharian demi mencapai kebahagian hidup bermasyarakat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maidah, ayat 2)

Sekali lagi jika dirujuk kepada sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar didasari oleh semangat tolong-menolong sesama muslim bagi memenuhi keperluan bagi memulakan kehidupan yang baru. Semangat inilah yang perlu diteruskan dalam situasi masa kini bagi mendepani cabaran zaman yang kian hebat.

Oleh itu, tanggungjawab umat Islam adalah amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan yang amat memerlukan. Umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu mereka yang bukan Islam atas dasar keperihatinan dan kemanusiaan. Inilah yang ditekankan oleh Islam kepada umatnya.

Apa yang pasti, semangat bantu-membantu dan tolong-menolong ini tidak akan dapat direalisasikan jika umat Islam terus berbalah dan berpecah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barangsiapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya.” (hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tiada cara lain bagi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain daripada sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagian dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat. Penuhilah tuntutan agama dalam semua aspek kehidupan melebihi tuntutan nafsu dan kehendak diri sendiri.

Renungilah pepatah Melayu yang berbunyi ”Bersatu Teguh Bercerai Roboh”, yang amat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah.” (surah Ali-’Imran, ayat 103)

Hanya dengan bersatu-padu sahaja, umat Islam akan terus dipandang tinggi dan mulia. Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah disebabkan fitnah yang tercetus, natijah daripada sikap dan tingkah-laku umat Islam sendiri.

Persoalan yang perlu sama-sama kita muhasabah ialah sanggupkah kita mensia-siakan segala pengorbanan Rasulullah s.a.w yang telah menghabiskan usia hayatnya semata-mata untuk melihat Islam terus berkembang dan dipandang mulia. Marilah sama-sama kita menjaga keutuhan semangat persaudaraan sesama umat agar kesejahteraan terus terjamin dan keharmonian terus terpelihara.