Friday, July 19, 2013

Ilmu Tauhid Pendinding Hidup (Harian Metro) - 2 Mac 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Anak merupakan anugerah Allah SWT terhadap hamba-Nya yang terpilih. Sepertimana dalam erti kata “rezeki”, anak juga merupakan satu anugerah rezeki daripada Allah SWT. 

Setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Antara tanggungjawab tersebut ialah mendidik anak-anak dengan ilmu yang benar agar dapat menjadi insan yang baik.

Ilmu yang benar ialah ilmu yang dapat mendekatkan diri anak-anak dengan Allah SWT. Ilmu ini membawa manusia mengenal Allah SWT serta mengiktiraf kebesaran dan keagungan-Nya.

Ilmu yang benar akan membuatkan anak-anak sentiasa patuh terhadap setiap suruhan dan larangan Allah SWT. Ilmu yang benar juga mesti bersumberkan al-Quran dan hadis serta tidak lari daripada fitrah kehidupan manusia.

Ilmu tauhid atau yang berkaitan dengan akidah adalah antara ilmu yang perlu diajar kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Sepertimana yang menjadi amalan kita, anak kecil akan diperdengarkan dengan azan sejerus mereka dilahirkan.

Kalimah yang terkandung dalam azan kesemuanya membawa pengertian bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Esa dan setiap makhluk bergantung sepenuhnya kepada kuasa dan kehendak-Nya.

Inilah antara didikan pertama yang diberikan kepada anak-anak yang melibatkan ilmu tauhid. Meskipun si anak belum mengerti makna lafaz-lafaz dalam azan, namun ia telah diperdengarkan sebagai ilmu pertama yang perlu masuk dalam hati si anak.

Semakin anak membesar, ibu bapa perlu terus mendidik anak dengan ilmu tauhid. Mulakan dengan yang mudah. Sentiasa perdengarkan mereka dengan zikir-zikir yang membesarkan Allah SWT. Zikir-zikir seperti alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), subhanallah (Maha suci Allah), Allahu akbar (Allah Maha Besar) adalah antara yang wajar kita sentiasa ucap kepada si anak agar mereka biasa dengan zikir-zikir ini dan seterusnya mengajuk bacaan zikir tersebut. 


Dengan zikir dan mengingati Allah SWT pada setiap waktu, hati akan jadi tenang tenteram. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28).

Ketika anak sudah mula faham kata-kata ibu bapa dan orang sekeliling, mulalah berkomunikasi dengan anak-anak. Ibu bapa perlu memberi input yang benar kepada si anak kerana input ini amat memberi kesan terhadap perkembangan sahsiah mereka untuk seterusnya. Ibu bapa boleh mula tanamkan ilmu tauhid dalam diri anak-anak dengan mengaitkan Allah SWT dengan ciptaan-Nya. 

Firman Allah SWT di dalam al-Quran: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai  Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191).

Antara input asas yang boleh dikongsikan dengan si anak, katakan kepada mereka: “Pokok ini Allah cipta.”, “Kucing ini Allah cipta.”, “Cantik langit biru yang Allah cipta itu.”, “Tanah yang kita pijak ini ciptaan Allah.”, “Bunga yang wangi ini dicipta oleh Allah.”, “Allah jadikan tangan, kaki, muka dan semua anggota kita.”, “Allah Maha Hebat.”, “Allah sentiasa melihat kita.”, “Allah sentiasa jaga kita.” dan sebagainya.

Meskipun ayat-ayat ini nampak biasa, tapi ia memberi impak yang besar dari sudut akidah. Ia adalah ilmu asas yang perlu dipasakkan dalam hati dan fikiran si anak. Jangan biarkan anak-anak mengenali power rangers, ultraman, superman dan apa sahaja watak hero yang dihidangkan dalam media hari ini secara taksub. Jika ia tidak dikawal, mereka akan lebih mengakui kehebatan watak-watak ini berbanding Allah SWT.

Tidak dinafikan, dunia hari ini banyak memaparkan isu khurafat yang boleh menjejaskan akidah si anak. Umpamanya lambakan cerita-cerita hantu yang membuatkan si anak merasa takut dan lemah semangat. Perkara ini akan dapat diatasi sekiranya ibu bapa telah memasakkan ilmu akidah dalam diri si anak.

Si anak akan berani menghadapi apa sahaja keadaan kerana keyakinan mereka terhadap kuasa Allah SWT yang mengatasi segalanya. Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “… dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hadid, ayat 4).


Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa agar memastikan ilmu tauhid ini dipasakkan dalam hati dan fikiran anak-anak sejak mereka kecil lagi. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan keperibadian si anak dengan peribadi mulia serta meneguhkan asas akidah dalam diri mereka. Pendidikan tauhid ini perlu diusahakan secara berterusan. Namun ia mesti dimulakan sedari awal kelahiran anak. 

Akidah adalah perkara asas dalam Islam. Ia perlu difahami dengan betul dan terus diperkukuhkan dari masa ke semasa. Dengan akidah yang benar, ia akan menyelamatkan manusia daripada neraka-Nya kelak.

Semoga ibu bapa dapat menunaikan tanggungjawab membebaskan anak-anak dan ahli keluarga daripada siksaan neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah al-Tahrim, ayat 6).

Jadilah Sahabat Untuk Kebaikan (Harian Metro) - 23 Februari 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tidak ada insan di dunia yang hidup keseorangan tanpa insan bernama sahabat. Setiap daripada kita tidak terlepas daripada sebarang dugaan dan rintangan. Selain memanjatkan doa kepada Yang Maha Kuasa, menjadi fitrah manusia mengharapkan bantuan daripada individu yang dekat dengannya.

Jika diamati sirah Rasulullah SAW, dalam proses hijrah contohnya, perancangan untuk menyebarkan dakwah di bumi Madinah telah dibantu oleh para sahabat Baginda SAW yang sentiasa berada di sisi Baginda. 


Pengorbanan para sahabat Baginda SAW seperti Saidina Abu Bakar amat membantu Baginda dalam proses hijrah bagi mengembangkan Islam di luar kota Mekah.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan sifat-sifat para sahabat Rasulullah SAW yang hebat. Kesemua mereka telah memainkan peranan yang besar dalam membantu Rasulullah SAW menjalankan amanah daripada Allah SWT.  

Sifat mereka yang istimewa ini bukan sahaja dijelaskan di dalam al-Quran, malah turut dimuatkan dalam kitab Taurat dan Injil. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Muhammad ialah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang antara mereka (umat Islam). Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang yang soleh) terdapat pada muka mereka, daripada kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).” (Surah al-Fath, ayat 29).

Begitu besar peranan yang dimainkan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Hidup mereka digunakan sepenuhnya untuk bersama-sama Rasulullah SAW menyebarkan Islam sama ada dalam suasana gembira lebih-lebih lagi di kala duka.

Segalanya diharungi bersama dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia. Akhirnya, Allah SWT menjanjikan syurga buat para sahabat Rasulullah SAW, itulah nikmat yang terbesar. 


Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang terdahulu yang lebih awal masuk Islam iaitu Muhajirin dan Ansar, dan golongan yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Allah, serta Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 100).

Berdasarkan contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah SAW ini, sewajarnya kita mengikut jejak langkah mereka. Apatah lagi mereka semua telah dijanjikan nikmat syurga hasil daripada pengorbanan mereka sebagai sahabat Rasulullah SAW. Malah dalam banyak hadis, Rasulullah SAW telah mengajar kita agar sentiasa bantu-membantu antara sesama Muslim kerana setiap Muslim itu adalah bersaudara. 



Kita bukan hanya perlu menjalinkan ikatan persahabatan, malah lebih daripada itu iaitu ikatan persaudaraan. Persaudaraan yang didasari oleh asas akidah Islamiah menjadikan hubungan sesama Muslim sentiasa dalam keadaan harmoni dan diberkati. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih-sayang, dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai letih dan penat (tidak sihat).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).



Peranan sebagai seorang sahabat amat besar dan yang paling utama ialah membawa sahabatnya ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membawa sahabatnya kepada mengingati Allah SWT setiap masa. 

Seseorang itu dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita telah membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya. Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat.” (Hadis riwayat Abu Dawud). Hadis ini memberi petunjuk yang jelas bahawa sahabat memberi pengaruh yang besar dalam menilai keperibadian seseorang.



Perlu menjadi ingatan, hal ini tidak bermaksud bahawa kita hanya boleh bersahabat dengan orang yang baik, dan menjauhi orang yang kurang baik. Ini bersalahan dengan konsep dan strategi dakwah dalam Islam. 

Kita perlu berkawan dengan semua golongan. Jika kita mempunyai sahabat yang kurang baik akhlaknya, maka menjadi tanggungjawab kita untuk membawanya ke arah kebaikan. Namun, jika kita tidak mampu mengubahnya, pastikan diri kita tidak terikut dan terjebak dalam kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat tadi.



Jalinan persahabat perlulah didasari oleh tujuan yang betul. Sekiranya sesuatu ikatan persahabatan itu terjalin atas sebab-sebab duniawi atau bagi tujuan kemungkaran, maka ikatan tersebut tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT, malah akan mencetuskan perbalahan di kemudian hari. 

Allah SWT menjelaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh).” (Surah al-Zukruf, ayat 67). 

Rasulullah SAW turut menjelaskan hal ini menerusi hadisnya: “Mereka yang berkasih sayang demi keagungan-Ku akan berada di bawah naungan Arasyh-Ku, pada hari tiada perlindungan melainkan perlindungan-Ku.” (Hadis riwayat Ahmad).



Untuk menjadi sahabat sejati yang terbaik, kita perlu berusaha untuk melakukan kebaikan kepada sahabat. Apa juga perkara baik yang kita lakukan untuk sahabat dengan hati yang ikhlas, pastinya akan mendapat balasan yang hebat daripada Allah SWT. 

Mendoakan kesejahteraan sahabat, menziarahinya ketika sakit, menasihatinya apabila diperlukan, berkongsi kegembiraan dengannya, mengucapkan salam dan bertanya khabar tatkala bertemu dengannya merupakan antara perkara-perkara baik yang dianjurkan oleh Islam agar dipraktikkan dalam hubungan persahabatan. 

Semoga kita semua dapat mencontohi kehebatan hubungan persahabatan antara Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda serta mewarisi sifat-sifat mulia mereka.

Berdakwah Di Alam Maya (Harian Metro) - 16 Februari 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Dalam suasana ledakan teknologi maklumat hari ini, muncul pelbagai jenis aplikasi perhubungan dalam dunia maya. Informasi yang merentasi sempadan benua dapat diperolehi dengan sekelip mata.

Pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan muda mahupun yang berusia tidak melepaskan peluang memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi hari ini dan antara yang menjadi pilihan ramai ialah facebook.

Pelbagai informasi terkini sama ada yang melibatkan individu, masyarakat setempat, dalam dan luar negara dapat dicapai dengan mudah melalui facebook

Ramai dalam kalangan masyarakat hari ini yang tidak lagi menonton televisyen dan membaca akhbar kerana kebergantungan mereka kepada internet dan aplikasi teknologi moden seperti facebook.

Sebenarnya, suasana ini boleh mengundang kesan positif dalam kehidupan manusia, tidak kurang juga kesan negatif sekiranya tanpa kawalan. Jika dilihat dari satu sudut, ketagihan masyarakat terhadap facebook mampu mengundang pelbagai kesan negatif seperti pembaziran masa, kurang bersosial dengan masyarakat, pendedahan perkara maksiat, lalai dalam melaksanakan tanggungjawab seharian, melengahkan amal ibadah dan sebagainya. Kesan negatif seperti ini bukan sahaja melanda golongan remaja, malah turut melibatkan golongan yang berusia.

Dari sudut positif, banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada kemunculan facebook. Antaranya ia boleh dijadikan medan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sudah pastinya perkenalan yang terjalin mesti membawa kepada kebaikan bukan kemungkaran. 

Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling mengenali antara satu sama lain. Kepelbagaian keturunan, bahasa, budaya dan suasana kehidupan akan membawa faedah yang banyak bagi mereka yang mahu berfikir dan berusaha memanfaatkan kepelbagaian yang wujud ini.

Kepelbagaian ini menggambarkan kekuasaan Allah SWT yang Maha Hebat dalam mencipta manusia. Manusia yang diciptakan dengan beberapa kekurangan akan berupaya mengatasi kekurangan tersebut sekiranya mereka saling melengkapi antara satu sama lain. 

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Sesuai dengan kepantasan facebook dalam menyebarkan informasi, maka amat wajar bagi setiap umat Islam memanfaatkan kemudahan ini untuk menyebarkan kebaikan (al-ma’ruf) dan menyekat keburukan (al-munkar). Hal ini termasuk dalam usaha dakwah. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar.

Sepanjang hayat Baginda SAW dimanfaatkan untuk tujuan dakwah iaitu membawa manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tugas dakwah ini terletak di atas bahu setiap muslim yang kelak akan dipersoalkan. Sesiapa pun tidak berupaya untuk lari daripadanya.

Tugas menyebarkan ajaran Allah SWT tidaklah menjadi satu bebanan bagi kerana tanggungjawab tersebut boleh ditunaikan mengikut kapasiti masing-masing. Dengan adanya facebook, setiap daripada kita mampu memainkan peranan dakwah ini.

Dakwah bukan hanya menyeru orang bukan Islam untuk masuk Islam, ia turut melibatkan usaha menyedarkan umat Islam yang alpa tentang kewajipan mereka. Hal ini perlu sentiasa menjadi ingatan setiap muslim agar umat Islam terus menjadi umat terbaik, sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110).

Pelbagai perkara baik boleh dikongsikan dengan pemanfaatan facebook. Satu perkara yang perlu diberi pujian apabila ramai dalam kalangan para pendakwah di Malaysia pada hari ini turut memanfaatkan facebook untuk tujuan dakwah. 

Namun, setiap daripada kita juga perlu memainkan peranan yang sama. Kongsikanlah perkara-perkara baik dalam facebook, meskipun hanya dengan sebaris dua ayat. Rasulullah SAW menggesa umatnya menjadi penyebar ilmu Allah SWT menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam masa yang sama, perlu menjadi ingatan kita bersama agar tidak sesekali menjadikan facebook sebagai medium untuk bersengketa dan mendedahkan keaiban orang lain. Setiap daripada kita harus bijak menangai sesuatu isu dengan hikmah dan bijaksana. Percanggahan pendapat merupakan satu fitrah dalam kehidupan. 

Namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam bermusuhan antara satu sama lain. Dengan keterbatasan ruangan facebook untuk melontarkan hujah, maka umat Islam perlu menggunakan kebijaksaan masing-masing jika berdepan dengan percanggahan pendapat. 

Hakikatnya, banyak mata yang melihat gelagat kita di facebook dan sekiranya kita gagal mencerminkan akhlak Islam ketika menggunakan facebook, ia bakal mengundang fitnah terhadap Islam.

Dengan perkongsian nasihat, kata-kata hikmah, pengalaman baik, kejayaan dan kegembiraan atas nikmat yang diperolehi, makluman tentang majlis ilmu dan sebagainya, ia diharapkan akan memberi faedah buat rakan alam maya di facebook

Moga dengan usaha kita yang bijak menggunakan facebook untuk tujuan kebaikan, ia akan menjadi ikutan orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka dia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu apapun, dan sesiapa menyeru kepada kesesatan maka dia akan mendapat dosa seperti dosa yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu pun.” (Hadis riwayat Muslim).

Anugerah Alam Amanah Allah (Harian Metro) - 9 Februari 2013



Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Setiap kejadian di atas muka bumi ini merupakan makhluk ciptaan Allah SWT. Gunung, lautan, pokok, haiwan, serangga, tanah, pasir dan banyak lagi makhluk Allah SWT di atas muka bumi ini merupakan antara tanda-tanda kekuasaan dan keesaan Allah SWT.

Begitu juga dengan penciptaan manusia di atas muka bumi ini. Penciptaan manusia yang amat istimewa dengan anugerah akal fikiran membezakan darjat mereka dengan makhluk-makhluk Allah SWT yang lain.


Hakikatnya, penciptaan makhluk lain di atas muka bumi ini adalah untuk tujuan faedah buat manusia. Hal ini menunjukkan secara jelas keistimewaan manusia yang memperoleh nikmat yang amat besar daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.” (Surah Ibrahim, ayat 32-33).

Kesemua nikmat ini telah menutup segenap ruang dan peluang bagi manusia untuk menafikan kebesaran dan kasih sayang Allah SWT terhadap manusia. Dalam masa yang sama, kesemua nikmat ini menjadi sebab kukuh perlunya setiap manusia mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah SWT.

Namun, sikap sesetengah manusia yang rakus, telah menyebabkan mereka alpa tentang perlunya mengurus makhluk ciptaan Allah SWT di atas bumi ini. Di sesetengah tempat, penerokaan hasil alam tidak dilakukan dengan terancang, malah ada yang sanggup mengaut setiap anugerah Allah SWT ini secara terlarang.

Kerja-kerja pembalakan yang tidak terancang, pengambilan hasil laut yang tidak mengikut tatacara yang betul, penarahan tanah tinggi berlaku sewenangnya, lambakan sampah sarap dalam sungai dan banyak lagi merupakan antara tindakan yang mengundang kemusnahan kepada kehidupan manusia sendiri. Allah SWT menjelaskan hal ini di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.” (Surah al-A‘raf, ayat 56). 

Sikap segelintir manusia yang tidak mentaati perintah Allah SWT ini menyebabkan makhluk di bumi ditimpa bala yang tidak disangka seperti berlakunya kejadian tanah runtuh, banjir kilat, kemarau berpanjangan, pencemaran udara dan kemusnahan ekosistem alam. Perbuatan ini adalah ditegah dalam Islam. 

Malah Allah SWT telah memberi amaran bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi adalah disebabkan perbuatan segelintir hamba-Nya yang ingkar terhadap perintah-Nya. Firman Allah bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan (buruk) mereka, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41).

Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan dan tidak bertanggungjawab.



Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semula jadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini.

Mulakan usaha murni memelihara alam sekitar dari dalam rumah kita sendiri. Pastikan kita tidak sewenangnya membuang sampah merata tempat, tidak melakukan pembakaran secara terbuka, tidak melakukan pembaziran air dan elektrik di dalam rumah dan sebagainya.

Generasi muda juga harus sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya memelihara alam sekitar dan menyemai rasa tanggungjawab menjaga alam sekitar dalam diri mereka.

Memelihara alam sekitar daripada sebarang kerosakan daripada manusia yang bersifat rakus merupakan tanggungjawab setiap muslim. Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, kita perlu memainkan peranan bagi memastikan setiap makhluk Allah SWT di atas dunia ini diurus dan ditadbir sebaiknya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).