Showing posts with label Tajdid Iman. Show all posts
Showing posts with label Tajdid Iman. Show all posts

Tuesday, June 30, 2009

Muslim Tawaduk Dikurnia Hikmah Kebijaksanaan (Tajdid Iman-Berita Harian, 30 Jun 2009)


Oleh: Sohibus Samahah Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis

Meja rundingan ditolak, gelanggang debat dibuka serlah dendam politik tak berkesudahan

GAMAT dan gawat! Parti politik yang mewakili umat Islam saling tuduh-menuduh, menghina dan mengeji sesama sendiri, mengata tanpa batasan kerana berasa diri serta kumpulan mereka paling ikhlas berjuang untuk Islam, sedangkan parti lain munafik, fasik, bahkan difatwakan kafir. Padahal, mereka semuanya muslimin, mengucapkan syahadatain, mendirikan sembahyang dan fardu lain dalam rukun Islam. Apakah bacaan syahadat mereka itu sebatas kerongkong saja? Sembahyang mereka satu upacara amal semata? Apakah puasa mereka tidak berjaya melumpuhkan sifat keji dan amarah yang merasuk jiwa?

Lidah pejuang politik umat Islam seakan-akan bercabang dua, satu lidah untuk solatnya dan satu lagi lidah untuk mencaci maki saudara seagamanya. Hatinya juga umpama dua talam, hati yang kadang-kadang beristighfar dan hati yang tiba-tiba berubah bak singa kelaparan. Sesama Muslim bercakaran, satu kumpulan mengaku Islam progresif, lawannya mengisytiharkan parti mereka paling Islamik.

Perpecahan sebegini tidak hanya dialami parti politik Islam, bahkan dalam arena organisasi dakwah yang pelbagai timbul masalah perselisihan mengenai manhaj dakwah siapakah yang paling benar. Jika memang benar semua mengaku bekerja untuk kemaslahatan Islam, maka kenapa timbul pelbagai kerosakan, kemudaratan bahkan mungkin akan menjurus kepada pertumpahan darah. Tidak mustahil apabila pengikut yang tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik akan memberontak sehingga menimbulkan kemudaratan lebih besar kepada umat Islam keseluruhannya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan: "Pelbagai parti dalam politik sama kedudukannya dengan mazhab dalam aliran fekah. Ulama yang mewakili mazhab fekahnya seperti pemimpin politik yang sama-sama mengaku mewakili Islam. Masing-masing berijtihad mengikut pandangannya yang tidak terlepas daripada kesilapan."

Katanya lagi: "Apa yang kita tolak dalam medan politik sama dengan apa yang kita tolak dalam bidang fiqh iaitu ketaatan yang melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan perpecahan." Menyatakan bahawa ulama mazhab fekah itu suci dan tak berbuat kesilapan pun dilarang, maka apatah lagi menyatakan pemimpin politik yang dikasihi itu maksum tidak tersilap. Tidak ada manusia yang tidak bermaksiat melainkan nabi yang maksum.

Al-Qaradawi berkata lagi: "Saya ingin menyatakan kepada mereka, bahawa daulah Islamiyah bukanlah sebuah negara agama (Teokrasi) seperti yang dikenali umat lain. Saya bermaksud bahawa ia adalah daulah madaniyah yang diperintah oleh syariat Islam. Pemerintahnya bukanlah seorang imam yang maksum, anggotanya bukanlah rahib yang suci, bahkan mereka adalah manusia yang kadang-kadang betul dan silap, kadang-kadang berbuat baik dan jahat, adil dan zalim, taat dan bermaksiat. Rakyat hendaklah membantu mereka apabila mereka berbuat baik dan adil, membetulkan mereka apabila mereka silap dan menolak perintah mereka apabila mereka diperintahkan berbuat maksiat."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Muslim sama ada dia suka ataupun tidak selagi mana tidak diperintah melakukan maksiat, sekiranya diperintah melakukan maksiat maka tidak perlu lagi dengar dan taat." (Hadis Muttafaq Alaih)

Apabila pemimpin menyeru kepada semangat asabiyah kepuakan, taksub parti sehingga membutakan mata dalam memandang sesuatu isu tanpa usul periksa, memecah belah persatuan umat sehingga melemahkannya hingga ke tahap boleh tunduk dan taat kepada kuasa bukan Islam lagi kafir, maka ia tidak lagi wajib ditaati bahkan mereka wajib menasihati pemimpin yang melakukan kesilapan itu sebagai usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Al-Qaradawi juga mengulas isu perselisihan umat dalam kitabnya bertajuk Al-Shahwah Al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa Tafarruq al-Mazmum: "Walau bagaimanapun bukan semua perselisihan adalah keburukan, ia terbahagi kepada dua jenis. Perselisihan yang membawa kepelbagaian dan keluasan berfikir dan yang kedua ialah perselisihan yang (hanya bermatlamatkan) saling berlawanan satu sama lain. Yang pertama adalah dipuji dan yang kedua adalah dikeji."

Kesatuan adalah saudara kembar kepada iman dan perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran dan jahiliah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103) Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang bercerai-berai (Yahudi dan Nasrani) dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang pedih." (Surah Ali Imran, ayat 105)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu bertelingkah kerana umat sebelum kamu pernah bertelingkah lalu mereka dibinasakan." (Hadis Muttafaq Alaih) Berbilang parti politik yang mewakili Islam diharap dapat membuka keluasan berfikir dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal umat, bukan sebagai medan bertumbuk, berbalah jiwa dan perasaan yang mengundang dendam politik tidak berkesudahan.Jelas sekali hal sebegini bukanlah suatu rahmat, bahkan ia suatu azab kepada umat Islam.

Jika meja perundingan ditolak dan gelanggang perdebatan dibuka, bukankah ia menunjukkan dendam politik yang bertujuan mahu menjatuhkan satu sama lain? Natijah yang pasti adalah akan saling mendedahkan aib sesama sendiri yang sudah ditutup oleh Allah dan ia sudah pasti merugikan umat seluruhnya.Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan dengan majlis saling berbantah-bantahan dalam forum terbuka dan disaksikan ramai orang, sedangkan kaedah menasihat sesama Muslim berbeza dengan cara menasihat penjenayah yang zalim lagi suka menumpahkan darah seperti Fir'aun. Sedangkan Allah menyuruh Musa dan Harun AS menasihati Fir'aun dengan cara berlemah-lembut sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, Sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut." (Surah Taha, ayat 43-44)

Sewajarnya semua ahli politik Muslim meletakkan maslahat Islam atas segala kepentingan. Dengan itu mereka akan bersikap matang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar tanpa melepaskan ikatan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan moral. Bukankah al-Quran sudah menjelaskan tahap menyeru manusia ke jalan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berhujahlah dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Dalam hati orang yang menasihati saudara muslimnya hendaklah sentiasa hadir rasa tawaduk, amat sangat inginkan saudaranya dapat menerima nasihat kerana Allah, jauh sekali mahu menunjukkan kehebatan, bahkan dia berkata-kata seolah-olah dia menasihati dirinya sendiri.Renungilah ungkapan bijaksana ulama Salaf yang agung, al-Imam al-Fudail bin 'Iyad dalam kitab Al-Faqih wal Mutafaqih: "Sesungguhnya Allah mencintai orang alim yang tawaduk dan Allah membenci orang alim yang sombong lagi takbur. Sesiapa yang tawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengurniakan hikmah kebijaksanaan kepadanya. Oleh itu dia hendaklah membiasakan lidahnya bercakap dengan lembut dan bersikap halus dalam bersoal jawab. Ini semua hendaklah dilakukan terhadap semua orang, sama ada kepada yang Muslim ataupun kepada ahli zimmah."

* Artikel ini diambil daripada Berita Harian Online (Selasa, 30 Jun 2009).

Monday, June 22, 2009

Dendam, Sifat Takbur Parti Halang Perpaduan Ummah (Tajdid Iman-Berita Harian, 23 Jun 2009)

Oleh: Sohibus Samahah Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis

“SESUNGGUHNYA pemerintah itu adalah bayangan Allah. Oleh itu, ulama Salaf seperti al-Fudhail bin ’Iyadh, Ahmad bin Hanbal dan selain keduanya menyatakan: Sekiranya kami memiliki doa yang makbul lagi mustajab nescaya kami akan doakan untuk pemerintah.” (Al-Siyasah al-Syar’iyah dan Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah juzuk 28, halaman 390-391)

Inilah sikap ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap pemerintah mereka. Suatu sikap yang diwarisi daripada ulama Salafus Salih yang akan terus dipertahankan dalam tatacara berhubungan dengan pihak pemerintah. Ulama yang memahami keadaan umat Islam dan mempunyai harapan besar untuk melihat kemenangan Islam akan sentiasa mengambil berat kepentingan mendakwahkan pemimpin umat, menyeru mereka dengan nasihat penuh hikmah dan sentiasa membuka jalan dialog dengan semangat berhujah dengan cara yang terbaik antara ulama dan umara demi kepentingan Islam.

Zaman demokrasi sudah membuka ruang yang lebar kepada ulama untuk lebih berperanan menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan membabitkan diri dalam bidang politik, sehingga mereka terpaksa berdepan pemimpin berlainan haluan serta cita-cita. Tetapi, masing-masing berjanji memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Ulama yang menggunakan wadah politik sebagai jalan perjuangan fisabilillah sentiasa memahami mereka umpama khadam dan orang gaji bagi rakyat, bukannya sebagai tuan dan raja atau rahib yang suci maksum tanpa dosa.

Fakih Tabiin yang zuhud lagi mulia, Abu Muslim Al-Khawalani, masuk menemui Muawiyah bin Abu Sufyan yang waktu itu menjadi Khalifah Islam. Beliau berkata kepadanya: “Assalamu’alaika ayyuha al-Ajir, salam sejahtera atas kamu wahai orang gaji. Lalu berkatalah pemimpin di sekeliling Khalifah: “Assalamu‘alaika ayyuha al-Amir, salam sejahtera atas kamu wahai Amir (ketua atau raja). Mereka saling mengulang-ulangi salam itu sehingga Muawiyah berkata: Cukuplah! Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih arif dengan apa yang dikatakannya.” Abu Muslim dengan kecintaannya kepada khalifah mahu mengingatkan kedudukan beliau adalah seperti orang gaji kepada rakyat.

Seperti mana pernah dinyatakan khalifah bijaksana, Umar bin Abdul Aziz sewaktu menerima perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu, hanyasanya Allah menjadikan aku lebih berat bebanannya daripada kamu.” Dengan keimanan dan ketakutan menerima tanggungjawab sebagai amanah Allah, ulama dan umara Salafus Salih sentiasa berasa diri terdedah kepada kesilapan.

Walaupun mereka ulama, mereka tidaklah maksum sepertimana nabi, mereka mengaku dengan sepenuh ketundukan bahawa setiap langkah dan strategi politik yang diambil boleh jadi silap kerana mereka hanya mampu berijtihad dalam hal itu. Ulama yang ikhlas memperjuangkan Islam dalam arena politik hendaklah memiliki sensitiviti jiwa yang halus, sentiasa memperbaharui niat dan menilai strategi dijalankan, bukan untuk keuntungan partinya semata-mata, bahkan hendaklah melihat daripada sudut lebih luas dan terbuka serta menerima pandangan parti lain demi kepentingan agama. Mereka hendaklah sedar, perjuangan itu bukan untuk parti tetapi untuk umat Islam keseluruhannya dan agama Allah semata-mata.

Maka, hendaklah dikikis rasa kebencian dan dendam yang pernah ditoreh oleh parti lain ke atas mereka. Ingatlah, sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad kerana Allah semata-mata, bukannya kerana membela suatu kaum atau menuntut balas atas kematian keluarga apatah lagi kerana mahukan habuan dunia. Ulama yang mahu menegakkan Islam perlu mengkaji strategi politik Rasulullah SAW yang memaafkan kaum Quraisy pada hal merekalah yang membunuh bapa saudara yang paling dikasihinya, Hamzah bin Abdul Muttalib.

Orang kafir Quraisy itulah yang merampas harta benda umat Islam pengikut Nabi SAW dan mengusir mereka dari tanah air Makkah, menyeksa bahkan membunuh orang Islam awal yang mereka kasihi. Tetapi, saat terbukanya gerbang kemenangan Fathu Makkah, mereka memasuki Makkah dengan semangat sebagai rahmat untuk sekalian alam, semangat perdamaian demi menyatukan kekuatan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan lagi agama Islam. Pada saat di Madinah, Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan kaum Aus dan Khazraj supaya jangan sesekali membangkitkan sentimen jahiliah mengenai Peperangan Buath kerana ia boleh menjejaskan kesatuan umat dan melemahkan Islam.

Betapa jelas teladan dan contoh yang dicatat oleh sejarah umat ini, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan dendam politik walaupun ke atas orang kafir. Inilah uswah hasanah dan sunnah yang wajib diikuti dalam berhadapan dengan mereka yang pernah dimusuhi. Seandainya orang yang mahu membela Islam dalam arena politik masih memiliki saki baki kudis dendam ke atas golongan dan parti umat Islam lain serta menutup pintu serapat-rapatnya, menolak sebarang bentuk rundingan bagi mencapai perdamaian maka dikhuatiri niat perjuangan mereka tidak lagi murni dan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Mungkin sudah timbul bibit-bibit niat lain yang berputar sekitar perebutan kuasa, kedudukan dan sentimen kepuakan yang penanda arasnya adalah saling memuji diri sendiri dan merendahkan puak lain. Semua itu hembusan fitnah habuan dunia dan sifat takbur dengan kekuatan sendiri yang ditiupkan oleh syaitan.


Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya berhati-hati terhadap penyakit hati yang boleh mengharamkan syurga ke atas orang yang dijangkitinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walau sebesar zarah. Ada seorang lelaki yang berkata: Sesungguhnya ada seorang yang suka memakai pakaian yang cantik dan selipar yang cantik. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Takbur itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan sesama manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)

Selain keikhlasan, sifat memaafkan dan semangat menyatupadukan umat, kekuatan politik Rasulullah SAW juga terletak pada amalan syura. Daulah Islam tidaklah dibina melalui politik kuku besi. Bahkan Islam menyeru supaya dipotong kuku yang mencengkam bahu rakyat, juga dipotong kuku besi yang menyuruh pengikut taat dan setia secara membuta tuli, yang memperguna agama sebagai tali pencekik yang mengikat leher umat dan menakutkan mereka dengan gelaran murtad atau kafir.

Daulah Islam bukanlah seperti amalan politik rahib dan pendeta Kristian yang mengamalkan negara teokrasi di Eropah suatu ketika dulu. Mereka menguasai rakyat dengan undang-undang ciptaan yang dicapkan agama, yang mengikut hawa nafsu dan keinginan sendiri dan mendakwa kebijakan politik mereka itu adalah suara Tuhan. Mereka mengaku kerajaan yang dibina adalah kerajaan Tuhan tetapi sebenarnya rakyat ditipu supaya mereka tidak melawan setiap kebijakan politik raja yang menjadi sekutu golongan gereja.


Rakyat tidak boleh bersuara, membangkang apatah lagi melawan. Kerana suara Tuhan dan rahibnya lebih berkuasa dari suara rakyat yang hina. Lihatlah betapa liciknya mereka memperbodohkan rakyat. Al-Quran menceritakan keadaan mereka ini dalam ayat yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendita dan ahli agama mereka sebagai Tuhan selain Allah.” – (Surah al-Taubah, ayat 31)

Rahib itu dijadikan seolah-olah Tuhan kerana mereka percaya pemimpin agama yang berkuasa itu semuanya maksum, tidak akan tersilap langkah dan wajib ditaati seperti mana mereka mentaati Tuhan. Siapa yang membangkang akan dikafirkan bahkan dihalalkan darahnya. Sedangkan amalan politik Islam seperti mana diperjuangkan Rasulullah SAW ketika mendirikan Daulah Islamiah sama sekali jauh daripada amalan kuasa mutlak di tangan pemimpin tanpa mengambil kira pandangan pengikut dan rakyat.

Politik Islam hakikatnya memperjuangkan suara rakyat. Walaupun Rasulullah SAW bersifat maksum tetapi dalam mengambil kebijakan politik yang tidak turun wahyu padanya, Baginda SAW sentiasa mengambil kira pandangan sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Rasulullah SAW pernah bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi dalam perang Khandak, Rasulullah SAW juga mengikuti suara terbesar ketika mengambil keputusan menyerang orang kafir di luar kota Madinah saat perang Uhud. Padahal pandangan Rasulullah SAW pada mulanya adalah menyerang mereka di dalam kota.

Tetapi disebabkan Rasulullah SAW melihat ramai di kalangan pemuda Ansar bersetuju keluar menyerang, akhirnya Rasulullah SAW akur dengan keputusan suara terbanyak, walaupun Baginda seorang Rasul yang maksum dan mendapat dokongan wahyu dari langit. Memelihara perdamaian dan kesatuan umat adalah perjuangan sunnah Rasulullah SAW sedangkan dendam politik dan takbur parti dan kepuakan adalah benih dosa dan maksiat yang akan meruntuhkan kekuatan umat. Kuasa memerintah adalah anugerah Allah dan amanah kepada orang mukmin. Pembela Islam yang kalah dalam perjuangan politik dunia tetap akan menerima pahala di sisi Allah, maka mereka tidak perlu sedih dan berputus asa.

Maka tiada sebab untuk mereka merosakkan niat suci kerana inginkan kemenangan dunia semata-mata. Mereka wajib percaya mereka hanyalah penyambung risalah perjuangan nabi dalam membela agama Allah, kalah dan menang hanya sebuah permainan dunia yang akan menjadi dugaan terhadap matlamat dan tujuan akhirat mereka.

* Artikel ini diambil daripada Berita Harian Online (Selasa, 23 Jun 2009).

Tuesday, May 26, 2009

Cari Maslahat Agung, Elak Mudarat Lebih Besar (Tajdid Iman-Berita Harian, 26 Mei 2009)

Oleh: YBhg. Sohibus Samahah Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis Darus Sunnah

POLITIK sering dituduh sebagai dalang kejahatan dan kezaliman yang merosakkan umat manusia dari zaman berzaman. Hakikatnya, politik bersifat berkecuali, yang mengotorkannya adalah orang berdiri mewakilinya dengan sikap dan niat yang buruk.

Seperti sistem ekonomi, ia bergantung kepada mereka yang mengamalkan sistem pelbagai itu. Bagi sistem sosialis dan kapitalis, yang menjadikan ia zalim adalah kerakusan pejuangnya, maka ia mewujudkan ekonomi yang zalim.

Sedangkan Islam tetap menawarkan sistem adil lagi syumul dan kesempurnaannya. Seperti ekonomi, politik diperlukan untuk membina tamadun yang maju. Alangkah silapnya jika manusia menuduh Islam menghalalkan politik cacamarba mencampuradukkan yang hak dan batil.

Islam tetap menang walaupun tanpa taktik kotor, rasuah atau bahasa indahnya ‘tawaran hadiah projek’, caci maki dan fitnah, umpat serta mengaib sesama insan. Benarkah politik itu jahat, kejam, dan yang duduk di dalamnya adalah orang berdosa lagi zalim.

Bukankah Rasulullah SAW, sahabat, tabiin juga bergiat aktif dalam gelanggang politik? Jadi, jangan menuduh secara melulu, biarlah Allah menilai keikhlasan amalan masing-masing. Adalah silap dan berdosa memisahkan politik daripada Islam kerana politik sebahagian Islam yang syumul.

Masalahnya, sekali lagi adalah insan yang mewakili Islam itu, ada yang jahat dan berselindung di sebalik Islam serta tidak dinafikan ramai juga ikhlas semata-mata memperjuangkan agama serta keadilan kerana Allah.

Kadang-kadang pada awal perjuangan, hati mereka suci daripada kepentingan diri tetapi berapa ramai berjaya mengekalkan kesucian hatinya dan keikhlasan perjuangannya kerana Allah. Akhirnya, antara orang yang kononnya mewakili Islam dengan parti lawannya, semuanya sama saja daripada sudut sikapnya yang rakus kepada kuasa, dua kali lima, lima kali dua.

Jika kuasa itu hilang, tidak hairan dengan serta-merta kedengaran ada orang politik yang bunuh diri seperti diberitakan media baru-baru ini. Bunuh diri menjadi pilihan orang kafir untuk menyatakan protes mereka terhadap keputusan takdir.

Yang takut mati pula mencuba pelbagai gaya untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan diterima. Ada mencuba nasib dengan mogok lapar, membuat ritual menyalakan lilin sebagai tanda kematian politik demokrasi dibela setengah mati sampai mengalahkan usaha membela Tuhan mereka.

Menyalakan lilin serupa dengan amalan orang Nasrani dan Majusi. Apabila ada penganut Nasrani meninggal dunia maka agama mereka mengajarkan untuk membakar lilin sebagai tanda kematian. Orang Islam dilarang sama sekali mengikuti amalan jahiliah yang bertentangan dengan Islam dalam bentuk apapun seperti larangan umum dalam hadis haramnya tasyabbuh dengan orang musyrik.

Daripada Qais bin Abi Hazim beliau berkata: “Abu Bakar As-Siddiq masuk ke rumah seorang perempuan dari suku Ahmas yang bernama Zainab. Abu Bakar melihat perempuan itu tidak mahu bercakap kemudian Abu Bakar bertanya: Kenapa perempuan itu tidak mahu bercakap? Orang yang berada di situ berkata: Dia berhajat untuk berdiam diri (mogok bercakap). Kemudian Abu Bakar berkata kepadanya: Bercakaplah kamu, kerana perbuatan seperti itu tidak halal, ia termasuk perbuatan orang jahiliah. Kemudian perempuan itu pun bercakap.” – (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Al-Khattabi mentafsirkan hadis ini bahawa diam atau puasa bercakap adalah salah satu perbuatan ritual jahiliah. Kemudian selepas Islam datang, ritual itu dilarang dan diperintahkan supaya berzikir atau bercakap yang baik. Jika puasa bercakap pun diharamkan, inikan pula perbuatan memudaratkan diri dengan melakukan perbuatan lebih berat lagi daripada itu seperti mogok lapar.

Rasulullah SAW tidaklah menjalani dakwahnya dengan kemenangan semata-mata bahkan bersilih ganti menang dan kalah ketika berhadapan kezaliman kuffar. Sekali lagi, Allah mahu mengajar manusia hanya Dia Yang Maha Mengetahui perkara ghaib.

Tugas manusia hanya berusaha dan serahkan baik buruknya kepada Allah. Bukan bermakna manusia disuruh menyerah kalah, tapi mereka disuruh untuk menerima kegagalan itu dengan mencari kesilapan sendiri, membina langkah baru yang lebih kreatif, dinamik dan gagah.

Islam sama sekali tidak membenci ahli politik, bahkan mereka diperlukan sebagai pejuang di jalan-Nya untuk menegak amar makruf nahi mungkar. Tidak semestinya ahli politik Muslim itu sempurna dan bersih tanpa silap.

Sikap mahu membela diri dan parti walaupun sedar ia suatu kesilapan adalah perbuatan bertentangan nilai Islam. Perbuatan sebegini adalah semangat asabiyah jahiliah. Semangat perkauman yang menafikan hak orang lain.

Sedangkan Islam melarang sekeras-kerasnya melakukan kezaliman kepada seluruh umat tidak kira suku bangsa dan kepercayaan. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mengambil hak orang lain walaupun sekadar sejengkal tanah, nescaya dia akan diseksa dengan dibenamkan sejauh tujuh lapis bumi.” – (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kecenderungan membela diri dan golongan secara membuta tuli sehingga menzalimi orang tidak sehaluan dengan mereka dirakamkan dalam ayat Allah sebagai amalan Bani Israil yang pernah berkuasa dulu.

Maksudnya: “Kemudian kamu (Bani Israil) membunuh dirimu (saudaramu sebangsa) dan mengusir segolongan daripada kamu dari kampung halamannya, kamu bantu membantu terhadap mereka dengan membuat dosa dan permusuhan; tetapi jika mereka datang kepadamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, padahal mengusir mereka itu (juga) terlarang bagimu. Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada mu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat.” – (Surah Al-Baqarah, ayat 85)

Keadilan perlu ditegakkan tetapi mestilah digandingkan dengan keamanan. Jika menuntut keadilan dengan cara merobek keamanan, adakah ini berbaloi? Umat Islam yang terbabit dengan politik eloklah bercermin pada sejarah agung cucunda Rasulullah SAW, al-Hasan yang memilih untuk mengalah demi menjaga darah dan kesatuan kaum muslimin yang hampir tumpah kerana perselisihan dengan kumpulan Saidina Muawiyah bin Abi Sufyan.

Dengan bersangka baik kepada keperibadian dan keimanan sahabat, Saidina Muawiyah atas peristiwa itu kerana ramainya golongan munafik yang memainkan isu di sebalik tabir, sepatutnya umat Islam mencari maslahat agung untuk kepentingan agama dan menghindari mudarat lebih besar lagi. Berusaha dan cekal dengan idealisme adalah baik tetapi berapa ramai yang kecundang kerana menyangka langkah diambil itu betul padahal sebaliknya, disebabkan terburu nafsu dan tidak mengambil kira pandangan Islam, mereka mengorbankan maslahat umum umat yang lebih besar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka mereka berbuat sebaik-baiknya.” – (Surah Al-Kahfi, ayat 103-104)

Jika setiap pemimpin politik memiliki sifat wali, maka tidak seronoklah gelanggangnya pada kaum munafikin dan kafirin kerana sunyi daripada huru-hara, tetapi pada zaman Umar al-Khattab, seluruh rakyat bebas bersuara sehingga beliau terpaksa menunggu seorang wanita yang lantang memberi nasihat dan bangkangan kepadanya: Wahai Umar, takutlah kepada Allah dalam urusan umatmu. Sehingga menitis air mata khalifah menerima teguran itu.

Maknanya, sifat wali dalam diri ahli politik bukanlah duduk diam dan taat, mengalah pada kezaliman dan reda dengan kejahatan manusia, tetapi menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan cara lembut atau pun lantang mengikut keadaan serta situasi semasa.

Dia hendaklah berwaspada terhadap penasihat yang jahat dan mencari penasihat yang ikhlas dan suka mendengar teguran daripada orang tidak berkepentingan terhadap harta dan kuasanya.

Menceburi bidang politik adalah jihad dan berbaloilah dengan ganjaran akhirat bagi wali Allah, mereka tidak pernah gentar dengan tipu daya jahat penentangnya kerana sentiasa mengingati firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, dia telah mengisytiharkan perang terhadap-Ku.” – (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Semua pasti akan mengaku bahawa golongan merekalah yang membela Islam. Sebenarnya mereka tidak berhak mengaku bahkan Allah saja yang Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang bersih hati daripada kepentingan dunia.

* Artikel ini diambil daripada sumber Berita Harian Online (Selasa, 26 Mei 2009).