Tuesday, June 30, 2009

Muslim Tawaduk Dikurnia Hikmah Kebijaksanaan (Tajdid Iman-Berita Harian, 30 Jun 2009)


Oleh: Sohibus Samahah Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis

Meja rundingan ditolak, gelanggang debat dibuka serlah dendam politik tak berkesudahan

GAMAT dan gawat! Parti politik yang mewakili umat Islam saling tuduh-menuduh, menghina dan mengeji sesama sendiri, mengata tanpa batasan kerana berasa diri serta kumpulan mereka paling ikhlas berjuang untuk Islam, sedangkan parti lain munafik, fasik, bahkan difatwakan kafir. Padahal, mereka semuanya muslimin, mengucapkan syahadatain, mendirikan sembahyang dan fardu lain dalam rukun Islam. Apakah bacaan syahadat mereka itu sebatas kerongkong saja? Sembahyang mereka satu upacara amal semata? Apakah puasa mereka tidak berjaya melumpuhkan sifat keji dan amarah yang merasuk jiwa?

Lidah pejuang politik umat Islam seakan-akan bercabang dua, satu lidah untuk solatnya dan satu lagi lidah untuk mencaci maki saudara seagamanya. Hatinya juga umpama dua talam, hati yang kadang-kadang beristighfar dan hati yang tiba-tiba berubah bak singa kelaparan. Sesama Muslim bercakaran, satu kumpulan mengaku Islam progresif, lawannya mengisytiharkan parti mereka paling Islamik.

Perpecahan sebegini tidak hanya dialami parti politik Islam, bahkan dalam arena organisasi dakwah yang pelbagai timbul masalah perselisihan mengenai manhaj dakwah siapakah yang paling benar. Jika memang benar semua mengaku bekerja untuk kemaslahatan Islam, maka kenapa timbul pelbagai kerosakan, kemudaratan bahkan mungkin akan menjurus kepada pertumpahan darah. Tidak mustahil apabila pengikut yang tidak dapat mengawal emosi akibat terlalu taksub kepada pemimpin dan parti politik akan memberontak sehingga menimbulkan kemudaratan lebih besar kepada umat Islam keseluruhannya.

Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Min Fiqh Daulah Fil Islam mengatakan: "Pelbagai parti dalam politik sama kedudukannya dengan mazhab dalam aliran fekah. Ulama yang mewakili mazhab fekahnya seperti pemimpin politik yang sama-sama mengaku mewakili Islam. Masing-masing berijtihad mengikut pandangannya yang tidak terlepas daripada kesilapan."

Katanya lagi: "Apa yang kita tolak dalam medan politik sama dengan apa yang kita tolak dalam bidang fiqh iaitu ketaatan yang melulu dan taksub buta serta memberikan kesucian kepada sesetengah pemimpin seolah-olah mereka adalah nabi. Inilah punca kerosakan dan perpecahan." Menyatakan bahawa ulama mazhab fekah itu suci dan tak berbuat kesilapan pun dilarang, maka apatah lagi menyatakan pemimpin politik yang dikasihi itu maksum tidak tersilap. Tidak ada manusia yang tidak bermaksiat melainkan nabi yang maksum.

Al-Qaradawi berkata lagi: "Saya ingin menyatakan kepada mereka, bahawa daulah Islamiyah bukanlah sebuah negara agama (Teokrasi) seperti yang dikenali umat lain. Saya bermaksud bahawa ia adalah daulah madaniyah yang diperintah oleh syariat Islam. Pemerintahnya bukanlah seorang imam yang maksum, anggotanya bukanlah rahib yang suci, bahkan mereka adalah manusia yang kadang-kadang betul dan silap, kadang-kadang berbuat baik dan jahat, adil dan zalim, taat dan bermaksiat. Rakyat hendaklah membantu mereka apabila mereka berbuat baik dan adil, membetulkan mereka apabila mereka silap dan menolak perintah mereka apabila mereka diperintahkan berbuat maksiat."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan ke atas seorang Muslim sama ada dia suka ataupun tidak selagi mana tidak diperintah melakukan maksiat, sekiranya diperintah melakukan maksiat maka tidak perlu lagi dengar dan taat." (Hadis Muttafaq Alaih)

Apabila pemimpin menyeru kepada semangat asabiyah kepuakan, taksub parti sehingga membutakan mata dalam memandang sesuatu isu tanpa usul periksa, memecah belah persatuan umat sehingga melemahkannya hingga ke tahap boleh tunduk dan taat kepada kuasa bukan Islam lagi kafir, maka ia tidak lagi wajib ditaati bahkan mereka wajib menasihati pemimpin yang melakukan kesilapan itu sebagai usaha menegakkan amar makruf nahi mungkar.

Al-Qaradawi juga mengulas isu perselisihan umat dalam kitabnya bertajuk Al-Shahwah Al-Islamiyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa Tafarruq al-Mazmum: "Walau bagaimanapun bukan semua perselisihan adalah keburukan, ia terbahagi kepada dua jenis. Perselisihan yang membawa kepelbagaian dan keluasan berfikir dan yang kedua ialah perselisihan yang (hanya bermatlamatkan) saling berlawanan satu sama lain. Yang pertama adalah dipuji dan yang kedua adalah dikeji."

Kesatuan adalah saudara kembar kepada iman dan perpecahan pula adalah saudara kepada kekufuran dan jahiliah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103) Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang bercerai-berai (Yahudi dan Nasrani) dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang pedih." (Surah Ali Imran, ayat 105)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu bertelingkah kerana umat sebelum kamu pernah bertelingkah lalu mereka dibinasakan." (Hadis Muttafaq Alaih) Berbilang parti politik yang mewakili Islam diharap dapat membuka keluasan berfikir dan kebijaksanaan menguruskan hal ehwal umat, bukan sebagai medan bertumbuk, berbalah jiwa dan perasaan yang mengundang dendam politik tidak berkesudahan.Jelas sekali hal sebegini bukanlah suatu rahmat, bahkan ia suatu azab kepada umat Islam.

Jika meja perundingan ditolak dan gelanggang perdebatan dibuka, bukankah ia menunjukkan dendam politik yang bertujuan mahu menjatuhkan satu sama lain? Natijah yang pasti adalah akan saling mendedahkan aib sesama sendiri yang sudah ditutup oleh Allah dan ia sudah pasti merugikan umat seluruhnya.Apakah sebenarnya yang mahu dibuktikan dengan majlis saling berbantah-bantahan dalam forum terbuka dan disaksikan ramai orang, sedangkan kaedah menasihat sesama Muslim berbeza dengan cara menasihat penjenayah yang zalim lagi suka menumpahkan darah seperti Fir'aun. Sedangkan Allah menyuruh Musa dan Harun AS menasihati Fir'aun dengan cara berlemah-lembut sebagaimana termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, Sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut." (Surah Taha, ayat 43-44)

Sewajarnya semua ahli politik Muslim meletakkan maslahat Islam atas segala kepentingan. Dengan itu mereka akan bersikap matang dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar tanpa melepaskan ikatan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan moral. Bukankah al-Quran sudah menjelaskan tahap menyeru manusia ke jalan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berhujahlah dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk." (Surah An-Nahl, ayat 125)

Dalam hati orang yang menasihati saudara muslimnya hendaklah sentiasa hadir rasa tawaduk, amat sangat inginkan saudaranya dapat menerima nasihat kerana Allah, jauh sekali mahu menunjukkan kehebatan, bahkan dia berkata-kata seolah-olah dia menasihati dirinya sendiri.Renungilah ungkapan bijaksana ulama Salaf yang agung, al-Imam al-Fudail bin 'Iyad dalam kitab Al-Faqih wal Mutafaqih: "Sesungguhnya Allah mencintai orang alim yang tawaduk dan Allah membenci orang alim yang sombong lagi takbur. Sesiapa yang tawaduk kerana Allah, maka Allah akan mengurniakan hikmah kebijaksanaan kepadanya. Oleh itu dia hendaklah membiasakan lidahnya bercakap dengan lembut dan bersikap halus dalam bersoal jawab. Ini semua hendaklah dilakukan terhadap semua orang, sama ada kepada yang Muslim ataupun kepada ahli zimmah."

* Artikel ini diambil daripada Berita Harian Online (Selasa, 30 Jun 2009).

Wednesday, June 24, 2009

Prof. Dr. Ahmad Shehu Abdussalam Dalam Lipatan Kenangan Peribadiku


















Hari ini saya mendapat berita yang seorang tenaga pengajar Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Arab, UIAM akan meninggalkan Taman Ilmu & Budi ini. Beliau yang saya maksudkan ialah Y.Bhg. Prof. Dr. Ahmad Shehu Abdussalam.
Beliau yang berasal daripada negara Nigeria adalah antara mereka yang mula-mula berhempas pulas untuk membangunkan Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Arab, UIAM sejak ia mula ditubuhkan.
Beliau mendapat B.A dan M.A dari Uni. Muhammad Ibn Saud, Arab Saudi dan P.hD dari Uni. Khartoum, Sudan. Pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan sekitar tahun 90an. Jasa beliau amat besar pada UIAM, jika disemak senarai thesis bagi graduan Ijazah Sarjana & Doktor Falsafah khususnya dalam bidang Linguistik Arab, maka kebanyakannya adalah hasil seliaan beliau.
Seorang yang amat rajin menulis artikel dalam journal-journal antarabangsa, selaklah koleksi journal-journal antarabangsa di maktabah UIAM, pasti ada hasil tulisannya. Beliau telah mendapat Profesor penuh daripada UIAM.
Secara peribadi, banyak kenangan saya bersama beliau. Alhamdulillah saya berpeluang mengambil 2 subjek daripadanya iaitu: علم اللغة العام dan علم اللغة التطبيقي dengan kedua-duanya mendapat "A"....alhamdulillah.
Beliau juga telah memberi sumbangan peribadi berbentuk trofi dan wang tunai kepada pihak UIAM untuk diberikan kepada saya selaku penerima anugerah Al-Sibawayh sempena Istiadat Konvokesyen ke-24 UIAM tahun lalu. Beliau juga yang sudi menjadi "referee" saya untuk kemasukan Ijazah Sarjana dengan menulis surat sokongan kepada pihak Dekan, Centre For Postgraduate Studies, UIAM.
Beliau jugalah yang memberi kata-kata semangat dan sokongan serta "paksaan" agar saya meninggalkan CELPAD UIAM dan menerima tawaran jawatan Felo Akademik di Uni. Darul Iman Malaysia (UDM). Sesungguhnya, jasa dan sokongan beliau amat besar dalam membantu saya mengharungi dunia keilmuan yang penuh dengan cabaran dan dugaan ini.
Baru sebentar tadi, beliau menghubungi saya dan sempat memberi alamat e-mail nya untuk saya menghubungi beliau jika terdapat sebarang pertanyaan khususnya dalam proses penghasilan thesis saya dalam bidang Kesusasteraan Arab. Saya berdoa agar Allah SWT terus melimpahkan rahmat dan berkat-Nya untuk Y.Bhg. Prof sekeluarga.

Monday, June 22, 2009

Dendam, Sifat Takbur Parti Halang Perpaduan Ummah (Tajdid Iman-Berita Harian, 23 Jun 2009)

Oleh: Sohibus Samahah Dr. Juanda Jaya
Mufti Negeri Perlis

“SESUNGGUHNYA pemerintah itu adalah bayangan Allah. Oleh itu, ulama Salaf seperti al-Fudhail bin ’Iyadh, Ahmad bin Hanbal dan selain keduanya menyatakan: Sekiranya kami memiliki doa yang makbul lagi mustajab nescaya kami akan doakan untuk pemerintah.” (Al-Siyasah al-Syar’iyah dan Majmu’ Fatawa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah juzuk 28, halaman 390-391)

Inilah sikap ulama Ahli Sunnah wal Jamaah terhadap pemerintah mereka. Suatu sikap yang diwarisi daripada ulama Salafus Salih yang akan terus dipertahankan dalam tatacara berhubungan dengan pihak pemerintah. Ulama yang memahami keadaan umat Islam dan mempunyai harapan besar untuk melihat kemenangan Islam akan sentiasa mengambil berat kepentingan mendakwahkan pemimpin umat, menyeru mereka dengan nasihat penuh hikmah dan sentiasa membuka jalan dialog dengan semangat berhujah dengan cara yang terbaik antara ulama dan umara demi kepentingan Islam.

Zaman demokrasi sudah membuka ruang yang lebar kepada ulama untuk lebih berperanan menegakkan amar makruf nahi mungkar dengan membabitkan diri dalam bidang politik, sehingga mereka terpaksa berdepan pemimpin berlainan haluan serta cita-cita. Tetapi, masing-masing berjanji memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Ulama yang menggunakan wadah politik sebagai jalan perjuangan fisabilillah sentiasa memahami mereka umpama khadam dan orang gaji bagi rakyat, bukannya sebagai tuan dan raja atau rahib yang suci maksum tanpa dosa.

Fakih Tabiin yang zuhud lagi mulia, Abu Muslim Al-Khawalani, masuk menemui Muawiyah bin Abu Sufyan yang waktu itu menjadi Khalifah Islam. Beliau berkata kepadanya: “Assalamu’alaika ayyuha al-Ajir, salam sejahtera atas kamu wahai orang gaji. Lalu berkatalah pemimpin di sekeliling Khalifah: “Assalamu‘alaika ayyuha al-Amir, salam sejahtera atas kamu wahai Amir (ketua atau raja). Mereka saling mengulang-ulangi salam itu sehingga Muawiyah berkata: Cukuplah! Biarkan Abu Muslim, sesungguhnya dia lebih arif dengan apa yang dikatakannya.” Abu Muslim dengan kecintaannya kepada khalifah mahu mengingatkan kedudukan beliau adalah seperti orang gaji kepada rakyat.

Seperti mana pernah dinyatakan khalifah bijaksana, Umar bin Abdul Aziz sewaktu menerima perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu, hanyasanya Allah menjadikan aku lebih berat bebanannya daripada kamu.” Dengan keimanan dan ketakutan menerima tanggungjawab sebagai amanah Allah, ulama dan umara Salafus Salih sentiasa berasa diri terdedah kepada kesilapan.

Walaupun mereka ulama, mereka tidaklah maksum sepertimana nabi, mereka mengaku dengan sepenuh ketundukan bahawa setiap langkah dan strategi politik yang diambil boleh jadi silap kerana mereka hanya mampu berijtihad dalam hal itu. Ulama yang ikhlas memperjuangkan Islam dalam arena politik hendaklah memiliki sensitiviti jiwa yang halus, sentiasa memperbaharui niat dan menilai strategi dijalankan, bukan untuk keuntungan partinya semata-mata, bahkan hendaklah melihat daripada sudut lebih luas dan terbuka serta menerima pandangan parti lain demi kepentingan agama. Mereka hendaklah sedar, perjuangan itu bukan untuk parti tetapi untuk umat Islam keseluruhannya dan agama Allah semata-mata.

Maka, hendaklah dikikis rasa kebencian dan dendam yang pernah ditoreh oleh parti lain ke atas mereka. Ingatlah, sunnah Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad kerana Allah semata-mata, bukannya kerana membela suatu kaum atau menuntut balas atas kematian keluarga apatah lagi kerana mahukan habuan dunia. Ulama yang mahu menegakkan Islam perlu mengkaji strategi politik Rasulullah SAW yang memaafkan kaum Quraisy pada hal merekalah yang membunuh bapa saudara yang paling dikasihinya, Hamzah bin Abdul Muttalib.

Orang kafir Quraisy itulah yang merampas harta benda umat Islam pengikut Nabi SAW dan mengusir mereka dari tanah air Makkah, menyeksa bahkan membunuh orang Islam awal yang mereka kasihi. Tetapi, saat terbukanya gerbang kemenangan Fathu Makkah, mereka memasuki Makkah dengan semangat sebagai rahmat untuk sekalian alam, semangat perdamaian demi menyatukan kekuatan semata-mata untuk menegak dan menyebarkan lagi agama Islam. Pada saat di Madinah, Rasulullah SAW juga sentiasa mengingatkan kaum Aus dan Khazraj supaya jangan sesekali membangkitkan sentimen jahiliah mengenai Peperangan Buath kerana ia boleh menjejaskan kesatuan umat dan melemahkan Islam.

Betapa jelas teladan dan contoh yang dicatat oleh sejarah umat ini, bahawa Rasulullah SAW tidak pernah mengamalkan dendam politik walaupun ke atas orang kafir. Inilah uswah hasanah dan sunnah yang wajib diikuti dalam berhadapan dengan mereka yang pernah dimusuhi. Seandainya orang yang mahu membela Islam dalam arena politik masih memiliki saki baki kudis dendam ke atas golongan dan parti umat Islam lain serta menutup pintu serapat-rapatnya, menolak sebarang bentuk rundingan bagi mencapai perdamaian maka dikhuatiri niat perjuangan mereka tidak lagi murni dan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Mungkin sudah timbul bibit-bibit niat lain yang berputar sekitar perebutan kuasa, kedudukan dan sentimen kepuakan yang penanda arasnya adalah saling memuji diri sendiri dan merendahkan puak lain. Semua itu hembusan fitnah habuan dunia dan sifat takbur dengan kekuatan sendiri yang ditiupkan oleh syaitan.


Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya berhati-hati terhadap penyakit hati yang boleh mengharamkan syurga ke atas orang yang dijangkitinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat takbur walau sebesar zarah. Ada seorang lelaki yang berkata: Sesungguhnya ada seorang yang suka memakai pakaian yang cantik dan selipar yang cantik. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Takbur itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan sesama manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)

Selain keikhlasan, sifat memaafkan dan semangat menyatupadukan umat, kekuatan politik Rasulullah SAW juga terletak pada amalan syura. Daulah Islam tidaklah dibina melalui politik kuku besi. Bahkan Islam menyeru supaya dipotong kuku yang mencengkam bahu rakyat, juga dipotong kuku besi yang menyuruh pengikut taat dan setia secara membuta tuli, yang memperguna agama sebagai tali pencekik yang mengikat leher umat dan menakutkan mereka dengan gelaran murtad atau kafir.

Daulah Islam bukanlah seperti amalan politik rahib dan pendeta Kristian yang mengamalkan negara teokrasi di Eropah suatu ketika dulu. Mereka menguasai rakyat dengan undang-undang ciptaan yang dicapkan agama, yang mengikut hawa nafsu dan keinginan sendiri dan mendakwa kebijakan politik mereka itu adalah suara Tuhan. Mereka mengaku kerajaan yang dibina adalah kerajaan Tuhan tetapi sebenarnya rakyat ditipu supaya mereka tidak melawan setiap kebijakan politik raja yang menjadi sekutu golongan gereja.


Rakyat tidak boleh bersuara, membangkang apatah lagi melawan. Kerana suara Tuhan dan rahibnya lebih berkuasa dari suara rakyat yang hina. Lihatlah betapa liciknya mereka memperbodohkan rakyat. Al-Quran menceritakan keadaan mereka ini dalam ayat yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendita dan ahli agama mereka sebagai Tuhan selain Allah.” – (Surah al-Taubah, ayat 31)

Rahib itu dijadikan seolah-olah Tuhan kerana mereka percaya pemimpin agama yang berkuasa itu semuanya maksum, tidak akan tersilap langkah dan wajib ditaati seperti mana mereka mentaati Tuhan. Siapa yang membangkang akan dikafirkan bahkan dihalalkan darahnya. Sedangkan amalan politik Islam seperti mana diperjuangkan Rasulullah SAW ketika mendirikan Daulah Islamiah sama sekali jauh daripada amalan kuasa mutlak di tangan pemimpin tanpa mengambil kira pandangan pengikut dan rakyat.

Politik Islam hakikatnya memperjuangkan suara rakyat. Walaupun Rasulullah SAW bersifat maksum tetapi dalam mengambil kebijakan politik yang tidak turun wahyu padanya, Baginda SAW sentiasa mengambil kira pandangan sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Rasulullah SAW pernah bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi dalam perang Khandak, Rasulullah SAW juga mengikuti suara terbesar ketika mengambil keputusan menyerang orang kafir di luar kota Madinah saat perang Uhud. Padahal pandangan Rasulullah SAW pada mulanya adalah menyerang mereka di dalam kota.

Tetapi disebabkan Rasulullah SAW melihat ramai di kalangan pemuda Ansar bersetuju keluar menyerang, akhirnya Rasulullah SAW akur dengan keputusan suara terbanyak, walaupun Baginda seorang Rasul yang maksum dan mendapat dokongan wahyu dari langit. Memelihara perdamaian dan kesatuan umat adalah perjuangan sunnah Rasulullah SAW sedangkan dendam politik dan takbur parti dan kepuakan adalah benih dosa dan maksiat yang akan meruntuhkan kekuatan umat. Kuasa memerintah adalah anugerah Allah dan amanah kepada orang mukmin. Pembela Islam yang kalah dalam perjuangan politik dunia tetap akan menerima pahala di sisi Allah, maka mereka tidak perlu sedih dan berputus asa.

Maka tiada sebab untuk mereka merosakkan niat suci kerana inginkan kemenangan dunia semata-mata. Mereka wajib percaya mereka hanyalah penyambung risalah perjuangan nabi dalam membela agama Allah, kalah dan menang hanya sebuah permainan dunia yang akan menjadi dugaan terhadap matlamat dan tujuan akhirat mereka.

* Artikel ini diambil daripada Berita Harian Online (Selasa, 23 Jun 2009).

Saturday, June 20, 2009

Selamat Berjuang Buat Semua!

Kepada Semua Sahabat & Pelajar Saya Di UIAM
Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Sem 3, 2008/2009
Moga Kalian Diberi Kesihatan, Ketenangan & Kemudahan
Sepanjang Hari-Hari Peperiksaan Bermula Pada
22 Jun 2009 Hingga 27 Jun 2009
Usaha + Doa + Tawakkal = An-Najah!

Tuesday, June 16, 2009

Adab Bertandang Jaga Hak Tetamu, Tuan Rumah (B.HARIAN 17 JUN 2009)

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Justeru, Islam menggariskan adab dan etika bagi memuliakan tetamu. Sebenarnya, tetamu adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab terhadap tetamu selama berada di rumahnya.

Menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya menjadikan Muslim memiliki iman sempurna. Lebih utama, apabila tetamu itu ialah saudara seagama tetapi itu tidak menafikan hak bukan beragama Islam untuk mendapat layanan terbaik daripada tuan rumah beragama Islam.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mengasihi dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Menghormati serta memuliakan tetamu juga sunnah nabi dan rasul yang diutuskan sebagai contoh ikutan terbaik. Nabi Ibrahim AS antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu yang bertandang ke rumahnya dengan hati terbuka serta melayani mereka dengan layanan yang baik.

Allah merakamkan perihal Nabi Ibrahim menerusi firman-Nya bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu”, Ibrahim menjawab: Salam sejahtera kepada kamu (sambil berkata dalam hati): mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: Silakanlah makan.” (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27)

Begitu juga dengan Nabi Lut ketika didatangi tetamu yang sebenarnya malaikat untuk menguji kaumnya. Baginda sedaya upaya menjaga keselamatan tetamu itu daripada menjadi mangsa kezaliman kaumnya yang dilaknat Allah. Firman Allah bermaksud: “Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Lut berkata: Wahai kaumku, di sini ada puteriku, mereka lebih suci bagi kamu (maka kahwinlah dengan mereka). Oleh itu, takutlah kamu kepada Allah dan jangan kamu memberi malu kepadaku di depan tetamuku. Tidakkah ada antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?” (Surah Hud, ayat 78)

Inilah antara contoh menggambarkan pentingnya memuliakan tetamu yang datang ke rumah. Jika disoroti sejarah Rasulullah SAW, dapat dilihat golongan Ansar menunjukkan contoh yang baik dalam hal memuliakan tetamu. Mereka memberi layanan dan bantuan istimewa kepada golongan Muhajirin yang meninggalkan keluarga, harta benda serta kemuliaan di bumi Makkah semata-mata untuk berhijrah ke Madinah. Segala keperluan Muhajirin dipenuhi dengan sempurna oleh golongan Ansar.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Amalan menghormati dan memuliakan tetamu bukan saja menunjukkan perilaku terpuji, malah ia berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Siapa beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara adab memuliakan tetamu yang dianjurkan Islam ialah menyambut kedatangan mereka dengan perasaan gembira serta wajah manis, bertanya khabar dan menyembunyikan masalah keluarga supaya tidak diketahui tetamu.Selain itu, menyajikan hidangan makanan dan menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan diperlukan jika mereka bermalam di rumah juga sebahagian daripada adab memuliakan tetamu.

Apa yang lebih penting, semua itu disediakan mengikut kemampuan tuan rumah, tidak terlalu berkira dan tidak berlebihan serta bukan untuk bermegah. Firman Allah bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqaan, ayat 67)

Ulama menyatakan bertamu yang disyariatkan ialah tiga hari. Melayani tetamu pada tahap yang wajib secara terbaik mengikut kemampuan hanya untuk sehari semalam, sementara dua hari selebihnya, maka disyariatkan melayani tetamu dengan apa yang ada di rumah saja.

Sebenarnya, keadaan ini bagi mengelak perasaan terbeban oleh tuan rumah. Amalan yang awalnya dianggap mulia, tetapi jika berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, dikhuatiri menimbulkan suasana tidak elok, malah mungkin menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertamu itu tiga hari; dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan kepada tetamunya itu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Bagi pihak tetamu, mereka juga harus menjaga adab serta etika bertamu. Contohnya, memilih masa sesuai bagi tuan rumah sebelum bertandang. Percakapan juga mesti sentiasa dijaga supaya tidak mengundang rasa kurang senang kepada tuan rumah serta tidak sesekali menyakiti hati mereka. Selain itu, mereka harus menjaga tingkah laku serta tidak mengganggu masa tuan rumah menyelesaikan tugasan lebih penting.

Tetamu patut mengucapkan terima kasih atas layanan diberikan tuan rumah pada akhir kunjungan serta mendoakan kebaikan buat tuan rumah seisi keluarga. Di samping itu, tetamu wajib menjaga rahsia serta aib tuan rumah jika didapati berlaku sepanjang berada di rumah itu.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 17 Jun 2009 (Rabu).

Monday, June 15, 2009

Kamus Al-Farid Unik, Terkini Dan Komprehensif (UTUSAN Online)

Dr. Mohd. Puzhi Usop (kanan) dan Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid bersama Kamus Al-Farid semasa kunjungan mereka ke pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini. (Sumber Utusan Online)
___________________________________

Oleh: ZUARIDA MOHYIN
LAMBAKAN kamus-kamus di pasaran telah memberikan pelbagai alternatif pilihan kepada pengguna untuk memahami, menguasai serta memperkayakan sesuatu bahasa secara berkesan.
Apatah lagi, berada pada abad ke 21 ini menyaksikan bidang perkamusan begitu pantas berkembang sehingga sukar dipastikan kualiti bahan-bahannya.

Pun begitu, kita masih kurang penerbitan kamus-kamus berbahasa Arab yang menepati cita rasa masyarakat Malaysia serta sesuai dengan persekitaran sini. Ini kerana kebanyakan kamus yang berada di pasaran kini adalah terbitan dari negara-negara Arab.

Oleh itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan sebuah kamus bahasa Arab, Al-Farid yang diharapkan dapat menjadi alternatif kepada pengguna.

Kamus ini adalah hasil gemblengan tenaga sekumpulan pensyarah berpengalaman dari Jabatan Bahasa al-Quran, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Mereka ialah Dr. Mohd. Puzhi Usop, Ustaz Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid, Ustazah Norasmazura Muhammad, Ustazah Marzidah Hashim dan Ustazah Raja Munirah Raja Sulaiman.

Menurut Mohd. Puzhi yang juga merupakan Ketua Jabatan Bahasa al-Quran di Pusat Bahasa UIAM menjelaskan, pilihan nama al-Farid dipilih bertepatan dan bersesuaian dengan maknanya iaitu 'unik'. Keunikan pendekatan yang digunakan dalam menghasilkan kamus tersebut.

"Keistimewaan utama kamus ini ialah ia bersifat user friendly atau mesra pengguna. Ini kerana ia dapat membantu pengguna untuk mencari makna perkataan dengan mudah dan pantas."
"Pengguna tidak perlu bersusah payah untuk mencari kata dasar (masdar) sesuatu perkataan, sebaliknya hanya perlu merujuk kepada huruf pertama pada setiap perkataan. Contohnya perkataan masjid, pengguna cuma perlu mencari di huruf 'mim' dan bukan merujuk kata dasar kepada masjid iaitu 'sajada'. Yang pasti, teknik atau pendekatan ini sangat membantu dan menjimatkan waktu," katanya yang turut ditemani Mohd. Azrul Azlen dalam usaha mempromosikan kamus tersebut di pejabat Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah mereka juga, kekuatan kamus ini juga terletak pada penggunaan tri-bahasa, di mana setiap enti bahasa Arab diterangkan secara sepenuhnya menggunakan tiga bahasa iaitu Bahasa Arab - Bahasa Inggeris - Bahasa Malaysia. Kaedah ini adalah julung-julung kalinya digunakan dalam penerbitan kamus bahasa Arab.

"Selain itu, keistimewaan kamus ini juga dilihat pada kata kerja suruhan yang dilengkapkan kepada setiap kata kerja yang diberikan. Pendekatan ini bukan sahaja dapat menambahkan perbendaharaan kata pelajar dan pembaca malah memudahkan mereka untuk berkomunikasi serta membantu menggunakan kata kerja tersebut dengan betul dan tepat."
"Sementara itu, setiap entri yang terdapat dalam kamus ini merangkumi perkataan-perkataan pilihan yang penting, relevan dan sering digunapakai dalam kehidupan seharian. Ia juga memuatkan perkataan-perkataan yang terkandung dalam sukatan pelajaran KBSM dan J-Qaf. Secara tidak langsung ia menjadi kamus yang ideal untuk rujukan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, tenaga pengajar bahasa Arab serta orang awam."

"Kamus al-Farid ini juga unik dengan adanya sentuhan terhadap kata mufrad dan jamak, perkataan seerti dan berlawan. Tajuk sebegini jarang terdapat pada kamus-kamus yang sedia ada di pasaran sekarang," terangnya akan nilai tambah dan pelengkap yang menjadikan Al-Farid lebih unik, terkini dan komprehensif.

Malah kamus ini juga dilengkapi dengan lebih daripada 50 tajuk-tajuk pengkhususan yang amat relevan dengan suasana di Malaysia dan ia dianggap dapat membantu pembaca. Antaranya;
  • Nama Allah, sifat wajib dan sifat mustahil bagi-Nya
  • Nama-nama surah dalam al-Quran serta maknanya
  • Bacaan dalam solat, doa dan zikir harian
  • Ucapan-ucapan harian dalam bahasa Arab
  • Istilah-istilah khas untuk komputer, tatabahasa, pos dan lain-lain
  • Nama-nama negara, kementerian, pertubuhan, institusi pengajian tinggi dan sebagainya
  • Alamat-alamat laman web bahasa Arab

Saturday, June 6, 2009

Tiga Tokoh Agama Terima Gelaran "Tan Sri"

Y.Bhgia. Tan Sri Datuk Seri Hj. Harussani Zakaria
Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

Y.Bhgia. Tan Sri Datuk Hassan Azhari
Tokoh Ma'al Hijrah & Hakim Musabaqah Tilawah Al-Qur'an

Y.A.A Tan Sri Datuk Ibrahim Lembut
Ketua Hakim Syar'ie Malaysia

Ucapan Tahniah Kepada Tiga Tokoh Agama Negara
Di Atas Penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M)
Yang Membawa Gelaran "Tan Sri"
Oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong
Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Sempena Hari Keputeraan Baginda Pada 6 Jun 2009

Khutbah Atau Solat Jumaat Sebelum Waktu Zohor

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

PANDANGAN ULAMA

Para ulama terbahagi kepada 3 pendapat dalam hal ini :-

1- Hanya boleh selepas masuk waktu Zohor :
Solat dan khutbah Jumaat MESTILAH dilaksanakan SELEPAS MASUK WAKTU ZOHOR. Ia adalah pendapat majoriti mazhab dan ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan disokong oleh Ibn Hazm yang bermazhab Zohiri.

2- Boleh setelah masuk Dhuha :
Iaitu selepas salah galah naik matahari : Ia adalah salah satu pendapat atau ijtihad yang popular Imam Ahmad, ini dikatakan pandangan mazhab yang sebenarnya menurut kalangan pengikut mazhab Hanbali.

3- Boleh dilaksanakan sejam sebelum Zohor :
Waktu boleh solat dan khutbah Jumaat bermula pada jam 12 tengahari jika Zohor masuk jam 1 petang : Iaitu waktu yang dinamakan "al-waktu al-sadisah" iaitu satu jam sebelum masuk waktu Zohor. : Ini juga adalah salah satu ijtihad Imam Ahmad dan dipegang oleh minoriti pengikutnya.

Kesemua tiga-tiga pendapat mempunyai dalil hadis dan athar, namun setiap satu dalil tidak sunyi dari bantahan kumpulan yang lain. Saya tidak akan menyatakan dengan perinci dalil kesemua mereka, cukup untuk saya menyatakan satu atau dua dalil terpilih sahaja. Dan saya tinggalkan pandangan ketiga disebabkan amat kurang kukuhnya dalil mereka pada penilaian majority ulama.

RINGKASAN DALIL KUMPULAN PERTAMA DAN KEDUA

Dalil yang dipegang oleh kumpulan pertama :

· Hadis : Dari Anas r.a
أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يصلي الجمعة حين - تميل الشمس
Ertinya : Berkata Anas Bin Malik : Sesungguhnya Nabi s.a.w melaksanakan solat Jumaat di ketika matahari condong ( selepas masuk waktu zohor) ( Riwayat Al-Bukhari)

· Hadis : Dari Sayyidatuna Aisyah r.a mengatakan :
كان الناس مهنة أنفسهم وكانوا إذا راحوا إلى الجمعة راحوا في هيئتهم، فقيل لهم: لو اغتسلتم
Ertinya : Orang ramai semua sedang sibuk bertugas (mencari nafqah), dan apabila mereka pergi untuk menunaikan Jumaat, mereka pergi dalam keadaan itu (dengan peluh dan pakaian kerja), maka di katakan kepada mereka : Sekiranya mereka pulang dan mandi terlebih dahulu ( ia lebih baik) ( Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini memberikan indikasi bahawa solat Jumaat dilaksanakan dalam waktu zohor, sesudah tugasan dan kerja dilaksanakan pada waktu pagi. (Fath al-Bari, 2/387 )

· Terdapat banyak lagi dalil yang digunakan termasuk amalan khalifah Abu Bakar, Umar dan Ali r.a yang turut menunaikan solat dan khutbah Jumaat dalam waktu zohor. ( Rujuk lanjut dalan huraian Imam Ibn Hajar di Fath al-Bari); selain itu, bukankah zolat Jumaat sebagai ganti solat zohor maka sudah tentu waktunya turut seperti waktu zohor. ( Minhaj at-Tolibin, 1/116 )
Dalil pegangan kumpulan kedua :

· Hadis : dari Jabir r.a :-
كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يصلي الجمعة، ثم نذهب إلى جمالنا فنريحها حين تزول الشمس
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menunaikan Jumaat, kemudian kami pergi ke unta kami dan memberinya makan DI KETIKA gelincirnya matahari. ( Riwayat Muslim )
Hadis ini memberi indikasi solat atau khutbah jumaat disiapkan sebelum gelncir matahari ( iaitu waktu zohor), kerana Jabir r.a memberitahu mereka hanya pergi memberi makan unta mereka selepas itu, iaitu pada waktu matahari tergelincir. ( Naylul Awtar, 3/261)

· Athar : Berkata Abdullah bin Saidan
شهدت الجمعة مع أبي بكر فكانت صلاته وخطبته قبل نصف النهار، ثم شهدتها مع عمر فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: انتصف النهار، ثم شهدتها مع عثمان فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: زال النهار، فما رأيت أحدًا عاب ذلك، ولا أنكره
Ertinya : Aku bersama Jumaat dengan Abu Bakar, solat dan khutbahnya sebelum pertengahan siang ( zohor), kemudian aku juga bersama Umat, demikian solat dan khutbahnya sehingga aku berkata : telah masuk separuh siang, kemudian aku bersama Uthman r.a , demikian juga solat dan khutbahnya sehingga aku berkata; telah tergelincir matahari, dan tidak aku lihat ada seorang pun ( dari kalanagan sahabat) yang menegurnya, tiada juga yang mengingkarinya ( Riwayat Ibn Abi Syaibah, & Abd Razzaq )

KESIMPULAN

a. Usahakanlah untuk menunaikan solat dan khutbah Jumaat di dalam waktu zohor mengambil pandangan majoriti mazhab dan dianggap punyai dalil yang terkuat.

b. Perlu difahami bahawa solat dan khutbah Jumaat sebelum waktu zohor sememangnya mempunyai dalil dan ulama yang menyokong. Justeru itu, tidak timbul solat atau khutbah mereka tidak sah atau salah, selagimana mereka yang melakukannya : -

Yakin dengan pandangan tersebut setelah meneliti dalilnya.
Tetap dilakukan solat Jumaat itu atas sebab ‘hajat' (kesukaran) seperti yang berlaku di Geneva, iaitu kesukaran mendapat flexibility waktu rehat akibat bertugas di syarikat yang bukan milik Islam atau bagi memudahkan umat Islam di kawasan persekitaran untuk menunaikan kewajiban Jumaat mereka dengan baik dan mudah. Ini berdasarkan ‘Fiqh Taysir'.

Mengikuti panduan seseorang yang alim atau berwibawa dalam bidang Fiqh, tatkal aitu yang mengikuti sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘individu yang tidak mengetahui ‘ sebagaimana diarah oleh Allah swt, iaitu "Tanyalah orang yang tahu, sekiranya kamu tidak mengetahui".

c. Bagi mana-mana kumpulan warga Malaysia yang amat TIDAK SELESA serta TIDAK YAKIN untuk mengikuti masjid yang mengikuti pendapat mazhab Hanbali itu, serta ingin TETAP dengan berpegang ijtihad mazhab Syafie khususnya atau jumhur, mereka boleh melaksanakan solat dan khutbah Jumaat secara sendiri di mana-mana tempat yang sesuai jika bilangan ahli jemaah mencukup 40 orang. Jika tidak mereka boleh menunaikan solat zohor sahaja, namun ini bukan pandangan terpilih, khususnya di waktu wujudnya keperluan untuk mengambil fatwa yang lebih ringan di ketika wujud keperluan dan kesukaran.

Sekian


Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
4 Jun 2009

Thursday, June 4, 2009

Dato' Imam Mahat Yang Saya Kagumi


Hari ini, tiba-tiba saya teringat kenangan masa belajar di Maahad Johor, Johor Bahru. Sebuah pusat pengajian ilmu agama tertinggi di negeri Johor Darul Takzim. Pusat ilmu yang telah banyak mengeluarkan graduan-graduan Universiti Al-Azhar dari kalangan anak-anak negeri Johor. Pusat yang terkenal ini terletak berhampiran dengan Masjid Sultan Abu Bakar, masjid Negeri Johor Darul Takzim. Sebenarnya, tujuan saya menulis entri ini adalah untuk berkongsi dengan anda tentang seorang personaliti yang amat saya kagumi di negeri Johor, beliau ialah YBhg. Dato' Imam Mahat Mohd Said.

Beliau yang berasal dari daerah Muar, merupakan seorang imam yang telah banyak berjasa khususnya kepada Masjid Negeri, juga kepada penduduk-penduduk sekitar daerah Johor Bahru. Cara beliau berinteraksi, menyampaikan khutbah Juma'at, membaca doa, melaungkan azan, melagukan qasidah berzanji, menyempurnakan majlis akad nikah amat saya kagumi dan sanjung tinggi.

Dato' Imam Mahat adalah seorag yang low profil, cukup apabila melihat kenderaan yang beliau naiki, amat merendah diri. Beliau yang pada ketika ini masih lagi menjawat sebagai imam secara kontrak di Masjid Sultan Abu Bakar turut mengetuai majlis-majlis keagamaan di masjid tersebut yang melibatkan kehadiran Baginda Sultan Johor. Umurnya yang menjangkau 74 tahun pada tahun ini masih aktif menyempurnakan majlis akad nikah khususnya yang melibatkan pasangan pengantin di sekitar daerah Johor Bahru, termasuk baru-baru ini penyanyi terkenal Mawi dan juga isterinya.

Kepetahan dan kelantangan suaranya ketika menyampaikan khutbah Juma'at, cukup membuatkan saya segar tanpa tersungkur dek godaan syaitan :) tiap kali gilirannya bertugas. Pastinya kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya berpeluang mengikuti rombongan beliau pada satu majlis bacaan Yaasin di kediaman adinda Sultan Johor kira-kira 6 tahun lalu. Dato' Mahat telah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Dato' oleh Baginda Sultan Johor atas jasanya kepada rakyat dan negeri Johor.

Saya difahamkan oleh sahabat saya, saudara Mohd Ferdaus Omar, yang kini bertugas di Masjid Sultan Abu Bakar, Dato' Mahat hanya ditugaskan menjadi imam bertugas setiap hari Rabu di masjid berkenaan. Semoga Allah SWT lanjutkan usia Dato' Mahat dengan kesihatan dan keceriaan yang berpanjangan. Cukup untuk mengubat rindu apabila mendengar suaranya yang sentiasa berkumandang melaungkan azan setiap kali masuknya waktu solat di saluran Best 104.