Friday, October 28, 2011

ULASAN: Zikir, Istighfar Cara Memohon Keampunan [28 Oktober 2011-Harian Metro]

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@metro.com.my




KEHIDUPAN di dunia ini hanya menawarkan kenikmatan kepada manusia yang menyebabkan mereka sentiasa tidak puas dengannya.



Bisikan syaitan pula sedaya upaya menggoyahkan iman manusia sehingga berlaku ‘peperangan’ sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.


Sebagai manusia, kita diberi peluang seluas-luasnya untuk memilih antara satunya. Jika nafsu syaitan berjaya menundukkan manusia bermakna mereka akan hilanglah sifat kemanusiaan.

Setiap kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan seseorang ibarat titik hitam yang akan mengotori seterusnya mengeraskan hati mereka.

Maka bersegeralah memohon taubat daripada Allah dengan harapan Allah menerimanya serta mengampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dia yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kejahatan mereka...” (Surah Asy-Syura ayat 25).
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang bertaubat dari dosa, bagaikan orang yang tidak berdosa. Diceritakan bahawa Umar Al-Khattab berjalan-jalan di pinggir kota, beliau kemudian melihat seorang pemuda membawa botol yang disorok di balik bajunya lalu Umar berkata, “Wahai pemuda, apa yang engkau sorokkan di balik bajumu itu?”


Sebenarnya dia membawa arak tetapi takut untuk mengatakannya. Maka dalam hatinya berdoa, “Ya Tuhanku, jangan engkau beri aku malu di hadapan Umar, jangan engkau bukakan rahsiaku kepadanya. Aku berjanji tidak akan minum arak selamanya.”

Kemudian pemuda itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, yang aku bawa ini ialah cuka.” Lalu Umar berkata, “Cuba bawa ke sini aku lihat.” Kemudian pemuda itu mengeluarkannya dan diperiksa Umar dan ternyata memang benar arak itu bertukar menjadi cuka.


Maka lihatlah makhluk yang bertaubat kerana takut kepada makhluk saja lantas Allah menggantikan arak itu dengan cuka kerana mengetahui keikhlasannya mahu bertaubat.


Seandainya orang yang melakukan kejahatan lalu mereka bertaubat nasuha dan menyesali perbuatan dosanya itu pasti Allah s.w.t menerima taubatnya.

Begitu juga dengan sebuah lagi kisah Abu Hurairah, beliau berkata, “Pada satu malam selepas solat Isyak, aku keluar bersama Rasulullah.

Ketika berjalan aku berjumpa dengan seorang wanita dia berkata, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya aku sedang melakukan dosa. Apakah aku masih boleh bertaubat?”


Kemudian aku tanya dia, “Apakah dosamu itu?” Dia berkata, “Aku berzina dan membunuh anakku hasil perbuatan zina itu.” Lalu aku bertanya kepadanya, “Terlaknatlah engkau. Terlaknatlah engkau. Demi Allah, taubatmu tidak akan diterima.”

Lalu wanita itu keluar dengan hati sedih. Maka aku terfikir dalam hatiku, mengapakah aku berfatwa? Sedangkan Rasulullah berada di samping kami. Maka aku segera menemui baginda.


Lalu baginda berkata, “Engkau sudah salah. Apakah engkau tidak mendengar ayat ini: “Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak pula membunuh manusia yang diharamkan Allah, kecuali dengan kebenaran dan tidak pula mereka berzina. Barang siapa yang membuat demikian, nescaya akan menemui dosa (seksa). Dilipat gandakan seksa untuknya pada hari kiamat dan kekal di dalamnya serta terhina. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman lagi beramal soleh. Maka Allah akan mengganti kejahatan mereka dengan kebaikan.Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).

Kemudian aku keluar dan berkata, “Siapa boleh menunjukkan kepadaku wanita yang bertanya masalah kepadaku?” Lalu anak-anak berkata, “Dia sudah gila wahai Abu Hurairah!”


Namun, aku cari dia sampai jumpa dan akan khabarkan kepadanya bahawa taubatnya masih diterima. Lalu dia menjerit kegirangan sambil berkata, “Aku ada kebun. Maka aku akan sedekahkan ia kerana Allah dan Rasul-Nya.”

Antara syarat taubat ialah bersegera meninggalkan dosa, menyesal dengan apa yang berlaku dan bertekad tidak akan mengulangi kembali perbuatan itu lagi.

Kita hendaklah meninggalkan dosa kerana Allah dan bukannya kerana ada sebab lain. Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan kemudian mereka segera bertaubat.

Sebahagian ulama menyatakan tiada kepastian sama ada taubat seseorang itu diterima atau tidak tetapi ia tanda-tandanya boleh dikesan. Bagi mereka yang diterima taubatnya sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan maksiat seolah-olah dalam hati mereka tiada kegembiraan selain mengingati Allah selain sering bergaul dengan orang-orang soleh serta menjauhi golongan fasik.


Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, taubat itu satu kewajipan kerana manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.
“Kesalahan itu berlaku sama ada antara manusia dengan manusia atau kesalahan antara manusia dengan Penciptanya.

“Apa yang pasti, apa saja kesalahan yang dilakukan manusia, selain daripada menyekutukan Allah maka pintu keampunan amat luas. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar, ayat 53).

“Semua perkara bergantung sepenuhnya atas restu dan rahmat Allah s.w.t namun, peluang terbentang luas ini ada pengakhirannya. Di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah secara jelas menunjukkan pintu taubat Allah tertutup sekiranya seseorang hamba hampir menemui ajalnya.

“Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 18).

“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir dengan ajal).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

“Meskipun pengampunan Allah itu amat luas namun, Islam menggalakkan hambanya bersegera menginsafi kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, taubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana manusia tidak diberi pengetahuan mengenai tarikh kematian dan tarikh sebenar berlakunya Kiamat.

“Sekiranya seseorang Muslim menyedari kesilapan yang dilakukan, janganlah ditangguh urusan memohon keampunan daripada Allah.

“Sebahagian ulama menyatakan, untuk mendidik diri sentiasa berwaspada dalam setiap perbuatan supaya tidak melakukan kemungkaran mesti sentiasa ingat mati,” katanya.

Menurutnya Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyad al-Salihin menyatakan ulama berpendapat amalan bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib.

“Namun, taubat yang sebenar-benarnya bukanlah sekadar berdoa kepada Allah s.w.t supaya kesalahan yang dilakukan diampuni tetapi taubat perlu dilakukan bersungguh-sungguh semata-mata mahu mencapai keredaan Allah.

“Ia datang dari hati tanpa sebarang paksaan dan dibuat-buat. Inilah yang disebut sebagai “Taubat Nasuha”. Ibnu Kathir menyebut bahawa taubat nasuha sebagai taubat yang benar-benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut ia taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu.

“Al-Kalabi menyatakan bahawa maksud taubat nasuha ialah beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata sebahagian ulama menggariskan beberapa syarat taubat untuk mencapai taubat nasuha antaranya berhenti melakukan maksiat kepada Allah, menyesali perbuatan dosa yang dilakukan, berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu selama-lamanya.

“Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, maka ia perlu diselesaikan. Contohnya, seorang mencuri harta seseorang yang lain, maka harta yang dicuri itu wajib dikembalikan kepada tuannya.

“Begitu juga apabila seseorang menuduh atau memfitnah seseorang yang lain, maka dia wajib memohon maaf atas segala perbuatan jahatnya itu,” katanya.

Beliau berkata amalan berzikir atau beristighfar adalah antara cara yang boleh dilakukan bagi memohon keampunan daripada Allah.

“Beristighfar wajar dijadikan amalan harian seperti mana yang dilakukan Rasulullah. Zikir “Sayyid al-Istighfar” (Penghulu istighfar) sewajarnya dijadikan amalan harian, pada setiap masa.

“Setiap kesalahan dan dosa yang pernah kita lakukan seharusnya menjadi rahsia dalam diri kita sahaja. Tidak perlu dihebahkan atau diceritakan segala dosa silam yang pernah kita lakukan kepada orang lain.

“Hal ini penting, demi menjaga maruah dan aib diri sendiri pada masa akan datang. Tidak mustahil, pada masa akan datang ketika kita sudah insaf dan bertaubat ia diungkit kembali oleh orang yang pernah mendengar kisah silam kita.

“Justeru, maruah diri mestilah dijaga dan tidak perlu dihebahkan dosa dan kesalahan yang lalu. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah mengadu dan ceritakanlah salah silap kita di hadapan Allah dengan rasa penuh insaf dan mengharapkan keampunan-Nya.

“Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah s.w.t menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Maidah, ayat 39).

ULASAN: Adab Kunjungi Rumah Terbuka [9 September 2011-Harian Metro]


Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my




SETIAP kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara ‘eksklusif’.
Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu jemputan.
Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.

Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan. Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia.


Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang antara satu sama lain.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.





Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.

Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali
rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan persaudaraan.

Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.

Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak bermakna kita boleh ‘menyerbu’ rumah jiran kita sesuka hati.

Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan rumah dan waktunya pula sesuai.

Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu yang hadir dan tempat terhad.

Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak pulang, jangan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima kasih kepadanya atas jemputan itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antaramu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat ayat 13).

Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat terserlah.

Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya.

Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati memeluk Islam.

Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau bangsa.

“Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.

“Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.

“Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu yang hadir.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga hingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)” (Hadis Riwayat Muslim).

“Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul. Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).

Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.

“Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi peluang kepada kita bertemu,” katanya.

Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan hubu�ngan baik dengan masyarakat bukan Islam.

“Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

“Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.

“Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.

“Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir.

“Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.

“Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan, penganjur tidak boleh ‘memilih bulu’ dengan menjemput tetamu di kalangan yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya,” katanya.




ULASAN: Malam al-Qadr Rahsia Allah [19 Ogos 2011-Harian Metro]


Oleh Mohd Fadly Samsudin

fadly@hmetro.com.my


RAMADAN adalah bulan keampunan untuk menghapuskan serta menyucikan diri yang selama ini banyak melakukan dosa dan maksiat.
Kita semakin menghampiri puncak Ramadan apabila sudah lebih dua minggu menjalani ibadah puasa. Bermakna kita sudah melepasi fasa pertama iaitu rahmah (kasih sayang Allah) dan fasa kedua, Maghfirah (keampunan Allah).

Fasa ketiga dan terakhir ini ialah umat Islam yang melakukan amalan soleh akan dibebaskan daripada api neraka. Itulah sebabnya bulan Ramadan ini boleh diibaratkan sebagai bulan jihad kerana umat Islam ‘berperang’ melawan hawa nafsu yang menjadikan mereka cekal menjaga tatatertib serta adab dalam bulan Ramadan.


Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).



Walaupun ada melakukan kesilapan, itulah fitrah kejadian manusia dan sebab itu mereka perlu sentiasa memohon keampunan daripada ‘timbunan’ dosa-dosa silam.


Fasa terakhir Ramadan ini juga Allah s.w.t menganugerahkan hamba-Nya malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan iaitu lailatulqadar.

Umat Islam yang berusaha mempertingkatkan amalan mereka akan mendapat pahala berlipat kali ganda pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Malam-malam terakhir Ramadan digunakan dengan perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berdoa, beriktikaf, bertadarus al-Quran beristighfar dan melakukan qiamullail.

Itulah keistimewaan agung yang Allah s.w.t kurniakan kepada umat Islam supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan penuh pengharapan.

Allah s.w.t tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan amalan ibadat mereka.

Tidak bererti 20 malam sebelumnya dibiarkan begitu saja kerana mereka yang dikurniakan lailatulqadar adalah golongan yang menggunakan sepenuhnya sebulan Ramadan dengan amalan soleh berusaha menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan maksiat.


Menariknya, lailatulqadar terjadi pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir. Bermakna ia mungkin pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya.” (Riwayat Ahmad).

Pada malam itu, Allah memberi kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Umat Islam akan memperoleh kemuliaan, keampunan, rahmat serta mendapat balasan syurga daripada Allah s.w.t.

Dalam hadis lain Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhammad. Sahabat bertanya: “Apakah musibah itu?” Rasulullah menjawab: (Musibah) kerana perginya bulan Ramadan yang mana di dalam bulan ini doa dimakbulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.”

Antara amalan lain yang boleh disuburkan pada malam terakhir Ramadan ialah mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah s.a.w terhadap keluarganya.

Yang pasti, ingatlah tidak semestinya bulan agung dan istimewa ini dapat lagi kita nikmati pada tahun hadapan. Justeru pastikan kita mengambil peluang ‘semahu-mahunya’ untuk meningkatkan amalan serta memohon keampunan dari-Nya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata malam al-Qadr adalah malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan.

“Allah s.w.t menghamparkan keberkatan dan keampunan kepada umat Islam yang ikhlas beribadah kepada-Nya pada malam itu. Allah s.w.t menjelaskan perihal malam al-Qadr ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.

Dan, apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

“Timbul persoalan, bagaimana al-Quran diturunkan pada satu malam secara sekali gus, sedangkan Rasulullah menerima wahyu al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun.


“Yang dimaksudkan dengan al-Quran turun pada malam al-Qadr secara sekali gus adalah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-’Izzah iaitu yang terletak di Langat dunia. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w selama 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata waktu sebenar berlakunya malam al-Qadr menjadi rahsia daripada rahsia Allah s.w.t kerana Sheikh Yusuf al-Qaradawi menjelaskan antara tujuan malam al-Qadr itu dirahsiakan adalah supaya umat Islam bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan berusaha memperolehinya.

“Namun, terdapat beberapa hadis yang memberi maklumat mengenai waktu berlakunya malam al-Qadr antaranya, “Carilah malam al-Qadr pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Selain itu, “Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput 7 hari yang selebihnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Walaupun terdapat beberapa hadis yang menyatakan perihal malam al-Qadr, semuanya tidak bercanggah antara satu sama lain. Justeru, sebagai langkah bijak, persediaan perlu dilipat gandakan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata Rasulullah s.a.w sendiri berusaha mencari malam al-Qadr dan memenuhi malam-malam terakhir Baginda dengan amal ibadah.

“Dalam sebuah hadis, dinyatakan hal ini, yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya, dan mengetatkan kainnya (tidak bersama isteri kerana sibuk dengan amal ibadah).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w perlu mempersiapkan diri sebelum tiba 10 malam terakhir Ramadan ini dan berusaha mencari malam al-Qadr,” katanya.

Beliau berkata terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya malam al-Qadr seperti maksud hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Pada pagi (setelah) malam al-Qadr, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinaran terik), seakan-akan ia bejana, sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim).

“Jika diteliti hadis ini, ia menggambarkan situasi selepas berlakunya malam al-Qadr. Justeru, hadis ini tidak boleh menjadi panduan bagi umat Islam untuk mencari malam al-Qadr, kerana ia menjelaskan keadaan selepas malam al-Qadr.

“Mungkin terdapat segelintir daripada umat Islam yang diperlihatkan tanda-tanda lain pada malam itu. Namun, tanda ini tidak boleh digunakan oleh orang umum sebagai panduan mencari malam al-Qadr.

“Berkemungkinan bagi orang yang melihatnya, Allah s.w.t sedang menyingkap hijab-Nya. Tiada nas yang menjelaskan perkara aneh seperti pokok sujud dan air menjadi beku pada malam al-Qadr dan ia seharusnya tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata perkara utama yang perlu difokuskan setiap umat Islam pada malam al-Qadr ialah sentiasa memohon keampunan dari-Nya.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Hal ini juga seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika Saidatina ‘Aisyah bertanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam yang mana berlakunya malam Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”

“Kedua-dua hadis di atas jelas menyeru kita untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t supaya diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata terdapat pendapat sesetengah pihak yang mengatakan waktu berharga untuk memohon keampunan pada malam al-Qadr hanya seketika sahaja iaitu beberapa saat atau minit sahaja.

“Pendapat ini harus diperbetulkan kerana secara jelas Allah s.w.t menyatakan bahawa keberkatan malam al-Qadr itu adalah sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5).

“Sewajarnya, umat Islam tidak menyempitkan erti amal ibadah dalam Islam.
Malam al-Qadr tidak semestinya dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata.

“Penuhilah masa 10 malam terakhir Ramadan dengan amal-amal baik seperti bercakap benar, membantu dan menghormati orang tua, bermaaf-maafan, menjamu sahabat makan sahur, malah sekalipun dengan melemparkan senyuman sesama Muslim,” katanya.