Thursday, July 29, 2010

Buku "Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori Dan Praktis"

Al-hamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah mencurahkan seribu satu nikmat buat setiap hamba-Nya yang beriman mahupun yang kufur.

Saya panjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada-Nya kerana walaupun perlu berdepan dengan pelbagai cubaan dan rintangan, akhirnya buku "Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori Dan Praktis" selenggaraan Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir (UKM) telah selamat diterbit.

Buku setebal 607 halaman yang diterbitkan oleh Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM ini membicarakan dua tradisi penulisan iaitu tradisi Islam dan Barat serta konsep ilmu masing-masing.

Kehadiran dua tradisi besar ini mengundang beberapa soalan pokok yang memerlukan penjelasan. Antara yang terpenting: bagaimanakah didamaikan keyakinan Islam yang mentauhidkan Allah SWT itu dengan teori-teori Barat, khususnya yang terkini, yang menolak aspek kerohanian dan kewujudan Ilahi? Adakah tulisan kreatif dan kritikan kita memperlihatkan kepekaan terhadap perkara penting ini?

Persoalan-persoalan ini cuba ditangani dalam buku ini, dengan menjelaskan seberapa terang yang mungkin kedudukan kedua-dua tradisi itu dan sejauh mana kedua-duanya boleh bertemu dalam bidang-bidang dan aspek-aspek tertentu.

Buku ini mengajak pembaca memikirkan dengan mendalam persoalan ini, terutama sekali dalam kalangan ahli akademik, pengkritik sastera dan para sasterawan.


Isi kandungan buku:


BAHAGIAN TEORI:
- Sejarah Tradisi Sastera Arab Dan Islam: Fokus Kepada Sastera Sebagai Sumber Ilmu, oleh: Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Osman, UIAM.

- Al-Qur'an, Ilmu, Disiplin Islami Dan Sastera, oleh: Dr. Zulkarnain Mohamed, UKM.
- Takrif Dan Pemahaman "Ilmu" Dalam Tradisi Sastera Barat, oleh: Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, UKM.

- Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar Dalam Persuratan Melayu, oleh Tn. Hj. Mohd Affandi Hassan.



BAHAGIAN PRAKTIS
- Ilmu Dan Penjanaan Ilmu Dalam Novel Melati Kota Baru Karya A. Kadir Adabi: Satu Bacaan Intelektual, oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, UPM.

- Etnografi Melayu Dalam Rontok Dan Royan Oleh Arena Wati, oleh: Prof. Madya Dr. Ruzy Suliza Hashim, UKM.

- Sastera Sebagai Wacana Realiti Sosial Dalam Koleksi Cerpen Night And Day Oleh Dina Zaman Dan Heroes And Other Stories Oleh Karim Raslan, oleh: Prof. Madya Dr. Washima Che Dan, UPM.

- Penyelewengan Al-Qur'an Dalam Awlad Haratina Karya Najib Mahfuz, oleh: Dr. Zulkarnain Mohamed.

- Naratif Melayu-Islam Dalam Koleksi Cerpen The Rambutan Orchard Oleh Che Husna Azhari, oleh: Prof. Madya Dr. Noritah Omar.

- Mesej Benar Dan Jelas Sebagai Asas Sastera Islam: Analisis Novel Rihlah Ila Allah Karya Najib Al-Kilani, oleh: Mohd Shahrizal Nasir, UniSZA.

- Mekanisme Stereotaip Dalam Novel Popular Melayu, oleh: Prof. Madya Dr. Ruzy Suliza Hashim, UKM.

- Maqamat Kesufian Dalam Syair Hamzah Fansuri, oleh: Dr. Ab. Halim Mohamad, UPM.

Sebarang komen dan cadangan adalah amat dialu-alukan. Moga buku ini dapat memberi manfaat buat kita semua. Wa Allahu Al-Musta'an.

Saturday, July 10, 2010

Wajib Qada Puasa Sebelum Ramadan Tiba (HARIAN METRO, Jumaat 9 Julai 2010)

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir



APABILA tiba Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tiba tidak lama lagi. Ramadan ialah penghulu segala bulan yang menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa-dosa yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu Ramadan hanya dapat dirasai jiwa yang peka terhadap hak dan tuntutan Allah. Puasa adalah perkara asas dalam Islam. Ia antara tiang asas kepada agama yang menjadi kayu ukur tahap keimanan seseorang Muslim.

Namun, Islam tidak pernah sekali-kali memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu untuk ditunaikan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah ayat 286).

Justeru, terdapat sebahagian daripada kita yang mendapat rukhsah puasa pada bulan Ramadan lalu iaitu kebenaran meninggalkan ibadat puasa apabila berhadapan keadaan tertentu seperti orang yang dalam musafir, wanita haid atau nifas, hamil, masalah kesihatan atau melakukan kerja yang terlalu berat.
Bagaimanapun, rukhsah bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa tetapi wajip qada' (ganti) puasa itu.

Firman Allah yang bermaksud: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain". (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Mungkin terdapat golongan masyarakat yang amat teruja melakukan amalan puasa sunat tetapi menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama.

Hal ini dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa jua pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari).

Menurut Syeikh Muhammad ibnu Soleh al-'Uthaimin, puasa sunat tidak boleh ditunaikan melainkan sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan itu disandarkan melalui hujah berasaskan kepada sabda Rasulullah ketika menyatakan kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal.

Sabda Nabi yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim).

Justeru, sementara masih ada lagi masa berbaki sebelum tiba Ramadan, gunakan peluang ini untuk qada' puasa Ramadan yang lalu. Ia boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan kelak.

Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum.
Malah, lebih penting ia dapat mendidik nafsu memenuhi tuntutan Allah. Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam.

Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') daripada puasa bulan Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang bulan Syaaban." (Hadis Riwayat Muslim).

Anas berkata, Rasulullah ditanya: "Apakah puasa yang afdal selepas puasa Ramadan?" lalu Baginda menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi).

Justeru, kita perlu berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan.

Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, lunaskan hutang Allah itu segera.

Menurut mazhab Syafie dan juga jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, mereka wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa yang masih lagi tertanggung di atas bahunya.

Friday, June 18, 2010

Persiapan Diri Menanti Hari Kiamat Lebih Utama


Mohd Shahrizal Nasir



Sebagai seorang Muslim kita semestinya beriman dengan keimanan yang teguh bahawa detik berlakunya hari Kiamat pasti akan datang. Beriman kepada hari Kiamat merupakan satu daripada rukun Iman yang wajib diperakukan kebenarannya, manakala mengingkarinya bererti seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur.” (surah al-Haj, ayat 7).


Hari Kiamat yang akan menutup setiap inci pintu taubat, haruslah sentiasa diinsafi oleh setiap individu Muslim agar tidak tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang rugi. Maha Besar kebijaksanaan dan keesaan Allah s.w.t yang telah merahsiakan tarikh sebenar berlakunya hari Kiamat. Keadaan ini tidak lain, adalah untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat getir tersebut.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (surah al-An’am, ayat 59).


Walau bagaimanapun, jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan perihal hari Kiamat, terdapat beberapa tanda hari Kiamat yang telah dijelaskan oleh Baginda s.a.w. Antaranya menerusi sabda Rasulullah s.a.w: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah s.a.w kepada kami lalu bertanya: “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?” Lalu kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari Kiamat.” Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa a.s, munculnya Ya’juj Ma’juj dan tiga gerhana, gerhana di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman yang akan menghantar manusia ke Mahsyar.” (hadis riwayat Muslim).


Begitulah indah dan rapinya Islam yang tidak pernah meninggalkan umatnya berada dalam kekaburan dan meraba-raba. Segalanya telah dijelaskan sama ada dalam al-Qur’an mahu pun hadis Rasulullah s.a.w. Apa yang pasti, hari Kiamat itu pasti akan datang menerjah umat manusia yang semakin asyik dengan keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (surah al-An’am, ayat 32).


Sebagai seorang Muslim yang mengharapkan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, seharusnya kita berfikir serta merenung setiap tingkah-laku dan pertuturan seharian selama ini. Adakah semuanya mencerminkan bahawa kita seorang yang mengharapkan kebahagian hidup di akhirat kelak? Semuanya terletak pada kemahuan kita setelah Allah s.w.t dan Rasul-Nya memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai panduan mencapai kebahagian tersebut. Rugilah bagi mereka yang hanya menjadikan keseronokan dunia sebagai matlamat terakhir.


Malah Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan bahawa detik berlakunya hari Kiamat itu amat hampir. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari Kiamat adalah seperti ini”, sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Perkara berkaitan hari Kiamat ini juga telah menjadi kepercayaan individu bukan Islam yang telah membayangkan berlakunya peristiwa yang amat dahsyat ini berdasarkan imaginasi serta khayalan mereka.


Seorang pengarah filem dari Barat bernama Roland Emmerich secara jelas membayangkan peristiwa hari Kiamat menurut imaginasinya menerusi penghasilan filem “2012” yang diterbitkan pada tahun 2009.


Filem ini telah mendapat sambutan yang luar biasa sehingga mampu mengumpul pulangan sebanyak 225 milion pada minggu pertama penayangannya di pawagam. Sememangnya, banyak perkara yang dihidangkan kepada para penonton dalam filem ini adalah tidak benar malah ada yang bercanggah dengan apa yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Sebagai umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua perkara al-ghaibiyat iaitu yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk menafsirkannya.


Setiap sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al-Qur’an dan hadis haruslah ditolak sekeras-kerasnya agar keimanan kita terus utuh. Akal manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t amat terbatas dan sesekali tidak dapat menjangkau ilmu Allah s.w.t yang dirahsiakan-Nya kepada umat manusia.


Sekali lagi, Allah s.w.t secara jelas menerangkan perkara berkaitan hari Kiamat menerusi firman-Nya dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari Kiamat: “Bilakah masa datangnya?”, katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari Kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (surah al-A’raf, ayat 187).


Sebenarnya, perlu dijelaskan di sini bahawa, bukanlah tujuan Rasulullah s.a.w menjelaskan beberapa tanda sebelum berlakunya hari Kiamat itu, supaya umat Islam mengira hari dan mencatur masa untuk mengetahui tarikh sebenar berlakunya hari Kiamat.


Semestinya, adalah sesuatu yang amat mustahil untuk manusia membuat kiraan dan caturan bagi mengetahui tarikh sebenar ataupun tarikh jangkaan berlakunya hari Kiamat. Namun, kesemua tanda-tanda hari Kiamat tersebut dinyatakan, adalah agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya.


Bersedia dalam erti kata iaitu dengan menjaga setiap tingkah-laku dan pertuturan harian daripada terjebak dalam sebarang bentuk kemungkaran. Di samping itu, semua bentuk suruhan serta kewajipan yang telah jelas penetapannya oleh syara’ haruslah dipenuhi serta dilaksanakan dalam bentuk yang paling sempurna dan terbaik.


Marilah sama-sama kita mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat serta mendalami ilmu berkaitan agama agar ibadah kita dapat diperbaiki dari segi kualitinya dari masa ke semasa. Inilah di antara bentuk usaha untuk mempersiapkan diri menjelang detik berlakunya hari Kiamat.


Peruntukkanlah sedikit masa untuk membaca buku, menghadiri majlis ilmu serta mendengar tazkirah agama agar hati kita sentiasa sedar akan perlunya mempersiapkan diri sesempurna mungkin untuk menghadapi hari Kiamat.


Imam Nawawi pernah menukilkan dalam kitabnya al-Majmu’: “Selayaknya seseorang itu sentiasa bersungguh-sungguh dalam menyibukkan diri dengan ilmu, baik dengan cara membaca, dibacakan ataupun membacakan kepada orang lain, menelaah, memberikan catatan-catatan, membahas, muzakarah (mempelajari dan mengulang pelajaran), dan menulisnya. Dan janganlah dia merasa sombong sehingga tidak mahu belajar daripada orang yang di bawahnya dari segi umur, keturunan, atau kemasyhuran. Bahkan hendaklah dia bersemangat untuk mendapatkan faedah dari orang yang memilikinya (ilmu).”


Walaupun ditakdirkan kita tidak berkesampaian berdepan dengan hari Kiamat yang dahsyat itu, jika kita sentiasa bersedia untuk menghadapi kedatangannya, nescaya kita tidak sedikit pun merasa rugi. Sesungguhnya setiap anak Adam bakal berdepan dengan satu lagi kiamat yang pasti akan datang iaitu kematian.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (surah Ali Imran, ayat 185).



Mohd Shahrizal Nasir

Felo Akademik

Fakulti Bahasa Dan Komunikasi

Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu





Hari Kiamat Rahsia Allah (HARIAN METRO, Jumaat 18 Jun 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


Firman Allah yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur." (Surah al-Haj ayat 7).

Maha besar kebijaksanaan dan keesaan Allah yang merahsiakan tarikh sebenar berlakunya hari kiamat. Keadaan ini untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat getir itu.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (Surah al-An'am, ayat 59).

Bagaimanapun, jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah berkenaan hari kiamat, terdapat beberapa tanda yang dijelaskan Baginda.

Antaranya menerusi sabda Rasulullah: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah kepada kami lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?"

Lalu kami menjawab: "Kami sedang berbincang mengenai hari kiamat." Sabda Rasulullah: "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa, munculnya Ya'juj Ma'juj dan tiga gerhana, gerhana di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman yang akan menghantar manusia ke Mahsyar." (Hadis Riwayat Muslim).

Hakikatnya hari kiamat itu pasti datang 'menerjah' manusia yang semakin asyik dengan keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari kiamat adalah seperti ini", sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua yang berkaitan dengan perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk mentafsirkannya.

Setiap sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al-Quran dan hadis haruslah ditolak sekeras-kerasnya supaya keimanan kita kekal utuh.

Allah jelas menerangkan perkara berkaitan hari kiamat menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?", katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.

"(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah al-A'raf, ayat 187).

Semestinya, sesuatu yang mustahil bagi manusia membuat kiraan untuk mengetahui tarikh sebenar bila berlakunya hari kiamat.

Thursday, June 10, 2010

Guru Warisi Tugas Rasul, Nabi (HARIAN METRO, Jumaat 21 Mei 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my

KERJAYA guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama.

Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau ukhrawi.

Dalam hal ini, Rasulullah membuktikan betapa pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan daripada kalangan orang-orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2).

Selain itu, Baginda juga mengambil inisiatif contoh dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam.

Secara tidak langsung, Rasulullah turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari).

Saidina Ali r.a pula pernah berkata: "Jadilah orang yang mencurahkan ilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang suka mendengar ilmu, atau orang yang cintakan ilmu, dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa."

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari.

Imam Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Ihya 'Ulum ad-Din yang bermaksud: "Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut)."

Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat guru cuba direndahkan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku.

Memang ada segelintir guru yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan baik.

Justeru, sempena sambutan Hari Guru yang disambut Ahad lalu, kita perlu kembali mengenang jasa guru yang banyak membantu agama, bangsa dan negara.

Hal ini bertepatan dengan saranan Baginda yang mengajar umatnya agar sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Bukhari).

Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20).

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim).

Friday, May 7, 2010

Mudahnya Jadi Muslim Bertakwa (HARIAN METRO, Jumaat 7 Mei 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


Dalam bahasa Arab, perkataan 'takwa' berasal dari kata kerja 'ittaqa' bermaksdu 'berwaspada dan berjaga-jaga' atau 'takut kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya'.

Ittaqa juga bermaksud 'menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara'. Jelaslah, takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah menjadikannya pelindung dan pemelihara kita daripada sebarang perkara buruk dan bahaya.


Ketinggian tahap takwa amat jelas apabila ia dijadikan ukuran kepada pemilihan hamba Allah S.W.T yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menggunakan perkataan takwa atau perkataan yang membawa maksud takwa menggunakan bentuk yang berbeza seperti dalam bentuk kata perintah seperti 'ittaquu' yang bermaksud 'bertakwalah kamu' atau kata nama yang merujuk kepada golongan bertakwa seperti perkataan 'muttaqin'.

Beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti, antaranya berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan.

Ayat berkenaan berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang sudah bercerai.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237).

Sentiasa berlaku adil. Perkara terbabit dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8).

Melakukan amalan dengan keikhlasan. Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, firman Allah yang bermaksud: "Daging dan darah haiwan korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37).

Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran. Hal ini dijelaskan Allah dalam al-Quran serta mengambil contoh perintah solat bagi menggambarkan ibadah yang diperintahkan Allah sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.

Gangguan syaitan dan juga dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadah dan perintah Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132).

Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji.

Firman Allah bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imraan, ayat 76).

Berdasarkan beberapa potong ayat di atas, jelas kepada kita untuk mencapai ketakwaan kepada Allah ia berkait rapat dengan amalan jiwa atau dalaman seseorang Muslim.

Dapat disimpulkan sifat terpuji mestilah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar.

Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda antara amalan hati yang boleh membentuk peribadi yang terpuji serta menjadi prasyarat penting dalam mencapai martabat golongan yang bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah kepada diri serta kehidupan dunia dan akhirat.

Marilah sama-sama kita berusaha menyuburkan rohani dan jiwa dengan sifat terpuji seperti dibuktikan Rasulullah melalui keperibadiannya yang tinggi serta luhur.

Allah menyatakan takwa itu sepatutnya dijadikan pakaian bagi diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26).

Ibnu Kathir dalam tafsirnya Tafsir al-Qur'an al-'Azim sebagai berkata beberapa pendapat ulama tafsir mengenai makna 'pakaian' dalam ayat itu. Ikrimah menyatakan yang dimaksudkan dengan pakaian itu ialah pakaian yang dipakai orang bertakwa pada Hari Kiamat.

Qatadah pula menafsirkan yang dimaksudkan dengan 'pakaian takwa' itu adalah iman, manakala al-'Aufi mengambil pendapat Ibn Abbas yang menafsirkan 'pakaian takwa' itu sebagai amal soleh. (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1998, juzu' 3, halaman 1418)

Menurut Ibn Kathir semua maksud itu membawa pengertian dan tujuan sama.

Perumpamaan itu jelas bahawa takwa amat penting dan setiap Muslim wajib memilikinya serta terus melakukan amalan yang dapat meningkatkannya.

Sesungguhnya ganjaran syurga milik mereka yang tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang muttaqin.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan dalam beberapa taman syurga dengan mata air terpancar padanya." (Surah al-Hijr, ayat 45).

Saturday, May 1, 2010

Reda Ibu Bapa Jamin Hidup Berkat (HARIAN METRO, Jumaat 30 April 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


Alangkah nikmatnya kehidupan hari tua di samping orang tersayang selepas puas membanting tulang membesarkan zuriat pada usia muda.

Malah, jiwa seorang warga tua dilihat lebih sensitif daripada kanak-kanak kecil. Hati mereka mudah tersentuh dan tersinggung jika hasrat mereka tidak dipenuhi anak-anak.

Keadaan ini fitrah manusia yang boleh dilihat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak apabila usia lanjut. Namun, amat menyedihkan akhir-akhir ini media sering melaporkan warga tua diabaikan zuriat sendiri dan terpaksa hidup merempat dan menagih simpati orang lain.


Ini berlaku kerana hilangnya rasa tanggungjawab dan prihatin anak yang lebih mementingkan kerjaya lantas berpendapat tugas menjaga orang tua sesuatu yang membebankan.

Kajian mendapati, pada 2004 terdapat kira-kira 1.66 juta warga tua di Malaysia dan menurut unjuran yang dibuat, peratus warga tua akan terus meningkat kepada 7.3 peratus pada tahun ini dan 9.5 peratus menjelang 2020.

Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun.

Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua adalah amalan mulia. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan Ibn Mas’ud r.a, bermaksud: “Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua-dua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.” (hadis riwayat Muslim).

Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan berbuat baik terhadap orang tua amat penting sehingga martabatnya diletak selepas akidah (tidak menyekutukan Allah). Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa, jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23).

Ini membuktikan tingginya martabat ibu bapa dalam Islam sehingga mengingkari perintahnya dan mengasari mereka walaupun dengan berkata ‘ah’ cukup untuk melabelkan si anak sebagai derhaka.

Bayangkan jika si anak mencederakan orang tuanya, pasti dosanya lebih besar.

Sebagai anak soleh, kita wajib menjaga air muka dan maruah ibu bapa.

Sesungguhnya setiap tingkah laku dan pertuturan kita mencerminkan maruah dan harga diri orang tua. Amat besar dosa anak yang tidak menjaga maruah dan air muka ibu bapa.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah, adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua-dua orang tuanya? Rasulullah menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.” (hadis riwayat Bukhari).

Islam tidak pernah sekali-kali memutuskan hubungan anak dengan ibu bapa mereka meskipun si anak sudah memeluk Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, janganlah engkau taat kepada mereka, kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 8).

Seperkara lagi yang perlu menjadi ingatan setiap anak bahawa keredaan Allah itu mempunyai kaitan rapat dengan keredaan kedua-dua ibu bapa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani).

Justeru, berhati-hatilah terhadap setiap pertuturan dan setiap inci tingkah kita agar ia tidak mengguris perasaan mereka yang memadamkan keredaannya.

Sesungguhnya, keberkatan hidup seorang anak akan lebih menyinar jika disertai dengan doa dan restu ibu bapa mereka.

Bagi mereka yang masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada ibu bapa, rebutlah peluang itu sebelum ajal menjemput mereka.

Jika tidak berpeluang menabur bakti kepada orang tua, memadai berdoa kepada Allah agar roh mereka di tempatkan bersama golongan yang beriman. Selain itu, jagalah ikatan silaturahim dengan rakan ibu bapa agar kebaikan akan terus dinikmati orang tua.

Jangan lupa melakukan kebaikan seperti bersedekah, membaca al-Quran atau berzikir untuk dihadiahkan kepada ibu bapa yang meninggal dunia.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (hadis riwayat Muslim)