Monday, July 13, 2009

Tuanku Nur Zahirah Dimasyhur Canselor Pertama UDM


DYMM Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah akan dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Universiti Darul Iman (UDM) dalam satu istiadat di universiti itu pada 13 Julai 2009. Pemasyhuran itu akan dibuat semasa majlis konvokesyen pertama UDM pada 14 hingga 16 Julai 2009. Seramai 3,284 pelajar yang menamatkan pengajian mereka sejak pertengahan 2007 akan menyertai majlis konvokesyen yang julung kalinya diadakan itu. Tuanku Nur Zahirah juga merupakan Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Budaya Berfikir Tingkat Kecemerlangan Ummah (BERITA HARIAN 13 JULAI 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

UMUM mengetahui akal anugerah Allah membezakan antara kejadian manusia dengan makhluk-Nya yang lain. Malah, dengan akal fikiran jugalah manusia mendapat tempat istimewa di sisi Allah. Hakikatnya, akal boleh membawa manusia ke arah kebaikan mahupun kejahatan.

Hanya dengan panduan wahyu Ilahi, akal dapat terus terarah kepada kebaikan yang akan menjamin kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Shod, ayat 29)

Dalam al-Quran, banyak ayat yang mengajak manusia sentiasa berfikir. Hal ini sehinggakan seseorang dikira memiliki darjat iman yang tinggi jika mereka sentiasa berfikir kejadian alam ciptaan Ilahi. Tanpa penelitian dan pengamatan mendalam, mana mungkin manusia dapat membongkar khazanah kekayaan Allah buat faedah kehidupan mereka. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.” (Surah Ali-Imraan, ayat 190)

Selain itu, bagi memberi gambaran jelas mengenai suruhan Allah supaya manusia sentiasa berfikir, Allah tidak menurunkan ayat-Nya dalam al-Quran secara mendatar. Penggunaan gaya bahasa berbentuk perumpamaan atau contoh mengajak kita berfikir mengenainya. Bahkan melalui uslub seperti itu, manusia yang berfikir akan mendapat gambaran sesuatu mesej dengan lebih jelas.

Contoh, apabila Allah menerangkan kelebihan menafkahkan sebahagian harta pada jalan Allah ataupun bersedekah, Allah membuat perumpamaan yang menarik dan jelas. Firman-Nya yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Bukankah jelas ganjaran pahala yang bakal dianugerahkan kepada mereka yang menafkahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah melalui ayat itu? Namun, bagi mereka yang malas untuk berfikir dan mengkaji, akan menganggap ayat itu atau yang seumpamanya adalah satu ayat biasa dan hanya indah untuk didengar serta dilagukan saja.

Masalah umat Islam hari ini ialah sikap tunggu dan lihat kehebatan hasil ciptaan orang lain untuk faedah mereka. Kita lebih cenderung menerima apa saja yang dihasilkan orang lain tanpa semangat ingin tahu atau berfikir untuk menghasilkan ciptaan sendiri yang mungkin lebih hebat lagi.

Selain itu, sikap memandang sesuatu benda dengan pandangan biasa tanpa rasa teruja untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut juga antara faktor yang mendorong umat Islam malas berfikir. Saban hari kita melihat pelbagai masalah dihadapi manusia, namun selagi masalah itu tidak dialami sendiri dalam kehidupan kita, maka usaha untuk memikirkan kaedah penyelesaian terbaik dan jalan keluar tidak langsung singgah di kotak minda kita.

Dalam al-Quran, secara jelas Allah mengingatkan supaya sentiasa berfikir dan mengambil iktibar akan kisah yang berlaku ketika zaman nabi terdahulu. Peringatan itu memberi mesej jelas bahawa hanya mereka yang berfikir dan sedar akan terselamat daripada terjerumus ke lembah kebinasaan seperti terjadi kepada generasi terdahulu.

Firman Allah yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran.” (Surah Yusuf, ayat 111) Bagaimanapun, dalam perintah dan galakan untuk sentiasa berfikir, janganlah tergolong dalam golongan yang melampaui batas.

Seperti yang kita sedia maklum, tidak semua perkara boleh digapai oleh akal fikiran manusia yang amat terbatas ini. Ada beberapa menjadi urusan mutlak Allah dan hanya Dia sahajalah yang Maha Mengetahui. Hal ini seperti yang berlaku apabila Rasulullah SAW ditanya oleh seorang Yahudi di Madinah mengenai roh, maka pada ketika itu turun wahyu daripada Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu mengenai roh. Katakanlah: Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Surah al-Israa’, ayat 85)

Jika umat Islam tidak memanfaatkan akal fikiran yang dianugerahkan Allah, dikhuatiri kita akan terjebak kepada satu masalah besar iaitu menyibukkan diri dengan angan-angan kosong. Inilah antara strategi penuh tipu daya yang dimainkan syaitan supaya manusia terus alpa dibuai mimpi dan keseronokan bersifat sementara.

Allah menjelaskan strategi syaitan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong.” (Surah an-Nisaa’, ayat 119)

Marilah kita menanam iltizam untuk terus mencerna minda dengan berfikir secara kritis dan kreatif mengenai sesuatu perkara yang membawa faedah kepada umat. Pemikiran yang baik ialah apabila berupaya menggunakan akal atau minda untuk menilai sesuatu perkara, membuat pertimbangan wajar serta menghasilkan satu ciptaan baru ataupun membuka jalan penyelesaian masalah secara inovatif.

Semoga dengan budaya berfikir seperti ini, kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang menyinari zaman Rasulullah SAW, sahabat dan tokoh ilmuwan terkemuka Islam seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Ibn Khaldun, Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali dan ramai lagi.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 13 Julai 2009 (Isnin).

Wednesday, July 8, 2009

Pengajaran Dan Pembelajaran Sains, Matematik Dalam Bahasa Melayu Mulai 2012

Kerajaan hari ini meluluskan pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains bagi sekolah Rendah dan Menengah dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa 2012.

Pelaksanaan ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Tahun Satu dan Tahun Empat bagi sekolah Rendah, manakala bagi pelajar sekolah Menengah bermula dari Tingkatan Satu dan juga Tingkatan Empat.

Bagi para pelajar sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil pula, subjek Matematik dan Sains akan diajar menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat kabinet hari ini juga membuat penetapan bahawa subjek Bahasa Inggeris mesti diberi perhatian agar para pelajar disemua peringkat dapt menguasainya sebagai bahasa kedua yang amat diperlukan pada ketika ini. Moga Bahasa Arab turut menjadi bahasa yang penting serta jadi keutamaan satu hari nanti...insha Allah.

Tuesday, July 7, 2009

Ambil Peluang Rejab Lunas Hutang Puasa Ramadan (BERITA HARIAN 7 JUN 2009)


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

APABILA masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya.

Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan. Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga. Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada’ (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari.

Firman Allah yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat. Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada’ puasa Ramadan adalah lebih utama.

Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: “Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita, menunaikan qada’ ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu.”

Menurut Syeikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin, puasa sunat tidak boleh ditunaikan melainkan sudah sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan itu disandarkan melalui hujah berasaskan sabda Rasulullah SAW ketika menyatakan kelebihan puasa enam hari pada Syawal.Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja. Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada’ ibadah puasa Ramadan lalu.

Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah.

Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada’ puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam.Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: “Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada’) dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban.” (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada’ puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya. Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada’ ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti. Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: “Apakah puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: “Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada’ puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu.

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada’ puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada’ puasa masih tertanggung di bahunya. Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan.

Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud: “Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah.” (Hadis riwayat Bukhari).

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 7 Julai 2009 (Selasa).