Wednesday, December 23, 2009

Hijrah Didik Umat Atur Strategi Dalam Setiap Urusan

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

Saban tahun kita menyambut kedatangan tahun baru Hijri dengan sambutan yang cukup menarik dan meriah. Pelbagai acara diatur bagi memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk terus dihayati dan diaplikasi pengajarannya dalam kehidupan seharian.
Peristiwa Hijrah menjadi asas tertegaknya sebuah negara Islam yang terdiri daripada masyarakat majmuk Madinah yang berpegang kepada kepercayaan yang berbeza. Kepentingan peristiwa ini dapat dilihat apabila Saidina Umar RA telah memilih peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar Islam dan bukannya peristiwa-peristiwa lain yang dilalui oleh Rasulullah SAW sewaktu hayatnya.

Apa yang lebih penting adalah untuk kita sama-sama mengkaji dan menghayati intipati yang terkandung dalam peristiwa Hijrah. Antara pengajaran yang berguna ialah apabila peristiwa ini memberi gambaran jelas bahawa betapa pentingnya mengatur strategi dalam usaha mencapai kemenangan menyebarkan dakwah Islamiah.
Jika direnungkan martabat Rasulullah SAW yang amat tinggi di sisi Allah SWT, maka tidak mustahil bagi Allah SWT untuk memberi pertolongan dan kemenangan kepada usaha dakwah Baginda SAW tanpa perlu melalui kesusahan serta rintangan yang sememangnya nyawa Baginda menjadi taruhan. Lihat sahaja betapa sukarnya Baginda SAW menghadapi ancaman golongan Musyrikin Mekah yang memulaukan Baginda serta golongan Muslimin selama 3 tahun berturut-turut.

Sebenarnya peristiwa Hijrah tidak berlaku secara mendadak, dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, peristiwa penting ini telah bermula apabila termetrainya perjanjian Aqabah antara Baginda SAW serta beberapa orang ketua kabilah masyarakat Madinah.
Perlu difahami bahawa Perjanjian Aqabah yang berlaku sebanyak 2 kali ini merupakan atas kerelaan masyarakat Madinah sendiri yang ingin membantu Baginda SAW dalam usaha menyebarkan Islam serta menyelamatkan golongan Muslimin Mekah yang terus-menerus menerima siksaan daripada golongan Musyrikin.

Perjanjian pertama yang melibatkan soal asas berkaitan akidah dan akhlak menjadikan masyarakat Madinah telah mula menerima dan memahami Islam sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke bumi Madinah. Malah Baginda SAW telah mengutuskan Mus’ab bin Umair menetap di Madinah untuk menjadi duta Baginda di sana serta mengajar orang-orang Madinah perkara-perkara asas berkaitan ajaran Islam.
Manakala perjanjian kedua yang berlaku setahun kemudian lebih menfokuskan perkara-perkara yang membabitkan soal kehidupan bermasyarakat dan bernegara menurut garis panduan Islam. Perkara ini secara langsung menjadikan Perjanjian Aqabah mempunyai peranan yang besar dalam pembentukan sebuah negara Islam contoh di Madinah.

Rasulullah SAW juga, dengan kebijaksanaanya serta wahyu daripada Allah SWT telah mengizinkan golongan Muslimin untuk berhijrah terlebih dahulu ke Madinah. Baginda dan Saidina Abu Bakar merupakan individu terakhir yang berhijrah setelah mendapat wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang Musyrik.” (surah al-An’aam, ayat 106).
Di sini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW meletakkan kepentingan umatnya mendahului kepentingan dan keselamatan dirinya sendiri. Secara logiknya juga, jika Rasulullah SAW yang berhijrah terlebih dahulu, maka sudah pasti strategi Hijrah akan berdepan dengan kesukaran malah golongan Muslimin yang masih berada di Mekah akan terus menjadi ancaman serta akan menerima siksaan yang lebih dahsyat lagi.

Tindakan Rasulullah SAW yang berhijrah secara sembunyi serta bergerak keluar dari rumah pada waktu malam bukanlah menunjukkan bahawa Baginda seorang yang penakut, namun kesemuanya itu dilakukan bagi menggambarkan betapa Baginda SAW juga seorang manusia yang boleh dicontohi dan diikuti strateginya dalam usaha mencapai sesuatu kemenangan.
Mukjizat yang dimiliki oleh Baginda SAW tidak sedikit pun menjadi penghalang kepada umat Islam untuk sama-sama mengikut jejak langkah Baginda SAW ketika berhadapan dengan musuh lebih-lebih lagi yang memberi ancaman bunuh.

Seterusnya, strategi Hijrah yang diatur oleh Baginda SAW lebih jelas untuk kita perhatikan apabila Baginda SAW meminta bantuan daripada beberapa orang individu yang sememangnya rapat dengan Baginda SAW. Antara mereka yang turut memainkan peranan yang besar dalam proses Hijrah ialah Saidina Abu Bakar yang menemani Baginda SAW hingga sampai ke Madinah, Saidina Ali yang menggantikan tempat tidur Baginda SAW bagi mengaburi pihak musuh, Abdullah bin Abu Bakar yang ditugaskan menyampaikan berita berkaitan keadaan semasa Mekah, Amir bin Fuhairah iaitu hamba kepada Saidina Abu Bakar yang ditugaskan untuk menghilangkan kesan jejak kaki sepanjang perjalanan Baginda SAW dan Abu Bakar hingga ke gua Thur, manakala Asma binti Abu Bakar akan menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah SAW serta bapanya sepanjang 3 hari mereka berada di gua Thur.

Dari sini jelas kepada kita bahawa proses Hijrah Rasulullah SAW adalah hasil kombinasi usaha beberapa pihak yang sama-sama ingin melihat Islam terus tersebar dan berada di kedudukan yang tinggi. Diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dan Imam Ahmad bahawa Asma’ binti Abu Bakar berkata: ”Apabila keluarnya Rasulullah SAW bersama-sama Abu Bakar (untuk berhijrah), Abu Bakar telah membawa bersamanya kesemua harta yang dimiliknya, lima ribu dirham atau enam ribu dirham.”
Selain itu, golongan wanita turut memainkan peranan yang besar dalam usaha mencapai kemenagan Islam. Inilah di antara beberapa strategi yang diatur dengan cukup teliti oleh Rasulullah SAW demi menjayakan misi dakwah yang merupakan amanah daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskanmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” (surah al-Ahzab, ayat 45)


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah ini yang mempamerkan betapa Rasulullah SAW itu merupakan seorang yang bertindak melalui strategi yang cukup teliti demi mencapai kemenangan yang besar. Melalui strategi yang disusun serta bantuan daripada sahabat-sahabat Baginda SAW, umat Islam dapat mengumpul kekuatan serta membina hidup yang lebih sempurna di bumi Madinah.
Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya ia melalui beberapa peringkat yang setiap satunya memberi impak yang tersendiri dalam mencapai kejayaan buat umat Islam seluruhnya.

Apa yang lebih penting, umat Islam seharusnya melakukan setiap amalan hanya kerana Allah serta mengharapkan rahmat-Nya pada setiap masa, maka kejayaan pasti memihak kepada kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Baqarah, ayat 218)

Friday, December 18, 2009

Orang Beriman Muliakan Tetamu (HARIAN METRO, 18 Disember 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


SETIAP individu pasti pernah didatangi tetamu. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah pastinya dengan hajat dan keperluan tertentu. Islam amat menitikberatkan hubungan antara sesama manusia.

Justeru, sejak daripada awal Islam menggariskan adab bagi memuliakan tetamu ke rumah.

Tetamu yang datang adalah amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Tuan rumah bertanggungjawab ke atas tetamu selama berada di rumahnya serta wajib menafkahkan sebahagian rezekinya buat tetamu itu.

Dengan menghormati tetamu dan menyempurnakan haknya, ia menjadikan seseorang Muslim itu memiliki iman yang sempurna apatah lagi tetamu itu saudara seagama.

Namun, tetamu bukan Islam turut mendapat layanan yang sama daripada tuan rumah beragama Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Tidak sempurna iman seseorang itu, sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Hadis riwayat Muslim).

Menghormati dan memuliakan tetamu adalah sunnah rasul dan nabi. Malah, Nabi Ibrahim a.s adalah antara rasul yang amat memuliakan tetamunya. Baginda menerima tetamu dengan hati terbuka dan melayani mereka dengan baik.

Allah s.w.t merakamkan perihal Nabi Ibrahim a.s ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang yang tidak dikenali. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya dan dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 24-27).

Hakikatnya, amalan menghormati tetamu bukan saja menunjukkan ciri-ciri perilaku terpuji, malah berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghormati tetamunya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Bukhari).

Di antara adab memuliakan tetamu dianjurkan Islam ialah:

- Menyambut tetamu dengan perasaan gembira dan wajah yang manis.

- Saling bertanya khabar berita serta bertukar-tukar cerita yang baik.

- Sedaya-upaya menyembunyikan sebarang masalah keluarga agar tidak diketahui tetamu.

- Menyajikan hidangan makanan kepada tetamu.

- Menyediakan tempat tidur yang baik serta kemudahan yang diperlukan jika mereka bermalam di rumah.

- Sediakan mengikut tahap kemampuan tuan rumah.

- Tidak terlalu berkira, tak pula terlalu berlebihan dan bukan dengan niat untuk bermegah-megah dengan rezeki serta kemewahan yang ada.

Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu." (Surah al-Furqaan, ayat 67).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Bertamu (menziarah) itu tiga hari dan selebihnya siang mahupun malam. Tidak halal bagi seorang Muslim menetap di rumah saudaranya sehingga saudaranya itu berdosa kerananya. Sahabat bertanya: Bagaimana caranya dia berdosa? Jawab Baginda: Orang itu menetap di rumah saudaranya, padahal saudaranya itu tidak mempunyai apa-apa lagi yang akan dihidangkan (diberikan) kepada tetamunya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Keadaan ini adalah bagi mengelak perasaan terbeban tuan rumah. Amalan yang pada awalnya dikira sebagai amalan yang mulia, tetapi jika ia berlarutan sehingga menyusahkan tuan rumah, ia dikhuatiri akan menimbulkan suasana tidak selesa malah boleh menimbulkan perbalahan dan persengketaan pada kemudian hari.

Dalam konteks yang lebih besar lagi, rakyat sebuah negara yang diiktiraf sebagai antara negara Islam contoh, seharusnya kita rakyat Malaysia sentiasa mempamerkan akhlak dan budaya yang terpuji kepada khalayak yang berkunjung ke negara ini.

Tanpa mengira agama dan budaya, mereka seharusnya diberi bantuan sewajarnya sepanjang di negara ini. Sifat ringan mulut memberi bantuan apabila diajukan soalan oleh tetamu negara dan disertakan dengan senyuman adalah antara cara bagi menunjukkan tatasusila dan budaya rakyat Malaysia.

Sesungguhnya tetamu mengundang rahmat daripada Allah s.w.t ,menghilangkan dosa penghuni rumah dan menjanjikan pahala sedekah buat tuan rumah yang berusaha sebaik mungkin memuliakan tetamu menurut tuntutan Islam.

Saturday, December 5, 2009

Minda Akob: Siapa Ahli Sunnah Wal Jamaah


Oleh: Mohd Yaakub Mohd Yunus

Dulu kita pernah digemparkan dengan definisi sempit Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) oleh seorang tokoh di Malaysia. Menurut beliau ASWJ ialah mereka yang bermazhab fekah Syafie, berakidah Asy’ariah atau Maturidiah dan bertasauf dengan cara Imam al-Ghazali. Maka ramai yang tertanya-tanya tentang status mereka yang hidup sebelum Imam al-Syafie, Imam Abu Hassan al-Asya’ri dan Imam Maturidi dan Imam al-Ghazali? Adakah pegangan fekah, akidah dan akhlak mereka terkeluar daripada golongan ASWJ. Bagaimana pula dengan mereka yang berpegang kepada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali? Adakah mereka tidak tergolong dalam kelompok ASWJ? Apa yang lebih memburukkan keadaan adalah wujudnya beberapa golongan termasuk sesetengah tokoh agama di Malaysia yang beranggapan bahawa ASWJ adalah mereka yang berqunut Subuh, menganjurkan upacara Kenduri Arwah, bertalqin, membaca surah Yasin pada malam Jumaat, berzikir beramai-ramai sesudah solat dan lain-lain perkara seperti apa yang telah dibangkitkan oleh beberapa akhbar beberapa minggu kebelakangan ini.

Oleh itu siapakah sebenar ASWJ itu? ASWJ adalah mereka yang berpegang teguh dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan mengikuti semua ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. sama ada di dalam bentuk iktikad (akidah), ibadat, muamalat dan akhlak sebagaimana yang difahami dan dilaksanakan oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in (generasi al-Salafussoleh) dan mereka yang mengikuti mereka ini sehingga ke hari ini. Setiap yang sesuai dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menerima dan menetapkannya. Sebaliknya, setiap yang bertentangan dengan al-Qur'an dan al-Sunnah mereka menolaknya, tanpa mengira siapa pun yang berpegang kepada pendapat tersebut. Generasi al-Salafussoleh yang dijadikan contoh ikutan ASWJ ini telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai generasi terbaik bagi umat Islam sebagaimana sabdanya: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut tabi’in). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Para ulama ASWJ memperjuangkan Ittiba' (mengikuti sunnah Nabi s.a.w.) dan meninggalkan ibtida' (amalan-amalan bidaah). ASWJ berkeyakinan bahawa syariat Islam telah sempurna sebelum Rasulullah s.a.w. wafat sehingga tidak memerlukan penciptaan amalan-amalan baru yang tidak pernah dianjurkan mahupun diamalkan oleh Rasulullah. ASWJ hanya akan mengamalkan ibadat yang terdapat dalil yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. dan meninggalkan segala amalan berdasarkan rekaan akal manusia dan bersandarkan hadis-hadis yang lemah serta palsu. Mereka menggabungkan antara ilmu dan ibadah. Ini berbeza dengan golongan selain mereka yang melakukan amal ibadah tanpa ilmu sehingga mudah amalan-amalan bidaah meresap dan kemudiannya dianggap sunnah.

ASWJ tidak mengagungkan mana-mana imam ataupun ulama. Tiada pegangan mahupun ucapan daripada seseorang tokoh atau kumpulan yang mereka ambil secara keseluruhannya kecuali apa yang benar-benar bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Walaubagaimanapun mereka tetap menghormati seluruh imam-imam ASWJ terutamanya imam-imam mazhab yang empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Ahmad. Bagi ASWJ pendapat ataupun ucapan selain daripada Rasulullah s.a.w. adalah tidak terpelihara dari kesilapan maka mereka menimbangnya dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia sesuai dengan keduanya maka ianya akan diterima sebagai hujah dan sekiranya tidak maka ianya akan terbatal. Pada masa yang sama ASWJ mengiktiraf kewujudan keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Hanya sahaja ASWJ menolak tindakan keterlaluan sesetengah pihak yang berpegang kepada mazhab secara taksub sehingga mengenepikan al-Qur’an dan hadis Rasulullah s.a.w. Syaikh Muhammad Abdul Wahhab yang sering dituduh sebaga anti mazhab juga sebenarnya berpegang kepada mazhab Hanbali. Anaknya Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad telah memperjelaskan tentang hakikat dakwah bapanya sebagai berikut:

“Bahawa mazhab kami dalam ushuluddin (tauhid) adalah mazhab ASWJ, dan cara pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah furu’ (fekah) kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil malah kami memaksa mereka supaya bertaklid kepada salah satu dari mazhab empat tersebut. Kami sama sekali tidak pernah mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwakan dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah yang kalau kami lihat di sana ada nas yang jelas, baik dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya, ataupun mentakhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegangi pula oleh salah seorang imam yang empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti." - Syaikh Muhammad Basyir al-Sahsawani, Shiyanah al-Insan, ms. 473

Sebagaimana para al-Salafussoleh yang tidak berselisih di dalam masalah-masalah pokok berkaitan akidah begitu juga dengan ASWJ. Pendapat mereka sama dalam masalah iman, definisi dan berbagai persoalannya, dalam masalah takdir dan juga dalam masalah-masalah prinsip lainnya. Dalam masalah Tauhid al-Asma wa al-Sifat pendapat para al-Salafussoleh adalah satu. ASWJ menetapkan nama-nama Allah yang indah serta sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna seperti yang telah dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kaedah ini telah disepakati oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Ahmad dan juga pegangan sebenar Imam Abu al-Hassan al-Asya’ari. Tauhid al-Asma wa al-Sifat memutuskan untuk kita menetapkan apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diri-Nya di dalam kitab-Nya dan oleh Rasulllah s.a.w. dengan keimanan yang bersih dari tahrif (mengubah makna tersebut), ta’thil (meniadakan sifat tersebut), takyif (bertanyakan bagaimana sifat tersebut) dan tamthil (menyamakan sifat tersebut dengan makhluk). Ini adalah kerana Allah-lah yang paling mengetahui tentang sesuatu termasuk tentang sifat-sifat yang ada pada diri-Nya dan manusia yang paling mengetahui dan mengenali Allah S.W.T. adalah Rasulullah s.a.w.

ASWJ adalah kelompok yang paling amanah dalam hal-hal yang berkaitan dengan ilmu agama. Sekiranya mereka menukil sesuatu pendapat atau pandangan, mereka tidak memalsukan atau memutarbelitkan fakta. Jika mereka menukil daripada seseorang yang berbeza pendapat dengan mereka, maka mereka menukilnya dengan sempurna, tidak mengambil apa yang sesuai dengan pendapatnya dan meninggalkan yang lain. Mereka tidak segan silu untuk menerima kebenaran dari sesiapapun, juga tidak malu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya kesilapan berada di pihak mereka. Mereka juga tidak memaksa orang lain mengikuti pandangan mereka, tidak mengatakan sesat orang-orang yang menyelisihinya, dan tidak terlalu memberat-beratkan perkara yang wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama ASWJ.
ASWJ adalah kelompok pertengahan dan pilihan. Sikap kesederhanaan ASWJ jelas kelihatan dalam banyak hal yang berkaitan dengan akidah, hukum, ibadat, akhlak dan lain-lainnya. Mereka adalah kelompok pertengahan di antara yang ekstrem dan yang meremehkan. ASWJ amat menitik-beratkan untuk menyatukan umat Islam kepada kebenaran. Mereka sangat mengambil berat untuk menguatkan kesatuan umat Islam dan menghilangkan segala sebab-sebab yang boleh membawa pertikaian dan perpecahan. Sebab mereka mengetahui, persatuan adalah rahmat dan perpecahan adalah azab. ASWJ menolak sikap bermudah-mudah di dalam mengkafirkan atau menyesatkan di antara sesama Islam.
ASWJ hanya membantah dan menjelaskan kebenaran kepada orang yang berselisih dengan mereka. ASWJ berpendapat bahawa dosa besar yang dilakukan oleh seorang mukmin tidak mengeluarkannya dari iman selama tidak menganggap dosa-dosa yang dilakukan itu boleh atau halal. ASWJ berkeyakinan mukmin yang melakukan dosa besar, bila dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, sekiranya dia dimasukkan ke dalam neraka, dia tidak kekal di dalamnya lalu akan dimasukkan ke syurga setelah itu. Urusan seorang mukmin yang melakukan dosa-dosa besar diserahkan kepada kehendak Allah S.W.T. sepenuhnya sama ada diampunkan segala dosanya atau menerima pembalasan yang setimpal dengan dosanya.

Demikanlah secara ringkasnya beberapa ciri kelompok yang dikenali sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah.

* Penulis adalah seorang pendakwah yang banyak menulis artikel di majalah dan surat khabar. Kini bertugas di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad. Beliau boleh dihubungi melalui blog: http://www.akob73.blogspot.com