Saturday, April 17, 2010

Bina Identiti Muslim Berilmu (HARIAN METRO, Jumaat 16 April 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir


MEMBACA adalah amalan mulia dan dipandang tinggi dalam Islam kerana ia membentuk masyarakat berilmu yang membebaskan daripada lingkungan dunia kejahilan.

Hal ini dijelaskan Allah apabila menurunkan wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w mengenai kepentingan membaca.

Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5)
Tanpa ilmu manusia dalam kegelapan dan menjadi mangsa tipu daya kehidupan dunia.Memang ada perbezaan antara orang yang menuntut ilmu dengan serius dan mencari ilmu untuk tujuan tertentu.

Bagi mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu, membaca menjadi satu tabiat yang sukar dipisahkan. Semakin banyak buku dibaca, terasa kurangnya ilmu diterokai.

Hanya dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mencipta kejayaan dan membentuk tamadun terbilang. Inilah yang ditunjukkan tokoh ilmuan Islam terdahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Al-Haitham, Al-Biruni dan Al-Khawarizmi.

Allah berfirman yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Bagi memupuk semangat suka membaca dikalangan individu, peranan ibu bapa penting. Pelbagai kaedah boleh dilakukan seperti bagi menarik minat membaca seperti memberi hadiah berbentuk buku ilmiah yang ringan kepada anak-anak.

Sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah boleh membina suasana membaca serta membudayakan ilmu yang lebih selesa dan kondusif. Pemilihan bahan bacaan berkualiti juga perlu dititik beratkan dalam proses membina identiti Muslim berilmu dan berakhlak mulia.

Lambakan bahan bacaan di pasaran memerlukan ibu bapa bersikap lebih memilih bahan bacaan terbaik dalam proses menggalakkan anak-anak membaca.

Kehebatan dunia teknologi pada zaman yang mencabar ini menjejaskan minat remaja memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan mereka gemar terperap di hadapan komputer untuk melayari Internet atau berchatting berbanding membaca buku.

Justeru, usaha kerajaan menganjurkan "Kempen Bulan Membaca" setiap tahun perlu dimanfaatkan rakyat negara ini.

Dinyatakan di dalam kitab "Nashr Thoy at-Ta'rif" karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad bahawa Imam Syafi'e pernah berkata yang maksudnya: "Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu."

Keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca bahan ilmiah jangan sesekali menjadi alasan kita meninggalkan al-Quran sebagai bahan bacaan seharian.

Sesungguhnya ilmu Allah itu amat luas umpama hamparan lautan. Menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu itu semata-mata untuk mengenali dan mendampingi Allah.

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahf, ayat 109)



Friday, April 2, 2010

Muhasabah Diri Bagi Pelihara Imej Islam (HARIAN METRO, Jumaat 2 April 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir


Perkataan fitnah berasal daripada kalimah Arab bermaksud perbuatan menuduh sesuatu perkara bersifat tidak benar atau dusta.

Dari sudut Bahasa Arab, fitnah berasal daripada kalimah ”fatana” yang dimaksudkan sebagai satu proses pengasingan emas tulen daripada bahan-bahan logam lain melalui proses pembakaran (Lisan al-Arab, Beirut: Dar Sadir, m/s: 317).

Menurut al-Qur’an, fitnah itu membawa konotasi makna yang pelbagai seperti kekafiran (syirik), kedustaan, kezaliman, kebinasaan, maksiat, ujian, peperangan, bencana, konflik, godaan dan sebagainya.

Antara ayat-ayat al-Qur’an yang menggunakan perkataan fitnah ialah firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah, ayat 193)

Fitnah bermaksud kedustaan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud ”Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: ’Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)’." (surah al-An’aam, ayat 23)

Fitnah bermaksud kezaliman. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Lalu mereka berkata: "Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.” (surah Yunus, ayat 85)

Fitnah bermaksud kebinasaan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: ’Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah.’ Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab jahannam meliputi orang-orang yang kafir.” (surah at-Taubah, ayat 49)

Jika dirujuk kepada pemahaman masyarakat kita mengenai fitnah, terdapat hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan perkara ini yang bermaksud: ”Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya (dibekangnya) bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu menfitnahnya” (hadis riwayat Abu Hurairah).

Sebenarnya perbuatan menfitnah ini lahir daripada dalam hati individu yang penuh dengan sifat-sifat negatif dan keji seperti hasad, iri hati dan dendam. Masalah itu bermula daripada hati yang menjadi ”ibu” kepada setiap tindak tanduk manusia. Jika dilihat kepada sirah Rasulullah s.a.w serta keluarganya, Ummu al-Mukminin Saidatina Aisyah r.a tidak terlepas dari menghadapi ujian fitnah.

Allah s.w.t merakamkan peristiwa ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu, tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat).” (surah an-Nuur, ayat 11)

Jika dilihat fitnah itu adalah sebagai satu ujian dan cubaan, sebelum ini kita digemparkan dengan keadaan di mana sebuah majalah mingguan agama lain yang menggunakan kalimah ”Allah” bagi merujuk kepada tuhan mereka. Ketika itu, umat Islam didatangkan dengan cubaan dan dugaan. Benarlah kata sesetengah pihak bahawa kita sekarang berada di zaman fitnah.

Pelbagai permasalahan yang timbul memerlukan umat Islam terus melakukan muhasabah diri agar imej Islam tidak tercalar, maruah Islam tidak tergadai. Dalam menghadapi situasi ini, sacara umumnya dapat dilihat pelbagai pihak terus bangkit menyuarakan ketidak-puasan hati umat Islam demi untuk menjaga martabat Islam daripada dirobek oleh orang lain.

Di satu pihak, perkara ini mahu diselesaikan dengan cara yang agresif dan tegas, manakala pihak yang lain memilih untuk menggunakan kaedah diplomasi dan perundangan. Malah, kesatuan dan semangat bersama umat Islam tampak lebih jelas melalui isu ini.

Namun, perkara yang harus kita ambil perhatian, kadang-kala tindakan agresif kita yang melampau akan membuatkan pihak lain mengambil peluang dan ruang bagi memburukkan lagi imej Islam. Kejadian beberapa buah gereja dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab haruslah dilihat oleh umat Islam sebagai satu situasi yang sedikit sebanyak mencalar imej Islam yang menjulang prinsip keadilan dan keharmonian.

Sungguhpun masih belum jelas, siapakah dalang disebalik perbuatan terkutuk itu, kita sewajarnya sedar bahawa mungkin juga perkara ini disebabkan tindakan kita yang terus agresif tanpa menghiraukan nasihat pihak berkuasa.

Harus difahami, bertenang bukanlah bermaksud kita mengambil enteng terhadap isu ini, namun kebijaksanaan dalam menghadapi ujian dan cabaran di zaman fitnah mutakhir ini semestinya dapat mengelak kejadian yang lebih buruk daripada berlaku.

Sebagai umat Islam yang sentiasa teguh mempertahankan kesucian dan ketinggian agamanya, marilah sama-sama kita menjaga setiap tingkah laku kita bagi mendepani seribu satu ujian dan cabaran yang semestinya tidak akan berhenti di sini.

Kerap kali kita merasakan, jika kita yang menjadi mangsa fitnah, maka kemusnahanlah bagi yang membuat fitnah itu. Tetapi adakah kita sedar, kadangkala tindak tanduk dan pertuturan kita yang membuka ruang untuk kita terus difitnah.

Umat Islam harus insaf bahawa sebagai seorang Muslim, kita dipertanggungjawabkan untuk membawa imej Islam dalam setiap inci perkara dalam kehidupan. Justeru, adalah sesuatau yang amat malang, jika disebabkan perbuatan dan pertuturan kita, Islam terus dihina, dicaci dan diperkotak-katikkan.

Gunakanlah kebijaksanaan dan kewarasan akal anugerah Allah s.w.t dengan didasari oleh wahyu Ilahi dalam menangani sesuatu isu yang berbangkit. Letaklah emosi itu pada tingkatan bawah sekali agar ia tidak menguasai tindakan kita.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (surah al-Hujuraat, ayat 6)