Friday, September 9, 2011

ULASAN: Amalan Rumah Terbuka Di Bulan Syawwal





1. Majlis “Rumah Terbuka” yang diamalkan dalam masyarakat kita pada hari ini merupakan satu perkara baik yang wajar dipraktikkan bagi golongan yang berkemampuan. Amalan mulia ini, meskipun bukanlah satu syariat yang diwajibkan oleh Islam sempena Aidil-Fitri, namun jika ianya dilakukan menurut garis panduan umum syarak, maka inshaAllah ia boleh jadi satu ibadah yang menguntungkan pelakunya di akhirat kelak.


2. Jika dilihat dari sudut yang positif, majlis Rumah Terbuka menyediakan ruang yang luas bagi umat Islam untuk melakukan amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menghubungkan tali silaturrahim sesama insan, bermaaf-maafan, dan menjamu para tetamu yang hadir, kesemuanya ini merupakan amalan yang dianjurkan oleh Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Hadis Riwayat Muslim).


3. Menjamu para tetamu dengan makanan yang terbaik merupakan amalan para Rasul. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya. Firman Allah yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati): “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).


4. Bagi saya, dalam keadaan masing-masing mengambil peluang untuk menziarahi saudara-mara dan rakan-taulan sempena Aidil-Fitri, maka mengadakan majlis Rumah Terbuka adalah kaedah terbaik untuk mengumpulkan saudara dan kenalan hadir ke rumah kita secara serentak. Keadaan ini dapat mengelakkan situasi di mana para sahabat yang berkunjung ke rumah, namun tidak dapat bertemu dengan kita kerana kita juga sibuk melakukan ziarah ke rumah orang lain. Faktor masa cuti yang terhad juga membataskan pergerakan kita untuk hadir ke rumah setiap daripada sahabat kita. Justeru, dengan adanya majlis Rumah Terbuka, ianya memberi peluang yang lebih besar untuk bertemu dengan sahabat handai dan jiran tetangga di hari raya.


5. Penganjuran majlis Rumah Terbuka juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mempamerkan keindahan Islam yang menggalakkan setiap umatnya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam. Islam tidak pernah melarang kita menjemput masyarakat bukan Islam untuk hadir ke majlis umat Islam dan menjalinkan hubungan baik dengan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).


6. Namun, dalam mengadakan majlis Rumah Terbuka ini, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Antaranya, janganlah majlis itu diadakan dengan tujuan untuk bermegah-megah dan bangga diri. Berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk dalam penganjuran keraian sehingga menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang oleh Islam.


7. Selain itu, penganjur juga perlu bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Pembaziran adalah perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 26-27).


8. Majlis Rumah Terbuka juga mesti dijauhkan daripada menjadi medan pergaulan bebas antara para tetamu yang bukan mahramnya. Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang majlis yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT, boleh bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Golongan hawa terutamanya, sama ada tuan rumah mahupun tetamu majlis Rumah Terbuka, wajib menjaga aurat mereka, sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada... (mahram mereka)...” (Surah al-Nur, ayat 31).


9. Begitu juga dengan selingan hiburan di majlis Rumah Terbuka. Islam tidak sekali-kali menghalang umatnya untuk bergembira, selagi mana ia tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syarak. Islam itu agama fitrah yang tidak sekali-kali bersifat jumud dan asing daripada fitrah manusia. Keharusan untuk bergembira di hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain. Rasulullah SAW pernah menjelaskan hal ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah.” (Hadis Riwayat Ahmad).


Dalam keadaan lain, Saidatina ‘Aishah berkata: “Rasulullah masuk ke rumahku (pada hari raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda terus berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata: “Pada pandangan Rasulullah, (nyanyian) itu adalah seruling syaitan.” Mendengar kata-kata itu maka Rasulullah menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Biarkanlah mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Namun, perlu difahami bahawa muzik atau nyanyian yang melalaikan serta penyanyi yang mendedahkan aurat semasa membuat persembahan di majlis Rumah Terbuka adalah dilarang.


10. Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis Rumah Terbuka ialah dari segi undangan tetamu yang hadir. Sewajarnya penganjur menjemput tetamunya yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup, sama ada yang kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan. Penganjur tidak boleh “pilih bulu” dengan menjemput tetamu yang kaya dan ternama sahaja untuk hadir ke majlis Rumah Terbukanya. Hal ini dapat dikiaskan dengan penganjuran majlis walimah al-‘urs (undangan majlis kenduri kerana pernikahan). Rasulullah SAW melarang kita meminggirkan golongan kurang berkemampuan dalam majlis jamuan makan. Sewajarnya, golongan inilah yang diberi keutamaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...” (Hadis Riwayat al-Bukhari).


11. Berkaitan dengan ibadah puasa sunat enam hari di bulan Syawwal, sememangnya ia adalah ibadah yang dituntut oleh Islam. Besar ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT bagi mereka yang berjaya menunaikan ibadah puasa sebulan Ramadan dan ditambah dengan berpuasa selama enam hari di bulan Syawwal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawwal, pahalanya seperti puasa setahun”. (Hadis Riwayat Muslim).


Dalam merebut peluang keemasan ini, kita juga harus faham beberapa situasi, iaitu yang melibatkan amalan yang sunat, namun di sana ada keutamaan-keutamaan yang perlu diambil kira. Dalam hal ini, kita perlu bijak menyusun waktu agar pelaksanaan ibadah sunat yang kita lakukan menepati tuntutan keutamaan dalam Islam. Sekiranya, kita dijemput untuk menghadiri majlis makan seperti majlis Rumah Terbuka ini, seeloknya kita tidak berpuasa sunat pada ketika itu. Hal ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Sa’id al-Khudri, yang bermaksud: “Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW. Maka Baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah SAW pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian Baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti (jika mahu).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi).


Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bahawa pelaksanaan ibadah sunat itu perlu dilakukan dengan ilmu, dan bukan dengan penilaian sendiri, agar ibadah tersebut menepati keutamaan yang digariskan oleh Islam.


12. Konklusinya, penganjuran majlis Rumah Terbuka sepertimana yang telah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia adalah satu amalan yang baik dan wajar diteruskan. Namun, seperti yang telah saya jelaskan, ianya perlu dilakukan dengan mengambil kira beberapa perkara, agar penganjuran majlis ini diberkati oleh Allah SWT kerana menepati ketetapan syarak, serta jauh daripada perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Semoga dengan penganjuran majlis ini, silaturrahim umat Islam makin utuh, dan perkara inilah yang menjadi ciri-ciri orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).