Thursday, October 8, 2009

Isu Wahabi, Ahli Sunnah Wal Jamaah...Apa Kesudahannya?

Isnin lepas buat pertama kali saya menjejakkan kaki ke ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilization) di Jalan Duta. Ke sana kerana ingin menemani teman saya, seorang wartawan Harian METRO untuk menemui Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid, Timbalan Dekan ISTAC merangkap Profesor di Jabatan Fiqh & Usul Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, UIAM.


Pertemuan "last minit" yang saya aturkan menerusi telefon akhirnya dipersetujui oleh Dato' untuk berbincang satu topik yang menjadi bualan masyarakat hari ini iaitu....WAHABI! Secara peribadi, saya tidak berminat untuk membicarakan soal ini, namun kerana untuk membantu teman saya yang mendapat assignment daripada bosnya, saya bersetuju untuk membicarakan perkara ini.


Bagi saya, pendapat yang dilontarkan oleh Dato' Mamood Zuhdi amat melegakan saya dan ia sebenarnya juga memang merupakan 'stand' saya sejak dahulu lagi. Kata-kata pembuka bicara yang amat ringkas tapi meliputi isi perbincangan apabila beliau berkata: "Masalah orang Melayu kita ni ialah suka bergaduh (berselisih)". Saya setuju 100%! Dalam banyak sudut; politik, kemasyarakatan, malah masuk sekali bab pertikaian mazhab memang menjadi minat utama masyarakat kita.


Sebenarnya, kita telah membuang masa dalam membicarakan isu-isu yang memang sejak sedari zaman ulama' silam telah menjadi perselisihan di kalangan mereka. Justeru, adakah semua pihak yang alim pada masa kini akan berusaha untuk memadamkan perselisihan itu dan menyatukannya dengan satu pendapat yang QAT'IE? Amatlah bijak lagi hebat jika kesemua masalah yang termasuk dalam perkara-perkara khilafiat menjadi kesepakatan semua pihak.


Apa yang menyedihkan, masing-masing dilihat cuba menegakkan hujah masing-masing di samping cuba mengatakan yang selainnya adalah salah. Bagi saya yang kurang ilmu ini, masing-masing sepatutnya boleh terus berdiskusi secara ilmiah dan berhikmah dalam mencambah ilmu untuk mendapat kesepakatan agar ianya boleh digunakan oleh semua pihak.


Yang menjadi mangsa adalah orang-orang di kampung malah di bandar pun yang masih perlu bertaklid pada sesuatu mazhab dalam melaksanakan ibadat harian mereka. Yang bijak pandai terus membongkar masalah khilafiat sedang mereka yang tak tahu apa-apa terus tercengang menunggu penyelesaian yang membelenggu kekusutan bijak pandai.


Sikap berlapang dada perlu ada dalam diri setiap orang, jangan takut menerima kebaikan jika benar ia adalah yang kuat hujahannya. Sebagai seorang hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, kita haruslah sentiasa menanam azam untuk memperbaiki setiap amalan kita. Justeru, jika didapati apa yang kita amalkan sebelum ini kurang tepat, maka apa salahnya kita menerima pandangan ulama' yang telah mengkaji banyak sumber mengenai sesuatu amalan itu. Dalam soal sembahyang misalnya, adakah kita yakin solat yang kita amalkan 20 tahun dulu adalah yang sempurna dan akan diteruskan sehingga ke akhir hayat? Inilah yang perlu sama-sama kita fikirkan buat memperbaiki setiap individu masyarakat.


Bagi pihak yang lain pula, janganlah terlalu keras dalam menghukum sesuatu walaupun ianya kurang tepat berdasarkan kajian yang telah dibuat. Bayangkan, amalan yang telah menjadi amalan turun-temurun tiba-tiba dihukumkan HARAM dan sesat. Saya akur, bahawa bukan semua orang daripada mereka bersifat sedemikian, namun yang sedikit itulah menyebabkan yang lainnya dituduh membawa aliran baru yang menyesatkan umat Islam di negara ini.


Sebagai contoh, memetik kepada kata-kata seorang ustaz yang amat saya kagumi, yang kini sedang menyambung PhD di Uni. of Wales, ketika beliau memberi ceramah di UIA kira-kira 4 tahun lalu, beliau ada menceritakan bahawa terdapat sesetengah pihak yang berpegang 100% pada sunnah tetapi kurang bijak dalam memberi hujahan. Contohnya berkaitan isbal iaitu mengangkat pakaian agar tidak melebihi buku lali, sesiapa yang lebih, maka hukumnya HARAM.


Sebenarnya jika dikaji hadith yang membicarakan soal "isbal", kita perlulah melihat kepada "'illah" (sebab) pengharaman itu. Sebenarnya, pengharaman adalah disebabkan "khuyala'" atau perasaan angkuh dan sombong yang timbul ketika memakai pakaian yang labuh itu. Justeru 'illahnya adalah bangga. Jadi sebenarnya, jika seseorang itu menyintingkan pakaiannya sampai hampir ke lutut sekalipun, tetapi dalam dirinya masih ada sifat sombong kerana dialah yang mengikut sunnah. Maka bukankah itu juga hukumnya HARAM, berbanding yang memakai pakaian labuh namun tiada sifat sombong langsung dalam dirinya.


Inilah antara perkara yang perlu kita fikir-fikirkan dalam mencari penyelesaian terbaik kepada masalah perpecahan dalam ummah disebabkan perkara-perkara khilafiat ini. Malah ada pihak yang tidak sudah-sudah menerbitkan buku untuk menghentam pihak yang tidak senada dengannya. Sebenarnya, Islam tidak pernah menutup pintu perbincangan, namun bagi saya syaratnya jelas...semua pihak kena berlapang dada dalam mendengar hujahan pihak lawannya, tidak lupa juga uslub berhikmah dan berhemah dalam melontarkan idea dan hujahan yang dipegang dan dikira lebih kuat itu.


Saya bukanlah orang yang layak dalam membicarakan isu ini, namun saya rasa terpanggil untuk berkongsi pendapat yang tidak seberapa ini demi melihat umat Islam terus bersatu dan membina ketamadunan serta mencipta kegemilangan, agar Islam terus dipandang mulia dan terbaik seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t di dalam al-Qur'an.


Saya juga tidak terlepas daripada dituduh oleh beberapa orang sahabat yang melayari blog ini dengan mengatakan saya pro-Wahabi! Ianya hanya semata-mata "link" yang terdapat dalam blog ini, kebanyakannya merupakan blog mereka-mereka yang dilabel sebagai golongan Wahabi. Janganlah terlalu berburuk sangka dalam hal ini. Bagi saya, mana yang lebih kuat hujahnya, itulah yang saya pegang pendapatnya. Namun, jauh di sudut hati saya untuk menolak kesemua amal ibadat yang telah menjadi amalan umat Islam di Malaysia. Tidak dapat saya nafikan, terdapat beberapa perkara yang saya rasa ianya boleh diteruskan dengan dilakukan sedikit perubahan sesuai dengan pendapat yang termaktub dalam beberapa kitab turath dan juga kitab-kitab Melayu kuning.


Sebagai contoh, amalan membaca yasin dan kenduri arwah di rumah keluarga yang baru kehilangan anggota keluarganya. Bagi saya, majlis berkumpul itu tidak salah, ianya boleh diisi dengan bacaan doa untuk mendoakan kesejahteraan ke atas roh insan yang baru meninggal dunia itu. Namun apa kata, bukan jemaah yang hadir dihidangkan jamuan oleh tuan rumah, akan tetapi masyarakat yang hadir itu yang sepatutnya membawa makanan untuk pihak tuan rumah yang sedang dilanda kesedihan itu.


Saya rasa, perkara ini boleh dipraktikkan bagi menggantikan amalan yang biasa kita amalkan sebelum ini. Begitulah antara pendapat saya mengenai isu ini. Teruskanlah mencambah minda umat Islam dengan perkara-perkara yang lebih bermanfaat daripada membincang perkara-perkara yang seperti tiada kesudahannya ini. Janganlah sampai ada sesetengah pihak yang tergamak menuduh saudaranya sendiri itu kafir ataupun sesat semata-mata pendapat mereka tidak senada dsengan kita. Yang akan menjadi mangsa dan dilanda kebingungan yang teruk adalah masyarakat awam yang terpinga-pinga melihat gelagat alim ulama' terus bertelagah.


Umat Islam seharusnya digalakkan untuk terus menambah ilmu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu agar kita tidak menggunakan kefahaman sendiri dalam menghukum sesuatu isu. Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua pihak harus melihat titik persamaan daripada membongkar titik perselisihan yang akhirnya memecah-belahkan umat Islam. Saya agak tertarik dengan kata-kata penutup yang diberikan oleh Dato' Mahmood Zuhdi di akhir pertemuan saya, sekali dengar macam kelakar tapi ada benarnya, katanya: "Nak selesai isu ni, semua pihak kena hormat antara satu sama lain, marilah kita cari isu lain untuk orang Melayu (Islam) bergaduh, daripada mereka bergaduh tentang isu ini". Semoga umat Islam terus dipandang tinggi dan menjadi contoh ikutan buat manusia seluruhnya.

4 comments:

  1. Saya kira tiada masalah serius sebenarnya, golongan yang dikatakan wahabi ( yang sebenarnya adalah salafi) tidak pernah menghukum keras amalan orang awam. Terdapat dua istilah yang perlu difahami pertama أهل البدعة ahli bid'ah dan keduaصاحب البدعة ataupun lebih tepat dikatakan sebagai muQallid. Yang cuba dibetulkan sekarang ialah ahli bid'ah iaitu pakar-pakar bid'ah yang pemikiran masih lagi jumud tidak menrima keterbukaan dalam fiQh atau sahaja mazhab akidah masih samar-samar atau terlalu jauh dari akidah 4 imam mazhab. Persoalan fiQh boleh diringankan laghi tetapi mengapa dalam persoalan akidah kita tidak mengikut akidah imam 4 mazhab. Cuba tanya dimana Allah? masih ramai yang mengikut fahaman mantik lagi.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum...

    Ya akhi....tentang soalan "Di mana Allah" juga tak sepatutnya dibincangkan, walaupun ia berkaitan akidah, tetapi bagi saya, org yg dok bincang tentang isu ni yang akhirnya akan membuatkan akidah orang lain jadi pening...'ala kulli hal..shukran atas komen =)

    ReplyDelete
  3. salam..

    yeah.. setuju.

    tapi mungkin nak kena berhati-hati dalam penggunaan contoh dalam bab fiqh. sebab hasil kajian ana dalam isu isbal, dan banyak lagi hadith yang perlu dikaji dalam bab ini selain hadith yang menyebut khuyala. perbincangan dia terlalu luas.

    tak letak contoh pun tak apa. sebab memang masalah utama adalah 'sikap'..

    allahu a'lam..

    ReplyDelete
  4. Ok.....tqvm bro Syarief....harap dapat tegur mana2 maklumat yang salah...ok

    Baraka Allahu fiik!

    ReplyDelete