Sekali lagi saya ingin mengajak para pengunjung blog saya untuk sama-sama kita berfikir dan muhasabah diri agar masalah yang melanda ummah sejak kebelakangan ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik. Sebagai insan yang kerdil lagi dhaif, saya berusha sedaya upaya untuk mencari titik pertemuan antara pihak yang berselisih faham. Namun, saya juga tidak terlepas daripada dicop sebagai orang yang pro kepada satu pihak sahaja.
Sehinggakan ada yang beranggapan saya menolak pendapat ulama' Nusantara, malah dikatakan memiliki kehebatan untuk berijtihad, sekali gus menolak istilah "taklid" kepada pendapat imam-imam mazhab yang empat.
Walaupun kata-kata tersebut tidaklah sedikit pun mengubah pendirian saya sebelum ini bahawa mana-mana dalil atau hujah yang lebih kuat, maka itulah keutamaan saya untuk diambil serta dipegang dalam mendepani pelbagai masalah agama.
Seperti yang diketahui umum, ikhtilaf dalam Islam itu rahmat, justeru janganlah kita menjadikannya sempit lantas menghina serta menghentam pihak yang tidak sehaluan dengan kita. Ini perkara asas yang perlu difahami oleh semua. Pastinya, masyarakat di luar sana ketawa melihat situasi orang Islam kini yang mengfokuskan perkara yang remeh, serta mengabaikan perkara-perkara besar, yang secara senyap terus masuk menyelinap ke dalam agama yang kita cintai ini. Cukuplah jika saya katakan bahawa masalah penyebaran fahaman "SYIAH" di Malaysia yang sedang rancak berjalan, haruslah diambil perhatian secara sirius melebihi percanggahan pendapat khilafiah yang menjadi bual bicara masyarakat ketika ini.
Suka di sini untuk saya mengutip kata-kata Ust. Zaharuddin berkaitan perselisihan pendapat yang berlaku sekarang. Antara lain katanya:
1. "Janganlah dengan mudah menggelar seseorang dengan gelaran Wahhabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wa Jamaah. Adalah tidak tepat menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahhabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli Sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi".
2. "Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat. Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarnya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci".
Begitulah pendapat ust. Zaharuddin yang bagi saya cukup jelas tidak memihak kepada sesiapa. Pihak berkuasa agama perlulah lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas serta mengambil langkah terbaik bagi menangani sesuatu isu yang bagi mereka, menyalahi peraturan atau prosedur yang telah ditetapkan. Harapan saya agar masalah ini tidak berulang sekali lagi kerana ia sedikit sebanyak memberi gambaran buruk terhadap institusi agama itu sendiri.
Dalam keadaan yang lain pula, walaupun tindakan pihak berkuasa itu salah atas pertimbangan kita, namun ia tidak wajar dijadikan isu untuk kita terus menghentam pihak berkenaan. Hal ini kerana, dikhuatiri, pihak yang betul-betul menyalahi peraturan agama akan mengambil peluang dan ruang lantas hilang rasa hormat terhadap institusi agama tersebut. Adalah amat mendukacitakan, disebabkan tindakan kita yang agak berlebih-lebihan akan membuatkan masalah-masalah lain berleluasa dalam masyarakat. Alasanny: "Argh, institusi agama pun buat silap, buat salah, apa salahnya kami buat salah!". Wa Allahu 'alam.
No comments:
Post a Comment