Saturday, April 25, 2009

Ubah Sikap, Jaga Tutur Kata Elak Sengketa Ummah (B.HARIAN 24 FEB 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Perkataan baik, lemah lembut mampu memikat pendengar mendekati kebenaran Islam

ISLAM agama yang menitikberatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Setiap perkara menyentuh kehidupan manusia sama ada berkaitan kehidupan di dunia mahupun alam akhirat diperincikan Allah dalam al-Quran.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Oleh itu, maka wajarlah setiap inci perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa saja kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di muka bumi ini, kita harus ingat setiap apa yang dikatakan, sesungguhnya ia tidak terlepas daripada catatan malaikat yang memerhatikan setiap gerak-geri serta tingkah-laku. Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir. (Surah Qaaf, ayat 18) Hakikatnya, penuturan kata-kata baik dapat memberi kesan mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata baik dan benar, secara mudah orang di luar sana akan terpikat dengan keindahan serta kebenaran Islam.

Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyeru ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata lembut, bukan dengan angkuh dan bermegah-megah. Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik, benar dan lemah lembut dalam proses dakwah sebenar. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi serta mulia.

Selain itu, dalam al-Quran dengan jelas Allah menyatakan bahawa antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mendapat gelaran (‘ibad ar-Rahman) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63) Justeru, adalah menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan lebih teruk lagi merasakan dirinya sahajalah yang betul dan baik jika dibandingkan dengan yang lain.

Sebaliknya, sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita seharusnya merasa rendah diri dan memilih kata-kata terbaik apabila berhadapan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Menyedari hakikat itu, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan menjaga tutur kata supaya tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah ummah.

Perlu diingat, kata yang baik, bukan sekadar susunan perkataan indah dan memuji, lebih penting ialah bersifat benar serta jauh daripada segala bentuk tipu daya. Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata indah dan mulia. Kata-kata baik yang memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70) Sama-samalah kita menyedari peranan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Allah yang mencipta sekalian alam. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.

Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah daripada terus menuturkan kata-kata tidak berfaedah dan menyakiti hati serta perasaan orang lain. Sebaliknya, basahilah lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, supaya ketenangan sejati menyuburi hati kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28) Marilah bersama mengubah sikap menjadi orang yang sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap tingkah-laku seharian kita.

Menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri segala nikmat diperoleh dan sentiasa membahagiakan orang lain dengan pengucapan kata-kata yang baik, indah dan benar.

Pada akhirnya, dengan izin Allah kehidupan kita akan bertambah baik dan dihiasi akhlak unggul, menepati tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 24 Februari 2009 (Selasa), m/s 30.

Wednesday, April 22, 2009

Amalan Membaca Lahir Umat Berilmu, Bertamadun (B.HARIAN 22 APR 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Pemilihan bahan berkualiti mampu bina masyarakat berpengetahuan dunia dan akhirat

MEMBACA satu amalan mulia yang dapat membentuk insan berilmu pengetahuan. Hanya dengan ilmu pengetahuan tinggi, manusia dapat mencipta kejayaan gemilang seterusnya membentuk satu tamadun terbilang.

Inilah yang dilakukan oleh tokoh ilmuwan Islam terdahulu seperti Ibn Sina, Ibn Al-Haitham, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. Segala bentuk khazanah ilmu berjaya mereka kaji dan terokai, bertitik tolak daripada proses pembacaan mendalam hingga menghasilkan penemuan bernilai serta berkualiti.

Maka selayaknya bagi tokoh ilmuwan bersama berjihad dalam bidang ilmu, mendapat pengiktirafan tinggi di sisi Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang yang beriman di antara kamu dan orang diberikan ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Ibu bapa mampu memupuk minat suka membaca di kalangan anak melalui pelbagai kaedah seperti pemberian buku bacaan ringan dan bagi yang berkemampuan, menyediakan mini perpustakaan di rumah dalam usaha membudayakan ilmu dalam suasana kondusif.

Pemilihan bahan bacaan, terutama yang berkualiti juga penting untuk membina jati diri Muslim bukan saja berilmu, juga berakhlak mulia. Lambakan bahan bacaan di pasaran jika tidak ditapis sesuai usia serta minat anak boleh memberi kesan sebaliknya.

Oleh itu, ibu bapa perlu memilih serta menapis buku atau bahan bacaan untuk diberi kepada anak dalam usaha meningkatkan minat terhadap ilmu pengetahuan melalui proses bacaan. Pastinya ibu bapa tidak mahu anak terdedah pengaruh serta ideologi negatif disebarkan melalui bahan bacaan.

Kehebatan dunia teknologi zaman ini sedikit sebanyak menurunkan minat golongan remaja untuk memilih buku sebagai bahan bacaan utama. Kebanyakan lebih suka duduk berjam-jam di hadapan komputer melayari internet daripada memperuntukkan sebahagian masa membaca buku.

Tanpa menafikan peranan internet yang tidak kurang pentingnya ketika ini, usaha perlu diteruskan bagi memupuk minat masyarakat untuk membaca buku yang lebih berbentuk ilmiah serta dipenuhi fakta yang jelas dan tepat. Justeru, usaha kerajaan menganjurkan Kempen Bulan Membaca setiap tahun memang dialu-alukan dan seharusnya dimanfaatkan rakyat seluruhnya.

Hal ini demi untuk memupuk sikap cintakan ilmu dalam diri individu seterusnya membina masyarakat celik ilmu pengetahuan dan bertamadun tinggi.

Bersempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 bermula 17 hingga 26 April bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sewajarnya peluang ini dimanfaatkan untuk memupuk minat dan semangat cintakan ilmu melalui pembacaan buku berkualiti.

Kitab Nashr Thoy at-Ta'rif karangan Muhammad Abd Ar-Rahman bin Umar bin Muhammad menyatakan Imam Syafi'e pernah berkata yang maksudnya: "Sesiapa yang hendakkan kejayaan di dunia maka hendaklah dengan ilmu, dan sesiapa yang hendakkan kejayaan di akhirat maka hendaklah dengan ilmu."

Perlu menjadi ingatan bahawa keghairahan menerokai ilmu pengetahuan dan membaca bahan ilmiah bertimbun banyaknya, tidak sesekali menjadi alasan kepada kita untuk meninggalkan al-Quran sebagai salah satu bahan bacaan seharian.

Ini bertepatan dengan martabatnya sebagai kalamullah dan sumber utama bagi segala bentuk ilmu pengetahuan sama ada berkaitan dunia mahupun akhirat. Sesungguhnya ilmu Allah itu luas umpama hamparan lautan yang tidak bertepian.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada hamba-Nya untuk menimba seberapa banyak ilmu terkandung dalam al-Quran kerana mendalami isi kandungan kitab Allah secara tidak langsung mendekatkan hamba kepada Penciptanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (Surah al-Kahf, ayat 109)

Jika direnung pula tuntutan membaca melalui penurunan surah al-'Alaq, bukan saja meletakkan ilmu sebagai asas utama menimba pengetahuan tetapi juga cara menyebarkan dakwah menyeru kepada mentauhidkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5)

Amalan membaca menghasilkan petunjuk yang akan memandu manusia ke arah kehidupan lebih sempurna.

Istimewanya bagi mereka yang bersungguh menuntut ilmu, membaca akan menjadi satu tabiat sukar dipisahkan daripada aktiviti seharian.

*Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 22 April 2009 (Rabu), m/s 31.

Saturday, April 18, 2009

Selisih Faham, Prasangka Buruk Barah Kebahagiaan (B.HARIAN 13 APR 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap perbalahan sesama manusia perlu diselesai melalui meja rundingan, permuafakatan

PEMILIHAN manusia sebagai khalifah di muka bumi dengan tujuan jelas dan membawa tanggungjawab cukup berat. Sebagai khalifah Allah yang bertanggungjawab memastikan kemakmuran bumi dan seluruh penghuninya, kita seharusnya sentiasa menginsafi tugas dipikul itu satu amanah yang jika tidak dilaksanakan dengan baik, pelbagai bentuk masalah pasti akan datang tanpa diundang.

Tanggungjawab khalifah mencakupi pelbagai aspek terutama yang berkaitan hubungan dengan Allah sebagai pencipta yang Maha Agung (al-Khaliq) dan hubungan dengan sesama manusia (al-Makhluq).

Jika dilihat daripada aspek hubungan dengan Allah, jelas bahawa pengabdian diri kepada-Nya menjadi keutamaan kepada manusia, sesuai dengan tanggungjawab sebagai khalifah. Hal ini selaras dengan tujuan utama penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan jiwa dan raga hanya kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan (Ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah az-Dzariyaat, ayat 56)

Justeru, segala bentuk hak Allah perlulah dijadikan keutamaan, lebih-lebih lagi ketika bertembung dengan kehendak manusia yang kebiasaannya bersifat keduniaan semata-mata. Semua tindak-tanduk khalifah haruslah mengarah kepada kebaikan serta sentiasa menurut garis panduan al-Quran dan sunnah.

Oleh itu, gesaan sesetengah pihak untuk meminda hukum dan ketetapan dalam al-Quran yang dikira sudah tidak lagi relevan dengan zaman ini, perlulah ditolak dengan cara terbaik supaya hak Allah sentiasa terpelihara. Jika hubungan dengan Allah sentiasa dijadikan keutamaan, maka terpeliharalah iman daripada segala bentuk anasir jahat yang sentiasa mengarah kepada keburukan dan kejahatan. Malah, keberkatan Allah akan terus dinikmati, kesan daripada keimanan teguh serta jitu kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah ruah berkatnya, dari langit dan bumi." (Surah al-A'raaf, ayat 96)

Menyentuh hubungan sesama manusia pula, Islam menggariskan tatacara dan panduan bagi menjaga hubungan itu. Menerusi hubungan baik sesama manusia, kehidupan di dunia akan disinari cahaya keharmonian dan kebahagiaan. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perbandingan orang mukmin dalam berkasih-sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka dan dalam rasa simpati mereka adalah laksana tubuh badan yang satu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam konteks lebih luas, hubungan antara sesama manusia tidaklah terbatas antara Muslim bahkan Islam menggesa umatnya berbuat baik dan berkasih sayang dengan berlainan agama serta kepercayaan. Inilah antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia supaya kehidupan di muka bumi sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia. Adalah menyedihkan apabila segelintir kita terus-menerus berada dalam keadaan berselisih faham dan berprasangka buruk.

Sesungguhnya masalah ini jika dibiarkan akan menjadi barah bakal memusnahkan kebahagiaan hidup, malah lebih teruk lagi menjauhkan kita daripada rahmat dan keberkatan Allah. Menjadi tuntutan dalam Islam supaya setiap permasalahan dan perselisihan diselesaikan dengan cara terbaik seperti melalui meja rundingan dan permuafakatan. Dengan cara itu, titik pertemuan dapat dicari dan jurang perselisihan pendapat dapat dikurangkan. Lebih penting adalah menjamin keberkatan, rahmat dan keredaan Allah terus dinikmati bagi meneruskan kehidupan di dunia penuh cabaran yang saban hari bertukar-ganti.

Hakikatnya setiap perselisihan berlaku sesama manusia, haruslah dirujuk kepada al-Quran dan sunnah. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah)." (Surah an-Nisa', ayat 59)

Sebagai ummah terbaik, kita seharusnya sentiasa bersikap positif dan bersangka baik sesama manusia. Jika ada perkara belum diketahui kebenarannya, maka selidik dengan teliti. Hanya dengan itu kita dapat menjauhkan diri daripada terus berprasangka buruk. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa." (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Marilah kita bertekad untuk sentiasa memelihara hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Semoga kita tidak tergolong di kalangan manusia yang dimurkai Allah dan ditimpa kehinaan kerana tidak mementingkan hubungan itu.Firman Allah yang bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

*Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 13 April 2009 (Isnin), m/s 30.

Titik Permulaan


Alhamdulillah, selesai sudah peperiksaan. Allah Ta'ala beri peluang pada saya untuk membuat blog ini. Seiring dengan kepesatan pertumbuhan blog di serata dunia, saya wujudkan blog ini untuk membincangkan pelbagai isu ilmiah, atau mungkin omongan kosong.

Kepada para pengunjung, ayuh sama-sama kita berkongsi idea demi manfaat kita bersama. Terimalah kehadiran saya sebagai seorang blogger.