Saturday, April 25, 2009

Ubah Sikap, Jaga Tutur Kata Elak Sengketa Ummah (B.HARIAN 24 FEB 2009)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Perkataan baik, lemah lembut mampu memikat pendengar mendekati kebenaran Islam

ISLAM agama yang menitikberatkan pelbagai aspek kehidupan manusia, daripada sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Setiap perkara menyentuh kehidupan manusia sama ada berkaitan kehidupan di dunia mahupun alam akhirat diperincikan Allah dalam al-Quran.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Oleh itu, maka wajarlah setiap inci perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya). (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)

Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurniakan Allah berupaya untuk menuturkan apa saja kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka.

Sebagai manusia yang sentiasa sedar akan tujuan penciptaannya di muka bumi ini, kita harus ingat setiap apa yang dikatakan, sesungguhnya ia tidak terlepas daripada catatan malaikat yang memerhatikan setiap gerak-geri serta tingkah-laku. Hal ini bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah dan akan diberi balasan selayaknya.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir. (Surah Qaaf, ayat 18) Hakikatnya, penuturan kata-kata baik dapat memberi kesan mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata baik dan benar, secara mudah orang di luar sana akan terpikat dengan keindahan serta kebenaran Islam.

Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyeru ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata lembut, bukan dengan angkuh dan bermegah-megah. Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Toha, ayat 43-44)

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik, benar dan lemah lembut dalam proses dakwah sebenar. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama bersifat toleransi serta mulia.

Selain itu, dalam al-Quran dengan jelas Allah menyatakan bahawa antara ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu mendapat gelaran (‘ibad ar-Rahman) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.” (Surah al-Furqan, ayat 63) Justeru, adalah menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan lebih teruk lagi merasakan dirinya sahajalah yang betul dan baik jika dibandingkan dengan yang lain.

Sebaliknya, sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita seharusnya merasa rendah diri dan memilih kata-kata terbaik apabila berhadapan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Menyedari hakikat itu, marilah sama-sama kita mengubah diri dengan menjaga tutur kata supaya tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah ummah.

Perlu diingat, kata yang baik, bukan sekadar susunan perkataan indah dan memuji, lebih penting ialah bersifat benar serta jauh daripada segala bentuk tipu daya. Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata indah dan mulia. Kata-kata baik yang memiliki kebenaran juga menjamin kesan mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70) Sama-samalah kita menyedari peranan utama kita diciptakan iaitu untuk mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Allah yang mencipta sekalian alam. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak.

Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah daripada terus menuturkan kata-kata tidak berfaedah dan menyakiti hati serta perasaan orang lain. Sebaliknya, basahilah lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, supaya ketenangan sejati menyuburi hati kita.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28) Marilah bersama mengubah sikap menjadi orang yang sentiasa berjaga-jaga terhadap setiap tingkah-laku seharian kita.

Menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri segala nikmat diperoleh dan sentiasa membahagiakan orang lain dengan pengucapan kata-kata yang baik, indah dan benar.

Pada akhirnya, dengan izin Allah kehidupan kita akan bertambah baik dan dihiasi akhlak unggul, menepati tujuan diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak umat manusia.

* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 24 Februari 2009 (Selasa), m/s 30.

No comments:

Post a Comment