Sumber: http://www.zaharuddin.net/
PANDANGAN ULAMA
Para ulama terbahagi kepada 3 pendapat dalam hal ini :-
1- Hanya boleh selepas masuk waktu Zohor :
Solat dan khutbah Jumaat MESTILAH dilaksanakan SELEPAS MASUK WAKTU ZOHOR. Ia adalah pendapat majoriti mazhab dan ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan disokong oleh Ibn Hazm yang bermazhab Zohiri.
Solat dan khutbah Jumaat MESTILAH dilaksanakan SELEPAS MASUK WAKTU ZOHOR. Ia adalah pendapat majoriti mazhab dan ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali dan disokong oleh Ibn Hazm yang bermazhab Zohiri.
2- Boleh setelah masuk Dhuha :
Iaitu selepas salah galah naik matahari : Ia adalah salah satu pendapat atau ijtihad yang popular Imam Ahmad, ini dikatakan pandangan mazhab yang sebenarnya menurut kalangan pengikut mazhab Hanbali.
3- Boleh dilaksanakan sejam sebelum Zohor :
Waktu boleh solat dan khutbah Jumaat bermula pada jam 12 tengahari jika Zohor masuk jam 1 petang : Iaitu waktu yang dinamakan "al-waktu al-sadisah" iaitu satu jam sebelum masuk waktu Zohor. : Ini juga adalah salah satu ijtihad Imam Ahmad dan dipegang oleh minoriti pengikutnya.
Kesemua tiga-tiga pendapat mempunyai dalil hadis dan athar, namun setiap satu dalil tidak sunyi dari bantahan kumpulan yang lain. Saya tidak akan menyatakan dengan perinci dalil kesemua mereka, cukup untuk saya menyatakan satu atau dua dalil terpilih sahaja. Dan saya tinggalkan pandangan ketiga disebabkan amat kurang kukuhnya dalil mereka pada penilaian majority ulama.
RINGKASAN DALIL KUMPULAN PERTAMA DAN KEDUA
Dalil yang dipegang oleh kumpulan pertama :
· Hadis : Dari Anas r.a
أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يصلي الجمعة حين - تميل الشمس
Ertinya : Berkata Anas Bin Malik : Sesungguhnya Nabi s.a.w melaksanakan solat Jumaat di ketika matahari condong ( selepas masuk waktu zohor) ( Riwayat Al-Bukhari)
· Hadis : Dari Sayyidatuna Aisyah r.a mengatakan :
كان الناس مهنة أنفسهم وكانوا إذا راحوا إلى الجمعة راحوا في هيئتهم، فقيل لهم: لو اغتسلتم
Ertinya : Orang ramai semua sedang sibuk bertugas (mencari nafqah), dan apabila mereka pergi untuk menunaikan Jumaat, mereka pergi dalam keadaan itu (dengan peluh dan pakaian kerja), maka di katakan kepada mereka : Sekiranya mereka pulang dan mandi terlebih dahulu ( ia lebih baik) ( Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini memberikan indikasi bahawa solat Jumaat dilaksanakan dalam waktu zohor, sesudah tugasan dan kerja dilaksanakan pada waktu pagi. (Fath al-Bari, 2/387 )
· Terdapat banyak lagi dalil yang digunakan termasuk amalan khalifah Abu Bakar, Umar dan Ali r.a yang turut menunaikan solat dan khutbah Jumaat dalam waktu zohor. ( Rujuk lanjut dalan huraian Imam Ibn Hajar di Fath al-Bari); selain itu, bukankah zolat Jumaat sebagai ganti solat zohor maka sudah tentu waktunya turut seperti waktu zohor. ( Minhaj at-Tolibin, 1/116 )
Dalil pegangan kumpulan kedua :
· Hadis : dari Jabir r.a :-
كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يصلي الجمعة، ثم نذهب إلى جمالنا فنريحها حين تزول الشمس
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menunaikan Jumaat, kemudian kami pergi ke unta kami dan memberinya makan DI KETIKA gelincirnya matahari. ( Riwayat Muslim )
Hadis ini memberi indikasi solat atau khutbah jumaat disiapkan sebelum gelncir matahari ( iaitu waktu zohor), kerana Jabir r.a memberitahu mereka hanya pergi memberi makan unta mereka selepas itu, iaitu pada waktu matahari tergelincir. ( Naylul Awtar, 3/261)
· Athar : Berkata Abdullah bin Saidan
شهدت الجمعة مع أبي بكر فكانت صلاته وخطبته قبل نصف النهار، ثم شهدتها مع عمر فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: انتصف النهار، ثم شهدتها مع عثمان فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول: زال النهار، فما رأيت أحدًا عاب ذلك، ولا أنكره
Ertinya : Aku bersama Jumaat dengan Abu Bakar, solat dan khutbahnya sebelum pertengahan siang ( zohor), kemudian aku juga bersama Umat, demikian solat dan khutbahnya sehingga aku berkata : telah masuk separuh siang, kemudian aku bersama Uthman r.a , demikian juga solat dan khutbahnya sehingga aku berkata; telah tergelincir matahari, dan tidak aku lihat ada seorang pun ( dari kalanagan sahabat) yang menegurnya, tiada juga yang mengingkarinya ( Riwayat Ibn Abi Syaibah, & Abd Razzaq )
KESIMPULAN
a. Usahakanlah untuk menunaikan solat dan khutbah Jumaat di dalam waktu zohor mengambil pandangan majoriti mazhab dan dianggap punyai dalil yang terkuat.
b. Perlu difahami bahawa solat dan khutbah Jumaat sebelum waktu zohor sememangnya mempunyai dalil dan ulama yang menyokong. Justeru itu, tidak timbul solat atau khutbah mereka tidak sah atau salah, selagimana mereka yang melakukannya : -
Yakin dengan pandangan tersebut setelah meneliti dalilnya.
Tetap dilakukan solat Jumaat itu atas sebab ‘hajat' (kesukaran) seperti yang berlaku di Geneva, iaitu kesukaran mendapat flexibility waktu rehat akibat bertugas di syarikat yang bukan milik Islam atau bagi memudahkan umat Islam di kawasan persekitaran untuk menunaikan kewajiban Jumaat mereka dengan baik dan mudah. Ini berdasarkan ‘Fiqh Taysir'.
Mengikuti panduan seseorang yang alim atau berwibawa dalam bidang Fiqh, tatkal aitu yang mengikuti sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai ‘individu yang tidak mengetahui ‘ sebagaimana diarah oleh Allah swt, iaitu "Tanyalah orang yang tahu, sekiranya kamu tidak mengetahui".
c. Bagi mana-mana kumpulan warga Malaysia yang amat TIDAK SELESA serta TIDAK YAKIN untuk mengikuti masjid yang mengikuti pendapat mazhab Hanbali itu, serta ingin TETAP dengan berpegang ijtihad mazhab Syafie khususnya atau jumhur, mereka boleh melaksanakan solat dan khutbah Jumaat secara sendiri di mana-mana tempat yang sesuai jika bilangan ahli jemaah mencukup 40 orang. Jika tidak mereka boleh menunaikan solat zohor sahaja, namun ini bukan pandangan terpilih, khususnya di waktu wujudnya keperluan untuk mengambil fatwa yang lebih ringan di ketika wujud keperluan dan kesukaran.
Sekian
No comments:
Post a Comment