Saturday, May 1, 2010

Reda Ibu Bapa Jamin Hidup Berkat (HARIAN METRO, Jumaat 30 April 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


Alangkah nikmatnya kehidupan hari tua di samping orang tersayang selepas puas membanting tulang membesarkan zuriat pada usia muda.

Malah, jiwa seorang warga tua dilihat lebih sensitif daripada kanak-kanak kecil. Hati mereka mudah tersentuh dan tersinggung jika hasrat mereka tidak dipenuhi anak-anak.

Keadaan ini fitrah manusia yang boleh dilihat seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak apabila usia lanjut. Namun, amat menyedihkan akhir-akhir ini media sering melaporkan warga tua diabaikan zuriat sendiri dan terpaksa hidup merempat dan menagih simpati orang lain.


Ini berlaku kerana hilangnya rasa tanggungjawab dan prihatin anak yang lebih mementingkan kerjaya lantas berpendapat tugas menjaga orang tua sesuatu yang membebankan.

Kajian mendapati, pada 2004 terdapat kira-kira 1.66 juta warga tua di Malaysia dan menurut unjuran yang dibuat, peratus warga tua akan terus meningkat kepada 7.3 peratus pada tahun ini dan 9.5 peratus menjelang 2020.

Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun.

Berbuat baik dan berbakti kepada orang tua adalah amalan mulia. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w ketika menjawab pertanyaan Ibn Mas’ud r.a, bermaksud: “Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah amalan yang paling utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua-dua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.” (hadis riwayat Muslim).

Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan berbuat baik terhadap orang tua amat penting sehingga martabatnya diletak selepas akidah (tidak menyekutukan Allah). Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa, jika seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23).

Ini membuktikan tingginya martabat ibu bapa dalam Islam sehingga mengingkari perintahnya dan mengasari mereka walaupun dengan berkata ‘ah’ cukup untuk melabelkan si anak sebagai derhaka.

Bayangkan jika si anak mencederakan orang tuanya, pasti dosanya lebih besar.

Sebagai anak soleh, kita wajib menjaga air muka dan maruah ibu bapa.

Sesungguhnya setiap tingkah laku dan pertuturan kita mencerminkan maruah dan harga diri orang tua. Amat besar dosa anak yang tidak menjaga maruah dan air muka ibu bapa.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca orang tuanya. Sahabat Baginda bertanya: Wahai Rasulullah, adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua-dua orang tuanya? Rasulullah menjawab: Ya. Seorang lelaki yang memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga jika seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.” (hadis riwayat Bukhari).

Islam tidak pernah sekali-kali memutuskan hubungan anak dengan ibu bapa mereka meskipun si anak sudah memeluk Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, janganlah engkau taat kepada mereka, kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 8).

Seperkara lagi yang perlu menjadi ingatan setiap anak bahawa keredaan Allah itu mempunyai kaitan rapat dengan keredaan kedua-dua ibu bapa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Keredaan Allah ada dalam reda kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan-Nya ada dalam kemurkaan kedua-duanya.” (Hadis riwayat al-Tabrani).

Justeru, berhati-hatilah terhadap setiap pertuturan dan setiap inci tingkah kita agar ia tidak mengguris perasaan mereka yang memadamkan keredaannya.

Sesungguhnya, keberkatan hidup seorang anak akan lebih menyinar jika disertai dengan doa dan restu ibu bapa mereka.

Bagi mereka yang masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada ibu bapa, rebutlah peluang itu sebelum ajal menjemput mereka.

Jika tidak berpeluang menabur bakti kepada orang tua, memadai berdoa kepada Allah agar roh mereka di tempatkan bersama golongan yang beriman. Selain itu, jagalah ikatan silaturahim dengan rakan ibu bapa agar kebaikan akan terus dinikmati orang tua.

Jangan lupa melakukan kebaikan seperti bersedekah, membaca al-Quran atau berzikir untuk dihadiahkan kepada ibu bapa yang meninggal dunia.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” (hadis riwayat Muslim)




No comments:

Post a Comment