Friday, June 18, 2010

Persiapan Diri Menanti Hari Kiamat Lebih Utama


Mohd Shahrizal Nasir



Sebagai seorang Muslim kita semestinya beriman dengan keimanan yang teguh bahawa detik berlakunya hari Kiamat pasti akan datang. Beriman kepada hari Kiamat merupakan satu daripada rukun Iman yang wajib diperakukan kebenarannya, manakala mengingkarinya bererti seseorang itu terkeluar daripada agama Islam.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur.” (surah al-Haj, ayat 7).


Hari Kiamat yang akan menutup setiap inci pintu taubat, haruslah sentiasa diinsafi oleh setiap individu Muslim agar tidak tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang rugi. Maha Besar kebijaksanaan dan keesaan Allah s.w.t yang telah merahsiakan tarikh sebenar berlakunya hari Kiamat. Keadaan ini tidak lain, adalah untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat getir tersebut.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (surah al-An’am, ayat 59).


Walau bagaimanapun, jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan perihal hari Kiamat, terdapat beberapa tanda hari Kiamat yang telah dijelaskan oleh Baginda s.a.w. Antaranya menerusi sabda Rasulullah s.a.w: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah s.a.w kepada kami lalu bertanya: “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?” Lalu kami menjawab: Kami sedang berbincang tentang hari Kiamat.” Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya Kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa a.s, munculnya Ya’juj Ma’juj dan tiga gerhana, gerhana di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman yang akan menghantar manusia ke Mahsyar.” (hadis riwayat Muslim).


Begitulah indah dan rapinya Islam yang tidak pernah meninggalkan umatnya berada dalam kekaburan dan meraba-raba. Segalanya telah dijelaskan sama ada dalam al-Qur’an mahu pun hadis Rasulullah s.a.w. Apa yang pasti, hari Kiamat itu pasti akan datang menerjah umat manusia yang semakin asyik dengan keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (surah al-An’am, ayat 32).


Sebagai seorang Muslim yang mengharapkan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, seharusnya kita berfikir serta merenung setiap tingkah-laku dan pertuturan seharian selama ini. Adakah semuanya mencerminkan bahawa kita seorang yang mengharapkan kebahagian hidup di akhirat kelak? Semuanya terletak pada kemahuan kita setelah Allah s.w.t dan Rasul-Nya memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai panduan mencapai kebahagian tersebut. Rugilah bagi mereka yang hanya menjadikan keseronokan dunia sebagai matlamat terakhir.


Malah Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan bahawa detik berlakunya hari Kiamat itu amat hampir. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari Kiamat adalah seperti ini”, sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Perkara berkaitan hari Kiamat ini juga telah menjadi kepercayaan individu bukan Islam yang telah membayangkan berlakunya peristiwa yang amat dahsyat ini berdasarkan imaginasi serta khayalan mereka.


Seorang pengarah filem dari Barat bernama Roland Emmerich secara jelas membayangkan peristiwa hari Kiamat menurut imaginasinya menerusi penghasilan filem “2012” yang diterbitkan pada tahun 2009.


Filem ini telah mendapat sambutan yang luar biasa sehingga mampu mengumpul pulangan sebanyak 225 milion pada minggu pertama penayangannya di pawagam. Sememangnya, banyak perkara yang dihidangkan kepada para penonton dalam filem ini adalah tidak benar malah ada yang bercanggah dengan apa yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Sebagai umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua perkara al-ghaibiyat iaitu yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk menafsirkannya.


Setiap sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al-Qur’an dan hadis haruslah ditolak sekeras-kerasnya agar keimanan kita terus utuh. Akal manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t amat terbatas dan sesekali tidak dapat menjangkau ilmu Allah s.w.t yang dirahsiakan-Nya kepada umat manusia.


Sekali lagi, Allah s.w.t secara jelas menerangkan perkara berkaitan hari Kiamat menerusi firman-Nya dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari Kiamat: “Bilakah masa datangnya?”, katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari Kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.(surah al-A’raf, ayat 187).


Sebenarnya, perlu dijelaskan di sini bahawa, bukanlah tujuan Rasulullah s.a.w menjelaskan beberapa tanda sebelum berlakunya hari Kiamat itu, supaya umat Islam mengira hari dan mencatur masa untuk mengetahui tarikh sebenar berlakunya hari Kiamat.


Semestinya, adalah sesuatu yang amat mustahil untuk manusia membuat kiraan dan caturan bagi mengetahui tarikh sebenar ataupun tarikh jangkaan berlakunya hari Kiamat. Namun, kesemua tanda-tanda hari Kiamat tersebut dinyatakan, adalah agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya.


Bersedia dalam erti kata iaitu dengan menjaga setiap tingkah-laku dan pertuturan harian daripada terjebak dalam sebarang bentuk kemungkaran. Di samping itu, semua bentuk suruhan serta kewajipan yang telah jelas penetapannya oleh syara’ haruslah dipenuhi serta dilaksanakan dalam bentuk yang paling sempurna dan terbaik.


Marilah sama-sama kita mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat serta mendalami ilmu berkaitan agama agar ibadah kita dapat diperbaiki dari segi kualitinya dari masa ke semasa. Inilah di antara bentuk usaha untuk mempersiapkan diri menjelang detik berlakunya hari Kiamat.


Peruntukkanlah sedikit masa untuk membaca buku, menghadiri majlis ilmu serta mendengar tazkirah agama agar hati kita sentiasa sedar akan perlunya mempersiapkan diri sesempurna mungkin untuk menghadapi hari Kiamat.


Imam Nawawi pernah menukilkan dalam kitabnya al-Majmu’: “Selayaknya seseorang itu sentiasa bersungguh-sungguh dalam menyibukkan diri dengan ilmu, baik dengan cara membaca, dibacakan ataupun membacakan kepada orang lain, menelaah, memberikan catatan-catatan, membahas, muzakarah (mempelajari dan mengulang pelajaran), dan menulisnya. Dan janganlah dia merasa sombong sehingga tidak mahu belajar daripada orang yang di bawahnya dari segi umur, keturunan, atau kemasyhuran. Bahkan hendaklah dia bersemangat untuk mendapatkan faedah dari orang yang memilikinya (ilmu).


Walaupun ditakdirkan kita tidak berkesampaian berdepan dengan hari Kiamat yang dahsyat itu, jika kita sentiasa bersedia untuk menghadapi kedatangannya, nescaya kita tidak sedikit pun merasa rugi. Sesungguhnya setiap anak Adam bakal berdepan dengan satu lagi kiamat yang pasti akan datang iaitu kematian.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (surah Ali Imran, ayat 185).



Mohd Shahrizal Nasir

Felo Akademik

Fakulti Bahasa Dan Komunikasi

Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu





No comments:

Post a Comment