rencana@hmetro.com.my
KESYUKURAN kepada Allah wajib dipanjatkan atas kurniaan-Nya menemukan kita dengan Ramadan kali ini. Ramadan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kembali lagi membawa seribu satu rahmat dan keberkatan.
Menjadi satu kewajipan umat Islam merebut peluang keemasan dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap saat dalam bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang diredai-Nya.
Sebuah hadis yang sahih menerangkan secara jelas bahawa ganjaran besar menanti orang Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan.
Tiada ganjaran yang lebih besar selain Allah mengampunkan hamba-Nya yang tidak pernah lekang daripada melakukan dosa.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Namun, dalam keghairahan merebut peluang keemasan sepanjang Ramadan, kadang-kadang terdapat beberapa perkara terlepas daripada kawalan kita.
Meskipun mungkin sesetengah pendapat melihat perkara itu sebagai remeh, hakikatnya ia mampu mencacatkan malah mungkin menyebabkan puasa kita tertolak.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan ibadat kita mencapai tahap yang terbaik iaitu: Bersahur pada waktunya.
Perkara itu perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah yang membezakan ibadat puasa umat Islam dengan puasa yang dilakukan agama lain.
Mungkin ramai yang mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam dan meninggalkan sahur. Perkara itu tidak tepat kerana bersahur adalah sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu subuh.
Sesungguhnya terdapat keberkatan yang menunggu mereka yang bersahur. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Menyegerakan berbuka puasa. Hal itu perlu diberi peringatan kerana terdapat antara kita yang melakukan sambil lewa.
Sekiranya yakin masuknya waktu Maghrib kita digalakkan segera berbuka.
Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan seribu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadat dengan tepat menurut garis panduan yang ditetapkan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari).
Bersederhana ketika berbuka. Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika waktu berbuka.
Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan sehingga akhirnya, hanya sebahagian saja yang mampu dihabiskan manakala bakinya dibuang.
Inilah antara dugaan bagi golongan yang berpuasa. Jika keadaan ini tidak dikawal, maka sudah pasti ibadat puasa yang dilakukan hampir separuh hari itu tidak mampu untuk mendidik jiwa dan mengawal hawa nafsu dengan sempurna.
Jika dilihat daripada sunnah Rasulullah, baginda amat bersederhana ketika berbuka puasa. “Rasulullah berbuka puasa dengan kurma rutab sebelum solat, dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar, dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air.” (hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmidzi).
Menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah. Seperkara yang perlu menjadi perhatian kita ialah perlunya mengetahui antara perkara yang utama dengan yang lebih utama.
Ibadat puasa adalah utama, namun solat lima waktu lebih utama untuk ditunaikan secara yang lebih sempurna.
Sesetengah daripada kita tidak memandang solat sebagai satu ibadat yang perlu ditunaikan pada tahap yang sempurna kerana jika tidak, ia bakal mencacatkan ibadat puasa.
Seharusnya kita berlumba menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah. Rasulullah ketika ditanya oleh sahabat berkaitan amalan yang terbaik, maka Baginda menjawab: “Solat pada awal waktunya.” (hadis riwayat Tirmidzi dan Abu Daud).
Lebih malang, jika terdapat antara umat Islam yang berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa menunaikan solat lima waktu. Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama.
Memperbanyakkan doa. Secara jelas antara keadaan yang mana doa dimakbulkan Allah ialah apabila ia dilakukan oleh orang yang berpuasa.
Inilah antara rahmat yang bakal diperoleh umat Islam di bulan Ramadan. Setiap permintaan dan hajat yang baik dan dipanjatkan secara ikhlas dan rendah diri, pasti dimakbulkan oleh Allah.
Ambillah peluang untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan, keamanan, keberkatan, keampunan buat seluruh umat Islam di segenap pelosok dunia.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak akan tertolak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Dalam satu hadis sahih diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa beliau diajar Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni”, yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.” (hadis riwayat Tirmidzi).
Bertadarus al-Quran. Jika disingkap dalam sirah Rasulullah, tadarus adalah sunnah Rasulullah. Baginda bertadarus dengan malaikat Jibril pada setiap Ramadan dan pada Ramadan terakhir sebelum kewafatan baginda mereka bertadarus sebanyak dua kali.
Sebenarnya yang disebut sebagai tadarus ialah apabila ia dilakukan dua pihak, iaitu satu pihak membaca, manakala pihak kedua mendengar sambil memperbetulkan kesilapan bacaan dan seterusnya secara bergilir-gilir. Inilah konsep tadarus yang sebenar iaitu membaca dan menyemak bacaan.
Perkara itu yang menjadi tujuan Rasulullah bertadarus bersama malaikat Jibril iaitu antara lain untuk memastikan al-Quran itu tepat tanpa ada sebarang kesilapan.
Selain itu, kita perlu mengawal pemakanan ketika berbuka puasa. Perkara berkenaan memang remeh tetapi sebenarnya membawa implikasi yang besar.
Bayangkan ketika bersembahyang jemaah ada kalangan mereka yang sendawa secara bebas ketika solat di masjid. Sudah pasti keadaan ini boleh mengganggu tumpuan jemaah lain malah ditakuti boleh menyakiti hati mereka.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Barang siapa yang makan bawang putih atau merah (yang kuat baunya), maka jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah di rumah sahaja.” (Hadis riwayat Bukhari).
Mengawal setiap kata-kata dan perbuatan. Perkara-perkara buruk seperti melemparkan kata-kata kesat, mengumpat, menyebarkan fitnah adalah antara perkara yang amat mudah terdedah kepada kita.
Justeru, sempena bulan yang mulia ini, kita seharusnya menjadi seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata dan perbuatan seharian.
No comments:
Post a Comment