Monday, November 14, 2011

Kecelaruan Terhadap Qissah al-Qur'an


Qissah merupakan salah satu daripada uslub al-Qur’an. Secara literal, perkataan “Qissah” membawa maksud “تتبع الأثر iaitu “menjejaki kesan”. Makna inilah yang dimaksudkan pada ayat 64 surah al-Kahf. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Nabi Musa berkata: ‘Itulah yang kita kehendaki’; mereka pun balik semula ke situ dengan menurut jejak mereka.” Dalam ayat tersebut, perkataan “qasas” diterjemahkan sebagai “jejak mereka”. Dari sini, kita dapat mengetahui bahawa terjemahan perkataan “qasas” ini mengambil makna literal perkataan “qissah” sepertimana yang dijelaskan tadi.
Menurut Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, terdapat 3 jenis qissah dalam al-Qur’an, iaitu:
1. Qissah Para Nabi seperti qissah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan lain-lain.
2. Qissah Qur’ani seperti qissah Ashab al-Kahf, qissah Dzu al-Qarnayn, qissah Ashab al-Sabt dan Maryam dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sebelum kelahiran Rasulullah SAW.
3. Qissah Rasulullah seperti qissah perang Badr, qissah perang Uhud, qissah Hijrah dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sepanjang hayat Rasulullah SAW.
Perlu dijelaskan di sini bahawa qissah al-Qur’an ini tidak boleh sama sekali, dengan apa juga tujuan disama ertikan dengan “cerita”, sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Cerita atau kisah yang difahami dalam dunia kesusasteraan Melayu sebagai salah satu bentuk seni adalah berbeza dengan maksud dan ciri-ciri “qissah” yang dirakamkan dalam al-Qur’an.
Beberapa ciri-ciri qissah al-Qur’an secara jelas menunjukkan ianya berbeza dengan pemahaman orang sastera Melayu tentang “cerita”. Jika kita fahami dengan cermat, qissah al-Qur’an bersifat benar. Dengan kata mudah, kesemua qissah al-Qur’an adalah satu qissah yang benar-benar berlaku pada satu ketika yang termaklum. Ianya bukan sama sekali kisah khayalan atau ciptaan. Inilah yang harus difahami dengan cermat oleh orang yang mendakwa al-Qur’an mengandungi atau sarat dengan “cerita”. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami qissahkan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahf, ayat 13).
Berdasarkan penerangan ini, sekali lagi ditegaskan bahawa perkataan “cerita” tidak sesuai untuk membawa maksud perkataan “al-qissah” yang merujuk kepada qissah al-Qur’an.
Selain itu, jika kita dalami ciri-ciri “qissah al-Qur’an”, kita akan dapati bahawa qissah tersebut tidak bersifat terperinci. Malah pada sesetengah tempat, sesebuah qissah itu bertaburan dalam beberapa surah al-Qur’an. Terdapat juga potongan ayat al-Qur’an yang berkaitan sesebuah qissah diulang beberapa kali dalam beberapa tempat atau surah al-Qur’an. Justeru, apakah ciri-ciri ini menunjukkan al-Qur’an itu dipenuhi dengan qissah? Adakah perjalanan qissah menjadi keutamaan?
Pernahkah kita terfikir tentang hal ini?
Sudah pasti, terdapat tujuan tertentu daripada ciri-ciri qissah al-Qur’an. Inilah yang dinyatakan dalam banyak kitab-kitab perbincangan ‘Ulum al-Qur’an. Para ulama’ berpendapat bahawa qissah al-Qur’an itu bukan diwahyukan untuk tujuan hiburan, keseronokan atau dijadikan pembacaan pada waktu senggang dan lapang. Uslub Qissah dirakamkan dalam al-Qur’an adalah dengan tujuan yang jelas iaitu agar manusia mengambil pengajaran atau disebut sebagai “عبرة dalam bahasa Arab. Pengajaran inilah yang menjadi tujuan utama perakaman qissah dalam al-Qur’an dan bukan perjalanan qissah tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Demi sesungguhnya qissah mereka (para Nabi) itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Qissah yang terkandung dalam al-Qur’an) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111).
Menerusi mafhum ayat di atas, tanpa ragu-ragu, kita dapat fahami bahawa qissah yang dirakamkan di dalam al-Qur’an itu mempunyai beberapa ciri penting. Antaranya:
1. Mengandungi ‘ibrah atau pengajaran.
2. Bukan cerita yang diada-adakan.
3. Mengesahkan sesuatu yang telah berlaku.
4. Menjelaskan sesuatu perkara (ada tujuan).
5. Menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Inilah ciri-ciri qissah al-Qur’an yang dijelaskan dalam ayat 12, Surah Yusuf. Atas dasar inilah, saya menolak pandangan yang menyamakan perkataan “qissah” dengan “cerita” iaitu satu daripada bentuk seni dalam kesusasteraan Melayu. Sekiranya kita letak ke tepi ciri kelima seperti yang saya nyatakan di atas, adakah cerita yang kita fahami sekarang sama dari segi cirinya dengan qissah al-Qur’an (ciri 1-4)?
Justeru adalah sesuatu yang salah dan tersasar, sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang cuba memanfaatkan qissah al-Qur’an dalam penghasilan karya seni mereka dengan cara yang salah. Malah memanfaatkan istilahnya secara tidak cermat, juga boleh mengundang kesesatan.
Bagi mereka yang galak mengatakan al-Qur’an menggunakan kaedah penceritaan di dalamnya. Malah ada pihak yang tanpa cermat mengakui bahawa karya mereka menggunakan teknik “penceritaan” al-Qur’an. Di sini, ingin saya ajukan beberapa persoalan. Adakah hasil karya tersebut mengutamakan ‘ibrah? Adakah karya tersebut menjunjung kebenaran? Adakah karya tersebut menolak khayalan? Adakah karya tersebut bertujuan menjelaskan sesuatu perkara pokok?
Persoalan ini perlu dijawab oleh mereka yang membuat dakwaan tersebut.
Sebenarnya, kecelaruan pemahaman istilah “qissah” dalam dunia kesusasteraan Melayu ini harus diperbetulkan. Sekiranya masyarakat faham bahawa istilah “qissah” yang digunakan dalam al-Qur’an itu sama dengan makna “cerita”, maka ia merupakan satu kecelaruan yang nyata. Yang menjadi parah lagi, sekiranya keadaan ini membuka ruang kepada khalayak ramai khususnya para penulis yang celaru, lantas mendakwa karya mereka setanding dengan qissah al-Qur’an. Hal inilah yang menjadi kekhuatiran saya. Semakin ramai yang mendakwa karya mereka berkualiti kerana mengikut teknik al-Qur’an, sedangkan hakikatnya mereka berada dalam kecelaruan yang nyata tatkala menterjemahkan “qissah” sebagai “cerita”.
Tanpa disedari, kecelaruan ini telah merendahkan martabat al-Qur’an. Inilah yang dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya bertajuk “Al-Qur’an, Ilmu, Disiplin Islami Dan Sastera”. Makalah ini termuat dalam buku berjudul “Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis” yang disunting oleh Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir. Menurut Dr. Zulkarnain, “adalah penting untuk menarik perhatian kepada implikasi pengabaian atau ceteknya fahaman i’jaz ini dalam konteks amalan sastera dewasa ini, khususnya dalam kalangan penulis kreatif dan juga pengkritik. Seperti yang telah dihujahkan, disiplin manusia tidak boleh dicampuradukkan dengan i’jaz al-Qur’an kerana ia bukan saja boleh memberi gambaran salah tentang al-Qur’an tetapi mengakibatkan berlakunya manipulasi al-Qur’an itu sendiri. Umpamanya, genre novel atau cerpen yang berasal dari Barat (atau apa juga genre yang tidak disandarkan kepada fahaman tauhid) tidak boleh dihubungkaitkan dengan surah Yusuf sebagai satu i’jaz atau cerita yang paling indah. Perbandingan kedua-duanya boleh membawa kepada penafsiran yang salah terhadap al-Qur’an.” (halaman 100).
Perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Zulkarnain ini sangat jelas dan bagi saya, ianya terjadi berpunca daripada pemahaman sesetengah pihak yang salah membuat tafsiran yang mungkin disebabkan tujuan-tujuan tertentu. Dinukilkan oleh Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, telah berlaku satu perdebatan hebat sekitar tahun 1367 Hijriyyah apabila seorang calon PhD di salah sebuah universiti di Mesir menulis tesis bertajuk “الفن القصصي في القرآن (Seni Qissah Di Dalam al-Qur’an). Perdebatan ilmiah tentang tajuk tesis ini berlaku kerana penilai tesis tersebut iaitu Prof. Dr. Ahmad Amin tidak bersetuju dengan tajuk dan isi kandungan tesis yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu merupakan satu cabang seni, sepertimana yang diusahakan oleh para penulis karya seni (Sila rujuk kitab di halaman 282, cetakan ke-5, 1998, Beirut: Mu’assasah al-Risalah).
Inilah satu lagi keadaan yang mencelarukan apabila terdapat individu yang cuba mengkaji sesuatu tanpa ilmu yang benar. Usaha ini secara jelas merendahkan martabat al-Qur’an yang tidak boleh disamakan dengan seni karya manusia. Berdasarkan hujahan yang telah saya nyatakan dalam ruangan ini, sekali lagi saya menegaskan bahawa qissah al-Qur’an tidak boleh sama sekali disamakan dengan “cerita” sama ada dari segi isinya mahupun pemahaman makna dan ciri-cirinya.
Akhirnya, saya mengajak para pembaca agar sentiasa berhati-hati dalam menyatakan sesuatu perkara. Setiap perkara khususnya yang melibatkan al-Qur’an perlu dijelaskan secara berhemah (jelas dan tepat) agar maklumat itu tidak menyesatkan diri sendiri dan orang lain.


Friday, November 4, 2011

Ayuh! Kita Rebut Ganjaran Bulan Zulhijjah


Bagi umat Islam, Allah SWT menganugerahkan dua hari kebesaran untuk diraikan menurut ketetapan Syarak. Dua hari kebesaran tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Hari Raya Puasa (Eid al-Fitr) dan Hari Raya Haji atau juga disebut Hari Raya Korban (Eid al-Adha). Sebenarnya, kedua-dua hari raya ini merupakan antara nikmat Allah SWT yang diberikan kepada seluruh umat Islam agar mereka terus bersyukur dan membesarkan keagungan dan keesaan Allah SWT.
Jika dilihat dari sirah Rasulullah SAW, setelah Baginda berhijrah ke Madinah, penduduk Madinah pada ketika itu meraikan dua hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari yang kamu bersenang-senang pada hari tersebut. Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih daripada dua hari itu, iaitu Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Nasa’i).
Kini kita telah memasuki bulan Zulhijjah, iaitu satu bulan yang memiliki kelebihan yang tersendiri. Kelebihan yang dimaksudkan di sini merujuk kepada hari kebesaran umat Islam yang akan disambut dalam bulan ini. Sepertimana yang diketahui umum, Hari Raya Korban (Eid al-Adha) jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Inilah yang dimaksudkan dengan kelebihan yang terdapat dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW pernah menyatakan kelebihan bulan Zulhijjah berbanding bulan-bulan yang lain menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Dua bulan yang tidak memiliki kekurangan adalah bulan Ramadan dan Zulhijjah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jika difahami dengan lebih lanjut, kelebihan bulan Zulhijjah adalah pada 10 hari terawalnya. Ini berdasarkan beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menjelaskan perkara ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi waktu fajar. Dan sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2). Menurut Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain, yang dimaksudkan dengan sepuluh malam dalam ayat tersebut ialah sepuluh malam atau sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah al-Hajj, ayat 28). Menurut Ibn Abbas, “hari-hari yang ditentukan” dalam ayat tersebut merujuk kepada sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah.
Rasulullah SAW juga bersabda bagi menjelaskan kelebihan 10 hari bulan Zulhijjah ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini." Para sahabat bertanya: "Walaupun berjihad pada jalan Allah?" Rasulullah bersabda: "Walaupun berjihad pada jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)." (Hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan al-Tirmidzi).
Begitu besar ganjaran yang akan dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang memanfaatkan peluang beribadah pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini (sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid." (Hadis riwayat Ahmad).
Berdasarkan beberapa dalil al-Qur'an dan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita tentang kelebihan bulan Zulhijjah, khususnya pada sepuluh hari terawalnya. Ditambah pula dengan kehadiran salah satu hari kebesaran umat Islam iaitu Hari Raya Korban. Adalah wajar untuk kita semua merebut peluang yang cukup berharga ini dengan menunaikan amal kebajikan semaksimum mungkin pada bulan ini.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, di antara sebab-sebab keistimewaan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan haji. Pada bulan-bulan lain, ibadat- ibadat besar dalam Islam ini tidak pernah terhimpun secara serentak sepertimana yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Banyak amal kebajikan yang boleh kita lakukan di sepanjang sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah ini. Antaranya ialah dengan banyak berzikir atau mengingati Allah SWT. Inilah amalan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW dan para salaf al-salih pada sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah.
Sebenarnya, amalan berzikir atau sentiasa mengingati Allah SWT akan membawa banyak faedah kepada manusia khususnya dalam usaha mencapai ketenangan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).
Selain itu, kita juga dianjurkan untuk menunaikan ibadah puasa sunat terutama pada 9 Zulhijjah yang merupakan hari Arafah. Pada hari ini, umat Islam yang sedang melakukan ibadah haji, sedang berada di padang Arafah untuk menunaikan ibadah wukuf. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah, aku mengharapkan daripada Allah untuk menghapuskan dosa selama setahun yang telah berlalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, Ahmad dan Baihaqi).
Perlu diingatkan di sini, bahawa ibadah puasa sunat hari Arafah hanya disyariatkan untuk mereka yang tidak menunaikan ibadah haji. Manakala umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji, maka ianya bukanlah satu tuntutan kerana Rasulullah SAW tidak berpuasa ketika Baginda SAW sedang wukuf di Arafah. Selain itu, harus difahami bahawa, pada 10 Zulhijjah iaitu Hari Raya Korban (Eid al-Adha), umat Islam diharamkan untuk berpuasa. Di sinilah terpancarnya keindahan Islam yang tidak memaksa umatnya melakukan ibadah, ketika sebahagian besar umat Islam yang lain sedang bergembira meraikan hari kebesaran Islam.
Pada Hari Raya Korban yang jatuh pada bulan Zulhijjah, umat Islam dianjurkan untuk meraikan hari kebesaran ini menurut panduan yang telah digariskan oleh Islam. Hari kebesaran ini harus disambut sepertimana tatacara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Di antara perkara sunat yang boleh diamalkan pada hari raya ini ialah memperbanyakkan ucapan takbir, tahmid dan tahlil. Ucapan-ucapan ini adalah untuk menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah SWT dan mengiktiraf keagungan dan kebesaran-Nya. Berbeza dengan Hari Raya Puasa, pada Hari Raya Korban, umat Islam disunatkan melaungkan takbir selama empat hari iaitu pada 10 Zulhijjah dan juga pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Pada pagi Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah, umat Islam juga disunatkan untuk menunaikan solat sunat Eid al-Adha serta mendengar khutbah hari raya. Terdapat sedikit perbezaan dalam perlakuan Rasulullah SAW ketika Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Menurut Buraidah, “Rasulullah SAW tidak keluar (untuk solat Eid al-Fitr) sehingga Baginda makan, manakala pada Hari Raya Korban, Baginda tidak makan sehingga kembali dari solat, dan Baginda makan daripada sembelihannya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad dan Ibn Majah). Ini bermaksud, Rasulullah SAW tidak makan sebelum menunaikan solat sunat Eid al-Adha, dan Baginda SAW akan makan selepas menyempurnakan solat dan ibadah korban, serta makan daging korban tersebut.
Berkaitan dengan ibadah korban, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban ini. Masa yang ditetapkan untuk melaksanakan ibadah ini ialah pada Hari Raya Korban iaitu 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tashriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Menyembelih binatang korban hanya boleh dilakukan setelah selesai solat hari raya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat, maka sesungguhnya dia menyembelih untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelih sesudah solat dan dua khutbah, maka sesungguhnya sempurnalah ibadahnya dan tepatlah menurut sunnah orang-orang Islam." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Demikianlah sedikit perkongsian ringkas tentang pemanfaatan peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita dalam bulan Zulhijjah. Sebagai umat Islam yang sentiasa mengharapkan rahmat dan keredaan Allah SWT, maka peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja. Orang Islam yang beriman akan sentiasa berusaha merebut peluang yang diberikan oleh Allah SWT serta akan terus melaksanakan amal kebaikan pada waktu-waktu yang lain.
Sebenarnya, peluang yang diberikan oleh Allah SWT ini merupakan satu medan untuk mendidik jiwa dan mentarbiyah nafsu agar terus tunduk dan patuh kepada-Nya. Amal kebajikan yang kita lakukan pada bulan ini seperti memperbanyakkan zikir dan puasa, perlu diteruskan pada bulan-bulan yang lain kerana rahmat dan ganjaran Allah SWT itu amat luas bagi setiap hamba yang ikhlas beribadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Hajj, ayat 37)