Monday, November 14, 2011

Kecelaruan Terhadap Qissah al-Qur'an


Qissah merupakan salah satu daripada uslub al-Qur’an. Secara literal, perkataan “Qissah” membawa maksud “تتبع الأثر iaitu “menjejaki kesan”. Makna inilah yang dimaksudkan pada ayat 64 surah al-Kahf. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Nabi Musa berkata: ‘Itulah yang kita kehendaki’; mereka pun balik semula ke situ dengan menurut jejak mereka.” Dalam ayat tersebut, perkataan “qasas” diterjemahkan sebagai “jejak mereka”. Dari sini, kita dapat mengetahui bahawa terjemahan perkataan “qasas” ini mengambil makna literal perkataan “qissah” sepertimana yang dijelaskan tadi.
Menurut Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, terdapat 3 jenis qissah dalam al-Qur’an, iaitu:
1. Qissah Para Nabi seperti qissah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan lain-lain.
2. Qissah Qur’ani seperti qissah Ashab al-Kahf, qissah Dzu al-Qarnayn, qissah Ashab al-Sabt dan Maryam dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sebelum kelahiran Rasulullah SAW.
3. Qissah Rasulullah seperti qissah perang Badr, qissah perang Uhud, qissah Hijrah dan lain-lain. Qissah jenis ini merupakan qissah yang berlaku sepanjang hayat Rasulullah SAW.
Perlu dijelaskan di sini bahawa qissah al-Qur’an ini tidak boleh sama sekali, dengan apa juga tujuan disama ertikan dengan “cerita”, sepertimana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Cerita atau kisah yang difahami dalam dunia kesusasteraan Melayu sebagai salah satu bentuk seni adalah berbeza dengan maksud dan ciri-ciri “qissah” yang dirakamkan dalam al-Qur’an.
Beberapa ciri-ciri qissah al-Qur’an secara jelas menunjukkan ianya berbeza dengan pemahaman orang sastera Melayu tentang “cerita”. Jika kita fahami dengan cermat, qissah al-Qur’an bersifat benar. Dengan kata mudah, kesemua qissah al-Qur’an adalah satu qissah yang benar-benar berlaku pada satu ketika yang termaklum. Ianya bukan sama sekali kisah khayalan atau ciptaan. Inilah yang harus difahami dengan cermat oleh orang yang mendakwa al-Qur’an mengandungi atau sarat dengan “cerita”. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami qissahkan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahf, ayat 13).
Berdasarkan penerangan ini, sekali lagi ditegaskan bahawa perkataan “cerita” tidak sesuai untuk membawa maksud perkataan “al-qissah” yang merujuk kepada qissah al-Qur’an.
Selain itu, jika kita dalami ciri-ciri “qissah al-Qur’an”, kita akan dapati bahawa qissah tersebut tidak bersifat terperinci. Malah pada sesetengah tempat, sesebuah qissah itu bertaburan dalam beberapa surah al-Qur’an. Terdapat juga potongan ayat al-Qur’an yang berkaitan sesebuah qissah diulang beberapa kali dalam beberapa tempat atau surah al-Qur’an. Justeru, apakah ciri-ciri ini menunjukkan al-Qur’an itu dipenuhi dengan qissah? Adakah perjalanan qissah menjadi keutamaan?
Pernahkah kita terfikir tentang hal ini?
Sudah pasti, terdapat tujuan tertentu daripada ciri-ciri qissah al-Qur’an. Inilah yang dinyatakan dalam banyak kitab-kitab perbincangan ‘Ulum al-Qur’an. Para ulama’ berpendapat bahawa qissah al-Qur’an itu bukan diwahyukan untuk tujuan hiburan, keseronokan atau dijadikan pembacaan pada waktu senggang dan lapang. Uslub Qissah dirakamkan dalam al-Qur’an adalah dengan tujuan yang jelas iaitu agar manusia mengambil pengajaran atau disebut sebagai “عبرة dalam bahasa Arab. Pengajaran inilah yang menjadi tujuan utama perakaman qissah dalam al-Qur’an dan bukan perjalanan qissah tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Demi sesungguhnya qissah mereka (para Nabi) itu mengandungi pengajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Qissah yang terkandung dalam al-Qur’an) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111).
Menerusi mafhum ayat di atas, tanpa ragu-ragu, kita dapat fahami bahawa qissah yang dirakamkan di dalam al-Qur’an itu mempunyai beberapa ciri penting. Antaranya:
1. Mengandungi ‘ibrah atau pengajaran.
2. Bukan cerita yang diada-adakan.
3. Mengesahkan sesuatu yang telah berlaku.
4. Menjelaskan sesuatu perkara (ada tujuan).
5. Menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
Inilah ciri-ciri qissah al-Qur’an yang dijelaskan dalam ayat 12, Surah Yusuf. Atas dasar inilah, saya menolak pandangan yang menyamakan perkataan “qissah” dengan “cerita” iaitu satu daripada bentuk seni dalam kesusasteraan Melayu. Sekiranya kita letak ke tepi ciri kelima seperti yang saya nyatakan di atas, adakah cerita yang kita fahami sekarang sama dari segi cirinya dengan qissah al-Qur’an (ciri 1-4)?
Justeru adalah sesuatu yang salah dan tersasar, sekiranya ada dalam kalangan masyarakat yang cuba memanfaatkan qissah al-Qur’an dalam penghasilan karya seni mereka dengan cara yang salah. Malah memanfaatkan istilahnya secara tidak cermat, juga boleh mengundang kesesatan.
Bagi mereka yang galak mengatakan al-Qur’an menggunakan kaedah penceritaan di dalamnya. Malah ada pihak yang tanpa cermat mengakui bahawa karya mereka menggunakan teknik “penceritaan” al-Qur’an. Di sini, ingin saya ajukan beberapa persoalan. Adakah hasil karya tersebut mengutamakan ‘ibrah? Adakah karya tersebut menjunjung kebenaran? Adakah karya tersebut menolak khayalan? Adakah karya tersebut bertujuan menjelaskan sesuatu perkara pokok?
Persoalan ini perlu dijawab oleh mereka yang membuat dakwaan tersebut.
Sebenarnya, kecelaruan pemahaman istilah “qissah” dalam dunia kesusasteraan Melayu ini harus diperbetulkan. Sekiranya masyarakat faham bahawa istilah “qissah” yang digunakan dalam al-Qur’an itu sama dengan makna “cerita”, maka ia merupakan satu kecelaruan yang nyata. Yang menjadi parah lagi, sekiranya keadaan ini membuka ruang kepada khalayak ramai khususnya para penulis yang celaru, lantas mendakwa karya mereka setanding dengan qissah al-Qur’an. Hal inilah yang menjadi kekhuatiran saya. Semakin ramai yang mendakwa karya mereka berkualiti kerana mengikut teknik al-Qur’an, sedangkan hakikatnya mereka berada dalam kecelaruan yang nyata tatkala menterjemahkan “qissah” sebagai “cerita”.
Tanpa disedari, kecelaruan ini telah merendahkan martabat al-Qur’an. Inilah yang dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Zulkarnain Mohamed dalam makalahnya bertajuk “Al-Qur’an, Ilmu, Disiplin Islami Dan Sastera”. Makalah ini termuat dalam buku berjudul “Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori & Praktis” yang disunting oleh Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir. Menurut Dr. Zulkarnain, “adalah penting untuk menarik perhatian kepada implikasi pengabaian atau ceteknya fahaman i’jaz ini dalam konteks amalan sastera dewasa ini, khususnya dalam kalangan penulis kreatif dan juga pengkritik. Seperti yang telah dihujahkan, disiplin manusia tidak boleh dicampuradukkan dengan i’jaz al-Qur’an kerana ia bukan saja boleh memberi gambaran salah tentang al-Qur’an tetapi mengakibatkan berlakunya manipulasi al-Qur’an itu sendiri. Umpamanya, genre novel atau cerpen yang berasal dari Barat (atau apa juga genre yang tidak disandarkan kepada fahaman tauhid) tidak boleh dihubungkaitkan dengan surah Yusuf sebagai satu i’jaz atau cerita yang paling indah. Perbandingan kedua-duanya boleh membawa kepada penafsiran yang salah terhadap al-Qur’an.” (halaman 100).
Perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Zulkarnain ini sangat jelas dan bagi saya, ianya terjadi berpunca daripada pemahaman sesetengah pihak yang salah membuat tafsiran yang mungkin disebabkan tujuan-tujuan tertentu. Dinukilkan oleh Manna’ al-Qattan dalam kitabnya Mabahith Fi ‘Ulum al-Qur’an, telah berlaku satu perdebatan hebat sekitar tahun 1367 Hijriyyah apabila seorang calon PhD di salah sebuah universiti di Mesir menulis tesis bertajuk “الفن القصصي في القرآن (Seni Qissah Di Dalam al-Qur’an). Perdebatan ilmiah tentang tajuk tesis ini berlaku kerana penilai tesis tersebut iaitu Prof. Dr. Ahmad Amin tidak bersetuju dengan tajuk dan isi kandungan tesis yang menyatakan bahawa al-Qur’an itu merupakan satu cabang seni, sepertimana yang diusahakan oleh para penulis karya seni (Sila rujuk kitab di halaman 282, cetakan ke-5, 1998, Beirut: Mu’assasah al-Risalah).
Inilah satu lagi keadaan yang mencelarukan apabila terdapat individu yang cuba mengkaji sesuatu tanpa ilmu yang benar. Usaha ini secara jelas merendahkan martabat al-Qur’an yang tidak boleh disamakan dengan seni karya manusia. Berdasarkan hujahan yang telah saya nyatakan dalam ruangan ini, sekali lagi saya menegaskan bahawa qissah al-Qur’an tidak boleh sama sekali disamakan dengan “cerita” sama ada dari segi isinya mahupun pemahaman makna dan ciri-cirinya.
Akhirnya, saya mengajak para pembaca agar sentiasa berhati-hati dalam menyatakan sesuatu perkara. Setiap perkara khususnya yang melibatkan al-Qur’an perlu dijelaskan secara berhemah (jelas dan tepat) agar maklumat itu tidak menyesatkan diri sendiri dan orang lain.


5 comments:

  1. segala puji bagi ALLAH! syabas...

    ReplyDelete
  2. Tuan yang mulia,
    Al-Qur'an itu diturunkan untuk semua manusia. Maka kesemua isi kandungannya, lebih-lebih lagi cerita dan kisah yang digezetkan di dalam Al-Qur'an adalah untuk panduan semua manusia. Tidak kira manusia yang itu cerdik bertaraf sarjana yang mempunyai ijazah Ph.D., atau pun manusia biasa yang hanya pandai membaca terjemahan Al-Qur'an yang ada dalam bahasa ibundanya.
    Apapila kita menghadkan kisah Al-Qur'an hanya boleh ditafsirkan oleh manusia yang pandai semata-mata, maka kita menafikan hak memahami Al-Qur'an kepada semua manusia. Sedangkan setiap manusia berhak mendapat panduan dan pengajaran yang baik dari Al-Qur'an. Menjadi tanggung jawab manusia yang kurang pandai bertanya kepada yang pandai. Menjadi tanggung jawab para ilmuan dan cerdik pandai menerangkan kepada yang kurang pandai, dengan cara yang sebaik-baiknya. Bukan mengatakan semua orang yang kurang pandai itu salah dan menghukum mereka sebagai sesat, celaru dana tidak tahu mengambil ibrah dari kisah-kisah itu.

    ReplyDelete
  3. Tuan Imran Yusuf,

    Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen dalam blog saya.

    Saya setuju dengan Tuan bahawa qissah al-Qur'an dan isi al-Qur'an, semuanya adalah untuk panduan semua manusia. NAMUN, saya tidak bersetuju dengan kenyataan Tuan ini:

    "Apapila kita menghadkan kisah Al-Qur'an hanya boleh ditafsirkan oleh manusia yang pandai semata-mata, maka kita menafikan hak memahami Al-Qur'an kepada semua manusia. Sedangkan setiap manusia berhak mendapat panduan dan pengajaran yang baik dari Al-Qur'an."

    Pertama: Memang al-Qur'an hanya boleh ditafsir oleh manusia yang pandai sahaja. Kalau orang "tak pandai" pun boleh tafsir al-Qur'an, maka haru-biru lah kita. Untuk jadi mufassirin (ahli tafsir) juga ada syarat-syaratnya. Ada PhD pun belum boleh tafsir al-Qur'an.

    Kedua: Adakah dengan menghadkan orang-orang tertentu sahaja yang boleh menafsir al-Qur'an, bermakna kita menafikan hak MEMAHAMI al-Qur'an? Untuk memahami al-Qur'an, tidak perlu sampai tahap menafsir. Seperti yang Tuan sebut manusia biasa yang hanya pandai membaca terjemahan al-Qur'an yang ada dalam bahasa ibundanya, juga boleh memahami al-Qur'an.

    Saya juga bersetuju dengan Tuan bahawa setiap
    manusia berhak mendapat panduan dan pengajaran yang baik dari al-Qur'an. Menjadi tanggungjawab manusia yang kurang pandai bertanya kepada yang pandai. Menjadi tanggungjawab para ilmuan dan cerdik pandai menerangkan kepada yang kurang pandai, dengan cara yang sebaik-baiknya. Betul, tapi bagaimana pula bagi orang yang tak tahu, tak pandai, dan tak bertanya, lalu buat itu dan ini secara memandai-mandai? Maka bagi saya, ini wajar ditegur. Apatah lagi yang melibatkan al-Qur'an, ini perkara besar.

    Tuan, maaf jika saya katakan...yang SALAH, tetap kena cakap ia SALAH. Itulah cara yang terbaik. Bagaimana yang Tuan maksudkan "cara yang terbaik"? Memukul anak berumur 10 tahun yang tak solat, setelah diajar cara solat semenjak usia 7 tahun, maka itu adalah cara yang terbaik. Jangan keliru dengan makna "cara yang terbaik".

    Saya tidak sebut mana-mana pihak secara spesifik yang mereka sesat, celaru dan tidak tahu mengambil ibrah. Tetapi yang melakukan hal sepertimana yang saya bincangkan di atas, maka didoakan semoga mereka tidak tergolong dalam keadaan-keadaan tersebut. Harap Tuan dapat faham maksud ayat saya ini:

    "Akhirnya, saya MENGAJAK para pembaca agar sentiasa BERHATI-HATI dalam menyatakan sesuatu perkara. Setiap perkara khususnya yang melibatkan al-Qur’an perlu dijelaskan secara berhemah (jelas dan tepat) AGAR maklumat itu tidak menyesatkan diri sendiri dan orang lain".

    Untuk pengetahuan Tuan, maklumat yang saya kongsikan di sini, bukanlah pandangan peribadi saya atau ianya ditulis mengikut hawa nafsu saya. Harapnya hal ini jelas.

    Terima kasih sekali lagi atas komen yang diberi. Saya amat gembira di atas kesudian Tuan memberi komen di sini. Moga kita semua mendapat manfaat dari perbincangan ini. Wassalam.

    ReplyDelete
  4. Tuan yang mulia,

    Terima kasih atas jawapan yang panjang lebar.

    Semoga kita semua berhati-hati dalam menyatakan sesuatu perkara.

    Apa pun, saya akan terus membaca cerita dan kisah dari al-Qur'an kerana kesemuanya adalah bersumberkan wahyu, maka setiap dari kita boleh memanfaatkannya selaras dengan kefahaman masing-masing, sedangkan Allah anugerahkan kefahaman yang berbeza-beza darjatnya.

    Terima kasih kerana sudi memberikan respons kepada komen saya.

    Wabillahi taufiq wassalamu'alaikum warahmatullah.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum warahmatuLlah,

    Tuan Imran Yusuf,

    Tak perlu tujukan "mulia" itu kepada saya, Tuan. Sesungguhnya saya tidak layak dan tidak mengharapkan perkataan itu. Takut ia bakal menjebakkan saya ke lembah kehinaan pula. Na'uzubillah min zalik.

    Ya, semoga kita semua lebih berhati-hati dalam menyatakan sesuatu perkara. Saya sokong hasrat murni Tuan untuk terus membaca qissah al-Qur'an. Tapi awas, pemahaman terhadap qissah al-Qur'an harus selari dengan ketetapan yang ditentukan Allah. Setiap ayat al-Qur'an ada sebab penurunannya dan istifadah (kebaikan/pengajaran) yang terdapat di dalamnya yang telah ditentukan Allah. Justeru, ianya tidak boleh dimanfaatkan SELARAS DENGAN KEFAHAMAN MASING-MASING.

    Sememangnya Allah menganugerahkan kefahaman yang berbeza-beza antara manusia. Itulah antara bukti keesaan dan keagungan Allah. Namun, antara sebab hal ini berlaku adalah agar manusia terus belajar dan mencari kefahaman yang selari dengan kehendak-Nya melalui amalan menuntut ilmu dan bertanya kepada orang yang lebih mengetahui serta 'alim dalam bidang agama. Jika kita layan dan turuti darjat kefahaman yang berbeza-beza itu dalam memahami kandungan al-Qur'an, maka timbullah kelompok manusia hari ini yang menolak ketentuan hukum Allah seperti hudud. Mereka faham hukum Allah mengikut kefahaman mereka sendiri. Wa Allahu a'lam.

    Terima kasih. Wassalam.


    * Saya ada baca komen Tuan Imran dalam akaun FB Pn. Ainon. ‎["Semakin teruk dikritik, semakin ramai yang mahu membacanya..." hehhe.] ;)

    ReplyDelete