Wednesday, December 23, 2009

Hijrah Didik Umat Atur Strategi Dalam Setiap Urusan

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

Saban tahun kita menyambut kedatangan tahun baru Hijri dengan sambutan yang cukup menarik dan meriah. Pelbagai acara diatur bagi memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya peristiwa Hijrah Rasulullah SAW untuk terus dihayati dan diaplikasi pengajarannya dalam kehidupan seharian.
Peristiwa Hijrah menjadi asas tertegaknya sebuah negara Islam yang terdiri daripada masyarakat majmuk Madinah yang berpegang kepada kepercayaan yang berbeza. Kepentingan peristiwa ini dapat dilihat apabila Saidina Umar RA telah memilih peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar Islam dan bukannya peristiwa-peristiwa lain yang dilalui oleh Rasulullah SAW sewaktu hayatnya.

Apa yang lebih penting adalah untuk kita sama-sama mengkaji dan menghayati intipati yang terkandung dalam peristiwa Hijrah. Antara pengajaran yang berguna ialah apabila peristiwa ini memberi gambaran jelas bahawa betapa pentingnya mengatur strategi dalam usaha mencapai kemenangan menyebarkan dakwah Islamiah.
Jika direnungkan martabat Rasulullah SAW yang amat tinggi di sisi Allah SWT, maka tidak mustahil bagi Allah SWT untuk memberi pertolongan dan kemenangan kepada usaha dakwah Baginda SAW tanpa perlu melalui kesusahan serta rintangan yang sememangnya nyawa Baginda menjadi taruhan. Lihat sahaja betapa sukarnya Baginda SAW menghadapi ancaman golongan Musyrikin Mekah yang memulaukan Baginda serta golongan Muslimin selama 3 tahun berturut-turut.

Sebenarnya peristiwa Hijrah tidak berlaku secara mendadak, dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, peristiwa penting ini telah bermula apabila termetrainya perjanjian Aqabah antara Baginda SAW serta beberapa orang ketua kabilah masyarakat Madinah.
Perlu difahami bahawa Perjanjian Aqabah yang berlaku sebanyak 2 kali ini merupakan atas kerelaan masyarakat Madinah sendiri yang ingin membantu Baginda SAW dalam usaha menyebarkan Islam serta menyelamatkan golongan Muslimin Mekah yang terus-menerus menerima siksaan daripada golongan Musyrikin.

Perjanjian pertama yang melibatkan soal asas berkaitan akidah dan akhlak menjadikan masyarakat Madinah telah mula menerima dan memahami Islam sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke bumi Madinah. Malah Baginda SAW telah mengutuskan Mus’ab bin Umair menetap di Madinah untuk menjadi duta Baginda di sana serta mengajar orang-orang Madinah perkara-perkara asas berkaitan ajaran Islam.
Manakala perjanjian kedua yang berlaku setahun kemudian lebih menfokuskan perkara-perkara yang membabitkan soal kehidupan bermasyarakat dan bernegara menurut garis panduan Islam. Perkara ini secara langsung menjadikan Perjanjian Aqabah mempunyai peranan yang besar dalam pembentukan sebuah negara Islam contoh di Madinah.

Rasulullah SAW juga, dengan kebijaksanaanya serta wahyu daripada Allah SWT telah mengizinkan golongan Muslimin untuk berhijrah terlebih dahulu ke Madinah. Baginda dan Saidina Abu Bakar merupakan individu terakhir yang berhijrah setelah mendapat wahyu daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang Musyrik.” (surah al-An’aam, ayat 106).
Di sini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW meletakkan kepentingan umatnya mendahului kepentingan dan keselamatan dirinya sendiri. Secara logiknya juga, jika Rasulullah SAW yang berhijrah terlebih dahulu, maka sudah pasti strategi Hijrah akan berdepan dengan kesukaran malah golongan Muslimin yang masih berada di Mekah akan terus menjadi ancaman serta akan menerima siksaan yang lebih dahsyat lagi.

Tindakan Rasulullah SAW yang berhijrah secara sembunyi serta bergerak keluar dari rumah pada waktu malam bukanlah menunjukkan bahawa Baginda seorang yang penakut, namun kesemuanya itu dilakukan bagi menggambarkan betapa Baginda SAW juga seorang manusia yang boleh dicontohi dan diikuti strateginya dalam usaha mencapai sesuatu kemenangan.
Mukjizat yang dimiliki oleh Baginda SAW tidak sedikit pun menjadi penghalang kepada umat Islam untuk sama-sama mengikut jejak langkah Baginda SAW ketika berhadapan dengan musuh lebih-lebih lagi yang memberi ancaman bunuh.

Seterusnya, strategi Hijrah yang diatur oleh Baginda SAW lebih jelas untuk kita perhatikan apabila Baginda SAW meminta bantuan daripada beberapa orang individu yang sememangnya rapat dengan Baginda SAW. Antara mereka yang turut memainkan peranan yang besar dalam proses Hijrah ialah Saidina Abu Bakar yang menemani Baginda SAW hingga sampai ke Madinah, Saidina Ali yang menggantikan tempat tidur Baginda SAW bagi mengaburi pihak musuh, Abdullah bin Abu Bakar yang ditugaskan menyampaikan berita berkaitan keadaan semasa Mekah, Amir bin Fuhairah iaitu hamba kepada Saidina Abu Bakar yang ditugaskan untuk menghilangkan kesan jejak kaki sepanjang perjalanan Baginda SAW dan Abu Bakar hingga ke gua Thur, manakala Asma binti Abu Bakar akan menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah SAW serta bapanya sepanjang 3 hari mereka berada di gua Thur.

Dari sini jelas kepada kita bahawa proses Hijrah Rasulullah SAW adalah hasil kombinasi usaha beberapa pihak yang sama-sama ingin melihat Islam terus tersebar dan berada di kedudukan yang tinggi. Diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dan Imam Ahmad bahawa Asma’ binti Abu Bakar berkata: ”Apabila keluarnya Rasulullah SAW bersama-sama Abu Bakar (untuk berhijrah), Abu Bakar telah membawa bersamanya kesemua harta yang dimiliknya, lima ribu dirham atau enam ribu dirham.”
Selain itu, golongan wanita turut memainkan peranan yang besar dalam usaha mencapai kemenagan Islam. Inilah di antara beberapa strategi yang diatur dengan cukup teliti oleh Rasulullah SAW demi menjayakan misi dakwah yang merupakan amanah daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskanmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” (surah al-Ahzab, ayat 45)


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah ini yang mempamerkan betapa Rasulullah SAW itu merupakan seorang yang bertindak melalui strategi yang cukup teliti demi mencapai kemenangan yang besar. Melalui strategi yang disusun serta bantuan daripada sahabat-sahabat Baginda SAW, umat Islam dapat mengumpul kekuatan serta membina hidup yang lebih sempurna di bumi Madinah.
Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya ia melalui beberapa peringkat yang setiap satunya memberi impak yang tersendiri dalam mencapai kejayaan buat umat Islam seluruhnya.

Apa yang lebih penting, umat Islam seharusnya melakukan setiap amalan hanya kerana Allah serta mengharapkan rahmat-Nya pada setiap masa, maka kejayaan pasti memihak kepada kita. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Baqarah, ayat 218)

No comments:

Post a Comment