Saturday, January 2, 2010

1Malaysia Selari Tuntutan Islam (HARIAN METRO, 1 Januari 2010)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Kejayaan Rasulullah s.a.w membina negara Islam daripada masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan membuktikan mementingkan perpaduan dan keamanan.

Sebuah negara Islam bukan bermaksud kesemua warganya memiliki pegangan agama yang satu.

Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan asal keturunan.

Bagi memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan oleh syarak bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.

Tiada istilah tolak ansur dalam menangani sebarang isu berkaitan soal akidah. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu telah tergelincir daripada landasan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (surah al-Kafirun, ayat 4-6)

Masyarakat Islam, Yahudi dan golongan munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan dengan satu piagam yang cukup bermakna berdasarkan situasi dan keperluan mereka. Piagam Madinah adalah antara langkah pertama yang dilakukan dalam pentadbiran Rasulullah s.a.w.

Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa’ dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing.

Segala hak mereka selaku sebahagian daripada warga negara Madinah tidak dinafikan sama-sekali malah diiktiraf masyarakat Islam yang mendiami bumi Madinah. Allah s.w.t menjelaskan keadaan ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikit pun, dan mereka tidak menolong seorang pun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.” (surah al-Taubah, ayat 4)

Bagi menjamin keutuhan Piagam Madinah , ia melindungi orang yang bersetuju dan mengambil tindakan terhadap orang yang ingkar.

Ini yang akhirnya membawa kepada penyingkiran kaum Yahudi dari Madinah kerana mereka melanggar persetujuan yang dimeterai bersama. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).” (surah al-Anfal, ayat 56)

Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Dalam konteks Malaysia, pemahaman, pegangan dan penghormatan rakyat terhadap Perlembagaan Malaysia adalah resepi terbaik bagi mempertahankan kesejahteraan negara.

Konsep 1Malaysia selari dengan tuntutan agama kerana ia bermatlamat mengekal dan meningkatkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Melalui konsep ini, setiap rakyat mempunyai hak yang sama dari sudut sosial, keselamatan, undang-undang, ekonomi serta pendidikan.

Inilah keindahan Islam yang mementingkan prinsip keadilan dalam setiap tingkah laku pengikutnya lebih-lebih lagi yang membabitkan soal pemerintahan sesebuah negara.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah s.w.t menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Namun, dalam usaha mulia mengukuhkan hubungan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

Firman Allah SWT ada menjelaskan berkenaan perkara ini yang bermaksud: ”Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku.” (surah al-Mu’minun, ayat 52)

Tidak dapat dinafikan bahawa sikap tolong-menolong antara satu sama lain adalah antara perkara yang boleh mengukuhkan perpaduan ummah. Allah s.w.t menggesa umat Islam agar sentiasa mempraktikkan amalan yang mulia ini dalam kehidupan seharian demi mencapai kebahagian hidup bermasyarakat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maidah, ayat 2)

Sekali lagi jika dirujuk kepada sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara golongan Muhajirin dan Ansar didasari oleh semangat tolong-menolong sesama muslim bagi memenuhi keperluan bagi memulakan kehidupan yang baru. Semangat inilah yang perlu diteruskan dalam situasi masa kini bagi mendepani cabaran zaman yang kian hebat.

Oleh itu, tanggungjawab umat Islam adalah amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan yang amat memerlukan. Umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu mereka yang bukan Islam atas dasar keperihatinan dan kemanusiaan. Inilah yang ditekankan oleh Islam kepada umatnya.

Apa yang pasti, semangat bantu-membantu dan tolong-menolong ini tidak akan dapat direalisasikan jika umat Islam terus berbalah dan berpecah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barangsiapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya.” (hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tiada cara lain bagi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain daripada sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagian dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat. Penuhilah tuntutan agama dalam semua aspek kehidupan melebihi tuntutan nafsu dan kehendak diri sendiri.

Renungilah pepatah Melayu yang berbunyi ”Bersatu Teguh Bercerai Roboh”, yang amat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah.” (surah Ali-’Imran, ayat 103)

Hanya dengan bersatu-padu sahaja, umat Islam akan terus dipandang tinggi dan mulia. Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah disebabkan fitnah yang tercetus, natijah daripada sikap dan tingkah-laku umat Islam sendiri.

Persoalan yang perlu sama-sama kita muhasabah ialah sanggupkah kita mensia-siakan segala pengorbanan Rasulullah s.a.w yang telah menghabiskan usia hayatnya semata-mata untuk melihat Islam terus berkembang dan dipandang mulia. Marilah sama-sama kita menjaga keutuhan semangat persaudaraan sesama umat agar kesejahteraan terus terjamin dan keharmonian terus terpelihara.

No comments:

Post a Comment