Thursday, June 4, 2009

Dato' Imam Mahat Yang Saya Kagumi


Hari ini, tiba-tiba saya teringat kenangan masa belajar di Maahad Johor, Johor Bahru. Sebuah pusat pengajian ilmu agama tertinggi di negeri Johor Darul Takzim. Pusat ilmu yang telah banyak mengeluarkan graduan-graduan Universiti Al-Azhar dari kalangan anak-anak negeri Johor. Pusat yang terkenal ini terletak berhampiran dengan Masjid Sultan Abu Bakar, masjid Negeri Johor Darul Takzim. Sebenarnya, tujuan saya menulis entri ini adalah untuk berkongsi dengan anda tentang seorang personaliti yang amat saya kagumi di negeri Johor, beliau ialah YBhg. Dato' Imam Mahat Mohd Said.

Beliau yang berasal dari daerah Muar, merupakan seorang imam yang telah banyak berjasa khususnya kepada Masjid Negeri, juga kepada penduduk-penduduk sekitar daerah Johor Bahru. Cara beliau berinteraksi, menyampaikan khutbah Juma'at, membaca doa, melaungkan azan, melagukan qasidah berzanji, menyempurnakan majlis akad nikah amat saya kagumi dan sanjung tinggi.

Dato' Imam Mahat adalah seorag yang low profil, cukup apabila melihat kenderaan yang beliau naiki, amat merendah diri. Beliau yang pada ketika ini masih lagi menjawat sebagai imam secara kontrak di Masjid Sultan Abu Bakar turut mengetuai majlis-majlis keagamaan di masjid tersebut yang melibatkan kehadiran Baginda Sultan Johor. Umurnya yang menjangkau 74 tahun pada tahun ini masih aktif menyempurnakan majlis akad nikah khususnya yang melibatkan pasangan pengantin di sekitar daerah Johor Bahru, termasuk baru-baru ini penyanyi terkenal Mawi dan juga isterinya.

Kepetahan dan kelantangan suaranya ketika menyampaikan khutbah Juma'at, cukup membuatkan saya segar tanpa tersungkur dek godaan syaitan :) tiap kali gilirannya bertugas. Pastinya kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila saya berpeluang mengikuti rombongan beliau pada satu majlis bacaan Yaasin di kediaman adinda Sultan Johor kira-kira 6 tahun lalu. Dato' Mahat telah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Dato' oleh Baginda Sultan Johor atas jasanya kepada rakyat dan negeri Johor.

Saya difahamkan oleh sahabat saya, saudara Mohd Ferdaus Omar, yang kini bertugas di Masjid Sultan Abu Bakar, Dato' Mahat hanya ditugaskan menjadi imam bertugas setiap hari Rabu di masjid berkenaan. Semoga Allah SWT lanjutkan usia Dato' Mahat dengan kesihatan dan keceriaan yang berpanjangan. Cukup untuk mengubat rindu apabila mendengar suaranya yang sentiasa berkumandang melaungkan azan setiap kali masuknya waktu solat di saluran Best 104.

2 comments:

  1. salam..sekadar berkongsi crite..
    sy dn kakak sy termasuklh ibu ayah sy dinikahkn oleh Imam Mahat..sng cite, dlm fmly sy yg dh kawin,sume dgn dia je. Semua ni ats pmntaan ayah, dia kawan ayah sy. Klu ikutkn syarat, sy ni dh dikira luar kwsan JB..sptutnya kne pkai imam lain..Klu x silap sy, ayh penah ckp dulu dia imam kerabat Johor.Imam Mahat ni mmg sempoi je orgnye..sy kne tmduga nk nikah 2 pn,mse tgh minum ptg kt rumah dia..hehe..on da spot! Yg bestnya, sgala urusan2 ttg pkhwinan, imam yg tlg uruskn..xpayahla nk naik turun pej agama 2 byk kali..huhu..timekasih Imam Mahat..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas cerita saudari. Memang benar, Dato' Mahat adalah imam bagi majlis-majlis keagamaan melibatkan kerabat Di-Raja Johor hingga sekarang. Walaupun pernah ditegur oleh Baginda Sultan semasa majlis kesyukuran sempena Hari Keputeraan Baginda kira-kira 6 tahun lalu, namun beliau bijak mengawal keadaan ketika itu.

    ReplyDelete