Tuesday, September 8, 2009

Ilmu Jadi Asas Ibadah Puasa Diterima Allah

Oleh: Mohd Shahrizal Nasir

Kini kita telah memasuki fasa ketiga bulan Ramadan. Ramadan al-Mubarak menjanjikan ganjaran serta keampunan yang amat luas bagi mereka yang mampu merasai kemuliaannya serta menghargai setiap minit yang berlalu dalam bulan ini.

Hakikatnya, Ramadan mampu mendidik rohani dan jasmani setiap individu Muslim jika penguasaan ilmu yang tepat berkaitannya dijadikan keutamaan. Meskipun setiap tahun kita berjumpa dengan Ramadan dan melakukan rutin yang sama, namun perlu menjadi tekad setiap orang untuk menjadikan Ramadan kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.

Siapa yang boleh memberi jaminan bahawa puasanya pasti diterima oleh Allah? Justeru, pemahaman terhadap konsep puasa perlulah sentiasa dititik-beratkan meskipun kita sedang menjalani ibadah puasa. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: ”Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”

Tiada amal ibadah dalam Islam yang disyariatkan kepada umatnya kecuali padanya hukum dan kaedah pelaksanaan yang tepat sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Pemahaman yang tepat dalam bab ibadah amat perlu bagi mengelakkan amalan menjadi sia-sia dan tertolak. Keadaan ini perlu difahami dengan jelas agar tidak berlaku salah faham dalam pelaksanaan amal ibadah yang kita lakukan. Sesungguhnya hanya amal ibadah yang selari dengan apa yang telah digariskan dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah SAW sahaja akan diterima oleh Allah SWT.

Sesetengah daripada kalangan masyarakat pada hari ini, kadang-kadang lupa atau salah faham terhadap falsafah sebenar di sebalik ibadah puasa yang bertujuan mendidik jiwa daripada tertipu dengan godaan nafsu. Justeru, dapat dilihat walaupun mereka berpuasa daripada makan dan minum, namun objektif puasa masih gagal dipenuhi bahkan telah dirosakkan dengan perkara-perkara negatif yang dilarang oleh Islam.

Sebagai contoh, seorang berpuasa tetapi masih lagi bercakap bohong atau mengeluarkan kata-kata kotor dan kesat. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor.” Hal ini tidak akan terjadi jika setiap individu Muslim mengubah perkara-perkara buruk dan keji yang telah menjadi tabiat serta kebiasaan dalam kehidupan harian sebelum kedatangan Ramadan lagi.

Satu lagi salah faham yang perlu kepada pemahaman yang tepat dalam pelaksanaan ibadah puasa ialah kepentingan bersahur. Terdapat segelintir daripada kita yang mengambil remeh hal ini samada dengan tidak bersahur langsung ataupun mengambil makanan pada waktu larut malam dengan tujuan bersahur. Keadaan ini bercanggah dengan apa yang telah disyariatkan oleh Islam.

Sahur adalah sesuatu yang perlu kerana padanya terdapat keberkatan dan rahmat Ilahi, apatah lagi bersahur untuk melakukan puasa di bulan Ramadan. Galakan agar orang yang ingin berpuasa untuk bersahur ini dapat dilihat dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah)

Selain itu, sebenarnya amalan bangun sahur adalah bertujuan untuk membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani. Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa lagi perkara yang perlu jadi renungan dan nilaian bersama terhadap perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Ada yang berpuasa daripada makan dan minum, tetapi mengabaikan ibadah solat yang menjadi tiang kepada agama. Ada yang sibuk berniaga tetapi tidak berlaku jujur dalam perniagaan dengan menjual makanan yang sudah tidak elok. Ada pula yang menjadikan ibadah puasa sebagai alasan kepada kemerosotan prestasi kerja. Tidak kurang yang menggunakan masa bekerja di bulan puasa untuk membuat persiapan menjelang hari raya.

Inilah antara perkara-perkara yang perlu kita muhasabah kembali agar ibadah puasa diterima oleh Allah SWT. Sebenarnya, kesempurnaan puasa seseorang adalah terikat kepada sejauh mana pemahaman terhadap erti puasa itu sendiri, rukun dan syaratnya serta apa-apa yang membatalkannya, serta mengetahui kaifiat atau cara pelaksanaannya dengan betul menepati kehendak syara’.

Semoga kita berjaya memenuhi tuntutan ibadah puasa yang menjadi antara rukun utama agama Islam serta mendapat ganjaran yang terbaik daripada-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment