rencana@hmetro.com.my
Menyentuh aspek hubungan sesama manusia pula, Islam telah menggariskan tatacara dan panduan bagi menjaga hubungan tersebut. Menerusi hubungan yang baik sesama manusia, maka kehidupan di dunia akan disinari dengan cahaya keharmonian dan kebahagian. Baginda
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Perbandingan orang-orang mu’min dalam berkasih-sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka dan dalam rasa simpati mereka adalah laksana tubuh badan yang satu”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Jelasnya, setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, dalam konteks yang lebih luas lagi, sebagai seorang Muslim yang sejati, hubungan antara sesama manusia tidaklah terbatas antara sesama Muslim sahaja, bahkan
Islam turut menggesa umatnya supaya berbuat baik dan berkasih sayang sesama manusia walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Inilah di antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia, agar kehidupan di muka bumi ini akan sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia.
Firman Allah yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (as-Sunnah)”. (Surah an-Nisaa’, ayat 59).
Sebagai ummah yang terbaik, kita hendaklah sentiasa bersikap positif dan bersangka baik sesama manusia dan jika terdapat sebarang perkara yang belum diketahui kebenarannya, maka selidikilah perkara tersebut dengan teliti. Hanya dengan itu kita dapat menjauhkan diri daripada terus berperasangka buruk.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa”. (Surah al-Hujuraat, ayat 12).
Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia”. (Surah Ali-Imraan, ayat 112).
No comments:
Post a Comment