Friday, March 19, 2010

Halaqah Kenali Budaya 90 Negara (H.METRO, Juma'at 19 Mac 2010, Halaman v2)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir


UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sememangnya terkenal apabila melahirkan ramai graduan serba boleh serta memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan.

Dengan menggariskan Islamisasi sebagai asas dalam setiap subjek yang ditawarkan dalam pelbagai bidang, ia terbukti memacu universiti berkenaan mencapai matlamat duniawi dan ukhrawi.

Selaras dengan misi berkenaan tersebut, UIAM melalui Bahagian Aktiviti Kokurikulum, Jabatan Pembangunan Pelajar memperkenalkan program 'study circle' atau halaqah.

Melalui program berkenaan pelajar diberi peluang mengutarakan idea serta belajar menghormati pandangan orang lain.

Selain itu, program halaqah itu turut memberi peluang kepada pelajar mengenali serta mempelajari adat dan budaya hidup rakan lain yang datang lebih dari 90 negara di seluruh dunia.

Skop perbincangan yang dijalankan tidak terhad kepada aktiviti dalam masjid atau kelas saja, malah pihak universiti turut menggalakkan pengendali kumpulan halaqah menganjurkan program luar kelas.

Ia bertepatan bagi mewujudkan semangat setia kawan, menghormati pandangan orang lain dan berkorban demi orang lain yang boleh dapat dijalankan dengan jelas.

UIAM juga menyediakan pembiayaan khas bagi mana-mana kumpulan halaqah yang berminat menganjurkan program luar kelas seperti gotong-royong, perkhemahan, ziarah rumah orang tua dan anak yatim serta pelbagai aktiviti riadah.

Aktiviti seumpama itu memupuk semangat 'antarabangsa' apabila ia turut disertai pelajar luar negara seperti Bangladesh, Indonesia, Arab Saudi, Yaman dan Nigeria.

Antara aktiviti yang pernah dianjurkan kumpulan halaqah adalah 'explorace' yang diadakan pada cuti hujung minggu.

Seawal jam 7.30 pagi mereka memulakan dengan melakukan senaman ringan sebelum pelajar dilepaskan di sekitar kampus.

Di samping bersaing mendapat gelaran juara, pelajar turut dinilai dari sudut etika dan sahsiah sepanjang menyertai program berkenaan.

Walaupun nampak kecil, namun pelajar dapat mempraktikkan semua tuntutan Islam seperti sikap bertolak ansur dan disiplin yang sentiasa menjadi amalan hidup Muslim.



No comments:

Post a Comment