Friday, April 22, 2011

Pergaulan Bebas Hampiri Zina (HARIAN METRO, Jumaat 22 April 2011)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasil­kan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.

Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.

Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.

Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.

Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.

Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.

Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.

Berpegangan tangan, ber­pelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan silu bercumbuan di depan khalayak ramai.

Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.

Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa meng­ingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.

Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).

Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.

Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.



Sunday, April 17, 2011

Kemelut Teks Sastera KOMSAS (Sumber: Berita Harian 5 April 2011)

Panel diminta berhati-hati pilih naskhah agar tidak dipersoal

SIFAT karya sastera yang subjektif dan terbuka kepada pelbagai terjemahan menyebabkan banyak sekali pertikaian yang mungkin wujud apabila sesuatu karya itu diangkat, tidak kiralah dalam pertandingan atau sebagai teks kajian.

Selepas Interlok terseret dalam kontroversi politik nakal, beberapa lagi teks sastera turut dicuit dan kali ini bukan atas motif politik, tetapi atas dasar mutu karya itu sendiri yang disifatkan sesetengah pengkaji sebagai tidak cukup sifat sebagai karya sastera.

Mantan Pensyarah Sastera Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu berkata, ada naskhah kajian sastera di sekolah tidak langsung sesuai diangkat sebagai teks kerana tidak memaparkan unsur moral yang baik bagi membantu pembentukan insan. “Panel penilai yang memilih buku sastera dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) dan subjek sastera sepatutnya lebih peka dan mengutamakan nilai-nilai pembentukan insan dalam pemilihan teks,” katanya.

Beliau memberi contoh novel yang dipilih sebagai teks KOMSAS Tingkatan Empat, Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah adalah penulisan yang mengajar pembaca untuk berbohong dan ada penceritaan tidak bermoral misalnya membakar kedai burger.

Pembohongan yang dimaksudkan merujuk kepada watak utamanya, Azfa Hanani yang menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar sebagai anaknya, Tengku Murni berikutan wajahnya yang serupa dengan Tengku Murni, pada harga RM500 sebulan.

Dr Fatimah berharap, panel pemilih teks KOMSAS lebih berhati-hati dalam memilih karya pada masa depan kerana semua karya terbabit dihidangkan kepada pembaca muda yang mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Pensyarah Penulisan Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA), A Rahim Abdullah juga berkongsi pendapat sama apabila menyatakan ketidaktelitian pemilihan puisi dalam teks Anak Global dan Madu Ilmu, teks Tingkatan Empat menyaksikan ada puisi dalam teks berkenaan tidak cukup sifat.

“Ada karya yang tidak sesuai dijadikan teks kerana kecacatan dan kelemahan diksi, nilai bahasa dan logik budaya atau nuansa yang terbabas. Justeru, dapat dilihat pusi yang tidak menjadi dan dangkal sebagaimana hakikat puisi sebenar, disenaraikan.

“Puisi dalam Anak Global dan Madu Ilmu boleh diagihkan mengikut kategori, berat, pertengahan dan mudah. Ia menyebabkan wujudnya jurang artistik yang jauh antara satu karya dengan yang lain. Ada yang terlalu panjang sedangkan puisi sifatnya menjimatkan kata-kata dan disusun dengan hebat.

“Ada juga sajak surelisme yang susah difahami pelajar, namun masih ada puisi yang baik dan mudah dalam kedua-dua teks berkenaan. Antara puisi yang baik untuk dihadam pelajar ialah Akar karya Hilmi Rindu,” katanya.

A Rahim berpendapat, jawatankuasa pemilihan perlu berilmu dalam bidang masing-masing dan bukan hanya pegawai kerajaan kerana pada akhirnya pelajar tidak boleh menjadi korban masa kerana mempelajari bahan pembelajaran yang sudah terkorban artistiknya.
“Saya tidak tahu, adakah kuota juga memainkan peranan dalam pemilihan karya kerana ada karya penulis yang langsung tidak dikenal dan ada karya yang tidak cukup sifat sebagai puisi. Kuota pada tema seperti patriotisme atau pencemaran alam boleh diterima. Kuota untuk penulis mapan, muda atau penulis tidak dikenali ia tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Namun, Pegawai Perancang Bahasa Dr Hanafi Ibrahim pula berkata, setiap karya punya kelas tersendiri dan jika dilihat dalam konteks memenuhi piawaian kementerian pelajaran, mungkin ia melepasi syarat yang digariskan.

Bagaimanapun, apabila meletakkan sesetengah karya yang diangkat sebagai teks KOMSAS atau Sastera Elektif dalam ukuran kesusasteraan tulen akan menyaksikan karya berkenaan jauh ketinggalan.

“Antara teks Sastera Elektif, Jeriji Kasih (JS) dengan teks KOMSAS, Interlok jauh benar bezanya. JS lebih mudah berbanding Interlok dan novel itu berada dalam kelas yang tidak sama dengan Interlok,” katanya.

Dr Hanafi melihat JS mengangkat watak remaja Orang Kurang Upaya (OKU) Anuariza, satu watak unggul walaupun secara fizikalnya dia OKU dan kekuatan watak itu terserlah melalui bagaimana dia menukar kekurangan fizikal sebagai penggerak untuk berjaya.

“Remaja selalunya tidak tahu bagaimana mencungkil potensi diri, tetapi watak utama dalam novel ini berjaya mengusahakan taman landskap ditanam dengan anggur dan pokok naga, relevan dengan keadaan semasa. Kalau kita gali lagi novel ini, mungkin akan dapat dilihat lebih banyak lagi ciri berkualiti seperti pertimbangan rasa dan toleransi. Watak remaja wanita, Ruhaiza, juga dibina dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, JS dengan sifatnya sebagai teks Sastera Elektif dikaji pelajar aliran sastera dan Interlok naskhah kajian semua pelajar menerusi KOMSAS, sememangnya jauh berbeza secara perbandingan.

“Sebagai teks sastera peringkat sekolah, JS ialah naskhah yang baik dan memenuhi nilai murni yang digariskan Kementerian Pelajaran, tetapi dalam konteks teks kesusasteraan tulen, tahapnya rendah. Interlok mewakili zaman dengan merakam kisah golongan bawahan, tetapi akhirnya berjaya bangkit daripada kesusahan dan boleh menggalakkan perpaduan bangsa,” katanya.

Justeru, Dr Hanafi berharap pemilihan teks Sastera Elektif dan KOMSAS pada masa depan, panel penilai mencari karya yang benar-benar boleh mewakili pemikiran budaya dan bangsa Malaysia agar tidak diperlekehkan selepas pemilihannya.


NOTA: Menurut catatan sahabat saya saudara Zarif Hassan dalam laman sosial facebooknya: "Teks Jeriji Kasih dalam subjek Sastera Elektif memang tiada berkualiti. Saya pernah menganalisis dan mengupas teks ini dengan menggunakan kerangka faham Persuratan Baru (PB) dari sudut struktur bikinannya. Yang ingin ditonjolkan oleh pengarang adalah kebejatan moral seorang remaja. Saya TIDAK bersetuju bahawa teks ini berkualiti untuk dihadam sebagai menyuntik pemikiran tinggi kepada murid."



Saturday, April 16, 2011

Berdakwah Dengan Pena


Aktiviti menulis itu sangat indah. Setiap apa yang kita tulis menggambarkan cara kita berfikir. Justeru, tidak salah jika saya katakan bahawa, setiap yang tercoret di atas kertas itu, mencerminkan identiti dan selera penulis itu sendiri.

Adalah SALAH sama sekali jika seseorang individu mengatakan bahawa apa yang beliau tulis, tidak menggambarkan hasrat atau nalurinya. Bahkan, jika hendak melihat peribadi seseorang secara lebih jelas, bacalah tulisannya.

Tidak semua individu di dunia dianugerahkan bakat terbaik dalam bidang penulisan. Namun, bakat tersebut boleh digilap jika si penulis benar-benar berhasrat untuk menjadi seorang penulis yang hebat.

Apa yang lebih penting, setiap individi harus ingat bahawa setiap apa yang mereka tulis, ia tidak terlepas daripada nilaian Allah SWT. Berfikirlah secara kritis dan hati-hati sebelum mencoretkan sesuatu di atas kertas, mahupun di dalam apa juga wadah penulisan alternatif khususnya dalam dunia siber yang semakin canggih dewasa ini.

Tulisan kita boleh mengubah seseorang pembaca menjadi lebih baik, begitu juga sebaliknya...

Saya amat teruja dan kagum dengan seorang sahabat saya iaitu saudara Yussamir Yusof. Beliau merupakan graduan bidang Perakaunan dari Multimedia Universiti, dan merupakan mantan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar universiti berkenaan untuk sesi 2008-2009. Beliau mendapat pendidikan menengah di Madrasah Al-Arabiah Islamiah An-Nur, Benut Pontian, Johor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, Negeri Sembilan.

Seorang sahabat yang usianya lebih muda dari saya, namun berkat usaha gigihnya menimba ilmu dan menulis artikel dalam majalah dan suratkhabar, maka terkini beliau berjaya menghasilkan bukunya sendiri bertajuk: "Akidah Kita Nyawa Kita".

Berikut adalah kandungan buku berkenaan:

NAMA BUKU: AKIDAH KITA NYAWA KITA
OLEH : YUSAMMIR YUSOF
MUKA SURAT: 320
ISBN: 978-967-86-0355-3
HARGA: RM 16.00
PENERBIT: GRUP BUKU KARANGKRAF (KARYA BESTARI)

AL-MASIH ISA putera Maryam, seorang Rasul mulia utusan ALLAH untuk semua Bani Israel pada ketika itu. Ajaran Baginda ditaati para hawariun, pembantu setia yang tidak pernah lelah berjuang mempertahankan tauhid pada Yang Esa. Paul hadir lalu mencorak citra baru ajaran Baginda. Kristianiti muncul dan lakarannya pula tidak senada. Tapi ia mampu mencapai agenda, mencuri hati para pemujanya. Islam datang lantas diterima warga dunia. Katanya “ALLAH itu Esa, Isa itu kekasih-NYA.”

Inilah yang diuar-uarkan saat Muhammad menjadi pesuruh-NYA. Dan ia akan terus berkumandang sehingga tibanya saat yang pasti… Namun, jalan tauhid itu penuh cabaran. Diuji para hamba-NYA sebagai bukti tanda keimanan.Sesungguhnya Islam sudah lama bertapak di sini. Kehadirannya tidaklah semudah yang disangka. Banyak cabaran yang dilalui hingga menggugat kedudukannya di tanah bertuah ini. Justeru, bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapinya? Ingatlah... pertahankanlah akidah! Jangan ragu-ragu! Inilah satu-satunya harta yang kita ada! Bekalan saat bertemu dengan-NYA...

* Biografi Jesus Dalam Dua Agama Besar
* Jesus Bukan Beragama Kristian
* Hawariun yang Setia
* Sejarah, Objektif & Pendekatan Kristianisasi
* Mengapa Islam Menjadi Sasaran?
* Isu Murtad di Malaysia
* Isu Penggunaan Nama ALLAH
* Muslim di Malaysia: Apa Tindakan Kita?

Saya juga berhasrat untuk menghasilkan buku saya sendiri. Untuk ketika ini, saya bercadang untuk membukukan artikel-artikel saya yang tersiar dalam akhbar Berita Harian dan juga Harian Metro. Moga niat saya dimakbulkan-Nya.



Saturday, April 2, 2011

Poco-poco Yang Mengharu-birukan Kita...


Saya ada membaca beberapa komen tentang fatwa pengharaman senaman poco-poco. Ya, saya setuju bahawa isu ini isu "kecil". Oleh itu, saya fikir setiap orang perlu hormat ijtihad orang lain. Pihak yang kata "haram" ada hujahnya, begitu juga yang kata "harus".

Sekiranya senaman poco-poco itu dilakukan atas tujuan senaman semata-mata, serta yakin, bahawa ia jauh dari sebarang elemen yang boleh menjejaskan akidah. Mengapa tidak kita amalkannya. Walaupun pada asalnya ia dikatakan mempunyai kaitan dengan fahaman dan amalan agama lain.

Namun, sekiranya senaman poco-poco itu dilakukan dengan percampuran elemen-elemen yang haram; seperti tidak menutup aurat, percampuran antara lelaki dan perempuan, pergaulan bebas, lenggok pergerakan perempuan yang melampau di hadapan khalayak lelaki, tidak menghormati waktu solat, dilakukan pada waktu kerja sedangkan masih bertimbun kerja-kerja yang harus dilangsaikan, pengabaian tanggungjawab di rumah pada waktu cuti atau hujung minggu dek kerana senaman poco-poco dan lain-lain.

Tambahan pula, oleh kerana terlalu syok dengan senaman poco-poco, maka poco-poco menjadi keutamaan dan kemestian. Mengapa tidak ia diharamkan...

Sesungguhnya budaya tari-menari dengan iringan muzik itu berasal daripada Samiri yang hidup semasa zaman Nabi Musa 'alayhi al-salam. Perkara ini dinukilkan dalam Tafsir al-Qurtubi yang bermaksud:

"Adapun menari dan mengolah perasaan, ia mula direka oleh pengikut Samiri (dari kalangan umat Nabi Musa), iaitu ketika Samiri membina untuk mereka sebuah patung berbentuk anak lembu yang mengeluarkan suara. Mereka pun menari-nari di sekelilingnya sambil berdendang riang gembira dengannya. Tarian adalah agama orang-orang kafir dan penyembah anak lembu." (Tafsir al-Qurtubi, 11/238)

Justeru, saya kira, bagi yang faham tentang perkara ini, semestinya mereka tidak teragak-agak untuk meninggalkan acara yang menyalahi ketetapan syarak. Apatah lagi apabila ia melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

Perkara berkaitan aurat itu jelas. Sedangkan bagi lelaki yang melihat aurat lelaki dan perempuan yang melihat aurat perempuan adalah berdosa. Inikan pula melihat aurat yang bukan mahram.

"Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain, dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut), dan tidak boleh seorang wanita bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut)." (Hadis riwayat Muslim, 2/238, no. 512)

Sebenarnya, perbezaan ijtihad fuqaha' dalam penentuan hukum juga kadang kala dipengaruhi oleh faktor sekeliling. Justeru, seharusnya semua pihak berlapang dada. Tidak menyalahkan serta memperkecilkan "usaha" pihak yang lain.

Yang penting masyarakat kita dijelaskan tentang perselisihan pendapat yang kita tahu bahawa perselisihan itu BUKAN melibatkan perkara UTAMA, ianya hanya perkara kecil (menurut pendapat pihak yang mengharuskan senaman poco-poco).


HARUS kita ingat, sesiapa pun yang layak berijtihad, jika mereka berijtihad dan ianya betul, maka mereka mendapat 2 ganjaran. Jika ijtihad mereka salah, mereka dapat 1 ganjaran.

JANGAN pula kita yang tak tahu apa-apa ni, yang kerjanya memberi komen negatif, membuat kutukan dan cemuhan, memperlekeh usaha orang lain, mengetawakan pendapat dan hujah orang lain... kita DAPAT DOSA PERCUMA, dosa yang datang tanpa kita sedari.


Kesimpulannya, perkara ini berbalik kepada umat Islam sendiri, jika yakin bahawa senaman poco-poco tersebut tidak menjejaskan akidah, hanya sekadar senaman, dan ianya TIADA sebarang elemen yang boleh membawa dosa, silalah berpoco-poco.

Berpoco-poco secara sendirian pun boleh, tak perlu buat ramai-ramai (kalau betul niatnya nak dapatkan kesihatan dan kecergasan). Kalau masih nak buat secara beramai-ramai, buatlah "family day", berpoco-poco bersama ahli keluarga.

Yang yakin bahawa akidah mereka terjejas dengan senaman poco-poco, buatlah senaman lain, kerana setakat ini, kita tidak miskin aktiviti senaman dan riadah.

Islam itu mudah, jangan kita memberat-beratkannya.

Wa Allahu A'lam.


Friday, April 1, 2011

Mencari Keberkatan Rumah Tangga (HARIAN METRO, Jumaat 1 April 2011)


Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


PEMINANGAN dikira sebagai langkah awal sebelum bermulanya kehidupan berumah tangga yang dihalalkan melalui akad nikah.
Hukum meminang seseorang wanita bagi tujuan pernikahan adalah harus.

Namun menurut pendapat Imam Syafie di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj menyatakan hukumnya adalah al-istihbab atau sunat.

Daripada pendapat berkenaan, terdapat kebaikan yang boleh diperoleh menerusi proses peminangan jika ia dilakukan menurut panduan syarak.

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah berpendapat peminangan membawa makna menzahirkan dan mengiklankan kehendak seseorang lelaki untuk berkahwin dengan wanita pilihannya.

Ia menandakan berlakunya proses perkenalan antara bakal pasangan suami isteri. Keadaan itu dikira wajar kerana ibu bapa kedua-dua belah pihak mengetahui hubungan anak mereka.

Dalam adat masyarakat Melayu, selain peminangan terdapat satu lagi peringkat yang dinamakan pertunangan.

Ketika peminangan dilakukan, biasanya ibu bapa kepada wanita itu tidak memberi jawapan muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil ‘bertangguh’.

Hal berkenaan bertujuan untuk berpakat dengan ahli keluarga dan waris walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu.

Selepas peminangan diterima, penghantaran tanda daripada lelaki kepada wanita yang bakal dikahwininya dilakukan melalui majlis bertunang.

Majlis itu membawa pengertian bahawa wanita itu sudahpun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Terdapat perbezaan antara peminangan dan pertunangan dalam adat Melayu.

Namun, perkara yang penting adalah adat berkenaan tidak sampai membebankan serta merumitkan kedua-kedua pihak. Selagi ia tidak bercanggah dengan ketetapan syarak, ia harus untuk diamalkan.

Ikatan pertunangan bukanlah lesen kepada pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan segala yang dihalalkan kepada pasangan suami isteri yang sah.

Malah, pertemuan kedua-duanya secara bebas boleh menyebabkan ikatan pertunangan tidak mendapat keberkatan Allah. Lebih teruk, ikatan pertunangan membawa kepada perkara yang dilarang Allah.

Dewasa ini ramai di kalangan muda mudi tidak mengambil berat perkara ini. Mereka menggunakan alasan ‘sudah bertunang’ sebagai tiket untuk melayani tuntutan nafsu yang gagal dibendung iman.

Berdua-duaan serta berpegangan tangan tanpa rasa segan silu adalah perkara yang diharamkan Islam. Dalam kitab Fiqh al-Sunnah karangan Sayyid al-Sabiq, beliau menukilkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (orang yang diharamkan nikah dengannya). Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan.”

Sesungguhnya, umat Islam dilarang sama sekali menghampiri perkara yang boleh menyebabkan perzinaan. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya ia (zina) itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’, ayat 32).

Syaitan sentiasa mencari peluang untuk menjadikan manusia sebagai temannya di neraka kelak. Dalam Islam, terdapat beberapa cara peminangan yang dikira menepati tuntutan Islam.

Pertama, seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang seorang wanita secara langsung. Kedua, seorang lelaki memberitahu hajatnya untuk meminang kepada wali wanita berkenaan.

Ketiga, menggunakan pihak ketiga untuk meminang seseorang wanita. Keempat, wali menawarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki yang soleh dan kelima, seorang wanita menawarkan dirinya sendiri kepada seorang lelaki soleh.

Berdasarkan lima cara itu, ia tidak sekali-kali memberi maksud bahawa peminangan itu boleh dilakukan sesuka hati. Keizinan daripada kedua-dua orang tua tetap diperlukan kerana perkara inilah yang menjamin kelancaran proses perkahwinan, seterusnya mencurahkan keberkatan Allah dalam kehidupan.

Nasihat daripada ibu bapa selaku orang yang lebih tua harus dipandang berat. Ini kerana, sikap terburu-buru remaja dalam membuat keputusan, kurang pengalaman hidup serta cetek pengetahuan agama menyebabkan tujuan peminangan dan pertunangan itu tidak tercapai.

Beberapa situasi yang menjadikan peminangan termasuk dalam perkara yang haram adalah apabila wanita itu masih sah sebagai isteri orang, meminang wanita dalam talak raj’ie kerana bekas suami berhak kembali rujuk kepadanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa i’dah mereka, jika mereka (suami-suami) bertujuan hendak berdamai.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)

Selain itu, haram apabila wanita itu sudah dipinang lelaki lain dan pinangan lelaki yang pertama itu diterima. Sekiranya lelaki kedua bernikah dengan wanita berkenaan, akad pernikahan adalah sah, namun dia tetap menanggung dosa atas perbuatannya meminang wanita yang dipinang orang lain.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang lelaki tidak boleh meminang seorang perempuan yang dipinang oleh saudaranya (saudara sesama Islam) sehinggalah dia meninggalkannya (membatalkan pinangannya) atau dia mengizinkan peminangan itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketika majlis peminangan atau pertunangan, disunatkan berkhutbah atau memberi ucapan pada awal majlis. Khutbah perlu dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Semua perkara yang ada nilai tetapi tidak dimulakan dengan memuji Allah adalah cacat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Jika dilihat dari sudut adat pertunangan yang diamalkan pada hari ini, masing-masing mempamerkan cara yang tersendiri bagi memeriahkan majlis.

Rombongan pihak lelaki membawa beberapa dulang yang berisi pelbagai barangan untuk dihadiahkan kepada pihak perempuan, begitu juga sebaliknya.

Malah, suasana kini berlainan dengan majlis pertunangan orang dulu. Kini pihak perempuan mengadakan ‘pelamin’ khas serta pemasangan khemah untuk tetamu dan jemputan.

Berbanding dulu, semuanya diadakan dalam keadaan tertutup iaitu di dalam rumah pihak perempuan saja. Perlu diingatkan bahawa bersederhana dalam melakukan ibadah amat dituntut Islam.

Bagi golongan yang berkemampuan, elakkan pembaziran dalam majlis yang mereka adakan. Walaupun berada dalam kategori orang berkemampuan tetapi bersederhana adalah sangat dituntut.

Ia disandarkan kepada gesaan Rasulullah agar umat Islam tidak membazir dalam mengambil air sembahyang (wuduk), meskipun mempunyai bekalan air yang banyak.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada dalam kalangan umat ini, satu kaum yang berlebih-lebihan dalam bersuci dan berdoa.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Apatah lagi jika majlis yang diadakan secara besar-besaran dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan yang mereka miliki. Keadaan itu amat dicela Islam.
Sekiranya majlis itu dibuat secara besar-besaran untuk menjamu sanak-saudara dan jiran tetangga, maka ia adalah sifat yang terpuji.

Meskipun budaya masyarakat hari ini sudah berubah, tidak bermakna kita wajib mengikut rentak terkini. Majlis yang diadakan mengikut kemampuan sendiri serta jauh daripada sebarang bentuk pembaziran adalah lebih utama.

Justeru, lelaki dan perempuan yang bakal menjadi suami dan isteri perlu bijak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan majlis mereka diberkati Allah.