Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu
1. Islam menganjurkan setiap umatnya
untuk berusaha mencari rezeki yang halal dengan kudrat sendiri. Islam melarang
umatnya bergantung harap kepada Allah SWT tanpa berusaha untuk memperolehi
rezeki sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apakah yang paling
baik? Baginda SAW menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan
tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.” (Hadis riwayat
Ahmad).
2. Hakikatnya, setiap manusia telah
ditetapkan rezeki yang tertentu oleh Allah SWT. Mereka hanya perlu berikhtiar
sedikit lagi untuk mendapatkan rezeki tersebut. Islam juga melarang kita
mengamalkan sikap meminta-minta daripada orang lain. Rasulullah SAW bersabda
yang maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu mengambil talinya (keluar
mencari kayu), kemudian dia memikul seberkas kayu api di atas belakangnya, lalu
dijualnya, maka dengan itu Allah memeliharakan air mukanya adalah lebih baik
daripada ia meminta-minta daripada orang lain, sama ada diberi atau tidak.”
(Hadis riwayat al-Bukhari).
3. Dalam usaha mencari rezeki, kita
tidak boleh lupa tentang tatacara atau garis panduan yang ditetapkan oleh Allah
SWT. Maksudnya di sini, antara perkara yang perlu dititik beratkan ialah soal
halal atau haram pekerjaan yang kita lakukan. Dalam Islam, sifirnya sangat
mudah. Jika rezeki yang kita cari itu sumbernya halal, maka kehidupan kita akan
diberkati dan setiap usaha mencari rezeki itu akan diberi pahala. Sebaliknya,
jika rezeki yang kita cari itu sumbernya haram, maka kehidupan kita akan jauh
dari keberkatan Allah SWT, ditambah pula dengan dosa yang akan dipikul. Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari
kiamat ialah orang yang mencari harta secara tidak halal, lalu ia masuk ke
neraka bersama hartanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
4. Apabila bercakap soal
“keberkatan”, satu lagi perkara yang perlu kita jaga ialah bagaimana untuk
menjamin keberkatan dalam rezeki kita. Terdapat sesetengah orang yang secara
zahir, pekerjaannya halal, tetapi rezeki yang diperolehinya tidak berkat.
Antara sebabnya ialah terdapat perkara-perkara shubhah dalam urusan
pekerjaan yang dilakukannya. Inilah yang perlu kita lakukan muhasabah dalam
diri.
5. Antara fenomena negatif yang
melanda kebanyakan individu dalam masyarakat kita ialah masalah “curi tulang”
semasa waktu bekerja. Golongan seperti ini lebih suka berbual kosong, melayari
internet tanpa faedah, keluar makan pada waktu kerja, menggunakan fasiliti
pejabat untuk kegunaan peribadi dan lain-lain. Seharusnya perkara ini dijauhkan
sama sekali. Atau setidak-tidaknya kita berusaha dari sekarang untuk
mengurangkan gejala negatif ini.
6. Fenomena ini menggambarkan betapa
kita tidak mengambil berat tentang soal keberkatan rezeki. Sebab itu, mungkin
ada dalam kalangan kita yang gaji bulanannya mencecah puluhan ribu, namun
kehidupannya masih serba kekurangan, keluarganya tidak harmoni, dan dilanda
dengan pelbagai masalah. Tidak dinafikan, inilah antara tanda-tanda rezeki yang
diperolehi itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
7. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi
sekiranya kita sentiasa berusaha untuk mendapat kepuasan daripada hasil kerja
sendiri. Kita perlu tanam perasaan gembira apabila tugasan yang diberikan oleh
majikan berjaya disiapkan dengan hasil yang terbaik. Laporan Asean
Conference on Civil Service Matters pada tahun 1993 menyebut bahawa pegawai
(penjawat awam) perlu digalakkan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab mereka,
tetapi juga mendapatkan kepuasan peribadi apabila mereka Berjaya melaksanakan
tugas yang diberi. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi
hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan
bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah
suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya
dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).
8. Perkara yang penting sekarang,
setiap pekerja Muslim perlu sedar bahawa mereka perlu berubah sekiranya sebelum
ini, perkara-perkara yang disebutkan tadi menjadi amalan mereka. Perlu berusaha
memperbaiki mutu dan prestasi kerja bermula dari sekarang. Indahnya Islam, kita
mempunyai alternatif bagi memperbaiki diri. Jika dilihat daripada senario
amalan negatif tadi, sudah pasti rezeki yang kita terima mempunyai masalah dari
segi keberkatannya. Namun, Islam menyediakan ruang bagi kita untuk menebus
kesalahan yang telah kita lakukan. Sebab itu kita ada zakat yang wajib dan
sedekah yang sunat. Inilah antara alternatif terbaik bagi menjamin rezeki kita
diberkati Allah SWT. Sesungguhnya zakat dan sedekah itu pembersih kepada rezeki
yang kita perolehi. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang
bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah
(zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan
mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah al-Taubah, ayat 103).
9. Menyentuh soal halal dan haram
rezeki yang kita perolehi. Selain daripada fenomena yang menyumbang wujudnya shubhah
dalam rezeki, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang jelas
pengharamannya dalam Islam. Antaranya ialah budaya rasuah. Rasuah ialah
perbuatan sogokan dengan wang atau sebarang hadiah atau manfaat sebagai
ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang sudah, sedang atau
akan ditunaikan dengan cara yang salah. Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah,
sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan
sebagai alas an bagi mengaburi mata orang ramai untuk menghalalkan perbuatan rasuah
itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sudah kami lantik
untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya,
jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu
dengan cara rasuah), dia adalah pencuri.” (Hadis riwayat Abu Dawud).
Sesungguhnya penerima dan pemberi rasuah telah melakukan dosa besar dan bakal
menerima seksaan yang pedih di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah akan ditempatkan di neraka.”
(Hadis riwayat al-Bukhari).
10. Sebagai seorang pekerja Muslim,
kita perlu bersyukur di atas anugerah pekerjaan yang kita ada sekarang. Tidak
salah untuk berusaha meningkatkan taraf hidup dengan mencari pekerjaan yang
lebih baik. Namun, ini bukan penyebab untuk kita bersikap acuh tak acuh dengan
pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Kita perlu sentiasa berfikiran positif
dan memotivasikan diri sendiri agar sentiasa proaktif dalam menunaikan
tanggungjawab sebagai pekerja. Menunaikan amanah kerja dengan cara yang terbaik
menunjukkan rasa syukur kita di atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Firman
Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan
bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu
pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34).
11. Kita harus sedar bahawa, apa juga perbuatan yang kita lakukan, walaupun ia
di luar pengetahuan pihak majikan kita, tetapi ia tidak sekali-kali berada di
luar pengetahuan Allah SWT. Malah kesemua perbuatan kita di dunia, termasuk
yang dilakukan semasa bekerja, akan diperlihatkan oleh Allah SWT. Firman Allah
SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan
segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman
akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah
yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada
kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105).
12. Setiap kebaikan yang kita lakukan
semasa menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja, pasti akan mendapat balasan
daripada Allah SWT. Kadang-kadang terdapat dalam kalangan kita yang cepat
terasa hati kerana tidak diberi anugerah atau hadiah atas perkhidmatannya yang
cemerlang, lalu merajuk, mogok serta hilang semangat untuk terus melaksanakan
kerja dengan cara terbaik. Ingatlah, ganjaran daripada Allah SWT itu lebih baik
daripada yang selainnya. Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang
bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, (sama ada) lelaki atau
perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya
kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan berikan balasan pahala kepada
mereka yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl,
ayat 97).