Saturday, May 19, 2012

ULASAN: Budaya Kerja Dalam Islam

Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Islam menganjurkan setiap umatnya untuk berusaha mencari rezeki yang halal dengan kudrat sendiri. Islam melarang umatnya bergantung harap kepada Allah SWT tanpa berusaha untuk memperolehi rezeki sendiri. Rasulullah SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apakah yang paling baik? Baginda SAW menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik.” (Hadis riwayat Ahmad).


2. Hakikatnya, setiap manusia telah ditetapkan rezeki yang tertentu oleh Allah SWT. Mereka hanya perlu berikhtiar sedikit lagi untuk mendapatkan rezeki tersebut. Islam juga melarang kita mengamalkan sikap meminta-minta daripada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu mengambil talinya (keluar mencari kayu), kemudian dia memikul seberkas kayu api di atas belakangnya, lalu dijualnya, maka dengan itu Allah memeliharakan air mukanya adalah lebih baik daripada ia meminta-minta daripada orang lain, sama ada diberi atau tidak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


3. Dalam usaha mencari rezeki, kita tidak boleh lupa tentang tatacara atau garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Maksudnya di sini, antara perkara yang perlu dititik beratkan ialah soal halal atau haram pekerjaan yang kita lakukan. Dalam Islam, sifirnya sangat mudah. Jika rezeki yang kita cari itu sumbernya halal, maka kehidupan kita akan diberkati dan setiap usaha mencari rezeki itu akan diberi pahala. Sebaliknya, jika rezeki yang kita cari itu sumbernya haram, maka kehidupan kita akan jauh dari keberkatan Allah SWT, ditambah pula dengan dosa yang akan dipikul. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat ialah orang yang mencari harta secara tidak halal, lalu ia masuk ke neraka bersama hartanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


4. Apabila bercakap soal “keberkatan”, satu lagi perkara yang perlu kita jaga ialah bagaimana untuk menjamin keberkatan dalam rezeki kita. Terdapat sesetengah orang yang secara zahir, pekerjaannya halal, tetapi rezeki yang diperolehinya tidak berkat. Antara sebabnya ialah terdapat perkara-perkara shubhah dalam urusan pekerjaan yang dilakukannya. Inilah yang perlu kita lakukan muhasabah dalam diri.


5. Antara fenomena negatif yang melanda kebanyakan individu dalam masyarakat kita ialah masalah “curi tulang” semasa waktu bekerja. Golongan seperti ini lebih suka berbual kosong, melayari internet tanpa faedah, keluar makan pada waktu kerja, menggunakan fasiliti pejabat untuk kegunaan peribadi dan lain-lain. Seharusnya perkara ini dijauhkan sama sekali. Atau setidak-tidaknya kita berusaha dari sekarang untuk mengurangkan gejala negatif ini.


6. Fenomena ini menggambarkan betapa kita tidak mengambil berat tentang soal keberkatan rezeki. Sebab itu, mungkin ada dalam kalangan kita yang gaji bulanannya mencecah puluhan ribu, namun kehidupannya masih serba kekurangan, keluarganya tidak harmoni, dan dilanda dengan pelbagai masalah. Tidak dinafikan, inilah antara tanda-tanda rezeki yang diperolehi itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT.


7. Sebenarnya, masalah ini boleh diatasi sekiranya kita sentiasa berusaha untuk mendapat kepuasan daripada hasil kerja sendiri. Kita perlu tanam perasaan gembira apabila tugasan yang diberikan oleh majikan berjaya disiapkan dengan hasil yang terbaik. Laporan Asean Conference on Civil Service Matters pada tahun 1993 menyebut bahawa pegawai (penjawat awam) perlu digalakkan bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab mereka, tetapi juga mendapatkan kepuasan peribadi apabila mereka Berjaya melaksanakan tugas yang diberi. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Sabda Baginda SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).


8. Perkara yang penting sekarang, setiap pekerja Muslim perlu sedar bahawa mereka perlu berubah sekiranya sebelum ini, perkara-perkara yang disebutkan tadi menjadi amalan mereka. Perlu berusaha memperbaiki mutu dan prestasi kerja bermula dari sekarang. Indahnya Islam, kita mempunyai alternatif bagi memperbaiki diri. Jika dilihat daripada senario amalan negatif tadi, sudah pasti rezeki yang kita terima mempunyai masalah dari segi keberkatannya. Namun, Islam menyediakan ruang bagi kita untuk menebus kesalahan yang telah kita lakukan. Sebab itu kita ada zakat yang wajib dan sedekah yang sunat. Inilah antara alternatif terbaik bagi menjamin rezeki kita diberkati Allah SWT. Sesungguhnya zakat dan sedekah itu pembersih kepada rezeki yang kita perolehi. Allah SWT menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah al-Taubah, ayat 103).


9. Menyentuh soal halal dan haram rezeki yang kita perolehi. Selain daripada fenomena yang menyumbang wujudnya shubhah dalam rezeki, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang jelas pengharamannya dalam Islam. Antaranya ialah budaya rasuah. Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau sebarang hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang sudah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang salah. Penggunaan perkataan duit kopi, hadiah, sumbangan ikhlas, upah atas pertolongan dan duit proses sering digunakan sebagai alas an bagi mengaburi mata orang ramai untuk menghalalkan perbuatan rasuah itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sudah kami lantik untuk memegang sesuatu pekerjaan, yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada (pendapatan) yang ditetapkan itu (iaitu dengan cara rasuah), dia adalah pencuri.” (Hadis riwayat Abu Dawud). Sesungguhnya penerima dan pemberi rasuah telah melakukan dosa besar dan bakal menerima seksaan yang pedih di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah akan ditempatkan di neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


10. Sebagai seorang pekerja Muslim, kita perlu bersyukur di atas anugerah pekerjaan yang kita ada sekarang. Tidak salah untuk berusaha meningkatkan taraf hidup dengan mencari pekerjaan yang lebih baik. Namun, ini bukan penyebab untuk kita bersikap acuh tak acuh dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Kita perlu sentiasa berfikiran positif dan memotivasikan diri sendiri agar sentiasa proaktif dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Menunaikan amanah kerja dengan cara yang terbaik menunjukkan rasa syukur kita di atas nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34).


11. Kita harus sedar bahawa, apa juga perbuatan yang kita lakukan, walaupun ia di luar pengetahuan pihak majikan kita, tetapi ia tidak sekali-kali berada di luar pengetahuan Allah SWT. Malah kesemua perbuatan kita di dunia, termasuk yang dilakukan semasa bekerja, akan diperlihatkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah, ayat 105).


12. Setiap kebaikan yang kita lakukan semasa menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja, pasti akan mendapat balasan daripada Allah SWT. Kadang-kadang terdapat dalam kalangan kita yang cepat terasa hati kerana tidak diberi anugerah atau hadiah atas perkhidmatannya yang cemerlang, lalu merajuk, mogok serta hilang semangat untuk terus melaksanakan kerja dengan cara terbaik. Ingatlah, ganjaran daripada Allah SWT itu lebih baik daripada yang selainnya. Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, (sama ada) lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan berikan balasan pahala kepada mereka yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 97).



4 comments:

  1. Terbaik. Umat islam sekarang lebih suka bercerita halal haram sesuatu produk atau makanan tetapi mereka lupa akan halal haram tugas mereka seperti curi tulang yang sedang melanda sekarang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga kita terselamat daripada perkara-perkara yang boleh membawa kita kepada kemungkaran. Amin. Barakallahu fiik.

      Delete
  2. Statement terbaik untuk muhasabah diri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moga kita terselamat daripada "fitnah" di tempat kerja. Terima kasih buat sahabat yang sudi memberi komen di ruangan ini.

      Delete