Saturday, June 9, 2012

ULASAN: Bapa Pencorak Keperibadian Anak

Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Menjadi seorang bapa merupakan impian setiap insan yang bergelar suami. Rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT tersebut, membawa seribu satu rahmat dan keberkatan dalam kehidupan rumah tangga. Namun, perlu jadi ingatan, bahawa gelaran ‘bapa’ itu dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dengan disertakan amanah yang cukup besar. Dan amanah ini kelak pada hari Akhirat, pasti akan dipersoalkan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28). Rasulullah SAW juga ada mengingatkan kita tentang hal ini dalam sebuah hadis: Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

2. Antara tugas yang paling besar bagi seorang bapa ialah untuk memastikan anak-anaknya memiliki budi pekerti yang mulia, serta berjaya dalam hidup, bukan sahaja di dunia, tetapi lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Sebenarnya, proses mendidik anak bermula sejak sebelum kelahirannya. Segala tindak-tanduk dan perangai si bapa dan ibulah yang akan membentuk keperibadian anak yang bakal dilahirkan. Oleh sebab itu, Islam amat menitikberatkan soal budi pekerti seseorang insan, kerana ia memberi kesan yang besar terhadap keperibadian zuriat yang bakal meneruskan keturunan. Sebenarnya, tugas membentuk keperibadian unggul dalam diri insan merupakan salah satu misi penting pengutusan Rasulullah SAW sebagai rasul terakhir. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad). Jadi, sekiranya seorang bapa berusaha mendidik anaknya dengan didikan akhlak Islam, maka dia sebenarnya sedang meneruskan misi Rasulullah SAW.


3. Sebagai seorang bapa, sewajarnya untuk membuat persediaan yang rapi, sebelum menggalas tugas sebagai seorang bapa. Tatkala anak dilahirkan, Islam telah menetapkan beberapa tanggungjawab penting yang perlu dilaksanakan oleh seorang bapa. Tanggungjawab ini merupakan langkah pertama seorang bapa, sebelum melaksanakan amanah yang lebih besar. Antara langkah pertama tersebut ialah memberikan nama yang baik kepada si anak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, oleh itu perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad). 

4. Pemberian nama yang baik kepada si anak merupakan satu tanggungjawab yang penting. Nama yang bakal menjadi panggilan orang ramai kepada si anak, merupakan satu bentuk doa. Sekiranya nama itu baik, maka doa yang baik akan diterima oleh si anak, dan begitulah sebaliknya.

5. Cabaran hebat bakal dilalui oleh seorang bapa apabila si anak melalui tempoh yang cukup ‘kritikal’. Sekiranya para bapa gagal mengawasi tingkah-laku anak mereka dalam tempoh ini, maka si anak akan hanyut dibawa arus remaja mereka. Tempoh ini merujuk kepada tempoh perubahan anak daripada peringkat kanak-kanak kepada peringkat remaja, iaitu sekitar umur 15 hingga 20 tahun.

6. Pada tahap ini, biasanya si anak akan merasakan bahawa mereka sudah mampu hidup sendiri, tanpa perlu kawalan daripada ibu bapa. Mereka lebih selesa meluahkan isi hati mereka dengan rakan-rakan, serta telah mula berani melakukan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan para remaja lain seperti merokok, keluar malam, mencari pasangan dan sebagainya. Pada tempoh ini, cabaran sebagai seorang bapa amat besar.

7. Sebenarnya, pada tempoh tersebut, bapa perlu bijak memainkan peranannya. Interaksi antara bapa dengan anak perlu dilakukan dengan bijak agar si anak akan sentiasa merasa diri mereka dihargai dan disayangi. Kurangnya komunikasi dalam keluarga akan menyebabkan si anak mencari pihak alternatif bagi mendengar luahan hati mereka. Malah, tidak keterlaluan jika dicadangkan agar bapa perlu berusaha mendalami hati dan perasaan anaknya bagi mengelakkan mereka merasa terpinggir, seterusnya terpengaruh dengan pandangan-pandangan negatif daripada kawan mereka. Hubungan bapa yang seakan ‘rakan’ kepada anak akan membuatkan si anak merasa selesa untuk berkongsi suka dan duka bersama bapa mereka. Inilah antara perkara yang harus difahami oleh seorang bapa yang mendepani kerenah anak yang sedang memasuki alam remaja.

8. Selain itu, dengan cabaran gaya hidup moden masa kini, pelbagai bentuk dugaan dan rintangan yang perlu dihadapi oleh golongan bapa. Justeru, adalah amat wajar bagi si bapa untuk meneliti beberapa perkara bagi mendepani situasi zaman serba canggih ini. Antara yang penting, bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak-anak menurut acuan Islam. Di dalam al-Qur’an, banyak kisah yang dirakamkan mewakili situasi bapa dan anak, seperti kisah Nabi Ibrahim dan juga kisah Luqman al-Hakim. Lihatlah bagaimana Luqman al-Hakim mendidik anak-anaknya. Budaya nasihat subur dalam keluarga Luqman al-Hakim. Inilah merupakan satu cara yang patut dicontohi oleh para bapa hari ini.

9. Luqman al-Hakim mendidik anaknya melalui mutiara-mutiara nasihat yang amat berguna. Antaranya sepertimana yang dirakamkan di dalam al-Qur’an: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13).

10. Sebenarnya, budaya nasihat ini perlu disuburkan dalam keluarga. Namun, perlu menjadi ingatan bersama, bahawa nasihat itu perlu dilakukan dengan cara yang terbaik, iaitu tidak dalam keadaan marah, sebaliknya diberikan dengan rasa kasih sayang dan pengharapan kepada Allah SWT agar nasihat tersebut benar-benar menyerap ke dalam hati si anak. Nasihat juga perlu disampaikan sesuai dengan keadaan si anak dan suasana sekeliling. Inilah antara ilmu yang perlu dipelajari oleh si bapa.

11. Selain itu, antara perkara yang harus diambil perhatian oleh si bapa ialah kesedaran bahawa si anak sedang dan sentiasa memerhati tindak-tanduknya. Sebagai anak, semestinya mereka memandang tinggi kepada bapanya. Bapa adalah insan dewasa yang lebih dekat dengan anak, berbanding insan lain. Oleh itu, bapa harus memanfaatkan situasi ini dengan mempamerkan contoh ikutan dan tauladan terbaik kepada anak. Sekiranya peluang ini dipersiakan oleh bapa, maka anak akan berusaha mencari pihak lain untuk dijadikan contoh. Akhirnya, situasi ini bakal membentuk satu persepsi buruk anak terhadap bapanya. Maka segala nasihat bapa selepas itu, tidak akan memberi kesan positif kepada anak.

12. Prinsip kepimpinan melalui tauladan harus diterapkan dalam rumah. Ini merupakan antara kaedah berkesan bagi memastikan setiap ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan yang baik, seterusnya terhindar daripada sebarang hal yang mampu menjerumuskan kita dan ahli keluarga ke dalam neraka. Setiap bapa perlu ingat firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim, ayat 6).

13. Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik dalam segenap aspek termasuk sebagai seorang bapa. Sifat kelembutan dan ketegasan Baginda SAW dalam mendidik anak perlu menjadi contoh kepada setiap bapa. Ketegasan Baginda dapat dilihat tatkala Baginda menjelaskan sekiranya Saidatina Fatimah mencuri, maka akan dipotong tangannya. Di sini menunjukkan bahawa Baginda SAW merupakan seorang pemimpin dan bapa yang adil. Hak Allah SWT terus menjadi keutamaan melebihi hubungan kasih sayang seorang bapa dengan anaknya. Inilah didikan sebenar yang dianjurkan Islam. Sikap sesetengah bapa yang membela anaknya yang melakukan kesilapan merupakan satu fenomena buruk yang bakal menjadikan si anak terus terpesong, malah merasa bangga berada dalam dunia kemungkaran.

14. Sifat-sifat terpuji (mahmudah) perlu disemai dalam diri anak sejak mereka masih kecil. Sifat-sifat ini akan mudah untuk diterapkan sekiranya bapa sendiri sentiasa menghiasi dirinya dengan sifat yang terpuji, dan menjauhi sifat yang buruk. Sebagai contoh, ada kalanya ibu bapa cuba menyedapkan hati anak yang bertanya dengan memberi sesuatu maklumat yang salah, ataupun tidak pasti. Hal ini amat bahaya. Sekiranya anak mendapat maklumat yang bertentangan dengan apa yang dimaklumkan oleh ibu bapa, nescaya tahap kepercayaan mereka terhadap ibu bapa menjadi pudar. Apa yang membimbangkan, budaya ini akan terus diwarisi oleh generasi seterusnya. Akhirnya, budaya bercakap bohong menjadi segar dalam kehidupan berkeluarga. Sedangkan berbohong merupakan salah satu ciri-ciri golongan munafik. Mana mungkin keluarga yang bahagia dan diredhai Allah SWT itu mengamalkan sifat golongan munafik. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik (ditempatkan) pada tingkat yang paling bawah di dalam neraka.” (Surah al-Nisa’, ayat 145).

15. Rasulullah SAW amat prihatin dengan didikan terhadap anak-anak, termasuk anak tiri Baginda SAW. Daripada Umar bin Abi Salamah, dia berkata: “Ketika masih kanak-kanak, saya berada di bawah peliharaan Rasulullah SAW. Pada waktu makan, saya menghulurkan tangan ke setiap penjuru dulang untuk mengambil makanan. Maka Baginda berkata kepada saya: “Wahai anakku! Bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan ambillah yang paling dekat denganmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Lihatlah betapa prihatinnya Rasulullah SAW tentang didikan akhlak, sepertimana yang dijelaskan dalam hadis tersebut, yang menyentuh soal adab ketika makan menurut Islam.

16. Solat merupakan tiang agama. Dalam hal ini, Rasulullah SAW turut mengingatkan setiap bapa agar tidak alpa dalam mendidik anak berkaitan ibadah solat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Ahmad). Sebagai ketua keluarga yang mencorakkan keperibadian anak, bapa perlu sedar bahawa ibadah solat itu mempunyai fungsi yang besar dalam pembentukan sahsiah terpuji, sekiranya ia dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini dinyatakan secara jelas oleh Allah SWT dalam al-Qur’an: “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Qur’an) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45).

17. Akhirnya, setiap insan yang bergelar bapa perlu menginsafi bahawa tugas yang sedang dipikulnya amat besar. Berdoalah kepada Allah SWT agar amanah ini dapat ditunaikan dengan baik. Sesungguhnya doa itu adalah senjata bagi umat Islam. Amalan berdoa kepada Allah SWT agar dikurnia dan diperlihara zuriat keturunan yang baik merupakan amalan para Rasul dan salaf al-salih. Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyenangkan hati (apabila) melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74).






3 comments:

  1. Assalamualaikum wbrkth

    mohon share teks ini dalam khutbah jumaat saya ya tuan....

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam wrt. wkt.

    Ahlan wa sahlan! Silakan tuan. Moga kita semua beroleh manfaat daripada perkongsian ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, saya ingin mendapat pencerahan :-

    Salam dunia moden ini kebanyakkan tanggung jawab diatas di alihkan kepada ibu. Bapa pula hanya menyoal and menyalahkan ibu ketika ibu gagal dalam menjalankan tanggung jawab diatas. Persoalan ini dilandaskan dengan alasan bahawa ibu tersebut gagal mematuhi apa yang suami dia kehendaki.

    Apa komen Tuan?

    Terima kasih,

    ReplyDelete