Friday, May 18, 2012

ULASAN: Zuriat Bawa Rahmat Bukan Malapetaka

Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah. Anak tersebut tidak membawa sebarang dosa yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya. Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat dicorakkan oleh orang tuanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Menerusi hadis tersebut, jelas menunjukkan bahawa bayi yang dilahirkan adalah suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Oleh itu, adalah satu tanggapan yang salah bagi mereka yang berpendapat bahawa anak kecil yang baru dilahirkan, kadang kala membawa sial atau malapetaka kepada keluarganya. Para ulama berpendapat bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, secara logiknya, bagaimana mungkin si anak kecil boleh menanggung dan membawa sial atau malapetaka kepada orang lain, sedangkan ia suci dan bersih pada waktu kelahirannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (Surah al-Najm, ayat 38).

3. Pemahaman karut tentang sial yang dibawa oleh anak ini merupakan antara pemahaman golongan Arab Jahiliah, sebelum kedatangan Islam. Golongan ini berpendapat bahawa anak perempuan yang lahir dalam sesebuah keluarga, akan mendatangkan keaiban dan malapetaka terhadap keluarga tersebut. Justeru, mereka akan menanam bayi perempuan tersebut hidup-hidup. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sekiranya salah seorang diberitahu tentang kelahiran anak perempuan, mukanya menjadi merah kerana terlalu marah dan mereka menyembunyikan diri daripada kaumnya kerana keburukan daripada berita yang disampaikan. Apakah patut dipeliharanya dengan rasa malu atau ditanam dalam tanah. Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”. (Surah al-Nahl, ayat 58-59).

4. Selain itu, terdapat juga kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan anak mereka, lantas membunuh anak yang tidak berdosa itu. Allah SWT menjelaskan bahawa urusan rezeki adalah dalam ketetapan-Nya. Maka tidak wajar ada manusia yang merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan untuk membesarkan zuriat mereka. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. (Surah al-Isra’, ayat 31).

5. Berdasarkan dalil-dalil ini, maka tidak benar sama sekali pendapat sesetengah daripada masyarakat kita tentang sial atau malapetaka yang dibawa oleh bayi yang baru dilahirkan. Sebaliknya, kita perlu faham bahawa kelahiran zuriat merupakan satu rahmat bagi sesebuah keluarga. Zuriat merupakan satu amanah daripada Allah SWT. Bagi yang berjaya memikul amanah tersebut, maka amat besar ganjaran yang akan dinikmatinya kelak. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28).

6. Sebenarnya, masih terdapat banyak amalan karut berkaitan kelahiran bayi yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu hari ini. Kepercayaan tersebut yang sebenarnya boleh membawa kepada rosaknya akidah, perlu ditinggalkan. Contohnya, adat “kirim perut” yang dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang sial atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut. Selain itu, selepas kelahiran terdapat pula adat yang dipanggil “turun tanah”. Ia sebagai meraikan anak yang baharu pandai berjalan. Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai lambang meneruskan kehidupannya. Tidak kurang juga bayi yang dipakaikan tangkal kuning atau hitam pada pinggangnya bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. Semuanya ini merupakan amalan yang tidak disyariatkan dalam Islam. Malah wajar ditinggalkan kerana ia boleh membawa kepada syirik. Ingatlah bahawa dosa syirik adalah satu dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT.

7. Sebenarnya, kepercayaan karut seperti ini berlaku kerana rapuhnya iman seseorang terhadap ketentuan Allah SWT. Mereka hanya memandai-mandai membuat kesimpulan sendiri terhadap ketentuan hidup mereka. Masalah bankrap dalam perniagaan, ditimpa malapetaka dan bencana, menerima berita sedih kerana kematian dan sebagainya merupakan satu ketetapan Allah SWT dan bukan disebabkan zuriat yang tidak berdosa. Sekiranya setiap umat Islam faham dengan konsep qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah SWT, maka mereka tidak akan sesekali merasa kecewa, sebaliknya terus bersangka baik dengan Allah SWT dan bersedia mengharungi dugaan tersebut dengan redha dan tawakkal. Sesungguhnya kekuasaan Allah SWT dalam menentukan sesuatu perkara adalah bersifat mutlak. Firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: ‘Jadilah’. Lalu jadilah ia.” (Surah al-Baqarah, ayat 117).

8. Sesungguhnya, anak merupakan anugerah Allah SWT yang cukup berharga kepada ibu bapa serta amanah untuk dipelihara dengan sempurna, termasuk memastikan keselamatannya di dunia dan akhirat. Berapa ramai dalam kalangan kita yang masih belum dikurniakan anak. Justeru, bagi yang telah memperolehi nikmat memiliki zuriat sendiri, maka peliharalah zuriat tersebut dengan sebaiknya, dan hindari diri daripada mensia-siakan zuriat tersebut dengan kepercayaan karut yang menyesatkan.


9. Dugaan tidak dikurniakan anak merupakan antara dugaan besar yang ditanggung oleh pasangan yang sudah berkahwin. Hal ini turut dirasai oleh Nabi Zakaria AS yang hanya dikurniakan zuriat tatkala usianya telah lewat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala dia menyeru Tuhannya: ‘Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri (tidak mempunyai zuriat keturunan) dan Engkaulah waris yang paling baik (diserahkan segala urusan kepada-MU).’” (Surah al-Anbiya’, ayat 89).

10. Dalam sebuah hadis, dirakamkan betapa hibanya hati Rasulullah SAW dengan perginya anak lelaki Baginda yang bernama Ibrahim menemui Tuhannya. Rasa sedih seorang bapa ini menunjukkan betapa besar nikmat Allah SWT yang telah mengurniakan Baginda seorang cahaya mata lelaki, namun nikmat itu hanya datang seketika. Rasulullah SAW menitiskan air mata ketika kematian anak lelakinya, sambil bersabda: “Sesungguhnya mata itu menangis, hati pula bersedih, kami tidak mengatakan kecuali apa yang diredhakan oleh Tuhan kami, dan kami semua disebabkan perpisahan dengan kamu ini, Ya Ibrahim (anak Nabi SAW) teramatlah sedih.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

11.  Kepada para ibu bapa, bersyukurlah dengan kurniaan zuriat yang sekiranya berjaya dididik dengan didikan Islam, ia akan menjadi ‘saham’ berguna ketika di akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakan.” (Surah al-Tur, ayat 21).

12. Hindarkanlah diri daripada kepercayaan dan amalan karut, kerana semuanya ini mampu merencatkan proses pembentukan keperibadian seorang anak yang soleh dan solehah. Berdoalah kepada Allah SWT dengan doa-doa yang baik agar akan lahir dalam kalangan kita zuriat yang soleh dan solehah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS tatkala dikurniakan dua orang putera yang soleh iaitu Nabi Ismail AS dan Nabi Ishaq AS. Doa Nabi Ibrahim AS telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an: “Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku pada hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim, ayat 39).

No comments:

Post a Comment