Saturday, July 28, 2012

Fahami Puasa Sebagai Ibadah Bukan Adat


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Bulan Ramadan bakal kembali membuka tirainya buat kesekian kalinya pada tahun ini. Ramadan yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kembali lagi membawa seribu satu rahmat dan keberkatan. Menjadi satu kewajipan bagi setiap umat Islam untuk merebut peluang keemasan dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang diredai-Nya.

Sebuah hadis yang sahih menerangkan secara jelas bahawa ganjaran besar sentiasa menanti orang Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan. Tiada ganjaran yang lebih besar selain Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang tidak pernah lekang daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun, dalam keghairahan merebut peluang keemasan sepanjang bulan Ramadan, kadang-kadang terdapat beberapa perkara yang terlepas daripada kawalan kita. Meskipun mungkin sesetengah pendapat melihat perkara-perkara itu sebagai remeh, hakikatnya ia mampu mencacatkan ibadah puasa, malah mungkin menyebabkan puasa kita tertolak. Setiap Muslim perlu faham bahawa berpuasa itu satu ibadah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t., ia bukan satu adat yang menjadi ikut-ikutan masyarakat atau budaya setempat. Justeru, pelaksanaan puasa perlu dilakukan dengan ilmu yang betul.

Antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan ibadah kita mencapai tahap yang terbaik ialah:

·         Bersahur pada waktunya.
Perkara ini perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah yang membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang lain. Mungkin ramai di kalangan kita yang mengambil jalan mudah dengan makan pada lewat malam dan meninggalkan sahur. Perkara ini adalah tidak tepat kerana bersahur itu sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu subuh. Sesungguhnya terdapat keberkatan yang menunggu mereka yang bersahur. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

·         Menyegerakan berbuka puasa.
Hal ini juga perlu diberi peringatan kerana terdapat antara kita yang sambil lewa tentang perkara ini. Sekiranya telah yakin masuknya waktu maghrib, maka kita mesti segera berbuka. Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan seribu satu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadah dengan tepat menurut garis panduan yang telah ditetapkan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


·         Bersederhana ketika berbuka.
Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu makan ketika berbuka puasa. Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan sehingga akhirnya, hanya sebahagian sahaja yang mampu dihabiskan, manakala yang bakinya dibuang begitu sahaja. Inilah antara dugaan bagi golongan yang berpuasa. Jika keadaan ini tidak dikawal, maka sudah pasti ibadah puasa yang dilakukan hampir separuh hari itu tidak mampu untuk mendidik jiwa dan mengawal hawa nafsu dengan sempurna. Jika dilihat daripada sunnah Rasulullah s.a.w, Baginda amat bersederhana ketika berbuka puasa. “Rasulullah berbuka puasa dengan kurma rutab sebelum solat, dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar, dan jika tiada, Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Ahmad dan al-Tirmidzi).

·         Menunaikan solat pada awal waktu secara berjemaah.
Antara perkara lain yang perlu menjadi perhatian kita ialah perlunya mengetahui antara perkara yang utama dengan yang lebih utama. Ibadah puasa itu adalah ibadah utama, namun solat lima waktu adalah lebih utama untuk ditunaikan secara yang lebih sempurna. Sesetengah daripada kita tidak memandang solat itu sebagai satu ibadah yang perlu ditunaikan pada tahap yang sempurna kerana jika tidak, ia bakal mencacatkan ibadah puasa. Seharusnya kita berlumba untuk menunaikan solat pada awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Rasulullah s.a.w ketika ditanya oleh sahabat berkaitan amalan yang terbaik, maka Baginda s.a.w menjawab: “Solat pada awal waktunya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Abu Dawud). Adalah lebih malang, jika terdapat antara umat Islam yang berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa menunaikan ibadah solat lima waktu. Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama.


·         Memperbanyakkan doa.
Secara jelas bahawa antara keadaan yang mana doa akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t ialah apabila ia dilakukan oleh orang yang sedang berpuasa. Inilah antara rahmat yang bakal diperolehi oleh umat Islam di bulan Ramadan. Setiap permintaan dan hajat yang baik dan dipanjatkan secara ikhlas dan rendah diri, pasti dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Ambillah peluang ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan, keamanan, keberkatan, keampunan buat seluruh umat Islam di segenap pelusok dunia. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak akan tertolak.” (Hadis riwayat Ibn Majah). Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak; pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya." (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Ibnu Majah). Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa beliau telah diajar oleh Rasulullah s.a.w membaca doa pada malam al-Qadr. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka ‘afuwwun karimun tuhibbul ‘afwa fa' fu anni”, yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).



·         Sentiasa ingat kepada Allah dengan berzikir.
Sebagai seorang hamba yang tunduk kepada-Nya, sewajibnya kita perlu sentiasa ingat kepada-Nya. Kita tidak boleh alpa dengan keindahan dunia yang sebenarnya hanya tempat buat sementara. Justeru, kita perlu rebut peluang suasana Ramadan agar dapat menumpukan ingatan kepada Allah s.w.t. Suasana di mana setiap orang Muslim berada dalam keadaan beribadah. Maka wajar kita menumpukan ingatan agar sentiasa mengingati-Nya. Dengan mengingati Allah s.w.t. setiap masa, ia merupakan strategi paling berkesan bagi menghindari diri daripada terjebak dengan maksiat yang disebabkan oleh lidah. Saidatina Aisyah berkata: "Sesungguhnya Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis riwayat Muslim). Dengan berzikir mengingati Allah s.w.t. juga, kita akan memperoleh ketenangan dalam melakukan ibadah puasa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

·         Bertadarus al-Qur’an.
Jika disingkap dalam sirah Rasulullah s.a.w, tadarus al-Qur’an merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bertadarus dengan malaikat Jibril a.s pada setiap Ramadan dan pada Ramadan terakhir sebelum kewafatan Baginda s.a.w, mereka bertadarus sebanyak dua kali. Sebenarnya yang disebut sebagai “tadarus” ialah apabila ia dilakukan oleh dua pihak, iaitu satu pihak membaca, manakala pihak kedua mendengar sambil memperbetulkan kesilapan bacaan dan seterusnya secara bergilir-gilir. Inilah konsep tadarus yang sebenar iaitu membaca dan menyemak bacaan. Perkara ini yang menjadi tujuan Rasulullah s.a.w bertadarus bersama malaikat Jibril a.s, iaitu antara lain untuk memastikan bahawa al-Qur’an itu tepat tanpa ada sebarang kesilapan. Justeru seharusnya kita memanfaatkan bulan Ramadan yang juga bulan al-Qur’an dengan membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Qur’an dalam kehidupan seharian. Perlu menjadi ingatan bahawa bertadarus bukan untuk tujuan berlumba mengkhatamkan al-Qur’an tetapi memperbetulkan bacaan dan menghayati isinya adalah lebih utama. Allah s.w.t menjelaskan kaitan Ramadan dan al-Qur’an menerusi firmannya yang bermaksud: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan mengenai petunjuk itu, serta pembeza (antara yang hak dengan yang batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185).


·         Meningkatkan prestasi kerja di bulan Ramadan.
Pada bulan Ramadan, kebanyakan tempat kerja khususnya dalam sektor kerajaan akan menamatkan waktu operasinya lebih awal. Justeru, seharusnya para pekerja memanfaatkan waktu bekerja di bulan Ramadan dengan lebih sempurna. Apa yang pasti, ganjaran pahala yang bakal diterima oleh mereka yang melakukan kerja dengan penuh amanah dan keikhlasan akan diberi ganjaran yang selayaknya malah akan digandakan pada bulan Ramadan. Islam tidak pernah sama sekali menerima alasan mereka yang menjadikan puasa sebagai antara sebab produktiviti kerja menjadi kurang dan lemah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).

·         Mengelakkan diri daripada menjadi penggangu para jemaah.
Perkara ini jika diteliti secara sepintas lalu, amatlah remeh tetapi sebenarnya ia membawa implikasi yang besar. Malah mungkin pada satu tahap kita berdosa kerana mengganggu kekhusyukkan para jemaah yang sedang beribadah. Justeru, kita dianjurkan untuk mengawal pemakanan kita ketika berbuka puasa. Terdapat di kalangan para jemaah yang makan seribu satu macam makanan ketika berbuka, lalu sendawa secara bebas ketika solat di masjid. Sudah pasti keadaan ini boleh mengganggu konsentrasi para jemaah lain, malah ditakuti boleh menyakiti hati mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang kuat baunya), maka jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah di rumah sahaja.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

·         Mengawal setiap kata-kata dan perbuatan.
Perkara-perkara buruk seperti melemparkan kata-kata yang buruk dan kesat, mengumpat, menyebarkan fitnah adalah antara perkara yang amat mudah terdedah kepada kita. Justeru, sempena bulan yang mulia ini, kita seharusnya menjadi seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata dan perbuatan seharian. Manfaatkan akal yang waras dengan disandarkan kepada pemahaman terhadap tuntutan agama bagi mengelakkan diri terjebak dengan perkara-perkara buruk ini. Sememangnya perkara-perkara buruk seperti ini amat nikmat jika dilakukan tanpa disedari bahawa ia bakal memusnahkan pahala puasa kita. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata dan perbuatan buruk (ketika berpuasa), maka tiadalah bagi Allah berhajat kepada penahanan makananan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu).” (Hadis riwayat al-Bukhari).


·         Jujur dalam perniagaan dan jual beli.
Sememangnya Ramadan juga membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada umat Islam. Seperti di Malaysia, banyak bazar Ramadan akan diadakan bagi memudahkan umat Islam membuat persediaan berbuka puasa. Maka sudah pasti para peniaga akan melakukan seribu satu perkara bagi memastikan jualannya laris sepanjang bulan Ramadan. Perlu diingatkan bahawa para peniaga sewajibnya memahami etika perniagaan dalam Islam. Pembohongan dalam perniagaan adalah sesuatu yang haram dan balasan yang pedih menanti mereka yang terlibat dengannya. Jika diteliti, mungkin terdapat peniaga yang menjual semula makanan yang tidak habis dijual kepada para pembeli pada hari berikutnya. Inilah antara bentuk penipuan yang jelas menyalahi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w melalui seorang lelaki yang sedang menjual biji-bijian. Baginda sangat mengaguminya, kemudian Baginda s.a.w memasukkan tangannya ke dalam tempat biji-bijian itu, apabila dilihatnya biji-bijian itu basah, maka Baginda s.a.w bertanya: “Apa yang dilakukan oleh pemilik biji-bijian ini?” Lalu ia menjawab: “Ia (biji-bijian) terkena hujan.” Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Mengapa kamu tidak meletakkan yang basah itu di atas agar pembeli boleh mengetahuinya? Barangsiapa yang menipu, bukanlah daripada golongan kami (Islam).” (Hadis riwayat Muslim).

Marilah kita melakukan muhasabah diri serta berusaha untuk melaksanakan ibadah puasa pada tahap yang terbaik. Sesungguhnya perkara-perkara yang remeh juga perlu dititikberatkan agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t, seterusnya melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan-Nya. Seperkara lagi, kita seharunya sentiasa mendalami ilmu berkaitan puasa agar puasa yang kita lakukan mencapai ‘standard’ yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Kita perlu terus membaca dan menimba ilmu berkaitan perkara-perkara yang perlu dibuat dan perlu ditinggalkan semasa menjalani ibadah puasa. Meskipun kita telah berpuluh tahun menjalani ibadah yang sama, tetapi kita perlu sedar bahawa semestinya masih terdapat kelompongan di sana sini. Mana mungkin kualiti puasa kita ketika berusia 13 tahun akan sama dengan kualiti puasa ketika berusia 30 tahun. Selagi kita berusaha mendalami ilmu berkaitan puasa, selagi itu kualiti puasa kita akan terus meningkat, sehingga nanti kita mampu memperoleh darjah “takwa” seperti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya ganjaran yang besar akan dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada setiap Muslim yang mampu menunaikan ibadah puasa dengan kualiti yang terbaik. Antara ganjaran tersebut ialah dapat memasuki syurga Allah s.w.t. melalui pintu “al-Rayyan” yang dikhususkan untuk hamba-Nya yang berpuasa sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Monday, July 16, 2012

ULASAN: Perbezaan Pendapat Perlu Ditangani Dengan Bijak


Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
         Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu

1. Perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang lumrah dalam kehidupan. Hakikatnya perbezaan pendapat ini merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya dengan pelbagai sifat dan ragam. Perbezaan ini juga merupakan satu ketetapan Allah SWT atau disebut sebagai sunnatullah. Allah SWT menjelaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.” (Surah Hud, ayat 118).

2. Justeru, setiap individu khususnya Muslim perlu menyedari bahawa perselisihan pendapat merupakan satu perkara yang lumrah. Dan ia perlu sentiasa dilihat dari sudut pandang yang positif. Sekiranya hal ini dilihat secara positif, pastinya ia akan mendatangkan faedah dan kebaikan untuk umat, bukan dilihat sebagai satu perkara yang boleh mendatangkan perpecahan dan perbalahan.



3. Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang secara jelas menerangkan bahawa apa juga perbezaan yang terdapat dalam penciptaan makhluk Allah SWT di atas muka bumi, ia memberi gambaran tentang kekuasaan dan kebesaran-Nya. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum, ayat 22).

4. Dalam Islam, kebanyakan perbezaan pendapat di kalangan ulama berlaku dalam masalah-masalah fekah. Hal ini berlaku atas beberapa sebab, antaranya bagaimana para ulama tersebut memahami dan menafsir nas-nas dalam pendalilan sesuatu hukum. Pada kebanyakan tempat, perbezaan pemahaman terhadap nas ini merujuk kepada nas yang bersifat umum. Perbezaan juga boleh berlaku disebabkan faktor tempat dan masa. Walau bagaimanapun, seperti yang dijelaskan sebelum ini, sekiranya perbezaan pendapat itu dilihat secara positif, maka ia akan melahirkan faedah yang positif. Khalifah Umar bin ‘Abd ‘Aziz pernah menyebut bahawa beliau melihat fenomena perbezaan pendapat dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW sebagai satu hal yang baik, kerana ia memberi rukhsah (keringanan) kepada umat. Perbezaan pendapat dalam kalangan ulama menjadi sebab keluarnya umat Islam daripada kesempitan masalah dalam beberapa isu fekah.

5. Tetapi dalam bab akidah, yang merupakan perkara pokok dalam Islam, tiada istilah perbezaan atau perselisihan. Pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jama’ah merupakan satu pegangan yang menyatukan seluruh umat Islam di bawah kalimah tauhid yang satu. Al-Qur’an dan Sunnah merupakan dua sumber pegangan akidah yang jelas tanpa perlu tafsiran yang pelbagai daripada kalangan ulama. Inilah yang menjadi asas keutuhan pegangan akidah umat Islam. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul.” (Surah al-Nisa’, ayat 59). Sabda Rasulullah SAW yang dinukilkan oleh Malik bin Anas dalam kitabnya al-Muwatta’, bermaksud: Aku telah tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Qur’an dan Sunnah Nabi-Nya.”

6. Perkara yang perlu ditekankan di sini ialah bagaimana pendirian umat Islam ketika berdepan dengan isu-isu perbezaan atau khilaf ini. Hal ini perlu ditekankan agar umat Islam tidak terjebak dalam situasi yang akhirnya memporak-perandakan kesucian Islam. Perkara yang paling penting, ialah menyuburkan budaya ilmu dalam kehidupan umat Islam. Hanya dengan ilmu yang benar, yang diperolehi daripada golongan yang berilmu, maka ia dapat menyelamatkan umat Islam daripada kejahilan. Kejahilan umat Islam dalam menangani isu khilaf akan menjadikan mereka berada dalam keadaan haru-biru. Lebih dikhuatiri, ia bakal menjerumuskan mereka ke dalam lembah kesesatan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Oleh itu, bagi orang awam, berdamping dan bertanyalah dengan orang yang berilmu sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah berkaitan agama. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 43).

7. Bagi golongan ilmuan yang berselisih pendapat pula, mereka perlu bersifat lapang dada ketika berdepan dengan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka. Selagi perbezaan pendapat itu dalam perkara-perkara furu’ (bukan perkara pokok), maka perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya ia membawa kebaikan kepada umat. Mereka perlu mengelakkan diri daripada penguasaan hawa nafsu ketika menangani perselisihan pendapat. Mereka perlu menyatakan pendapat berdasarkan hujah ilmu yang disandarkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai hujah yang kukuh, maka sebenarnya perselisihan pendapat tersebut merupakan satu rahmat buat umat. Firmah Allah SWT di dalam al-Qur’an: “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, ayat 36).

8. Sesi diskusi dan perbincangan ilmiah perlu terus disuburkan dalam menangani isu khilaf ini. Perbincangan ilmiah dalam bentuk dialog dan seminar sebenarnya merupakan antara cara terbaik ketika berdepan dengan isu perselisihan pendapat. Namun, perlu diingatkan bahawa setiap pihak yang berselisih, perlu sedar bahawa perbincangan yang diadakan adalah untuk mencari titik persamaan dan menjauhkan jurang perbezaan. Ia bukan untuk menentukan pihak mana yang betul dan pihak mana yang salah. Inilah antara cara diskusi yang berhikmah sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl, ayat 125)



9. Antara adab yang perlu dijaga ketika membincangkan isu khilaf ialah tidak melabel pihak yang tidak sependapat dengan label-label yang buruk. Malah ada dalam kalangan mereka yang berselisih, sanggup melabel pihak lain dengan label 'kafir' sedangkan isu yang dibahaskan tidak menyentuh soal akidah. Sesungguhnya perlu menjadi ingatan bahawa umat Islam itu bersaudara, maka apa juga perkara yang dapat meruntuhkan hubungan tersebut maka ia adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita (memperolok-olokkan) wanita-wanita lain, boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama (panggilan) ialah (panggilan) yang fasik (jelek) sesudah iman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).

10. Akhirnya, semua pihak perlu sedar bahawa umat Islam adalah umat yang satu. Disatukan dengan kalimah tauhid yang memperakui keesaan Allah SWT dan kebenaran Rasul-Nya. Maka umat Islam perlu bersikap positif dan profesional ketika berdepan dengan masalah khilaf atau perbezaan pendapat, tidak kira sama ada mereka yang terlibat ini daripada kalangan ilmuan mahupun orang awam. Apa juga bentuk perpecahan dan punca yang membawa kepadanya perlu dijauhkan kerana perpecahan itu hanya akan melemah dan menghancurkan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya (Rasul Allah), jangan kamu berselisihan kerana itu (menyebabkan) kamu menjadi lemah, dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah (kerana) Allah bersama orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46).