Oleh: Mohd
Shahrizal Nasir
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Bulan Ramadan bakal
kembali membuka tirainya buat kesekian kalinya pada tahun ini. Ramadan yang
dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam kembali lagi membawa seribu satu
rahmat dan keberkatan. Menjadi satu kewajipan bagi setiap umat Islam untuk
merebut peluang keemasan dengan memanfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam
bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang diredai-Nya.
Sebuah hadis yang
sahih menerangkan secara jelas bahawa ganjaran besar sentiasa menanti orang
Islam yang benar-benar memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan.
Tiada ganjaran yang lebih besar selain Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa
hamba-Nya yang tidak pernah lekang daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan
Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah)
nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
Namun, dalam keghairahan merebut peluang keemasan
sepanjang bulan Ramadan, kadang-kadang terdapat beberapa perkara yang terlepas
daripada kawalan kita. Meskipun mungkin sesetengah pendapat melihat
perkara-perkara itu sebagai remeh, hakikatnya ia mampu mencacatkan ibadah puasa,
malah mungkin menyebabkan puasa kita tertolak. Setiap Muslim perlu faham bahawa
berpuasa itu satu ibadah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t., ia bukan satu
adat yang menjadi ikut-ikutan masyarakat atau budaya setempat. Justeru,
pelaksanaan puasa perlu dilakukan dengan ilmu yang betul.
Antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian
sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan ibadah kita mencapai tahap yang terbaik
ialah:
·
Bersahur
pada waktunya.
Perkara ini perlu ditekankan kerana amalan bersahur inilah yang
membezakan ibadah puasa umat Islam dengan puasa yang dilakukan oleh orang lain.
Mungkin ramai di kalangan kita yang mengambil jalan mudah dengan makan pada
lewat malam dan meninggalkan sahur. Perkara ini adalah tidak tepat kerana
bersahur itu sunat dilakukan pada akhir waktunya iaitu sebelum masuk waktu
subuh. Sesungguhnya terdapat keberkatan yang menunggu mereka yang bersahur.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur
itu ada keberkatannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
·
Menyegerakan
berbuka puasa.
Hal ini juga perlu diberi peringatan kerana terdapat antara kita yang
sambil lewa tentang perkara ini. Sekiranya telah yakin masuknya waktu maghrib,
maka kita mesti segera berbuka. Inilah antara keindahan Islam yang menjanjikan
seribu satu rahmat dan kebaikan terhadap umatnya yang melakukan ibadah dengan
tepat menurut garis panduan yang telah ditetapkan. Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang mereka
menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
·
Bersederhana
ketika berbuka.
Antara cabaran utama golongan yang berpuasa adalah mengawal nafsu
makan ketika berbuka puasa. Pelbagai juadah akan dibeli atau disediakan
sehingga akhirnya, hanya sebahagian sahaja yang mampu dihabiskan, manakala yang
bakinya dibuang begitu sahaja. Inilah antara dugaan bagi golongan yang
berpuasa. Jika keadaan ini tidak dikawal, maka sudah pasti ibadah puasa yang
dilakukan hampir separuh hari itu tidak mampu untuk mendidik jiwa dan mengawal
hawa nafsu dengan sempurna. Jika dilihat daripada sunnah Rasulullah s.a.w,
Baginda amat bersederhana ketika berbuka puasa. “Rasulullah berbuka puasa
dengan kurma rutab sebelum solat, dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar,
dan jika tiada, Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Abu Dawud,
Ahmad dan al-Tirmidzi).
·
Menunaikan
solat pada awal waktu secara berjemaah.
Antara perkara lain yang perlu menjadi perhatian kita ialah perlunya
mengetahui antara perkara yang utama dengan yang lebih utama. Ibadah puasa itu
adalah ibadah utama, namun solat lima waktu adalah lebih utama untuk ditunaikan
secara yang lebih sempurna. Sesetengah daripada kita tidak memandang solat itu
sebagai satu ibadah yang perlu ditunaikan pada tahap yang sempurna kerana jika
tidak, ia bakal mencacatkan ibadah puasa. Seharusnya kita berlumba untuk
menunaikan solat pada awal waktu dan dilakukan secara berjemaah. Rasulullah
s.a.w ketika ditanya oleh sahabat berkaitan amalan yang terbaik, maka Baginda
s.a.w menjawab: “Solat pada awal waktunya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi
dan Abu Dawud). Adalah lebih malang, jika terdapat antara umat Islam yang
berpuasa dalam bulan Ramadan tanpa menunaikan ibadah solat lima waktu.
Sesungguhnya solat itu adalah tiang agama.
·
Memperbanyakkan
doa.
Secara jelas bahawa antara keadaan yang mana doa akan dimakbulkan oleh
Allah s.w.t ialah apabila ia dilakukan oleh orang yang sedang berpuasa. Inilah
antara rahmat yang bakal diperolehi oleh umat Islam di bulan Ramadan. Setiap
permintaan dan hajat yang baik dan dipanjatkan secara ikhlas dan rendah diri,
pasti dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Ambillah peluang ini untuk sama-sama
mendoakan kesejahteraan, keamanan, keberkatan, keampunan buat seluruh umat
Islam di segenap pelusok dunia. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya
bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang
tidak akan tertolak.” (Hadis riwayat Ibn Majah). Rasulullah SAW juga
bersabda yang bermaksud: "Tiga orang yang doanya tidak akan ditolak;
pemimpin adil, orang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang
teraniaya." (Hadis riwayat Ahmad, al-Nasa’i, al-Tirmizi dan Ibnu
Majah). Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa
beliau telah diajar oleh Rasulullah s.a.w membaca doa pada malam al-Qadr.
Doanya berbunyi: “Allahumma innaka ‘afuwwun karimun tuhibbul ‘afwa fa' fu
anni”, yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang
Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
·
Sentiasa
ingat kepada Allah dengan berzikir.
Sebagai seorang hamba yang tunduk kepada-Nya, sewajibnya kita perlu
sentiasa ingat kepada-Nya. Kita tidak boleh alpa dengan keindahan dunia yang
sebenarnya hanya tempat buat sementara. Justeru, kita perlu rebut peluang suasana
Ramadan agar dapat menumpukan ingatan kepada Allah s.w.t. Suasana di mana
setiap orang Muslim berada dalam keadaan beribadah. Maka wajar kita menumpukan
ingatan agar sentiasa mengingati-Nya. Dengan mengingati Allah s.w.t. setiap
masa, ia merupakan strategi paling berkesan bagi menghindari diri daripada
terjebak dengan maksiat yang disebabkan oleh lidah. Saidatina Aisyah berkata: "Sesungguhnya
Rasulullah sentiasa berzikir kepada Allah setiap saat." (Hadis riwayat
Muslim). Dengan berzikir mengingati Allah s.w.t. juga, kita akan memperoleh
ketenangan dalam melakukan ibadah puasa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka
menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah
hati menjadi tenang tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).
·
Bertadarus
al-Qur’an.
Jika disingkap dalam sirah Rasulullah s.a.w, tadarus al-Qur’an
merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bertadarus dengan malaikat
Jibril a.s pada setiap Ramadan dan pada Ramadan terakhir sebelum kewafatan
Baginda s.a.w, mereka bertadarus sebanyak dua kali. Sebenarnya yang disebut
sebagai “tadarus” ialah apabila ia dilakukan oleh dua pihak, iaitu satu pihak
membaca, manakala pihak kedua mendengar sambil memperbetulkan kesilapan bacaan
dan seterusnya secara bergilir-gilir. Inilah konsep tadarus yang sebenar iaitu
membaca dan menyemak bacaan. Perkara ini yang menjadi tujuan Rasulullah s.a.w
bertadarus bersama malaikat Jibril a.s, iaitu antara lain untuk memastikan
bahawa al-Qur’an itu tepat tanpa ada sebarang kesilapan. Justeru seharusnya
kita memanfaatkan bulan Ramadan yang juga bulan al-Qur’an dengan membaca,
memahami dan melaksanakan tuntutan al-Qur’an dalam kehidupan seharian. Perlu
menjadi ingatan bahawa bertadarus bukan untuk tujuan berlumba mengkhatamkan
al-Qur’an tetapi memperbetulkan bacaan dan menghayati isinya adalah lebih
utama. Allah s.w.t menjelaskan kaitan Ramadan dan al-Qur’an menerusi firmannya
yang bermaksud: “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan
yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi
manusia, dan penjelasan mengenai petunjuk itu, serta pembeza (antara yang hak
dengan yang batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185).
·
Meningkatkan
prestasi kerja di bulan Ramadan.
Pada bulan Ramadan, kebanyakan tempat kerja khususnya dalam sektor
kerajaan akan menamatkan waktu operasinya lebih awal. Justeru, seharusnya para
pekerja memanfaatkan waktu bekerja di bulan Ramadan dengan lebih sempurna. Apa
yang pasti, ganjaran pahala yang bakal diterima oleh mereka yang melakukan
kerja dengan penuh amanah dan keikhlasan akan diberi ganjaran yang selayaknya
malah akan digandakan pada bulan Ramadan. Islam tidak pernah sama sekali
menerima alasan mereka yang menjadikan puasa sebagai antara sebab produktiviti
kerja menjadi kurang dan lemah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia
melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (Hadis riwayat Muslim).
·
Mengelakkan
diri daripada menjadi penggangu para jemaah.
Perkara ini jika diteliti secara sepintas lalu, amatlah remeh tetapi
sebenarnya ia membawa implikasi yang besar. Malah mungkin pada satu tahap kita
berdosa kerana mengganggu kekhusyukkan para jemaah yang sedang beribadah.
Justeru, kita dianjurkan untuk mengawal pemakanan kita ketika berbuka puasa.
Terdapat di kalangan para jemaah yang makan seribu satu macam makanan ketika
berbuka, lalu sendawa secara bebas ketika solat di masjid. Sudah pasti keadaan
ini boleh mengganggu konsentrasi para jemaah lain, malah ditakuti boleh
menyakiti hati mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa
yang makan bawang putih atau merah (yang kuat baunya), maka jauhilah
masjid-masjid kami dan duduklah di rumah sahaja.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
·
Mengawal
setiap kata-kata dan perbuatan.
Perkara-perkara buruk seperti melemparkan kata-kata yang buruk dan
kesat, mengumpat, menyebarkan fitnah adalah antara perkara yang amat mudah
terdedah kepada kita. Justeru, sempena bulan yang mulia ini, kita seharusnya
menjadi seorang yang lebih berhati-hati dalam setiap kata-kata dan perbuatan
seharian. Manfaatkan akal yang waras dengan disandarkan kepada pemahaman
terhadap tuntutan agama bagi mengelakkan diri terjebak dengan perkara-perkara
buruk ini. Sememangnya perkara-perkara buruk seperti ini amat nikmat jika
dilakukan tanpa disedari bahawa ia bakal memusnahkan pahala puasa kita. Sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan tutur kata
dan perbuatan buruk (ketika berpuasa), maka tiadalah bagi Allah berhajat kepada
penahanan makananan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu).” (Hadis
riwayat al-Bukhari).
·
Jujur
dalam perniagaan dan jual beli.
Sememangnya Ramadan juga membuka pintu rezeki seluas-luasnya kepada umat
Islam. Seperti di Malaysia, banyak bazar Ramadan akan diadakan bagi memudahkan
umat Islam membuat persediaan berbuka puasa. Maka sudah pasti para peniaga akan
melakukan seribu satu perkara bagi memastikan jualannya laris sepanjang bulan
Ramadan. Perlu diingatkan bahawa para peniaga sewajibnya memahami etika
perniagaan dalam Islam. Pembohongan dalam perniagaan adalah sesuatu yang haram
dan balasan yang pedih menanti mereka yang terlibat dengannya. Jika diteliti,
mungkin terdapat peniaga yang menjual semula makanan yang tidak habis dijual
kepada para pembeli pada hari berikutnya. Inilah antara bentuk penipuan yang
jelas menyalahi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Pada suatu
hari, Rasulullah s.a.w melalui seorang lelaki yang sedang menjual biji-bijian.
Baginda sangat mengaguminya, kemudian Baginda s.a.w memasukkan tangannya ke
dalam tempat biji-bijian itu, apabila dilihatnya biji-bijian itu basah, maka
Baginda s.a.w bertanya: “Apa yang dilakukan oleh pemilik biji-bijian ini?”
Lalu ia menjawab: “Ia (biji-bijian) terkena hujan.” Kemudian Rasulullah s.a.w
bersabda: “Mengapa kamu tidak meletakkan yang basah itu di atas agar pembeli
boleh mengetahuinya? Barangsiapa yang menipu, bukanlah daripada golongan kami
(Islam).” (Hadis riwayat Muslim).
Marilah kita melakukan muhasabah diri serta berusaha untuk melaksanakan ibadah puasa pada tahap yang terbaik. Sesungguhnya perkara-perkara yang remeh juga perlu dititikberatkan agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t, seterusnya melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan-Nya. Seperkara lagi, kita seharunya sentiasa mendalami ilmu berkaitan puasa agar puasa yang kita lakukan mencapai ‘standard’ yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Kita perlu terus membaca dan menimba ilmu berkaitan perkara-perkara yang perlu dibuat dan perlu ditinggalkan semasa menjalani ibadah puasa. Meskipun kita telah berpuluh tahun menjalani ibadah yang sama, tetapi kita perlu sedar bahawa semestinya masih terdapat kelompongan di sana sini. Mana mungkin kualiti puasa kita ketika berusia 13 tahun akan sama dengan kualiti puasa ketika berusia 30 tahun. Selagi kita berusaha mendalami ilmu berkaitan puasa, selagi itu kualiti puasa kita akan terus meningkat, sehingga nanti kita mampu memperoleh darjah “takwa” seperti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Marilah kita melakukan muhasabah diri serta berusaha untuk melaksanakan ibadah puasa pada tahap yang terbaik. Sesungguhnya perkara-perkara yang remeh juga perlu dititikberatkan agar ibadah puasa kita diterima oleh Allah s.w.t, seterusnya melayakkan kita mendapat rahmat dan keampunan-Nya. Seperkara lagi, kita seharunya sentiasa mendalami ilmu berkaitan puasa agar puasa yang kita lakukan mencapai ‘standard’ yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Kita perlu terus membaca dan menimba ilmu berkaitan perkara-perkara yang perlu dibuat dan perlu ditinggalkan semasa menjalani ibadah puasa. Meskipun kita telah berpuluh tahun menjalani ibadah yang sama, tetapi kita perlu sedar bahawa semestinya masih terdapat kelompongan di sana sini. Mana mungkin kualiti puasa kita ketika berusia 13 tahun akan sama dengan kualiti puasa ketika berusia 30 tahun. Selagi kita berusaha mendalami ilmu berkaitan puasa, selagi itu kualiti puasa kita akan terus meningkat, sehingga nanti kita mampu memperoleh darjah “takwa” seperti yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Sesungguhnya ganjaran yang besar akan dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada setiap Muslim yang mampu menunaikan ibadah puasa dengan kualiti yang terbaik. Antara ganjaran tersebut ialah dapat memasuki syurga Allah s.w.t. melalui pintu “al-Rayyan” yang dikhususkan untuk hamba-Nya yang berpuasa sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang termasuk golongan orang mengerjakan sembahyang maka ia akan dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa termasuk golongan orang melakukan jihad, maka ia akan dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa termasuk golongan orang yang berpuasa maka dia akan dipanggil dari pintu al-Rayyan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment