Oleh: Mohd Shahrizal Bin Nasir
Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu
1. Perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang lumrah dalam kehidupan. Hakikatnya perbezaan pendapat ini merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya dengan pelbagai sifat dan ragam. Perbezaan ini juga merupakan satu ketetapan Allah SWT atau disebut sebagai sunnatullah. Allah SWT menjelaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.” (Surah Hud, ayat 118).
Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu
1. Perbezaan pendapat merupakan satu perkara yang lumrah dalam kehidupan. Hakikatnya perbezaan pendapat ini merupakan satu tanda kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk-Nya dengan pelbagai sifat dan ragam. Perbezaan ini juga merupakan satu ketetapan Allah SWT atau disebut sebagai sunnatullah. Allah SWT menjelaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.” (Surah Hud, ayat 118).
2. Justeru, setiap individu khususnya
Muslim perlu menyedari bahawa perselisihan pendapat merupakan satu perkara yang
lumrah. Dan ia perlu sentiasa dilihat dari sudut pandang yang positif.
Sekiranya hal ini dilihat secara positif, pastinya ia akan mendatangkan faedah
dan kebaikan untuk umat, bukan dilihat sebagai satu perkara yang boleh
mendatangkan perpecahan dan perbalahan.
3. Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang
secara jelas menerangkan bahawa apa juga perbezaan yang terdapat dalam
penciptaan makhluk Allah SWT di atas muka bumi, ia memberi gambaran tentang
kekuasaan dan kebesaran-Nya. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang
bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan
kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa dan
warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum,
ayat 22).
4. Dalam Islam, kebanyakan perbezaan
pendapat di kalangan ulama berlaku dalam masalah-masalah fekah. Hal ini berlaku
atas beberapa sebab, antaranya bagaimana para ulama tersebut memahami dan
menafsir nas-nas dalam pendalilan sesuatu hukum. Pada kebanyakan tempat,
perbezaan pemahaman terhadap nas ini merujuk kepada nas yang bersifat umum.
Perbezaan juga boleh berlaku disebabkan faktor tempat dan masa. Walau
bagaimanapun, seperti yang dijelaskan sebelum ini, sekiranya perbezaan pendapat
itu dilihat secara positif, maka ia akan melahirkan faedah yang positif. Khalifah
Umar bin ‘Abd ‘Aziz pernah menyebut bahawa beliau melihat fenomena perbezaan
pendapat dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW sebagai satu hal yang baik,
kerana ia memberi rukhsah (keringanan) kepada umat. Perbezaan pendapat
dalam kalangan ulama menjadi sebab keluarnya umat Islam daripada kesempitan
masalah dalam beberapa isu fekah.
5. Tetapi dalam bab akidah, yang
merupakan perkara pokok dalam Islam, tiada istilah perbezaan atau perselisihan.
Pegangan Ahli Sunnah Wa Al-Jama’ah merupakan satu pegangan yang
menyatukan seluruh umat Islam di bawah kalimah tauhid yang satu. Al-Qur’an dan
Sunnah merupakan dua sumber pegangan akidah yang jelas tanpa perlu tafsiran
yang pelbagai daripada kalangan ulama. Inilah yang menjadi asas keutuhan
pegangan akidah umat Islam. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Qur’an) dan
(Sunnah) Rasul.” (Surah al-Nisa’, ayat 59). Sabda Rasulullah SAW yang
dinukilkan oleh Malik bin Anas dalam kitabnya al-Muwatta’, bermaksud: “Aku telah
tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi
berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Qur’an dan Sunnah
Nabi-Nya.”
6. Perkara yang perlu ditekankan di sini ialah bagaimana
pendirian umat Islam ketika berdepan dengan isu-isu perbezaan atau khilaf
ini. Hal ini perlu ditekankan agar umat Islam tidak terjebak dalam situasi yang
akhirnya memporak-perandakan kesucian Islam. Perkara yang paling penting, ialah
menyuburkan budaya ilmu dalam kehidupan umat Islam. Hanya dengan ilmu yang
benar, yang diperolehi daripada golongan yang berilmu, maka ia dapat
menyelamatkan umat Islam daripada kejahilan. Kejahilan umat Islam dalam
menangani isu khilaf akan menjadikan mereka berada dalam keadaan
haru-biru. Lebih dikhuatiri, ia bakal menjerumuskan mereka ke dalam lembah
kesesatan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat
orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam
Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11). Oleh
itu, bagi orang awam, berdamping dan bertanyalah dengan orang yang berilmu
sekiranya mereka berdepan dengan sebarang masalah berkaitan agama. Firman Allah
SWT yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang
berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat
43).
7. Bagi
golongan ilmuan yang berselisih pendapat pula, mereka perlu bersifat lapang
dada ketika berdepan dengan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka. Selagi
perbezaan pendapat itu dalam perkara-perkara furu’ (bukan perkara
pokok), maka perbezaan pendapat dibenarkan dalam Islam, apatah lagi sekiranya
ia membawa kebaikan kepada umat. Mereka perlu mengelakkan diri daripada
penguasaan hawa nafsu ketika menangani perselisihan pendapat. Mereka perlu
menyatakan pendapat berdasarkan hujah ilmu yang disandarkan kepada al-Qur’an
dan Sunnah. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai hujah yang kukuh, maka
sebenarnya perselisihan pendapat tersebut merupakan satu rahmat buat umat.
Firmah Allah SWT di dalam al-Qur’an: “Dan janganlah kamu mengikut apa
yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan
penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang
apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’, ayat 36).
8. Sesi
diskusi dan perbincangan ilmiah perlu terus disuburkan dalam menangani isu khilaf
ini. Perbincangan ilmiah dalam bentuk dialog dan seminar sebenarnya merupakan
antara cara terbaik ketika berdepan dengan isu perselisihan pendapat. Namun,
perlu diingatkan bahawa setiap pihak yang berselisih, perlu sedar bahawa
perbincangan yang diadakan adalah untuk mencari titik persamaan dan menjauhkan
jurang perbezaan. Ia bukan untuk menentukan pihak mana yang betul dan pihak
mana yang salah. Inilah antara cara diskusi yang berhikmah sepertimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang kamu serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl, ayat 125)
9. Antara adab yang perlu dijaga ketika membincangkan isu khilaf ialah tidak melabel pihak yang tidak sependapat dengan label-label yang buruk. Malah ada dalam kalangan mereka yang berselisih, sanggup melabel pihak lain dengan label 'kafir' sedangkan isu yang dibahaskan tidak menyentuh soal akidah. Sesungguhnya perlu menjadi ingatan bahawa umat Islam itu bersaudara, maka apa juga perkara yang dapat meruntuhkan hubungan tersebut maka ia adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan
kaum yang lain, boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada
mereka (yang memperolok-olokkan), dan janganlah pula wanita-wanita
(memperolok-olokkan) wanita-wanita lain, boleh jadi mereka (yang
diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olokkan), dan
janganlah kamu mencela diri kamu sendiri, dan janganlah kamu panggil memanggil
dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk nama (panggilan) ialah (panggilan)
yang fasik (jelek) sesudah iman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka
itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11).
10.
Akhirnya, semua pihak perlu sedar bahawa umat Islam adalah umat yang satu.
Disatukan dengan kalimah tauhid yang memperakui keesaan Allah SWT dan kebenaran
Rasul-Nya. Maka umat Islam perlu bersikap positif dan profesional ketika
berdepan dengan masalah khilaf atau perbezaan pendapat, tidak kira sama
ada mereka yang terlibat ini daripada kalangan ilmuan mahupun orang awam. Apa
juga bentuk perpecahan dan punca yang membawa kepadanya perlu dijauhkan kerana
perpecahan itu hanya akan melemah dan menghancurkan Islam. Firman Allah SWT
yang bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya (Rasul Allah), jangan
kamu berselisihan kerana itu (menyebabkan) kamu menjadi lemah, dan hilang
kekuatan kamu serta bersabarlah (kerana) Allah bersama orang yang sabar.”
(Surah al-Anfal, ayat 46).
No comments:
Post a Comment