Friday, October 8, 2010

Menuntut Ilmu Proses Berterusan (HARIAN METRO, Jumaat 8 Oktober 2010)

Oleh Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my


PEJAM celik, kita kini memasuki fasa kedua tahun 2010. Kebiasaannya, ketika ini institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengadakan majlis konvokesyen sebagai acara tahunan.

Selepas berhempas-pulas, akhirnya usaha mereka berbaloi apabila menggenggam segulung ijazah dan diraikan keluarga.

Mungkin bagi sesetengah graduan berasakan proses pembelajaran itu sesuatu yang rumit dan membebankan, maka pada hari konvokesyen itu segalanya berakhir.


Bagi mereka yang merancang memasuki alam pekerjaan, cabarannya pasti lebih hebat, apatah lagi dengan lambakan graduan yang tamat pengajian setiap tahun.

Mengikut perangkaan Kementerian Pengajian Tinggi tahun 2009, 34.3 peratus graduan masih menunggu penempatan pekerjaan dan belum bekerja.

Jika dirujuk kepada sebab belum bekerja, 71.8 peratus responden menyatakan mereka sedang mencari pekerjaan.

Daripada perangkaan itu, menunjukkan graduan menghadapi cabaran getir bagi memasarkan kepakaran dan kebolehan diri untuk diterima bekerja dalam apa juga sektor pekerjaan sama ada dalam sek­tor kerajaan, badan berkanun atau swasta.

Jika dikaji semula, antara puncanya graduan kurang memanfaatkan ruang dan peluang ketika belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelbagai aktiviti yang dirancang kurang mendapat perhatian, apatah lagi dengan sindrom ‘enjoy’ yang masih menebal.

Lebih-lebih lagi apabila­ ­mereka tidak perlu meng­hadapi masalah yang kritikal dari aspek kewangan. Segala­nya tersedia di depan mata, seterusnya membuatkan mereka alpa dibuai keseronokan yang sementara.

Perkara itu perlu menjadi iktibar kepada setiap pelajar IPT yang masih lagi belajar di universiti awam atau swasta.


Mereka perlu membabitkan diri dalam aktiviti berfaedah seperti bakti siswa bagi menerapkan kemahiran penting yang diperlukan dalam sektor pekerjaan.

Setiap individu Muslim perlu menitikberatkan soal ilmu. Menuntut ilmu antara amalan yang amat dituntut Islam.

Ilmu membentuk keperibadian diri dan meningkatkan ­tahap keimanan dan ketakwaan seseorang kepada Allah.

Tanpa ilmu pengetahuan, manusia tidak akan dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan sempurna. Kekurangan ilmu akan menjadikan sese­orang itu hina di sisi masyarakat.

Allah meletakkan kedudukan orang berilmu itu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).


Dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman yang maksudnya:

“Dan hanya orang-orang yang berilmu saja yang dapat memahaminya.” (Surah al-Ankabut, ayat 43).


Rasulullah bersabda me­ngenai kelebihan orang yang mempunyai ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Ulama (ahli ilmu) adalah pewaris nabi.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibn Hibban).


Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah, malaikat-malaikat-Nya, serta semua penghuni bumi dan langit-Nya, sampai semut pun dalam liangnya, dan ikan dalam lautan, semuanya mendoakan bagi sesiapa sahaja yang mengajarkan sesuatu yang baik (ilmu) kepada manusia lain.” (Hadith Riwayat Tirmidzi).


Dengan ketinggian martabat orang yang berilmu, maka ­rahmat dan keredaan Allah akan sentiasa dilimpahkan kepada mereka.

Namun, perlu diingat untuk mendapat keredaan Allah manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredai-Nya dan yang tidak bertentangan dengan dasar syariat.

Perkara berkenaan menuntut manusia berusaha menguasai ilmu seberapa banyak yang boleh berdasarkan sumber yang sahih dan diiktiraf kesahihannya demi untuk memperoleh segala nikmat yang ada.

Kesimpulannya, marilah kita mempersiapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat untuk faedah di dunia dan akhirat.

Bagi mereka yang memiliki ilmu yang benar serta diperoleh dengan cara yang digariskan syarak, keberkatan akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup.

Perlu menjadi ingatan bersama ilmu itu wajib disebarkan dan dimanfaatkan untuk faedah orang lain. Tugas mulia itu antara tanggungjawab setiap manusia yang sanggup menggalas amanah Allah di atas muka bumi ini.



2 comments: