Wednesday, December 29, 2010

Cari Titik Persamaan, Jauhi Titik Perbezaan...


Malaysia berjaya mengalahkan Indonesia. Itulah kejayaan yang berjaya ditempa oleh sekumpulan anak muda Malaysia yang membawa berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia.

Kejayaan yang julung kalinya dikecapi oleh Malaysia dalam Piala Suzuki 2010, pastinya didahului oleh sikap rajin, semangat kental, saling bekerjasama, hormat menghormati, menepati masa dan sebagainya.

Nilai-nilai murni ini sebenarnya yang menjadi latar belakang dan tunggak kejayaan yang dikecapi oleh pasukan Malaysia.

Jika kita renung sejenak, hanya dengan sebiji bola yang bulat, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati. Dapat diperhatikan, rata-rata rakyat Malaysia memenuhi gerai-gerai makan bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia tadi.

Sungguh indah, sungguh damai jika semangat dan suasana ini terus dirasai oleh setiap anggota masyarakat pada setiap masa.

Hanya kerana sebiji bola, segala perselisihan dalam apa jua isu dapat diketepikan, dapat dilupakan. Jurang perbedaan seolah tertutup rapat kerana semuanya mempunyai impian yang satu, impian yang sama ingin melihat Malaysia muncul sebagai juara.

Namun, mengapa dalam isu yang lain, kita tidak boleh sepakat, tidak boleh selari, tidak boleh sekata, tidak boleh senada???

Inilah yang harus kita fikir-fikirkan. Umat Islam khususnya, harus menjadikan titik AGAMA sebagai titik penyatuan antara sesama Muslim.

Telah jelas dalam al-Qur'an bahawa umat Islam itu adalah umat yang satu. Umat yang kiblatnya satu, Nabi ikutannya satu, kitab panduannya satu.

Ayuh umat Islam...kita cari dan kekalkan titik persamaan. Kita utamakan sesuatu yang boleh terus mengikat persaudaraan sesama kita. Kita hindari titik perbedaan, kerana titik inilah yang bakal memandu ummah ke arah kehancuran dan kebinasaan.

Moga umat Islam terus bersatu!
Titik persamaan yang disatukan oleh ISLAM, amatlah jelas, cuma keegoaan yang menutup semua pintu kebersamaan.

Tuesday, December 28, 2010

Sastera Islam Tidak Sempit, Jumud


Istilah "Sastera Islam" memang sudah lama menjadi polemik tanah air. Masing-masing bangkit dengan pemahaman dan takrifan yang tersendiri. Di Malaysia, nama-nama seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Shafie Abu Bakar, Bukhari Lubis dan beberapa lagi individu yang terlibat dalam dunia kesusasteraan turut melontarkan idea berkaitan istilah keramat ini.

Bagi saya, "Sastera Islam" mencakupi skop yang amat luas. Justeru, adalah kurang tepat jika dikatakan bahawa "Sastera Islam" itu mesti menggunakan istilah Arab, mesti memasukkan istilah-istilah agama (al-mustalahat al-diniyyah), mesti memanfaatkan ayat-ayat al-Qur'an dan Hadith Rasulullah SAW dan pelbagai lagi ciri-ciri yang digambarkan oleh beberapa tokoh dalam bidang ini.

Jika diteliti daripada maksud Sastera Islam yang digariskan oleh Pertubuhan Sastera Islam Sedunia, yang berbunyi:


الأَدَبُ الإِسْلاَمِيُّ هُوَ التَّعْبِيرُ الفَنِّيُّ الهَادِفُ عَنِ الإِنْسَانِ وَالحَيَاةِ وَالكَوْنِ وِفْقَ التَّصَوُّرِ الإِسْلاَمِيِّ

Terjemahan: "Sastera Islam adalah ungkapan yang berseni, yang terarah tentang manusia, kehidupan, dan cakerawala, menepati tasawwur Islam"


Daripada takrifan ini, jelas bahawa "Sastera Islam" itu tidak bersifat jumud dan terhad kepada ciri-ciri yang digambarkan oleh sesetengah individu.

Saya lebih cenderung untuk bersetuju dengan ciri-ciri "Sastera Islam" yang digariskan oleh Najib al-Kilani dalam bukunya "Madkhal ila al-Adab al-Islami". Terdapat 10 ciri-ciri yang digambarkan sebagai mewakili gambaran jelas "Sastera Islam", iaitu:

1. Sastera Islam merupakan sastera tanggungjawab, iaitu tanggungjawab berdasarkan prinsip Islam yang lahir daripada hati sanubari seorang karyawan Muslim.

2. Sastera Islam bukan sastera yang mengetepikan ciri-ciri keindahan luaran sesebuah karya bahkan ia menggalakkan unsur itu wujud dalam karya sastera.

3. Sastera Islam amat menekankan mesej atau kandungan sastera itu sendiri yang semestinya tercetus daripada asas-asas Islam. Keadaan ini menjadikan karya Sastera Islam cukup sempurna keindahannya sama ada dari segi luaran mahupun isi dalamannya bagi menyampaikan pengucapan yang benar, seterusnya memberi kesan yang mendalam terhadap diri khalayak pembaca.

4. Sastera Islam membicarakan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan perkara-perkara asas kehidupan mahupun masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ia juga mampu menyelesaikan masalah-masalah kehidupan ataupun mengurangkan penderitaan dan keazaban yang dihadapi oleh masyarakat.

5. Sastera Islam mengungkap cita-cita dan harapan manusia dengan penuh kebenaran dan amanah. Ia memberi gambaran tentang kelemahan dan kesesatan dalam kehidupan manusia serta memberi penawar serta alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut.

6. Sastera Islam bukan sastera yang sia-sia dan tidak mungkin ia bersifat sedemikian. Hal ini berbalik kepada tujuan penciptaan manusia ke dunia yang bukan untuk tujuan sia-sia, kesemuanya mempunyai tujuan dan bermatlamat. Namun keadaan ini tidak menolak wujudnya keseronokan yang bersifat sementara dalam kehidupan manusia yang sebenarnya bertujuan menguji mereka serta memberi peluang yang secukupnya untuk melakukan amalan. Segalanya kembali kepada akidah manusia itu sendiri yang memilih untuk memperbanyakkan amalan kebaikan ataupun keburukan.

7. Sastera Islam bukan satu sistem atau pendekatan yang sempit dan jumud, yang hanya menceritakan kehidupan dan realitinya, bukan juga merupakan ucapan nasihat yang dipenuhi ayat-ayat al-Qur’an dan hadith serta hukum-hukum agama semata-mata, tetapi ia merupakan satu bentuk atau gambaran yang indah dan sentiasa berkembang.

8. Sastera Islam merupakan sastera rasa hati yang hidup dan sihat sejahtera, sastera yang memberi gambaran yang tepat, juga imaginasi yang berpaksikan kebenaran.

9. Sastera Islam adalah sastera yang jelas dan bukan bermain-main dengan kekaburan yang menyesatkan ataupun kegelapan yang membunuh.

10. Sastera Islam tidak mungkin mampu untuk dihasilkan kecuali oleh mereka yang memiliki keyakinan dan berlapang dada serta didasari oleh landasan yang ditetapkan Allah. Ini kerana hanya dengan asas akidah yang sebenar, sastera yang bercirikan kebenaran mampu dihasilkan.

Satu perkara yang harus menjadi ingatan bahawa, "Sastera Islam" seharusnya sentiasa selari dengan tuntutan dan gesaan Islam. Islam amat mementingkan ilmu, justeru "Sastera Islam" harus menjadi wadah penting menyampaikan ilmu.

Jika diteliti dengan hati yang terbuka, ciri-ciri ke-3, 4, 6, 7 dan 9 berkait rapat dengaan perihal ilmu. Karya sastera seharusnya membawa masyarakat untuk berfikir dan bukan untuk berseronok.

Kebanyakan daripada para karyawan dewasa ini, lebih mengutamakan CERITA melebihi ILMU, sedangkan ilmu itu sewajarnya diketengahkan dalam karya sastera. Walau pun usaha untuk menghasilkan karya sastera yang betul-betul menyampaikan ilmu itu bukan satu kerja yang mudah, namun langkah perubahan yang drastik harus dilakukan agar masyarakat mendapat manfaat daripada hasil karya sastera.

Bagi para karyawan sastera, jika mereka memahami dan mempraktikkan konsep "taklif" yang dijelaskan oleh Hj. Mohd. Affandi Hassan melalui Gagasan Persuratan Baru, nescaya, mahu atau tidak, mereka tiada pilihan melainkan berusaha untuk melakukan perubahan dalam dunia sastera iaitu memartabatkan ilmu Islam yang benar dalam karya sastera.

Jika semua pihak, masih merasa selesa, dan paling teruk, menolak pula usaha ke arah memartabatkan ilmu dalam kesusasteraan, maka karya sastera akan kekal menjadi wadah untuk berseronok dan suka-suka sahaja. AWAS, jika pembaca dan masyarakat menjadi ketagih kepada keseronokan, tanpa manfaat, sia-sia, malah yang lebih teruk jika ia menggalakkan perkara mungkar, maka menjadi tanggungjawab para karyawan untuk menjawab kesemuanya di hadapan mahkamah keadilan Allah kelak.



Saturday, December 18, 2010

Renungan Buat Akademia Muda...

Kewibawaan akademia, Amanah Ilmu

(Sumber Dari Akhbar Utusan Malaysia, 15 Dis 2010)



Oleh Mohamed Khaled Nordin

KEHEBATAN sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau universiti tidak bergantung kepada kemegahan dan kecanggihan bangunannya, tetapi kewibawaan ahli akademiknya. Tidak kira sama ada ahli akademik itu berjawatan Tutor sehinggalah Profesor, merekalah penentu kepada kualiti dan kecemerlangan IPT negara.

Mengikut rekod Kementerian Pengajian Tinggi iaitu sehingga November 2010, negara mempunyai seramai 28,571 orang tenaga akademik tempatan di seluruh 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kita percaya bahawa angka tersebut merupakan satu jumlah yang besar. Berbanding pada era awal kemerdekaan negara, kita terpaksa mengimport tenaga akademik dari luar negara khususnya Indonesia untuk berkhidmat di IPTA kerana kekurangan jumlah pengajar ketika itu.

Kuantiti tenaga akademik yang kita miliki mestilah seiring dengan kualiti. Ini bermakna, jumlah ahli akademik yang besar tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak berupaya membentuk satu kekuatan untuk melahirkan tenaga akademik berkualiti tinggi yang akhirnya mampu melahirkan modal insan yang bernilai untuk negara.

Saya telah berkesempatan bertemu dengan para akademia muda dalam Program Kepimpinan Kreatif dan Inovatif Akademia Muda dan Transformasi Kepimpinan Pemimpin Pelajar 2010 anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) baru-baru ini.

Sewaktu berucap, saya mengingatkan kepada mereka, sebagai ahli akademik khususnya para akademia muda yang baharu sahaja memulakan karier dalam dunia akademik, banyak perkara dan pertimbangan yang perlu diambil kira untuk menjadi sarjana yang benar-benar berwibawa dan menyumbang secara tepat kepada pembangunan negara.

Difahamkan, rata-rata tenaga akademia muda kita kini mempunyai kelayakan akademik di peringkat Ijazah Kedoktoran atau PhD dan Sarjana. Ini seharusnya menjadi kelebihan kepada mereka menjadi seorang ahli akademik yang berkualiti tinggi dan bersedia mengharungi dunia akademik dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Sehingga kini, dilaporkan, seramai 8,031 tenaga akademik berkelulusan PhD iaitu mewakili 28.1 peratus, manakala 15,986 orang atau 56 peratus pula berkelulusan Sarjana.

Untuk menjadi seorang ahli akademik yang berwibawa dan dihormati dalam bidangnya, ia memerlukan perjalanan atau tempoh masa yang panjang. Walau bagaimanapun, perjalanan yang panjang itu pastinya bermula pada satu titik mula yang akan menggerakkan potensi dan bakat yang ada.

Sebagai akademia muda, mereka perlu menggarap dan mencanai kekuatan di samping mencari arah yang tepat menjadi seorang ahli akademik yang terbaik dan berwibawa. Kedudukan sebagai ahli akademik di universiti tidak boleh dianggap sebagai satu profesion atau pekerjaan makan gaji semata-mata tetapi satu tanggungjawab yang besar membawa Amanah Ilmu kepada masyarakat.

Justeru, akademia muda bukanlah mereka yang mentah, sebaliknya pemikiran dan sikap mestilah dewasa iaitu maksudnya matang dan mempunyai tahap ilmu yang mantap. Oleh kerana itu jugalah, dalam konteks kenaikan pangkat dalam perkhidmatan akademik misalnya, ia bukan berasaskan kekosongan seperti dalam skim perkhidmatan-perkhidmatan yang lain, sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada pencapaian dan merit ahli akademik itu sendiri.

Dalam erti kata yang lain, usia akademia muda sewajarnya tidak menjadi penghalang untuk terus cemerlang tetapi apa yang penting, terus mencabar kemampuan diri untuk memberikan yang terbaik.

Sebagai seorang ahli akademik, mereka sebenarnya menggalas amanah yang cukup besar iaitu Amanah Ilmu kepada masyarakat. Tanggungjawab sebagai seorang ahli akademik mesti dilihat sebagai satu tanggungjawab suci demi perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. Tiada pekerjaan dan tanggungjawab yang lebih murni selain tugas ahli akademik yang menyambung tradisi ilmu dan mendidik anak bangsa di negara.

Apatah lagi, dalam hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020 seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik khususnya ahli akademia muda merupakan peneraju dan pemain utamanya.

Inilah yang menjadi intipati ucapan saya dalam program tersebut. Untuk menjadi ahli akademik yang terbaik juga, selain menguasai ilmu, para akademia muda perlu memelihara kewibawaan mereka sebagai ahli akademik.

Ini bergantung kepada, Pertama, mempunyai pegangan dan percaya akan nilai teras ahli akademik iaitu mencari kebenaran melalui penyelidikan dan berani mempertahankan kebenaran tersebut berasaskan fakta dan bukannya emosi mahupun ideologi.

Latihan ini juga berupaya memupuk semangat dan keinginan yang tinggi mereka untuk mencari kebenaran dan tidak pernah berpuas hati dengn dapatan yang ada. Pembudayaan pemikiran yang kritis dan kritikal ini adalah selaras dengan sistem nilai dan norma yang sememangnya sentiasa dipupuk dan dipertingkatkan di kalangan kita.

Kedua, melaksanakan konsep “Akademik Berbudaya Cemerlang”. Dalam erti kata yang lain, ahli akademik mesti berusaha sedaya upaya menjadi yang terbaik sama ada dalam konteks pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun sumbangan masyarakat untuk mencapai kebitaraan akademik.

Harus diingatkan, ilmu dan keilmuan seharusnya tidak tertumpu sekitar persekitaran dewan kuliah dan bilik makmal semata-mata. Sebaliknya, ahli akademik juga harus berani keluar dari zon selesa dan memanfaatkan ilmu dan keilmuan mereka di luar menara gading.

Ketiga, melaksanakan pembangunan akademik sendiri. Ini termasuk mengambil inisiatif sendiri menambah kemahiran-kemahiran tertentu yang kreatif dan inovatif, misalnya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran supaya ia lebih menarik dan dinamik.

Keempat, bukan sekadar menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, tetapi ahli akademik juga hendaklah mengamalkan pembelajaran tersebut. Ini adalah kerana ilmu sentiasa berubah dan mereka mesti memastikan tahap ilmu yang dimiliki sentiasa dinamik dan relevan.

Dalam hal yang sama juga, saya menyeru kepada kepimpinan universiti untuk mengambil langkah-langkah proaktif dan strategik untuk menggerakkan tenaga akademik muda agar tidak terbiar begitu sahaja.

Ini kerana kita sering melihat dunia luar apabila bercakap soal talents atau bakat, tetapi lupa bahawa bakat yang dimiliki dalam organisasi kita juga memerlukan perhatian yang serius dan pengurusan yang bijaksana.

Apa yang jelas, akademia muda di IPT mempunyai peranan yang penting dalam melestarikan kewibawaan menara gading yang selama ini gah dengan peranannya melahirkan cerdik pandai dan modal insan yang bernilai untuk negara.

Mereka mesti mempunyai penghayatan ilmu yang tinggi kerana kelulusan akademik seperti PhD atau Sarjana, hanyalah permulaan bagi mereka untuk memasuki dunia akademik yang penuh mencabar ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa, seorang profesor yang baik bermula daripada seorang akademia muda yang benar-benar berkualiti dan sedar akan tanggungjawabnya. Suatu hari nanti, akademia muda ini berpeluang untuk bergelar Profesor Ulung jika mereka benar-benar komited dan dedikasi dengan amanah ilmunya.

Kita bertuah kerana kerajaan mengiktiraf peranan ahli akademik dengan memperkenalkan penganugerahan Profesor Ulung. Jika suatu hari nanti, mereka akan dianugerahkan taraf profesor tersebut, tahniah saya ucapkan terlebih dahulu dan bersedialah menjadi pemikir dan ikon negara yang sentiasa dirujuk, dihormati dan relevan.


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau boleh
dihubungi melalui e-mel
mkhaled.mohe@gmail.com



Friday, December 17, 2010

Ayahanda Ustaz Fuad Osman Yang Saya Kenali




Beliaulah yang telah menjaga saya semasa saya mula-mula kenal hidup berdikari. Sekitar tahun 1998, mencatatkan sejarah tersendiri dalam lipatan hidup saya apabila bonda meminta agar saya masuk ke sekolah berasrama penuh. Ayahanda saya lebih bersikap menyerahkan bulat-bulat pada saya untuk membuat keputusan. Mungkin kerana faktor kewangan yang tidak berapa mengizinkan pada ketika itu.

Akhirnya, saya menurut kehendak bonda. Perkara pertama yang diingatkan oleh abang senior ketika saya masuk asrama: "Nanti, kalau salam ustaz-ustaz kat sini, cium tangan mereka, mereka ialah bapa kita kat sini, tapi dengan sorang ustaz ni, tak payah cium tangan dia, dia tak suka...ustaz Fuad namanya, jangan main-main dengan dia, dia ada kashaf".

Begitulah pesanan seorang senior kepada kumpulan pelajar panggilan kedua di bilik kami C27, betul-betul kedudukannya di atas rumah ustaz Fuad tadi. Saat mendengar kata-kata senior tingkatan 5 tadi - yang sampai sekarang saya masih rapat dengannya - membuatkan hati benar-benar hendak mengenali, siapa Ustaz Fuad Osman.

Ketika solat maghrib di surau, pada hari pertama, saya dapat melihat wajah ayahanda ustaz, orangnya kecil tapi mukanya bengis :). Sangat kontradik dengan muka ketua warden ketika itu Allahyarham ayahanda ustaz Ramian Tuge, yang kerap melemparkan senyuman pada pelajar, khususnya pelajar baru.

Begitulah detik pertama saya mengenali ayahanda ustaz Fuad. Hari-hari seterusnya sehingga saya keluar dari bumi SMAKJ menyimpan banyak kenangan tersendiri melalui pemerhatian saya tentang ayahanda ustaz.

Moodnya sukar untuk diduga, ada kalanya, beliau ceria dan boleh bergurau, walaupun kebanyakan dari masanya, beliau akan serius. Kerap memberi ingatan dan pesanan buat warga aspura selepas solat maghrib di surau. Jika ayahanda bangun dari saf, menuju ke tempat imam dan minta diambilkan kerusi untuk beliau, pasti ramai yang tak senang duduk, menanti apakah info terkini, arahan baru, peringatan tegas yang bakal diingatkan oleh ayahanda ustaz.

Paling memberi pengajaran apabila ayahanda sentiasa mendidik kami untuk bersikap jujur dan berani menanggung hukuman atas kesilapan yang dilakukan. Kerap juga ayahanda akan bertanya di surau: "Siapa hisap rokok hari ni? Bangun....", "Siapa ada fly malam tadi? Bangun...". Bukan kah pelik? Namun, atas metode inilah kejujuran seorang anak murid dapat dilihat...jelas! Pelajar berani mengaku salah, tidak malu berdepan dengan hukuman di depan khalayak jemaah surau yang terdiri daripada rakan-rakan dan adik-adik junior. Apabila mengaku...pasti antara dua: lempang menepek di muka atau rotan hinggap di tapak tangan.

Ayahanda ustaz sering mengeluarkan kata-kata yang amat dalam maknanya. Antara yang saya ingat hingga ke hari ini ialah: "Ketenangan adalah kemenangan pertama". Betul...tanpa "tenang"...apa juga tak menjadi, tanpa "tenang"...semua yang dirancang jadi haru biru, tanpa "tenang"...kita bakal rebah di medan perjuangan. Itulah pentingnya ketenangan yang hanya boleh diperolehi jika kita sentiasa mengingati Allah (al-dzikr) setiap masa.

Dengan sikap tegas ayahanda ustaz, tersemat sebenarnya sifat lembut hati dan penyayang. Saya kerap perhatikan dari jauh, ayahanda ustaz seorang yang periang dengan anak-anaknya. Kerap kali saya lihat, beliau berlari-lari anak mengejar anak sulungnya...Zinnirah yang baru pulang dari sekolah. Agak lucu bila dilihat, namun ketegasannya pada pelajar, PASTI ada sebabnya.

Jarang mendengar ayahanda memanggil nama pelajar. Tapi awas, bukan bermakna ayahanda tidak kenal pelajar tersebut, malah sebenarnya beliau tahu nama pelajar tersebut. Sifat ini harus saya contohi, sikap ini bagi membuatkan beliau tidak kelihatan bias dengan para pelajar. Tidak mahu disalah anggap yang beliau rapat dengan si polan, tapi tidak dengan si polan. Bagi ayanhanda, siapa juga yang melakukan kesilapan, walaupun pengawas, walaupun MKP...semuanya bakal menerima hukuman yang sama rata dan setimpal.

Secara peribadi, selepas keluar dari sekolah, acap kali saya berhubung dengan ayaahanda ustaz melalu sms, nak telefon, masih ada rasa takut :). Beliau amat peramah dan baik hati, satu situasi yang tidak dapat pelajar rasai ketika berada dalam pengawasan beliau di asrama dulu.

Satu ingatan ayahanda yang saya masih ingat dan akan sentiasa diingati apabila saya mengadu tentang masalah saya yang kerap kali melengahkan solat. Pesan ayahanda, baca zikir selalu, paling tidak pun, baca al-Fatihah sebanyak 10 kali setiap kali lepas solat, inshaAllah, tak kan lengah solat lagi.

Terima kasih ayahanda ustaz atas doa dan pengorbanan pada saya dan juga rakan-rakan serta anak didik SMAKJ. Saya tahu, ayahanda juga punyai cabaran dan dugaan tersendiri dalam hidup, malah menyelesaikan cabaran menghadapi para pelajar agama yang mentah seperti kami, tetap ayahanda utamakan.

Moga ayahanda ustaz Fuad sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera, sentiasa dalam rahmat dan maghfirah Allah agar terus dapat mendidik pewaris golongan ulama' meniti ranjau kehidupan yang tak pernah lekang dari onak dan duri. Terima kasih ayahanda ustaz Fuad Osman.