Beliaulah yang telah menjaga saya semasa saya mula-mula kenal hidup berdikari. Sekitar tahun 1998, mencatatkan sejarah tersendiri dalam lipatan hidup saya apabila bonda meminta agar saya masuk ke sekolah berasrama penuh. Ayahanda saya lebih bersikap menyerahkan bulat-bulat pada saya untuk membuat keputusan. Mungkin kerana faktor kewangan yang tidak berapa mengizinkan pada ketika itu.
Akhirnya, saya menurut kehendak bonda. Perkara pertama yang diingatkan oleh abang senior ketika saya masuk asrama: "Nanti, kalau salam ustaz-ustaz kat sini, cium tangan mereka, mereka ialah bapa kita kat sini, tapi dengan sorang ustaz ni, tak payah cium tangan dia, dia tak suka...ustaz Fuad namanya, jangan main-main dengan dia, dia ada kashaf".
Begitulah pesanan seorang senior kepada kumpulan pelajar panggilan kedua di bilik kami C27, betul-betul kedudukannya di atas rumah ustaz Fuad tadi. Saat mendengar kata-kata senior tingkatan 5 tadi - yang sampai sekarang saya masih rapat dengannya - membuatkan hati benar-benar hendak mengenali, siapa Ustaz Fuad Osman.
Ketika solat maghrib di surau, pada hari pertama, saya dapat melihat wajah ayahanda ustaz, orangnya kecil tapi mukanya bengis :). Sangat kontradik dengan muka ketua warden ketika itu Allahyarham ayahanda ustaz Ramian Tuge, yang kerap melemparkan senyuman pada pelajar, khususnya pelajar baru.
Begitulah detik pertama saya mengenali ayahanda ustaz Fuad. Hari-hari seterusnya sehingga saya keluar dari bumi SMAKJ menyimpan banyak kenangan tersendiri melalui pemerhatian saya tentang ayahanda ustaz.
Moodnya sukar untuk diduga, ada kalanya, beliau ceria dan boleh bergurau, walaupun kebanyakan dari masanya, beliau akan serius. Kerap memberi ingatan dan pesanan buat warga aspura selepas solat maghrib di surau. Jika ayahanda bangun dari saf, menuju ke tempat imam dan minta diambilkan kerusi untuk beliau, pasti ramai yang tak senang duduk, menanti apakah info terkini, arahan baru, peringatan tegas yang bakal diingatkan oleh ayahanda ustaz.
Paling memberi pengajaran apabila ayahanda sentiasa mendidik kami untuk bersikap jujur dan berani menanggung hukuman atas kesilapan yang dilakukan. Kerap juga ayahanda akan bertanya di surau: "Siapa hisap rokok hari ni? Bangun....", "Siapa ada fly malam tadi? Bangun...". Bukan kah pelik? Namun, atas metode inilah kejujuran seorang anak murid dapat dilihat...jelas! Pelajar berani mengaku salah, tidak malu berdepan dengan hukuman di depan khalayak jemaah surau yang terdiri daripada rakan-rakan dan adik-adik junior. Apabila mengaku...pasti antara dua: lempang menepek di muka atau rotan hinggap di tapak tangan.
Ayahanda ustaz sering mengeluarkan kata-kata yang amat dalam maknanya. Antara yang saya ingat hingga ke hari ini ialah: "Ketenangan adalah kemenangan pertama". Betul...tanpa "tenang"...apa juga tak menjadi, tanpa "tenang"...semua yang dirancang jadi haru biru, tanpa "tenang"...kita bakal rebah di medan perjuangan. Itulah pentingnya ketenangan yang hanya boleh diperolehi jika kita sentiasa mengingati Allah (al-dzikr) setiap masa.
Dengan sikap tegas ayahanda ustaz, tersemat sebenarnya sifat lembut hati dan penyayang. Saya kerap perhatikan dari jauh, ayahanda ustaz seorang yang periang dengan anak-anaknya. Kerap kali saya lihat, beliau berlari-lari anak mengejar anak sulungnya...Zinnirah yang baru pulang dari sekolah. Agak lucu bila dilihat, namun ketegasannya pada pelajar, PASTI ada sebabnya.
Jarang mendengar ayahanda memanggil nama pelajar. Tapi awas, bukan bermakna ayahanda tidak kenal pelajar tersebut, malah sebenarnya beliau tahu nama pelajar tersebut. Sifat ini harus saya contohi, sikap ini bagi membuatkan beliau tidak kelihatan bias dengan para pelajar. Tidak mahu disalah anggap yang beliau rapat dengan si polan, tapi tidak dengan si polan. Bagi ayanhanda, siapa juga yang melakukan kesilapan, walaupun pengawas, walaupun MKP...semuanya bakal menerima hukuman yang sama rata dan setimpal.
Secara peribadi, selepas keluar dari sekolah, acap kali saya berhubung dengan ayaahanda ustaz melalu sms, nak telefon, masih ada rasa takut :). Beliau amat peramah dan baik hati, satu situasi yang tidak dapat pelajar rasai ketika berada dalam pengawasan beliau di asrama dulu.
Satu ingatan ayahanda yang saya masih ingat dan akan sentiasa diingati apabila saya mengadu tentang masalah saya yang kerap kali melengahkan solat. Pesan ayahanda, baca zikir selalu, paling tidak pun, baca al-Fatihah sebanyak 10 kali setiap kali lepas solat, inshaAllah, tak kan lengah solat lagi.
Terima kasih ayahanda ustaz atas doa dan pengorbanan pada saya dan juga rakan-rakan serta anak didik SMAKJ. Saya tahu, ayahanda juga punyai cabaran dan dugaan tersendiri dalam hidup, malah menyelesaikan cabaran menghadapi para pelajar agama yang mentah seperti kami, tetap ayahanda utamakan.
Moga ayahanda ustaz Fuad sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera, sentiasa dalam rahmat dan maghfirah Allah agar terus dapat mendidik pewaris golongan ulama' meniti ranjau kehidupan yang tak pernah lekang dari onak dan duri. Terima kasih ayahanda ustaz Fuad Osman.
"Diciptakan seorang insan
ReplyDeleteLembut hati bak redup pandangan
Pabila berkata
Seluruh alam menyaksikan kesyahduan"
sebab sekali beliau bukak mulut,semua org suspen!
Allah je boleh balas jasa ustaz. moga ada ramai lg umat Muhammad mcm beliau.. :)
Betul tu fara...bertuah sungguh warga SMAKJ punyai insan sehebat ustaz Fuad...
ReplyDeleteSalam, betul seperti kata adik, ustaz memang guru yang berdedikasi, ini terbukti semasa beliau menjadi tutor saya, OUM...menjalankan tugas dengan baik...Moga ustaz Fuad dirahmati Allah sentiasa..
ReplyDeleteUstaz Fuad juga tutor di OUM? Di cawangan mana tu?
ReplyDeletedulu sentiasa rasa gerun padanya, meski hanya terlihat kelibatnya dari jauh... seboleh mungkin mengelak dari terserempak dgnnya..~NOSTALGIA!!
ReplyDeletekini. jauh dimata.. namun dekat dihati!
semoga Allah merahmati hidupnya dunia dan akhirat..ameen, ya Rob.