Saturday, December 18, 2010

Renungan Buat Akademia Muda...

Kewibawaan akademia, Amanah Ilmu

(Sumber Dari Akhbar Utusan Malaysia, 15 Dis 2010)



Oleh Mohamed Khaled Nordin

KEHEBATAN sesebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau universiti tidak bergantung kepada kemegahan dan kecanggihan bangunannya, tetapi kewibawaan ahli akademiknya. Tidak kira sama ada ahli akademik itu berjawatan Tutor sehinggalah Profesor, merekalah penentu kepada kualiti dan kecemerlangan IPT negara.

Mengikut rekod Kementerian Pengajian Tinggi iaitu sehingga November 2010, negara mempunyai seramai 28,571 orang tenaga akademik tempatan di seluruh 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Kita percaya bahawa angka tersebut merupakan satu jumlah yang besar. Berbanding pada era awal kemerdekaan negara, kita terpaksa mengimport tenaga akademik dari luar negara khususnya Indonesia untuk berkhidmat di IPTA kerana kekurangan jumlah pengajar ketika itu.

Kuantiti tenaga akademik yang kita miliki mestilah seiring dengan kualiti. Ini bermakna, jumlah ahli akademik yang besar tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak berupaya membentuk satu kekuatan untuk melahirkan tenaga akademik berkualiti tinggi yang akhirnya mampu melahirkan modal insan yang bernilai untuk negara.

Saya telah berkesempatan bertemu dengan para akademia muda dalam Program Kepimpinan Kreatif dan Inovatif Akademia Muda dan Transformasi Kepimpinan Pemimpin Pelajar 2010 anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) baru-baru ini.

Sewaktu berucap, saya mengingatkan kepada mereka, sebagai ahli akademik khususnya para akademia muda yang baharu sahaja memulakan karier dalam dunia akademik, banyak perkara dan pertimbangan yang perlu diambil kira untuk menjadi sarjana yang benar-benar berwibawa dan menyumbang secara tepat kepada pembangunan negara.

Difahamkan, rata-rata tenaga akademia muda kita kini mempunyai kelayakan akademik di peringkat Ijazah Kedoktoran atau PhD dan Sarjana. Ini seharusnya menjadi kelebihan kepada mereka menjadi seorang ahli akademik yang berkualiti tinggi dan bersedia mengharungi dunia akademik dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Sehingga kini, dilaporkan, seramai 8,031 tenaga akademik berkelulusan PhD iaitu mewakili 28.1 peratus, manakala 15,986 orang atau 56 peratus pula berkelulusan Sarjana.

Untuk menjadi seorang ahli akademik yang berwibawa dan dihormati dalam bidangnya, ia memerlukan perjalanan atau tempoh masa yang panjang. Walau bagaimanapun, perjalanan yang panjang itu pastinya bermula pada satu titik mula yang akan menggerakkan potensi dan bakat yang ada.

Sebagai akademia muda, mereka perlu menggarap dan mencanai kekuatan di samping mencari arah yang tepat menjadi seorang ahli akademik yang terbaik dan berwibawa. Kedudukan sebagai ahli akademik di universiti tidak boleh dianggap sebagai satu profesion atau pekerjaan makan gaji semata-mata tetapi satu tanggungjawab yang besar membawa Amanah Ilmu kepada masyarakat.

Justeru, akademia muda bukanlah mereka yang mentah, sebaliknya pemikiran dan sikap mestilah dewasa iaitu maksudnya matang dan mempunyai tahap ilmu yang mantap. Oleh kerana itu jugalah, dalam konteks kenaikan pangkat dalam perkhidmatan akademik misalnya, ia bukan berasaskan kekosongan seperti dalam skim perkhidmatan-perkhidmatan yang lain, sebaliknya ia bergantung sepenuhnya kepada pencapaian dan merit ahli akademik itu sendiri.

Dalam erti kata yang lain, usia akademia muda sewajarnya tidak menjadi penghalang untuk terus cemerlang tetapi apa yang penting, terus mencabar kemampuan diri untuk memberikan yang terbaik.

Sebagai seorang ahli akademik, mereka sebenarnya menggalas amanah yang cukup besar iaitu Amanah Ilmu kepada masyarakat. Tanggungjawab sebagai seorang ahli akademik mesti dilihat sebagai satu tanggungjawab suci demi perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara. Tiada pekerjaan dan tanggungjawab yang lebih murni selain tugas ahli akademik yang menyambung tradisi ilmu dan mendidik anak bangsa di negara.

Apatah lagi, dalam hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020 seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik khususnya ahli akademia muda merupakan peneraju dan pemain utamanya.

Inilah yang menjadi intipati ucapan saya dalam program tersebut. Untuk menjadi ahli akademik yang terbaik juga, selain menguasai ilmu, para akademia muda perlu memelihara kewibawaan mereka sebagai ahli akademik.

Ini bergantung kepada, Pertama, mempunyai pegangan dan percaya akan nilai teras ahli akademik iaitu mencari kebenaran melalui penyelidikan dan berani mempertahankan kebenaran tersebut berasaskan fakta dan bukannya emosi mahupun ideologi.

Latihan ini juga berupaya memupuk semangat dan keinginan yang tinggi mereka untuk mencari kebenaran dan tidak pernah berpuas hati dengn dapatan yang ada. Pembudayaan pemikiran yang kritis dan kritikal ini adalah selaras dengan sistem nilai dan norma yang sememangnya sentiasa dipupuk dan dipertingkatkan di kalangan kita.

Kedua, melaksanakan konsep “Akademik Berbudaya Cemerlang”. Dalam erti kata yang lain, ahli akademik mesti berusaha sedaya upaya menjadi yang terbaik sama ada dalam konteks pengajaran, penyelidikan, penerbitan mahupun sumbangan masyarakat untuk mencapai kebitaraan akademik.

Harus diingatkan, ilmu dan keilmuan seharusnya tidak tertumpu sekitar persekitaran dewan kuliah dan bilik makmal semata-mata. Sebaliknya, ahli akademik juga harus berani keluar dari zon selesa dan memanfaatkan ilmu dan keilmuan mereka di luar menara gading.

Ketiga, melaksanakan pembangunan akademik sendiri. Ini termasuk mengambil inisiatif sendiri menambah kemahiran-kemahiran tertentu yang kreatif dan inovatif, misalnya dalam konteks pengajaran dan pembelajaran supaya ia lebih menarik dan dinamik.

Keempat, bukan sekadar menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, tetapi ahli akademik juga hendaklah mengamalkan pembelajaran tersebut. Ini adalah kerana ilmu sentiasa berubah dan mereka mesti memastikan tahap ilmu yang dimiliki sentiasa dinamik dan relevan.

Dalam hal yang sama juga, saya menyeru kepada kepimpinan universiti untuk mengambil langkah-langkah proaktif dan strategik untuk menggerakkan tenaga akademik muda agar tidak terbiar begitu sahaja.

Ini kerana kita sering melihat dunia luar apabila bercakap soal talents atau bakat, tetapi lupa bahawa bakat yang dimiliki dalam organisasi kita juga memerlukan perhatian yang serius dan pengurusan yang bijaksana.

Apa yang jelas, akademia muda di IPT mempunyai peranan yang penting dalam melestarikan kewibawaan menara gading yang selama ini gah dengan peranannya melahirkan cerdik pandai dan modal insan yang bernilai untuk negara.

Mereka mesti mempunyai penghayatan ilmu yang tinggi kerana kelulusan akademik seperti PhD atau Sarjana, hanyalah permulaan bagi mereka untuk memasuki dunia akademik yang penuh mencabar ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa, seorang profesor yang baik bermula daripada seorang akademia muda yang benar-benar berkualiti dan sedar akan tanggungjawabnya. Suatu hari nanti, akademia muda ini berpeluang untuk bergelar Profesor Ulung jika mereka benar-benar komited dan dedikasi dengan amanah ilmunya.

Kita bertuah kerana kerajaan mengiktiraf peranan ahli akademik dengan memperkenalkan penganugerahan Profesor Ulung. Jika suatu hari nanti, mereka akan dianugerahkan taraf profesor tersebut, tahniah saya ucapkan terlebih dahulu dan bersedialah menjadi pemikir dan ikon negara yang sentiasa dirujuk, dihormati dan relevan.


Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau boleh
dihubungi melalui e-mel
mkhaled.mohe@gmail.com



No comments:

Post a Comment