Tidak dapat dinafikan bahawa kehebatan peristiwa Isra’ Mi‘raj ini telah mempengaruhi dunia kesusasteraan terutama dalam ruang lingkup kesusasteraan Arab.
Walau bagaimanapun, usaha mengadaptasi peristiwa Isra’ Mi‘raj secara songsang dalam karya-karya sastera ini, perlu dilihat sebagai satu perkara yang boleh menggoyah akidah umat Islam yang membacanya.
Sebagai contoh, karya al-Maqamah al-Iblisiyah karangan Badi’ al-Zaman al-Hamazani (M 398H) dalam kumpulan maqamatnya. Karya ini menceritakan kisah seorang watak utama bernama ‘Isa ibn Hisham yang kehilangan untanya. Maka, dalam usaha mencari unta tersebut, beliau telah menjumpai satu kawasan yang amat indah dan tidak pernah dilihatnya sebelum ini. 'Isa ibn Hisham telah bertemu seorang tua yang berada di kawasan tersebut, lalu berlaku perbualan antara keduanya. Terdapat persamaan jalan cerita antara karya ini dengan peristiwa Isra’ Mi‘raj. Sebagai contoh, punca situasi dalam al-Maqamah al-Iblisiyah menyamai punca peristiwa Isra’ Mi‘raj iaitu kehilangan sesuatu yang disayangi. Rasulullah menjalani peristiwa Isra’ Mi‘raj setelah Baginda SAW kehilangan dua oarang insan yang disayanginya.
Kisah al-Tawabi‘ wa al-Zawabi‘ merupakan kisah dalam bentuk puisi yang dikarang oleh Ahmad bin ‘Abd al-Malik bin ‘Umar bin ‘Isa bin Shuhayd atau lebih dikenali sebagai Ibn Shuhayd (382-426H). Karya ini telah dihasilkan pada tahun 403 Hijrah. Al-Tawabi‘ wa al-Zawabi‘ mengandungi empat fasal yang mengisahkan jin bagi para penyair, penggiat seni prosa, dan pengkritik sastera, manakala fasal terakhir menceritakan haiwan jin. Menurut Butrus al-Bustani dalam mukadimah buku al-Tawabi‘ wa al-Zawabi‘ yang dihurai olehnya, tujuan utama Ibn Shuhayd menghasilkan karya ini adalah untuk menempelak para menteri dan karyawan lain pada ketika itu, seterusnya memperlihatkan kehebatannya dalam menghasilkan karya sastera yang bersifat di luar keupayaan akal manusia untuk menciptanya. Usaha ini berhasil, apabila Ibn Shuhayd mengambil suasana alam ghaib sebagai latar karyanya. Menurut Mustafa al-Shak‘ah pula, sumber utama al-Tawabi‘ wa al-Zawabi‘ ialah karya al-Maqamah al-Iblisiyah karangan Badi‘ al-Zaman al-Hamadhani yang secara jelas kedua-dua pengkaryanya telah memanipulasi peristiwa Isra’ Mi‘raj. Malah Mustafa al-Suyufi menyatakan bahawa al-Tawabi‘ wa al-Zawabi‘ mempunyai kaitan rapat dengan peristiwa Isra’ Mi‘raj walaupun secara tidak begitu jelas jika dibandingkan dengan Risalat al-Ghufran karya Abu al-‘Ala’ al-Ma’arri.
Sebenarnya, pemanfaatan kisah al-Qur’an dalam karya sastera dibenarkan asalkan ia tidak lari daripada konteks dan tujuan asal kisah itu diwahyukan. Jika perkara ini tidak diusahakan, sebarang bentuk adaptasi kisah al-Qur’an akan memberi impak negatif terhadap akidah pembacanya yang Muslim.
Dapat diperhatikan bahawa peristiwa Isra’ Mi‘raj telah dijadikan pencetus idea kepada segelintir para karyawan Arab dalam penghasilan karya sastera mereka. Hal ini sedikit sebanyak membantu proses perkembangan kesusasteraan Arab khususnya yang melibatkan alam khayalan. Namun, perlu ditegaskan di sini bahawa aktiviti memanipulasi kisah-kisah al-Qur’an seperti peristiwa Isra’ Mi‘raj adalah bercanggah dengan Islam kerana ia boleh memesongkan akidah umatnya.
Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim khususnya yang terlibat dalam dunia kesusasteraan agar sama-sama berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang secara langsung dapat menolak sebarang unsur-unsur negatif berkaitan Islam.