Semalam, kita memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Dalam suratkhabar hari ini, kelihatan setiap negeri, daerah, mukim malah kampung atau qaryah di seluruh pelusok negara menyambut hari Maulid al-Rasul SAW.
Seharusnya, hari tersebut menjadi titik permulaan bagi setiap individu Muslim untuk terus menyanjung serta mengikuti keperibadian Rasulullah SAW. Adalah amat malang bagi umat Islam apabila kita hanya mengkhususkan satu hari tersebut untuk memperingati Rasulullah SAW dan melupakan Baginda SAW pada hari-hari seterusnya.
Rasulullah SAW mempertaruhkan seluruh jiwa dan raganya buat memastikan bahawa tiada seorang pun kalangan umatnya yang menderita di neraka kelak.
Pelbagai usaha dilakukan oleh Rasulullah SAW demi memastikan impiannya tercapai. Baginda SAW sanggup mempertaruhkan nyawanya tatkala mempertahankan Islam, agar generasi mendatang, generasi kita hari ini merasai nikmat Islam dan Iman...alhamdulillah.
Setiap perkataan, perlakuan mahu pun pengakuan (taqrir) Baginda SAW menjadi hujah kepada halal atau haramnya sesuatu perkara. Semuanya telah jelas, hanya manusia yang angkuh lagi degil sahaja yang sengaja menutup mata dan hati mereka untuk menerima ketetapan Rasulullah SAW, yang sebenarnya datang dari Yang Maha Esa.
Sesungguhnya, Rasulullah SAW tidak menyatakan pendiriannya dalam sesuatu perkara melainkan semuanya merupakan wahyu dari Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Qur'an yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan Dia (Allah) akan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (surah 'Ali 'Imran, ayat 31)
Memang benarlah bahawa Rasulullah SAW itu dipandu oleh wahyu Ilahi, tidak sedikit pun yang ditambahnya mahu pun disembunyikan. Begitulah sifat "al-tabligh" atau "menyampaikan", yang ada dalam diri Rasulullah SAW.
Oleh itu, saya menyeru pada diri saya terutamanya, dan sahabat-sahabat pengunjung blog saya ini, marilah sama-sama kita berusaha sedaya mungkin menyambung tugas Rasulullah SAW yang sememangnya Baginda SAW bermati-matian melakukannya.
Rasulullah SAW tidak bermati-matian menyeru umatnya menyimpan janggut, memakai serban, bercelak mata, beristeri empat dan sebagainya. Meskipun terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah bahawa perkara-perkara ini dianjurkan oleh Rasulullah SAW, namun Baginda tidak mewajibkannya atau seperti yang saya katakan tadi, Baginda SAW tidak bermati-matian menyeru umat manusia ke arah itu.
Apakah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar? Tidak lain, tidak bukan ialah "berdakwah ke jalan Allah". Kerja "dakwah" ini dilakukan oleh Rasulullah SAW sejak detik pertama Baginda SAW menerima wahyu Ilahi yang pertama.
Sehingga Rasulullah SAW wafat, perkara inilah yang menjadi misi Rasulullah SAW, dan diteruskan oleh para sahabat dan golongan salaf al-salih.
Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab meneruskan sunnah Rasulullah SAW ini, mengikut kapasiti dan kemampuan masing-masing. Paling kurang, jagalah, perbaikilah tingkah laku dan kata-kata kita kerana sesungguhnya ia mencerminkan keperibadian Muslim sejati dan hakiki.
Kita sedang diperhatikan oleh golongan bukan Islam di luar sana. Mana mungkin mereka tertarik dengan Islam jika keperibadian umat Islam penuh dengan kecacatan dan kehinaan. Berbohong, fitnah-menfitnah, mencuri, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, bersangka buruk sesama manusia, tidak menepati janji, pecah amanah, rasuah, semuanya ini WAJIB kita elakkan demi menjamin kelestarian dan keunggulan Islam yang telah sekian lama ditatang oleh Rasulullah SAW.
Janganlah kita perlekehkan usaha gigih Rasulullah SAW yang telah pergi meninggalkan kita semua. Jangan kita jadi orang yang membuka ruang fitnah untuk Islam dihina oleh orang lain.
Inilah tanggungjawab yang perlu kita fikirkan dan perjuangkan bersama. Sesungguhnya setiap individu Muslim ada peranannya yang tersendiri dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW ini. Jangan dimulut kata "sayang Rasulullah", tapi tindakan kita dikira menghina Rasulullah secara tidak sedar.
No comments:
Post a Comment