Saturday, February 19, 2011

Antara Yusuf al-Qaradawi Dan Puisi Arab


Pada hari Juma'at tanggal 18 Februari 2011, terpahat dalam lipatan sejarah apabila buat pertama kalinya Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyampaikan khutbah Juma'at di Dataran al-Tahrir, Mesir, bumi kelahirannya.

Sejak 3 dekad yang lalu, beliau diharamkan oleh Hosni Mubarak daripada menyampaikan khutbah, ceramah agama mahupun tazkirah di bumi Anbiya' itu. Kali terakhir beliau menyampaikan khutbah Juma'at di Mesir sekitar tahun 1981. Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi hidup terbuang dari negaranya sendiri, sedangkan beliau mendapat sanjungan tinggi di negara orang. Apa yang menarik, Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi kebiasaannya akan memetik potongan bait syi'r dalam khutbahnya.

Dalam khutbah Juma'atnya tadi, beliau memetik bait syi'r seorang penyair terkenal dari Tunisia iaitu Abu al-Qasim al-Shabi (1909-1934 M) yang berbunyi:

"إذا الشعب يوما أراد الحياة # فلا بد أن يستجيب القدر"

Maksudnya: "Jika sesuatu bangsa itu mahukan kehidupan seharian # Maka semestinya mereka perlu menanggapi takdir".

Bait ini merupakan bait pertama bagi qasidahnya yang terkenal bertajuk "إرادة الحياة" yang bermaksud "Keinginan Untuk Hidup". Qasidah ini telah dihasilkan oleh Abu al-Qasim al-Shabi pada tanggal 16 September 1933. Ia merupakan antara qasidah terkenal dalam dunia Kesusasteraan Arab Moden.

Qasidah ini dihasilkan dengan satu tujuan iaitu untuk menaikkan semangat warga Tunisia bagi menuntut kemerdekaan negara tersebut. Begitu kental semangat juang Abu al-Qasim al-Shabi dalam memperjuangkan hak bangsanya. Namun, takdir Allah SWT mengatasi segalanya, beliau meninggal dunia dalam usia yang muda - 34 tahun - kerana menghidap sakit jantung. Hakikatnya, bait syi'r di atas menepati firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd, ayat 11:

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka (sendiri)."

Demikianlah peri pentingnya sesuatu bangsa itu mencorak perubahan ke arah kebaikan. Apa yang ditegaskan oleh Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi bahawa kejayaan menjatuhkan regim Hosni Mubarak dilandaskan atas usaha gigih dan ikhlas golongan pemuda Mesir yang menuntut hak mereka, setelah ditindas sekian lama.

Semangat inilah juga yang ditunjukkan oleh penyair muda Tunisia Abu al-Qasim al-Shabi dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan ke atas Tunisia. Secara jelas, keadaan ini menunjukkan betapa seharusnya golongan muda belia Muslim memanfaatkan tenaga dan semangat juang mereka ke arah kebaikan. Bukannya menghabiskan masa muda dengan keseronokan sehingga alpa dengan buaian musuh Islam yang mahukan umat ini lenyap dari muka bumi.

Hebatnya Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam pengucapannya. Seni sastera khususnya syi'r tidak lekang dari bibirnya.

Beliau juga memiliki sebuah antologi puisi sendiri. Jangan ditinggalkan seni sastera kerana ia ada fungsinya yang unik dan tersendiri jika digunakan pada saluran yang betul.



~Inilah naskhah antologi puisi karangan Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawi~




2 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz, syukran atas makluman ini. Ini membuatkan ana lebih cemburu kepada mereka yang fasih membaca dalam bahasa Arab.

    Ada satu maklumat yang menarik ana jumpa dalam naskhah terjemahan Mudzakkirat Al-Qaradhawi bertajuk Aku Dan Ikhwanul Muslimun iaitu semasa al-Qaradhawi meringkuk dalam penjara pada zaman pemerintahan Anwar Sadat beliau ada mengarang senaskhah drama mengenai kekejaman al-Hajjaj lantas dipentaskan kemudian olah anggota Ikhwan lain dalam penjara. Nanti ana cuba rujuk kembali pendetilannya. Menarik juga kalau ustaz ulas.

    Boleh juga rujuk di sini http://qaradawi.net/site/topics/index.asp?cu_no=2&lng=0&template_id=14&temp_type=41&parent_id=

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam Ustaz,

    InshaAllah, selagi diberi peluang oleh-Nya, semua orang boleh dan perlu belajar bahasa Arab. Menarik juga maklumat yang Ustaz beri tu. InshaAllah, akan saya usahakan nanti.

    Terima kasih kerana sudi menziarahi blog saya yang tak seberapanya ni. :)

    ReplyDelete