Wednesday, August 17, 2011

ULASAN: Nuzul Al-Qur'an (Penurunan al-Qur'an)


Beberapa hari lagi kebanyakan daripada kita akan bercuti sempena memperingati hari Nuzul al-Qur'an (Penurunan al-Qur'an). Namun terdapat beberapa perkara yang perlu dijelaskan berkaitan Nuzul al-Qur'an ini.


1. Perlu difahami bahawa penurunan al-Qur'an melalui beberapa peringkat. Sepertimana yang diketahui umum, al-Qur'an yang merupakan titah perintah Allah SWT, pada awalnya, termaktub di Lauh Mahfuz. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bahkan ialah al-Qur'an yang tertinggi kemuliaannya. (Yang terdapat) pada Lauh Mahfuz." (Surah al-Buruj, ayat 21-22)



2. Penurunan al-Qur'an yang pertama ialah daripada Lauh Mahfuz ke Bait al-'Izzah yang terletak di langit dunia. Penurunan ini berlaku secara sekaligus. Inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT bahawa al-Qur'an itu diturunkan pada malam yang diberkati iaitu malam al-Qadr.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Qur’an pada malam al-Qadr. Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah malaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Rabb mereka (untuk mengatur) segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Firman Allah SWT lagi dalam ayat lain, yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Dukhan, ayat 3-6)

Menerusi ayat-ayat al-Qur'an di atas, jelaslah bahawa yang dimaksudkan bahawa al-Qur'an itu diturunkan pada satu malam iaitu malam al-Qadr adalah merujuk kepada penurunan al-Qur'an secara sekaligus daripada Lauh Mahfuz ke Bait al-'Izzah.

3. Manakala penurunan al-Qur'an pada peringkat kedua adalah penurunan ayat-ayat al-Qur'an dari Bait al-'Izzah kepada Rasulullah SAW secara berperingkat-peringkat, yang mengambil masa selama 23 tahun. Penurunan ayat al-Qur'an secara berperingkat ini berlaku dengan izin Allah SWT serta berkaitan dengan situasi-situasi tertentu, atau bagi menjawab persoalan-persoalan yang timbul pada ketika itu. Perkara inilah yang disebut Sabab Nuzul al-Qur'an (Sebab Penurunan al-Qur'an).

Penurunan al-Qur'an secara berperingkat ini memberi faedah kepada Rasulullah SAW dan para sahabat untuk memahami secara mendalam setiap ayat al-Qur'an yang diturunkan. Maha Mengetahui Allah SWT yang tahu tentang sifat semulajadi manusia yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan "baru", yang menyalahi tabiat mereka sebelum kedatangan Islam.

Sebagai contoh, pengharaman arak dilakukan secara berperingkat-peringkat menerusi penurunan ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan dengan larangan minum arak secara berperingkat.

Seperti yang diketahui umum, wahyu al-Qur'an pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah ayat 1-5 Surah al-'Alaq. Majoriti ulama' berpendapat bahawa penurunan wahyu pertama pada peringkat ini adalah pada 17 Ramadan, dan tarikh inilah yang kita ingati pada hari ini. Iaitu Nuzul al-Qur'an (Penurunan al-Qur'an) pada peringkat kedua.


Al-Quran itu amat istimewa. Meskipun kita dituntut untuk memahami isi kandungan al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup, membaca al-Quran tidak kurang pentingnya. Membaca al-Quran juga dikira sebagai ibadah yang pahalanya amat istimewa. Sesiapa yang membaca al-Quran, maka akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka dia akan mendapatkan satu kebajikan dan setiap kebajikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

Semoga kita semua terus berpegang kepada isi al-Qur'an. Ini yang utama. Namun, terdapat sesetengah orang yang menekankan perkara ini dan memperkecilkan perbuatan orang lain yang sekadar membaca al-Qur'an. Perlu kita ingat, bahawa membaca al-Qur'an juga ada nilainya di sisi Allah SWT. Bahkan amal ibadah ini (membaca al-Qur'an) dianjurkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Selamat meneruskan kehidupan sebagai seorang Muslim yang beriman di bulan Ramadan yang hanya berbaki beberapa hari lagi.

Allah al-Musta'an.





No comments:

Post a Comment