Friday, May 29, 2009
Tegur, Nasihat Hindar Diri Daripada Sifat Munafik (B.HARIAN 29 MEI 2009)
Tuesday, May 26, 2009
Cari Maslahat Agung, Elak Mudarat Lebih Besar (Tajdid Iman-Berita Harian, 26 Mei 2009)
POLITIK sering dituduh sebagai dalang kejahatan dan kezaliman yang merosakkan umat manusia dari zaman berzaman. Hakikatnya, politik bersifat berkecuali, yang mengotorkannya adalah orang berdiri mewakilinya dengan sikap dan niat yang buruk.
Friday, May 22, 2009
Influenza A (H1N1), Satu Renungan Buat Yang Alpa
Walaupun terdapat pendapat mengatakan, wabak ini merupakan hasil ciptaan Barat yang berusaha untuk memporak-peradakan dunia dan cuba menjadi hero dengan penemuan vaksin yang terbaik bagi wabak ini, umat Islam seharusnya bersegera kembali kepada ajaran Islam yang telah menggariskan panduan bagi menangani wabak penyakit berbahaya, lebih-lebih lagi yang menular dengan pantas.
Pengharaman Allah terhadap khinzir sememangnya telah jelas sepertimana yang terkandung dalam beberapa ayat al-Qur'an yang antaranya:
Pertama: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai dan darah dan daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah." (Surah al-Baqarah: 173).
Kedua: "Diharamkan kepada kamu (makan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya)..." (Surah al-Maidah: 3).
Ketiga: "Katakan (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang sudah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor..." (Surah al-An’am: 145).
Keempat: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu makan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah." (Surah al-Nahl: 115)
Jika direnung secara teliti, sebenarnya ayat-ayat di atas tidak hanya ditujukan kepada umat Islam tapi kepada seluruh umat manusia. Di sinilah kelihatan dengan jelas cubaan daripada Allah bagi membezakan hamba-Nya yang taat dan ingkar. Maka bagi yang ingkar, azab Allah pasti menunggu mereka dengan penuh penantian.
Sesungguhnya Islam telah menggariskan kaedah tertentu sebagai mengawal keadaan sesuatu tempat apabila terdapat wabak penyakit yang berjangkit dan sedang menular di tempat berkenaan. Maka antara lain Islam memberi panduan agar penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk daripada tempat berkenaan supaya wabak tidak merebak ke kawasan lain.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya." (Hadis riwayat Bukhari)
Begitulah antara terperincinya ajaran Islam yang menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Daripada sekecil-kecil perkara hingga yang sebesarnya, tidak pernah terlepas daripada titipan panduan buat umat yang dirahmati. Penjagaan kesihatan dan kebersihan adalah antara perkara yang dititik-beratkan dalam Islam bagi menghindari diri daripada segala macam bentuk wabak dan penyakit.
Hal ini dijelaskan dalam hadis apabila Baginda SAW bersabda yang maksudnya: "Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku." (Hadis riwayat Bukhari)
Marilah sama-sama kita menginsafi dugaan yang datang ini dengan penuh kesabaran dan permohonan yang tidak putus agar Allah menghindarkan kita daripada wabak ini. Sesungguhnya Dialah yang berkuasa atas segalanya. Wa Allahu A'lam.
Saturday, May 16, 2009
Profesion Perguruan Setanding Peranan Ulama (B.HARIAN 16 MEI 2009)
PROFESION perguruan adalah tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi yang membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Tanpa menafikan peranan pendidik dalam disiplin ilmu lain, bidang perguruan seharusnya terus dipandang tinggi masyarakat. Sesungguhnya guru memainkan peranan besar mencorakkan pemikiran, budaya dan peradaban generasi akan datang. Jika guru diperlekeh oleh masyarakat, mana mungkin peranan mereka dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.
Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata.” (Surah al-Jumu’ah, ayat 2)
Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus’ab ibn ‘Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu.Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan.
Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat.” (Hadis riwayat Bukhari) Saidina Ali pernah berkata: “Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa.”
Sebenarnya pendidik boleh dikategorikan sebagai ulama dalam konteks kepakaran masing-masing. Justeru, dapat dilihat ulama silam amat mementingkan tatasusila dan adab yang perlu dijaga penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya. Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari.
Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya ‘Ulum ad-Din: “Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut).”
Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.
Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai. Kebelakangan ini, pelbagai berita dilaporkan yang boleh dikira sebagai cuba merendahkan martabat guru. Berita guru dikasari murid, diheret ke mahkamah, guru dera pelajar, jika tidak diselidiki kesahihannya dengan teliti boleh menyebabkan pelbagai persepsi buruk dilontarkan kepada guru dan pendidik.
Perbezaan ketara dapat diperhatikan apabila guru dipandang tinggi oleh anggota masyarakat satu ketika dulu. Ibu bapa akan menyerahkan amanah menjaga dan mendidik anak kepada guru dengan rasa ikhlas dan penuh kepercayaan. Sebaliknya situasi masa kini, guru semacam perlu berjaga-jaga supaya tindak tanduknya tidak mengundang sebarang masalah, walhal secara lazimnya mereka melakukan setiap perkara hanya dengan tujuan untuk melihat anak didiknya terus cemerlang dan berjaya.
Dalam konteks lain pula, guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah as-Saf, ayat 2-3)
Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan.
Sempena sambutan Hari Guru, hari ini, marilah bersama kita mengenang jasa guru dan pendidik yang sudah banyak membantu agama, bangsa dan negara dalam melahirkan ummah terbaik dan dipandang tinggi. Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.
Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadis riwayat Bukhari)
Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
* Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 16 Mei 2009 (Sabtu), m/s 30.
Friday, May 15, 2009
Persiapkan Diri, Jangan Putus Asa Cari Rezeki
___________________________________________________
Dalam Negeri (UTUSAN MALAYSIA)
10,000 peluang pekerjaan
KUALA LUMPUR 14 Mei - Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 - pameran kerjaya terbesar di negara ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.
Karnival anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu akan disertai oleh 600 syarikat swasta, badan-badan berkanun dan agensi kerajaan yang membuka gerai kerjaya masing-masing.
Karnival yang akan berlangsung sehingga 17 Mei itu dijangka dihadiri oleh seramai 500,000 pengunjung.
Ia akan menyediakan khidmat temuduga terbuka, klinik resume, sesi kaunseling, seminar kerjaya serta latihan industri.
______________________________________________________________
Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan, kemerosotan ekonomi dunia memberi impak yang amat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Akibatnya, peluang pekerjaan menjadi semakin terhad dan di satu sudut yang lain, ramai pekerja diberhentikan khususnya yang melibatkan syarikat-syarikat swasta.
Hakikatnya, semua pihak khususnya calon yang ingin mendapatkan pekerjaan haruslah mengatur strategi yang lebih terancang dan sistematik dalam merebut peluang yang terhad ini. Persiapan diri haruslah diberi keutamaan secara fizikal dan mental agar calon dapat menangani apa jua soalan yang bakal diajukan semasa sesi temuduga.
Tidak dinafikan, "celik IT" menjadi antara aset penting dalam diri agar proses permohonan dapat berjalan dengan lancar. Kecanggihan dunia teknologi hari ini memaksa kebanyakan proses permohonan dilakukan secara on-line. Tanpa ketelitian dan kefahaman yang tepat, mungkin kesalahan-kesalahan teknikal akan berlaku yang menyebabkan permohonan ditolak serta merta.
Kelebihan diri juga harus dicari agar ia dapat menjadi nilai tambahan yang melayakkan diri diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak penemuduga. Kebolehan dalam menguruskan majlis dan aktiviti misalnya, dapat menjadikan calon lebih utama untuk diterima di samping kebolehan berbahasa dengan baik dan teratur. Inilah antara elemen penting bagi calon khususnya yang baru sahaja bergraduan, yang semestinya tiada pengalaman bekerja.
Sebenarnya, segulung "ijazah" belum menjamin calon diterima bekerja walaupun dengan keputusan "First Class Degree". Sememangnya ia berbalik kepada rezeki semasa sesi temuduga yang memerlukan tahap keyakinan yang tinggi, ditambah dengan persediaan jawapan dan maklumat yang teratur dan tepat.
Janganlah berputus asa dalam usaha mencari pekerjaan kerana mencari rezeki dengan tangan sendiri adalah satu amalan yang mulia. Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Semoga ALLAH terus membuka pintu rezki-Nya kepada kita semua. Allahu al-Musta'an.
Wednesday, May 13, 2009
Temuduga Kerja: Apa Kunci Kejayaannya?
Sumber: http://www.zaharuddin.net/
Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.
Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.
Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.
Saya bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.
Saya bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktical dan mementingkan kefahaman berbanding hafalan semata-mata.
Tidak dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.
Jika anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya, adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu memperkembangkan ilmu.
Mungkin kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan soalan-soalan panel temuduga.
Melalui tulisan ringkas ini, saya akan cuba mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga. Namun masih boleh berkongsi pengalaman.
Secara ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon, kelemahan tersebut juga berulang-berulang.
Soalan Biasa
Tidak kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan awal adalah :-
"Please introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"
Ini adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.
Jawapan calon bagaimana?
"Saya berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"
"Saya sekolah tadika di..."
"Saya sudah berkahwin dah punyai ....anak"
Bagi saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.
Ini kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan dengan kerjaya yang diminta sahaja.
Cukup memfokuskan kepada bahagian berikut :-
1) Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.
2) Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)
3) Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.
Saya kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga, nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan ketidakmatangan calon.
Panel biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan calon.
Tahap Satu
Selapas soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :-
1) Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang diminta.
Sebagai contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah Islamic Bank.
Sudah tentu panel akan cuba menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.
2) Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.
Tatkala itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.
Sebagai contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.
Maka calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima arahan supervisor dan lain-lain"
Bagi saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat calon.
3) Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang.
Ini soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda. Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu,
Kenalan saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :
"Tak pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun sebenarnya"
Kata sebegini adalah satu kesilapan besar.
4) Mengapa kerap menukar kerja?
Soalan ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya, 'melompat-lompat'.
Mereka pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :
"Semua calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"
Lihat, malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.
Tanpa jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap melompat sebagai :-
1) Tidak setia kepada satu-satu organsasi.
2) Gila pangkat.
3) Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.
4) Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.
5) Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.
6) Kurang kemahiran interpersonel.
Tahap Kedua
Tahap seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :-
1) Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.
2) Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa bercakap
3) Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.
4) Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.
5) Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.
Ini adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah menuntut satu tahap yang tinggi.
Bagaimanapun, sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah tentu lebih baik.
Bagaimanapun point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan eksekutif.
Banyak kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-
a- Tidak yakin dengan jawapan. Ada dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua soalan bukan fakta.
Bagi soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.
Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka dan sedikit pergerakan tangan.
Ini tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika diprovokasi oleh panel seperti katanya:
"Anda sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"
b- Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.
Kebanyakkan panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang calon yang berbakat.
c- Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.
d- Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja.
Bagi sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan tertekan.
Tahap akhir
Sebagai ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan gaji yang dipohon.
Ini sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.
Justeru, 'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan gaji calon sekarang.
Untuk itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja kilang sahaja.
Jangan letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding kelulusan anda.
Jika anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.
Jika calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.
Jika calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM 6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon, dibelakang sudah tentu agaknya.
Sebenarnya banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk aspek :-
1) Saiz Syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya punyai 'scale' yang berbeza.
2) Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan lain-lain. Ini juga banyak berbeza.
3) Jenis Kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan permohonan sedikit tinggi.
4) Jenis Jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua mempunyai scale masing-masing.
Justeru, calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel,
"Mengapa anda layak dengan gaji sebanyak ini?"
Jawapan perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi:
"Berapa minimum yang anda boleh agaknya?"
Sekali lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.
Oleh kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan 'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit tinggi. Demikian sebaliknya.
Soalan Penutup
Biasanya, soalan penutup panel temuduga adalah:
"Do you have any question?" atau "Saudara/i ada apa-apa soalan?"
Kebanyakan calon akan mengatakan ‘Tiada soalan". Bagi saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.
Panel sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat, peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain. Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga, soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan panel.
Demikianlah, beberapa nasihat dan pandangan ringkas saya buat bejkalan rakan-rakan pengjung http://www.zaharuddin.net/ yang majoritinya beumur 22- 35 tahun. Sudah tentu proses temuduga akan berterusan dalam usia ini. Harapan saya, ia mampu membantu serba sedikit persiapan karier anda agar lebih berjaya.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-
إن الله عز وجل يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه
Ertinya : Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani, terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)
Menurut sebuah hadis sohih pula :-
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Ertinya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional, ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )
Kedua-dua hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita sentiasa.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
7 November 2007
26 Syawwal 1428 H
Sunday, May 10, 2009
Selamat Hari Ibu Buat Bondaku
Friday, May 8, 2009
Hukum Kencing Berdiri
مَنْ حَدَّثَكُم أنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيه وَسَلَّم كَانَ يَبُوْلُ قَائِماً، فَلاَ تُصدِّقوه، مَا كَانَ يَبُوْلُ إلاَّ قَائِداً
"Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi s.a.w. pernah kencing berdiri, maka janganlah membenarkannya, Baginda s.a.w. tidak pernah kencing melainkan dalam keadaan duduk". (al-Nasa’ie, disahihkan oleh al-Albani).
أتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قومٍ، فبال قائماً، ثم دعا بماءٍ فجِئْتُهُ بماءٍ فتَوَضَّأ
"Nabi s.a.w. telah mendatangi suatu kawasan pembuangan sampah, lalu kencing dalam keadaan berdiri, kemudian Nabi meminta dibawakan air, maka aku (Huzaifah) pun membawakan air kepada Baginda dan Baginda berwudhuk."
"Terdapat juga riwayat yang menyatakan Umar, Ali, Zaid bin Thabit dan selain mereka bahawa mereka pernah kencing berdiri, dan ini menunjukkan perbuatan tersebut dibolehkan, dan tidak makruh sekiranya selamat daripada percikan, wallahu a’lam. Juga tiada tegahan daripada Nabi s.a.w. tentang perkara ini."
ما بلتُ قائماً منذ أسلمتُ
"Aku tidak pernah kencing berdiri semenjak aku memeluk Islam".
رأيتُ عمر بال قائماً
"Aku pernah melihat Umar kencing berdiri".
Kesimpulan
Daripada hadis-hadis yang dikemukan di atas disimpulkan bahawa kebanyakan hal keadaan Nabi s.a.w. terutamanya di dalam rumah sewaktu kencing ialah dalam keadaan duduk seperti yang dinyatakan oleh Aisyah r.h. tetapi dalam sesetengah keadaan di luar rumah Baginda pernah kencing dalam keadaan berdiri dan ianya dibolehkan dan tiada sebarang masalah. Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibn Hajar dibolehkan sekiranya selamat daripada percikkan air kencing kepada baju ataupun badan. Contohnya jika seseorang itu kencing dipermukaan yang boleh memantulkan semula air kencing ke badan atau pakaiannya maka ia tidak dibenarkan, ini seperti simen dan apa sahaja permukaan yang keras. Wallahu a’lam.
Thursday, May 7, 2009
Program "Halaqah" Perlu Dimanfaat Bersama
Sekadar ingin berkongsi, bagi saya "Usrah" atau "Halaqah" amat dekat di hati saya. Lebih-lebih lagi apabila UIAM mengambil inisiatif tepat menjadikan program ini sebagai satu aktiviti wajib yang perlu disertai oleh setiap pelajar UIAM. Alhamdulillah, setakat ini, saya berpeluang menjadi "naqib" bagi 5 kumpulan halaqah, yang mana ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar tahun pertama UIAM.
Pada hemat saya, Halaqah menjadi antara wadah berkesan dalam menyuburkan suasana ilmu di dalam kampus UIAM (taman ilmu & budi). Dengan adanya program seperti ini, suasana kebersamaan, bertukar pandangan, ingat-mengingati dapat disuburkan dalam diri setiap pelajar. Mungkin terdapat segelintir pelajar yang menganggap program ini suatu yang membosankan dan menyiksakan, tetapi percayalah...dengan rasa ikhlas dan bersungguh untuk mengeratkan silaturrahim sesama sahabat dan ingat-mengingati mana yang alpa, ianya akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat, walaupun tidak memberi impak sebesar gunung Uhud.
Bagi para naqib pula, gunakanlah peluang ini untuk mendekati sahabat dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk kebaikan bersama. Ruang dakwah ini jika disiakan, sesungguhnya akan merugikan banyak pihak. Dengan peluang & peruntukan yang disalurkan khas oleh pihak universiti untuk program ini, seharusnya kita sama-sama memanfaatkannya demi melahirkan bukan sahaja graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, akan tetapi lebih daripada itu, untuk melahirkan Muslim yang kaya dengan sifat dan akhlak yang menepati kehendak Islam. Atau paling tidak pun, menjadikan para pelajar UIAM ada kelebihannya yang tersendiri berbanding dengan yang lain, sesuai dengan title "UNIVERSITI ISLAM" yang akan terus dibawa selepas bergelar "graduan" kelak.
Mungkin ada yang tidak senang dengan program ini, lebih-lebih lagi apabila dimomokkan dengan fakta bahawa "Usrah" atau "Halaqah" mempunyai kaitan dengan gerakan reformasi tertentu satu ketika dahulu. Tetapi seharusnya menjadi ingatan kita bersama, bahawa sebenarnya metod "Usrah" ini telah digunakan oleh Rasulullah SAW pada awal proses penyebaran dakwah Islamiyyah.
Pada peringkat awal, Baginda SAW hanya mengumpulkan kumpulan kecil yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat Baginda SAW di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, dengan satu tujuan iaitu menyeru mereka kepada mengesakan ALLAH yang Maha Besar. Inilah yang dinamakan "Dakwah Sirriyyah", yang bagi pendapat saya merupakan titik permulaan kepada timbulnya konsep "Usrah" dalam gerakan dakwah.
Semoga penglibatan kita dalam aktiviti baik lagi bermanfaat seperti ini, menjadikan kita golongan yang menjejaki sunnah Baginda SAW. Wa allahu a'lam.
Amalan Saling Bermaafan Damaikan Hidup Bermasyarakat (B.HARIAN 7 MEI 2009)
Wednesday, May 6, 2009
Islam Itu Tinggi, Tiada Agama Yang Lebih Tinggi Daripadanya
Saturday, May 2, 2009
Perpaduan Kukuh Asas Bentuk Bangsa Cemerlang (B.HARIAN 29 APR 2009)
Oleh Mohd Shahrizal Nasir
PERPADUAN menjadi asas pembentukan negara, bangsa dan ummah terbilang. Rasulullah SAW menjadikan perpaduan asas pembentukan negara Islam Madinah dengan menyatukan kaum Aus serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.
Ini antara resipi kejayaan Baginda dalam proses membentuk negara Islam contoh, seterusnya melahirkan ummah terbaik. Bermula daripada penyatuan individu kepada penyatuan warga negara Madinah dan umat Islam seluruhnya daripada segenap pelosok dunia. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain itu laksana satu binaan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Tidak dapat dinafikan sikap saling menolong dan membantu boleh memperkuatkan perpaduan ummah. Jika dilihat dalam konteks sejarah pembentukan negara Islam Madinah, persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar didasari semangat tolong-menolong sesama Muslim dalam memenuhi keperluan memulakan kehidupan baru. Kehidupan lebih bermakna dan bahagia daripada tekanan dan cabaran dilalui oleh Muhajirin ketika di bumi Makkah. Semangat ini yang perlu diteruskan dalam keadaan masa kini bagi mendepani cabaran zaman kian hebat.
Ada 1001 faktor yang boleh menyebabkan perpaduan umat Islam menjadi lemah dan tergugat. Dalam keadaan terkini, politik keterlaluan menjadi antara faktor utama mengancam perpaduan umat Islam di kebanyakan negara Islam di seluruh dunia.
Hakikatnya, politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama bersifat syumul (sempurna) menggariskan panduan lengkap dalam segenap perkara membabitkan urusan dunia dan akhirat. Jika umat Islam terus berpolitik tanpa menghiraukan batasan ditetapkan Islam, akan tercetus perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama suci dan tinggi. Lebih teruk jika perjuangan politik hanya untuk kepentingan peribadi dan poket sendiri tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah serta ketinggian agama Islam.
Perbezaan ideologi yang ketara mengenai perkara furuk (sampingan) menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terancam. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif seperti budaya fitnah memfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, fitnah, dendam dan mendedah keaiban orang lain yang membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.
Sebagai ummah unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi perkara itu dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali perpaduan ummah. Firman Allah bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujuraat, ayat 10)
Jika dilihat secara mendalam, tanggungjawab umat Islam amat besar dalam membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan. Tidak dinafikan umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu bukan Islam atas dasar kemanusiaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Siapa berusaha memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)
Mendepani keadaan semasa yang semakin mencabar ketika ini, umat Islam khususnya di negara ini harus merapatkan saf demi memelihara keutuhan ummah dan berusaha mencari jalan bagi memelihara kesucian agama serta kedaulatan negara.Ketepikan buat sementara perbezaan khususnya politik bagi mengeratkan silaturahim. Jangan terus berpolitik sedangkan masalah umat Islam meruncing tanpa berkesudahan.
Lihat umat Islam yang dilanda masalah seperti di Palestin, Afghanistan, Iraq dan Selatan Thailand, pasti umat Islam di negara itu mengharapkan bantuan serta pertolongan saudara Islam.Perbalahan sesama umat Islam menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara ini yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan itu semakin parah dan sampai ke kemuncaknya.
Allah mengingatkan menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisih), jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Perbalahan dan perpecahan membuatkan Yahudi dan Nasrani ditolak oleh Allah. Mereka saling berbantah dan berselisih dalam banyak perkara khususnya berkaitan agama. Firman Allah bermaksud: "Dan jangan kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah). Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-'Imran, ayat 105)
Sesungguhnya tiada cara lain untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.
*Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 29 April 2009 (Rabu), m/s 31.