Tanggal 10 Mei setiap tahun, menjadi tradisi kita menyambut Hari Ibu. Hari di mana kita diingatkan untuk mengenang jasa dan pengorbanan ibu yang telah mengorbankan seluruh jiwa dan raganya demi melihat anaknya membesar seperti anak-anak yang lain. Walaupun sebenarnya kita dituntut untuk mengenang jasa ibu setiap hari, tapi persoalannya adakah kita mampu berbuat demikian? Maka gunakanlah kesempatan ini untuk menjadi titik permulaan untuk kita mendidik diri agar sentiasa berbuat baik pada kedua ibu bapa.
Sesungguhnya martabat ibu, juga bapa amat tinggi di sisi Allah sehinggakan dosa derhaka kepada kedua ibu bapa menjadi antara dosa besar selepas dosa syirik kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Surah al-Isra’, ayat 23) Rasulullah juga tatkala ditanya tentang dosa besar, Baginda bersabda yang bermaksud: "Menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berkata dengan kata-kata palsu." (Hadis riwayat Muslim)
Pengorbanan ibu yang menanggung kepayahan bermula dari masa mengandungkan anak selama 9 bulan, seterusnya menyusukan, membelai dan mendidik anak sehingga dewasa sememangnya memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Kerenah anak semasa kecil tidak dapat dipenuhi oleh sesiapa pun kecuali mereka yang bergelar "ibu". Firman Allah bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun." (Surah Luqman, ayat 14) Suatu ketika Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki lalu bertanya: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu."
Sungguh tinggi martabat seorang ibu di sisi Allah rabbul jalil. Tanpa boleh disanggah martabat yang mulia ini, Rasulullah SAW sekali lagi menjelaskan menerusi sabdanya yang bermaksud: "Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa." (Hadis riwayat Tirmidzi)
Tanpa mahu ketinggalan, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada bonda saya yang tercinta Pn. Hafsah Othman. Ucapan terima kasih yang tak terhingga atas jasa bonda dalam mengasuh dan mendidik saya tanpa rasa jemu dan mengenal erti penat. Saya berdoa agar Bonda dipanjangkan usia dan sentiasa dalam keadaan sihat dan ceria menempuh kehidupan yang tak pernah lekang daripada cabaran & rintangan. Jasa dan pengorbanan Bonda tak dapat saya balas walau dengan gadaian nyawa sekalipun. Kasih sayang saya hanya untuk Bonda dan keluarga. =)
No comments:
Post a Comment