Sekadar ingin berkongsi, bagi saya "Usrah" atau "Halaqah" amat dekat di hati saya. Lebih-lebih lagi apabila UIAM mengambil inisiatif tepat menjadikan program ini sebagai satu aktiviti wajib yang perlu disertai oleh setiap pelajar UIAM. Alhamdulillah, setakat ini, saya berpeluang menjadi "naqib" bagi 5 kumpulan halaqah, yang mana ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar tahun pertama UIAM.
Pada hemat saya, Halaqah menjadi antara wadah berkesan dalam menyuburkan suasana ilmu di dalam kampus UIAM (taman ilmu & budi). Dengan adanya program seperti ini, suasana kebersamaan, bertukar pandangan, ingat-mengingati dapat disuburkan dalam diri setiap pelajar. Mungkin terdapat segelintir pelajar yang menganggap program ini suatu yang membosankan dan menyiksakan, tetapi percayalah...dengan rasa ikhlas dan bersungguh untuk mengeratkan silaturrahim sesama sahabat dan ingat-mengingati mana yang alpa, ianya akan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat, walaupun tidak memberi impak sebesar gunung Uhud.
Bagi para naqib pula, gunakanlah peluang ini untuk mendekati sahabat dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk kebaikan bersama. Ruang dakwah ini jika disiakan, sesungguhnya akan merugikan banyak pihak. Dengan peluang & peruntukan yang disalurkan khas oleh pihak universiti untuk program ini, seharusnya kita sama-sama memanfaatkannya demi melahirkan bukan sahaja graduan yang cemerlang dalam bidang akademik, akan tetapi lebih daripada itu, untuk melahirkan Muslim yang kaya dengan sifat dan akhlak yang menepati kehendak Islam. Atau paling tidak pun, menjadikan para pelajar UIAM ada kelebihannya yang tersendiri berbanding dengan yang lain, sesuai dengan title "UNIVERSITI ISLAM" yang akan terus dibawa selepas bergelar "graduan" kelak.
Mungkin ada yang tidak senang dengan program ini, lebih-lebih lagi apabila dimomokkan dengan fakta bahawa "Usrah" atau "Halaqah" mempunyai kaitan dengan gerakan reformasi tertentu satu ketika dahulu. Tetapi seharusnya menjadi ingatan kita bersama, bahawa sebenarnya metod "Usrah" ini telah digunakan oleh Rasulullah SAW pada awal proses penyebaran dakwah Islamiyyah.
Pada peringkat awal, Baginda SAW hanya mengumpulkan kumpulan kecil yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat terdekat Baginda SAW di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, dengan satu tujuan iaitu menyeru mereka kepada mengesakan ALLAH yang Maha Besar. Inilah yang dinamakan "Dakwah Sirriyyah", yang bagi pendapat saya merupakan titik permulaan kepada timbulnya konsep "Usrah" dalam gerakan dakwah.
Semoga penglibatan kita dalam aktiviti baik lagi bermanfaat seperti ini, menjadikan kita golongan yang menjejaki sunnah Baginda SAW. Wa allahu a'lam.
No comments:
Post a Comment