Friday, May 15, 2009

Persiapkan Diri, Jangan Putus Asa Cari Rezeki

SEBAHAGIAN daripada 3,000 orang beratur sehingga ke tepi jalanuntuk memohon kerja status kontrak di Alor Setar semalam. (KOSMI, 14 Mei 2009)
___________________________________________________

Dalam Negeri (UTUSAN MALAYSIA)

10,000 peluang pekerjaan
KUALA LUMPUR 14 Mei - Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan 2009 - pameran kerjaya terbesar di negara ini yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.
Karnival anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu akan disertai oleh 600 syarikat swasta, badan-badan berkanun dan agensi kerajaan yang membuka gerai kerjaya masing-masing.
Karnival yang akan berlangsung sehingga 17 Mei itu dijangka dihadiri oleh seramai 500,000 pengunjung.
Ia akan menyediakan khidmat temuduga terbuka, klinik resume, sesi kaunseling, seminar kerjaya serta latihan industri.

______________________________________________________________

Pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan, kemerosotan ekonomi dunia memberi impak yang amat besar kepada pertumbuhan ekonomi negara. Akibatnya, peluang pekerjaan menjadi semakin terhad dan di satu sudut yang lain, ramai pekerja diberhentikan khususnya yang melibatkan syarikat-syarikat swasta.

Hakikatnya, semua pihak khususnya calon yang ingin mendapatkan pekerjaan haruslah mengatur strategi yang lebih terancang dan sistematik dalam merebut peluang yang terhad ini. Persiapan diri haruslah diberi keutamaan secara fizikal dan mental agar calon dapat menangani apa jua soalan yang bakal diajukan semasa sesi temuduga.

Tidak dinafikan, "celik IT" menjadi antara aset penting dalam diri agar proses permohonan dapat berjalan dengan lancar. Kecanggihan dunia teknologi hari ini memaksa kebanyakan proses permohonan dilakukan secara on-line. Tanpa ketelitian dan kefahaman yang tepat, mungkin kesalahan-kesalahan teknikal akan berlaku yang menyebabkan permohonan ditolak serta merta.

Kelebihan diri juga harus dicari agar ia dapat menjadi nilai tambahan yang melayakkan diri diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak penemuduga. Kebolehan dalam menguruskan majlis dan aktiviti misalnya, dapat menjadikan calon lebih utama untuk diterima di samping kebolehan berbahasa dengan baik dan teratur. Inilah antara elemen penting bagi calon khususnya yang baru sahaja bergraduan, yang semestinya tiada pengalaman bekerja.

Sebenarnya, segulung "ijazah" belum menjamin calon diterima bekerja walaupun dengan keputusan "First Class Degree". Sememangnya ia berbalik kepada rezeki semasa sesi temuduga yang memerlukan tahap keyakinan yang tinggi, ditambah dengan persediaan jawapan dan maklumat yang teratur dan tepat.

Janganlah berputus asa dalam usaha mencari pekerjaan kerana mencari rezeki dengan tangan sendiri adalah satu amalan yang mulia. Rasulullah SAW pernah ditanya: "Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab: Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua jual beli yang dianggap baik." (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, jika seseorang di antara kamu membawa tali dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar, kemudian dipikul ke pasar untuk dijual, dengan bekerja itu Allah mencukupi keperluanmu itu lebih baik daripada ia meminta-minta kepada orang lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga ALLAH terus membuka pintu rezki-Nya kepada kita semua. Allahu al-Musta'an.

No comments:

Post a Comment