Wednesday, August 26, 2009

Pemahaman Asas Akidah Yang Kukuh, Patahkan Dakyah Musuh Islam


Oleh Mohd Shahrizal Nasir


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita yang menyatakan terdapat sekumpulan pendakyah agama tertentu yang dikatakan cuba menukar agama beberapa orang pelajar Islam di asrama salah sebuah universiti berdekatan Kuala Lumpur. Sama ada perkara ini benar ataupun sebaliknya, sebagai seorang Muslim yang terdedah dengan pelbagai ancaman dan serangan akidah daripada segenap penjuru, kita seharusnya sentiasa berwaspada serta berusaha meningkatkan pemahaman diri dan juga anggota keluarga tentang perkara-perkara asas yang melibatkan akidah.

Akidah merupakan perkara pokok dalam agama. Tanpa akidah yang mantap dan jitu, kita amat terdedah dengan pelbagai bentuk dakyah yang cuba untuk merosakkan pemikiran serta keimanan kita terhadap Islam. Sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak akan sesekali duduk diam dengan apa yang dipegang oleh umat Islam sebagai panduan hidup yang sebenar. Firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Secara ringkas, menurut terminologi yang digariskan oleh syara’, akidah bermaksud keimanan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Hari Akhirat dan juga kepada takdir baik dan buruk yang telah ditetapkan oleh Allah. Inilah yang disebut sebagai rukun Iman yang wajib difahami secara teliti serta dipenuhi segala tuntutannya menerusi amal ibadat. Jika setiap individu Muslim, mempercayai kesemua rukun Iman tersebut serta faham akan tuntutan setiap satunya, maka akidah mereka tidak akan sekali-kali goyah walau dilanda ombak dan badai yang hebat. Akidah juga tidak akan mudah rapuh atau boleh dijual beli dengan wang ringgit, pangkat, cinta dan sebagainya.

Hakikatnya, mengimani bahawa hanya Allah sebenar-benar Tuhan yang layak disembah, bagi-Nya segala kekuasaan dan kemuliaan, kepada-Nya segala doa dan hajat dipanjatkan, kita hidup dengan kehendak-Nya dan akan kembali semula kepada-Nya; kesemua ini merupakan perkara teras kepada pengukuhan iman yang kadangkala meningkat, kadangkala menurun. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Yang demikian (sifat-sifat dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya), melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah), Dialah yang mentadbirkan segala-galanya.” (Surah al-An’am, ayat 102)

Sepertimana yang kita sedia maklum, akidah yang sebenar adalah yang lahir daripada pemahaman terhadap ilmu wahyu yang dimuatkan dalam himpunan ayat-ayat Allah di dalam al-Quran dan hadis Rasul-Nya. Akidah yang telah dibawa oleh para Nabi dan Rasul sebagai utusan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan yang membinasakan seterusnya membawa mereka kepada cahaya iman yang membahagiakan. Akidah yang sebenar adalah yang termaktub dalam wahyu Ilahi dan bukan merupakan satu warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang terdahulu.

Keadaan ini telah dijelaskan oleh Allah ketika menceritakan perihal umat terdahulu yang menolak akidah bawaan para Nabi dan Rasul mereka. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami hanya menurut apa yang kami dapati dari (perbuatan) datuk nenek kami”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?" (Surah al-Baqarah, ayat 170)

Dengan pemahaman dan pegangan yang kuat terhadap akidah Islamiah, ia secara langsung menjadi benteng seseorang Mukmin agar tidak dipengaruhi oleh sebarang anasir jahat yang cuba mencemar dan menodai kesucian akidah dalam diri. Justeru, segala tindak tanduk kita haruslah sentiasa dilakukan dengan berhati-hati agar keimanan terus terpelihara. Perbuatan menilik nasib, meminta bantuan bomoh, memakai tangkal atau azimat, taksub yang melampau kepada sesama manusia, menolak hadis Rasulullah SAW, mempersendakan hukum Allah, mengakui kewujudan nabi selepas kewafatan Rasulullah; semuanya ini adalah perkara yang merosakkan akidah mereka yang terlibat dengannya.

Persoalan yang timbul, bagaimana cara terbaik bagi memelihara akidah daripada ternoda dengan dakyah pihak tertentu ataupun memeliharanya daripada dicemari oleh perbuatan yang bersifat keji dan mungkar? Kesemuanya ini berbalik kepada kesediaan setiap individu Muslim untuk sentiasa memantapkan pemahaman mereka terhadap ilmu akidah.

Mengikuti kelas-kelas takmir masjid, mengambil bahagian dalam program-program pemantapan akidah, mengikuti rancangan berbentuk soal jawab agama di media elektronik mahupun ruangan khas di media cetak, membaca buku berkaitan akidah Islamiah, sifat rajin bertanya tentang sebarang masalah akidah kepada orang yang alim mengenainya adalah antara cara terbaik bagi memelihara kemurniaan akidah Islamiah dalam diri setiap Muslim. Firman Allah yang bermaksud: “Maka bertanyalah kamu kepada ‘Ahlu Zikri’ (golongan yang arif) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 7)

Selain itu, peranan pemerintah, alim ulama, ibu bapa, para pendidik, media massa serta masyarakat Islam seluruhnya adalah amat diperlukan dalam memelihara akidah umat Islam daripada dicemari dan dinodai oleh sebarang bentuk dakyah yang menyesatkan. Semua tindak tanduk khususnya para remaja yang biasanya lebih mudah terpengaruh dengan hasutan dan tawaran indah para pendakyah, haruslah sentiasa dipantau agar akidah mereka tidak mudah diselewengkan. Sebenarnya umat Islam umpama satu keluarga yang amat besar. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk memelihara akidah saudaranya agar tidak terjerumus ke dalam lembah kesesatan dan kebinasaan. Tiada tempat yang layak bagi mereka yang telah keluar daripada Islam melainkan neraka yang seksaannya amat pedih.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Surah at-Baqarah, ayat 217)

Bacaan doa iftitah yang sentiasa kita baca di awal solat, seharusnya difahami dan sentiasa dijadikan asas utama serta panduan dalam proses memantapkan akidah dalam diri setiap Muslim. Secara umumnya, ayat ini mengingatkan kita betapa pentingnya menyedari bahawa setiap apa yang kita lakukan adalah hanya kerana Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya dengan sesuatu apa pun. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” (Surah al-An'aam, ayat 162-163)

Marilah sama-sama kita berdoa agar iman yang kita miliki akan terus meningkat berlandaskan asas akidah Islamiah yang sebenar. Semoga Allah memakbulkan doa harian kita yang terkandung dalam surah al-Fatihah agar kita sentiasa dipandu ke arah jalan yang lurus. Pemahaman kepada asas akidah yang kukuh serta menolak sebarang keraguan dan kesangsian terhadap Islam akan dengan mudah mematahkan usaha para pendakyah di luar sana yang sentiasa berusaha memesongkan kita sama ada secara terang mahupun tersembunyi. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah as-Saff, ayat 8)

Thursday, August 20, 2009

Selamat Berpuasa Buat Semua =)

Dengan penuh kesyukuran, saya ingin mengucapkan "Selamat Berpuasa" pada semua pengunjung blog saya. Sama-sama kita berdoa agar Ramadan tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Jangan lupa doa untuk kebaikan bersama.

Berikut sedikit maklumat berkaitan ibadah puasa, sumber daripada laman web Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman (www.zaharuddin.net).

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda:

"Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan). Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah (bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi SAW :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya: Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka.

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi SAW:

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya:"Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya: "Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu:

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
Ertinya: "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah" Riwayat Abu Daud, 2/2357: Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya: "Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain:

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya: "Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya: rujuk juga Tuhaftul Ahwazi)

10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur:
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib). Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa: "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Saturday, August 15, 2009

Elak Demonstrasi Jadi Budaya Rakyat Malaysia, Cermin Kelemahan Dan Perpecahan


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Perbezaan pendapat yang amat ketara mengenai sesuatu isu menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terus terhakis. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah-menfitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam, mendedah keaiban orang lain dan banyak lagi yang kesemuanya membawa kepada bibit persengketaan dan perpecahan.

Sebagai ummah yang unggul, umat Islam perlu berusaha menjauhi sebarang bentuk perselisihan, sebaliknya sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali ikatan perpaduan sesama umat. Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam yang bersifat syumul (sempurna) dalam segenap perkara yang membabitkan urusan dunia dan akhirat. Namun, jika umat Islam terus merenggangkan perbezaan fahaman politik masing-masing, maka akan tercetuslah perpecahan ummah yang secara langsung melemahkan kekuatan Islam sebagai agama yang suci lagi tinggi. Lebih teruk lagi jika perjuangan politik hanyalah semata-mata untuk kepentingan peribadi dan kedudukan tinggi tanpa memahami kepentingan politik dalam menjamin kestabilan ummah dan ketinggian agama Islam.

Kebelakangan ini, seakan-akan sudah menjadi satu budaya di negara kita, kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, maka diambil pendekatan demonstrasi sebagai jalan penyelesaian pilihan. Maka berkumpul sesetengah pihak yang bersemangat dengan kefahaman masing-masing untuk sama-sama 'memperjuangkan' isu yang dibangkitkan. Sebenarnya keadaan ini jika tidak dibendung, akan memperlihatkan suasana tidak menentu serta kelemahan ummah dalam menangani sesuatu isu tersebut secara bijaksana.

Walaupun dengan tujuan yang baik, keadaan yang sesak serta suasana yang hingar-bingar dicampur dengan semangat dan tindakan yang kurang berhemah, akan mewujudkan situasi yang kurang sopan, malah mencerminkan budaya yang tidak sihat. Dengan wujudnya situasi seperti ini, sudah tentu musuh-musuh negara yang sedang mencatur agenda memusnahkan perpaduan negara ini, bersorakan tanda gembira dengan keadaan yang secara jelas menunjukkan bibit-bibit perpecahan yang seakan-akan sudah tidak dapat dikawal lagi.

Sebenarnya, perbalahan dan pertelingkahan sesama umat Islam akan menjadikan mereka lemah semangat dan hilang kekuatan. Perkara inilah yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika pertelingkahan tersebut semakin parah dan hampir sampai kepada kemuncaknya. Allah telah mengingatkan kita tentang perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan), kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46)

Tujuan berdemonstrasi haruslah jelas dan seharusnya menjamin impak yang terbaik buat semua. Namun, jika ia hanya sekadar satu wadah untuk mengumpul kekuatan serta menunjukkan kehebatan diri sendiri, maka keadaan ini amat menyalahi tuntutan Islam. Apakah sudah tiada jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sesuatu isu selain berdemonstrasi? Jika setiap insan mengetepikan keinginan diri, sebaliknya sentiasa mencari jalan terbaik bagi membantu pemimpin negara dalam mempermudahkan amanah dan tanggungjawab mereka, maka tidak timbul budaya demonstrasi yang semakin kerap berlaku di negara ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barangsiapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, harus menjadi ingatan semua bahawa Islam amat melarang sebarang bentuk cemuhan dan merendahkan orang lain bagi memelihara perpaduan dan semangat ukhuwah sesama Muslim. Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Jika dilihat secara positif, terdapat beberapa cara yang dituntut oleh Islam bagi menyuarakan sesuatu pendapat ataupun mengajak manusia ke arah kebaikan. Sebagai contoh, apabila Allah memerintahkan nabi Musa dan nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyerunya ke arah kebaikan iaitu menuju jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan bukan dengan angkuh dan bermegah-megah mahupun menggunakan kaedah kekerasan lagi mengaibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." (Surah Toha, ayat 43-44)

Justeru, amat jelas bahawa Islam sedari awalnya telah mengajarkan kepada umatnya cara terbaik bagi menegur para pemimpin. Sememangnya setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Konsep tegur-menegur secara berhikmah dan berhemah adalah sesuatu yang amat indah bagi menggambarkan keindahan Islam itu sendiri.

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda berkaitan perihal menegur pemimpin yang antara lain bermaksud. ”Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan nasihatilah dia secara sembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sesungguhnya budaya demonstrasi haruslah dibendung agar ia tidak menjadi acuan serta budaya dalam masyarakat di negara ini. Janganlah budaya ini menjadi wadah utama dalam menyelesaikan sesuatu isu, lebih-lebih lagi apabila ia masih dalam proses perbincangan dan penambah-baikan. Amat dikhuatiri, jika budaya ini terus menular, maka anak-anak akan mudah memberontak kepada kedua orang tuanya, murid akan cepat melenting dengan gurunya, malah pekerja juga akan ligat menunjuk perasaan kepada majikannya. Inilah bahaya daripada kesan buruk yang bakal dialami oleh masyarakat kita pada masa akan datang jika demonstrasi atau meluahkan ketidak-puasan hati dibuat secara terbuka tanpa bendungan sifat sabar dan berhikmah.

Demonstrasi yang keterlaluan akan menyebabkan nama negara tercemar di mata dunia serta kepimpinan negara mendapat aib yang besar. Sesungguhnya Islam menyeru umatnya agar tidak mudah untuk mendedahkan keaiban orang lain, malah turut melarang keaiban itu dicari dengan tujuan yang buruk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Wednesday, August 12, 2009

Tanggungjawab Khalifah Memelihara Muka Bumi Allah


Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Sebagai khalifah Allah di atas muka bumi, manusia memikul amanah yang cukup besar. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya untuk memakmurkan bumi serta memelihara segala khazanah kekayaan Allah daripada segala bentuk ancaman, kerosakan dan kemusnahan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dunia ini cantik dan subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sebenarnya, kesemua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia. Kesemuanya diciptakan oleh Allah untuk dimanfaatkan dengan cara yang terbaik bagi memudahkan kehidupan manusia di muka bumi ini.
Begitulah kehebatan dan rahmat Allah SWT yang tidak sesekali membiarkan manusia hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan kedaifan. Dengan sifat ar-Rahmaan dan ar-Rahiim-Nya, maka manusia samada yang beriman mahupun yang kufur terus diberi nikmat. Hal ini sewajarnya menjadikan manusia semakin tunduk patuh kepada-Nya.

Bagi hamba-hamba Allah SWT yang memiki iman yang sempurna, segala kejadian ciptaan Allah menjadikan mereka sentiasa berfikir akan kehebatan dan keesaan Allah SWT. Penciptaan makhluk di langit dan di bumi menjadi antara tanda-tanda yang jelas membuktikan kewujudan dan kehebatan Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 3)

Secara jelas, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi Allah SWT. Kerosakan yang dimaksudkan mencakupi kerosakan yang membabitkan perbuatan maksiat dan keji oleh mereka yang alpa akan larangan dan tegahan Allah, serta kerosakan yang membabitkan kemusnahan alam ciptaan Allah SWT yang maha hebat ini.

Dewasa ini dapat diperhatikan, sesetengah pihak bersifat rakus menghimpun kekayaan dunia dengan menjalankan projek-projek pembangunan mega sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam. Gunung-ganang ditarah tanpa kajian dan penelitian, pokok-pokok balak ditebang secara haram, kawasan tadahan hujan dibotakkan sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan hidupan termasuk manusia dan haiwan menderita menanggung akibatnya.

Sesungguhnya Allah telah memberi peringatan yang amat jelas bahawa disebabkan kerakusan dan sifat tamak manusia yang mengabaikan tanggungjawab memelihara alam semulajadi akan menyebabkan berlaku kerosakan dan bencana yang akan menggangu kehidupan mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: ”Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Ruum, ayat 41)

Allah SWT secara jelas amat membenci golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanam-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 205) Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: ”Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Penciptaan kehidupan di atas muka bumi yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis flora dan fauna memerlukan penjagaan dan pemeliharaan bagi memastikan sistem ekologi berfungsi dengan lancar dan baik. Aturan kehidupan tersebut yang seimbang adalah menurut sunnatullah yang sentiasa beroperasi untuk memastikan manusia mendapat faedah daripadanya.
Sistem yang amat istimewa diciptakan oleh Allah SWT ini dikenali sebagai ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Justeru, manusia sebagai khalifah tidak terlepas daripada tanggungjawab bagi memastikan tiada sebarang kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi yang boleh menjejaskan perjalanan sistem ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.” (Surah Ibrahim, ayat 32-33)

Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan. Sungguhpun, pada zaman yang semakin moden ini, pelbagai sumber alam perlu dimanfaatkan bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keperluan semasa, namun langkah pengawalan perlu diambil dengan kadar segera agar kestabilan ekosistem dapat dikekalkan dan sentiasa terpelihara. Janganlah menjadikan pembangunan dan kemodenan sebagai tiket untuk menggeledah hutan belantara dan isi perut bumi sewenang-wenangnya.

Fenomena seperti tanah runtuh, banjir kilat dan jerebu haruslah dijadikan renungan agar kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kerakusan sesetengah pihak dalam mengaut keuntungan dunia yang tidak berkesudahan. Justeru, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semulajadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini. Langkah pihak kerajaan mengadakan kempen penanaman semula pokok serta pewartaan hutan simpan adalah antara langkah paling tepat bagi membendung masalah kemusnahan alam semulajadi daripada terus berleluasa.

Marilah sama-sama kita berusaha untuk menjaga serta memelihara alam semulajadi ciptaan Allah yang Maha Agung ini. Kajian yang terperinci perlu dijalankan sebelum kerja-kerja pengubahsuaian bentuk muka bumi dilakukan agar ia tidak membuka ruang kepada tercetusnya kemurkaan Allah SWT. Hamba yang memiliki iman yang sempurna akan sentiasa mensyukuri segala nikmat dan kurnian yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT tanpa sebarang bayaran ini.

Sebaliknya hamba-Nya yang kufur hanya sentiasa merebut peluang untuk memanfaatkan alam semulajadi untuk faedah buat diri mereka sendiri tanpa memikirkan hak generasi akan datang yang mendambakan keindahan alam semulajadi ciptaan Allah Rabbul Jalil. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)

Monday, August 10, 2009

Gerak Kerja Dakwah Jadi Tanggungjawab Setiap Individu Bergelar Muslim

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Islam merupakan agama samawi terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi pedoman hidup umat manusia seluruhnya. Penurunan Islam sebagai ad-Din, secara langsung telah memansuhkan syariat yang telah diturunkan kepada para nabi dan rasul sebelum pelantikan junjungan besar nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir bagi umat manusia. Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” - (Surah al-Ali ‘Imraan, ayat 19) Menerusi pengiktirafan ini, jelas pada kita bahawa apa jua bentuk agama selain Islam tidak diterima di sisi Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari kalangan orang yang rugi.” - (Surah Ali ‘Imraan, ayat 85)

Sebenarnya, tugas menyebarkan dakwah Islamiah adalah tugas yang perlu digalas oleh setiap hambaya-Nya yang bergelar Muslim. Tugas ini merupakan kesinambungan kepada tugas yang telah dipikul oleh Baginda SAW selama 23 tahun bermula daripada penurunan wahyu pertama kepada Baginda. Tugas yang diberi kepada setiap Muslim ini bukanlah satu bebanan kerana secara umumnya terdapat banyak cara dan metod yang boleh diguna bagi menjayakan misi dakwah menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Perlu diingat bahawa dakwah tidak hanya tertumpu kepada menyeru manusia yang bukan Islam untuk menerima Islam, bahkan ia juga mencakupi proses menyeru umat Islam sendiri yang lalai untuk kembali kepada ketetapan yang telah digariskan oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi pembantu bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.” - (Surah at-Taubah, ayat 71)

Prinsip inilah yang harus sentiasa menjadi ingatan bagi setiap individu Muslim agar umat Islam terus menjadi umat terbaik sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam fiman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” - (Surah Ali ‘Imraan, ayat 110)

Sesungguhnya Islam tidak pernah sesekali membebani umatnya dengan sesuatu yang tidak mampu untuk ditunaikan. Justeru, dalam usaha menunaikan tugas dakwah ini, Islam menetapkan beberapa peringkat berdasarkan kemampuan seseorang Muslim untuk berusaha melaksanakan tugas dan amanah yang cukup penting ini. Keadaan ini secara langsung memberi gambaran bahawa tiada sebarang pengecualian bagi setiap individu Muslim daripada turut serta menjayakan misi dakwah Islamiah.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu, hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” - (Hadis riwayat Muslim)

Metod “dakwah bi al-hal” (dakwah dengan penampilan diri) adalah antara cara paling mudah bagi menyeru manusia untuk menerima Islam sebagai ad-Din. Cara ini secara jelas memperlihatkan betapa indahnya Islam kerana berupaya mendidik pengikutnya supaya sentiasa berada dalam landasan yang baik dan betul, menepati fitrah kejadian manusia yang tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti bercakap benar, sabar, kasih sayang, hormat menghormati, merendah diri dan lain-lainnya haruslah sentiasa sebati dalam diri setiap individu Muslim. Tanpa menafikan kepentingan metod dakwah yang lebih tinggi, metod dakwah dengan penampilan diri ini sebenarnya mampu dijayakan dengan mudah jika setiap Muslim menyedari akan peranannya dalam menyebar-luaskan dakwah Islamiah di bumi Allah ini. Dakwah yang dilakukan secara ikhlas merupakan satu ibadah.

Justeru, dengan berdakwah, secara tidak langsung kita dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba yang sentiasa mengabdikan diri hanya untuk Allah bersesuaian dengan tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 56)

Sebaliknya, jika kita tidak mengawal diri serta tidak menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) seperti sombong, hasad dengki, tamak, bangga diri, rasuah, khianat dan sebagainya, maka secara tidak langsung ia memberi gambaran yang buruk kepada Islam. Inilah yang menjadi antara masalah utama yang membelenggu umat Islam daripada sentiasa dipandang mulia serta dihormati oleh orang lain. Jika perkara ini tidak diambil endah oleh umat Islam, sebenarnya ia akan mengundang fitnah kepada agama Islam sendiri. Orang di luar sana akan mengukur nilai yang ada pada umat Islam serta menghukum bahawa inilah ajaran yang dibawa oleh Islam kepada umatnya.

Pandangan negatif yang dilemparkan terhadap Islam oleh kerana sifat mazmumah orang Islam sendiri, sebenarnya akan memberi impak buruk bukan sahaja pada diri mereka selaku individu Muslim bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya.” - (Surah al-Anfaal, ayat 25)

Marilah bersama kita mengubah sikap dan perilaku kita agar orang di luar sana akan tertarik dengan keindahan Islam yang sememangnya memandu umat manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang memiliki akhlak dan peribadi yang terpuji sehingga Baginda SAW mendapat pengiktirafan gelaran “al-Amin” oleh masyarakat Arab pada ketika itu, disebabkan akhlak dan peribadi Baginda yang terpuji dan luhur. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki akhlak yang sangat mulia.” - (Surah al-Qalam, ayat 4)

Sesungguhnya pahala yang besar menanti orang-orang yang sentiasa berjuang menegakkan agama Islam serta menyebarkannya kepada umat manusia. Harus diingat bahawa segala balasan baik itu hanya datang daripada Allah SWT dan jangan sesekali meminta kepada orang lain sebagai balasan atau timbalan balik atas usaha dakwah yang dijalankan sama ada berupa wang ringgit, pujian, pangkat dan sebagainya.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal nabi Nuh AS tatkala berkata kepada kaumnya yang bermaksud: “Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu; balasanku hanya dari Allah semata-mata; dan aku pula diperintahkan supaya menjadi sebahagian daripada orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” - (Surah Yunus, ayat 72)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Barangsiapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka ia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu apapun.” - (Hadis riwayat Muslim)

Persiapkanlah diri bagi menggalas tugas sebagai seorang da’ie (pendakwah) untuk menyeru manusia kepada kebenaran. Tiada pengecualian bagi sesiapa pun yang bergelar Muslim daripada menjalankan amanah Allah SWT ini. Pastinya kita akan dipersoalkan pada hari Akhirat kelak tentang sejauh mana kita memikul amanah Allah SWT ini.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menyerahkan amanah yang mulia ini jika kita tidak mampu untuk memikulnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 286)