Monday, August 10, 2009

Gerak Kerja Dakwah Jadi Tanggungjawab Setiap Individu Bergelar Muslim

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Islam merupakan agama samawi terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi pedoman hidup umat manusia seluruhnya. Penurunan Islam sebagai ad-Din, secara langsung telah memansuhkan syariat yang telah diturunkan kepada para nabi dan rasul sebelum pelantikan junjungan besar nabi Muhammad SAW sebagai utusan terakhir bagi umat manusia. Allah telah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diterima di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” - (Surah al-Ali ‘Imraan, ayat 19) Menerusi pengiktirafan ini, jelas pada kita bahawa apa jua bentuk agama selain Islam tidak diterima di sisi Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari kalangan orang yang rugi.” - (Surah Ali ‘Imraan, ayat 85)

Sebenarnya, tugas menyebarkan dakwah Islamiah adalah tugas yang perlu digalas oleh setiap hambaya-Nya yang bergelar Muslim. Tugas ini merupakan kesinambungan kepada tugas yang telah dipikul oleh Baginda SAW selama 23 tahun bermula daripada penurunan wahyu pertama kepada Baginda. Tugas yang diberi kepada setiap Muslim ini bukanlah satu bebanan kerana secara umumnya terdapat banyak cara dan metod yang boleh diguna bagi menjayakan misi dakwah menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Perlu diingat bahawa dakwah tidak hanya tertumpu kepada menyeru manusia yang bukan Islam untuk menerima Islam, bahkan ia juga mencakupi proses menyeru umat Islam sendiri yang lalai untuk kembali kepada ketetapan yang telah digariskan oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi pembantu bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.” - (Surah at-Taubah, ayat 71)

Prinsip inilah yang harus sentiasa menjadi ingatan bagi setiap individu Muslim agar umat Islam terus menjadi umat terbaik sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam fiman-Nya yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” - (Surah Ali ‘Imraan, ayat 110)

Sesungguhnya Islam tidak pernah sesekali membebani umatnya dengan sesuatu yang tidak mampu untuk ditunaikan. Justeru, dalam usaha menunaikan tugas dakwah ini, Islam menetapkan beberapa peringkat berdasarkan kemampuan seseorang Muslim untuk berusaha melaksanakan tugas dan amanah yang cukup penting ini. Keadaan ini secara langsung memberi gambaran bahawa tiada sebarang pengecualian bagi setiap individu Muslim daripada turut serta menjayakan misi dakwah Islamiah.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu, hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” - (Hadis riwayat Muslim)

Metod “dakwah bi al-hal” (dakwah dengan penampilan diri) adalah antara cara paling mudah bagi menyeru manusia untuk menerima Islam sebagai ad-Din. Cara ini secara jelas memperlihatkan betapa indahnya Islam kerana berupaya mendidik pengikutnya supaya sentiasa berada dalam landasan yang baik dan betul, menepati fitrah kejadian manusia yang tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti bercakap benar, sabar, kasih sayang, hormat menghormati, merendah diri dan lain-lainnya haruslah sentiasa sebati dalam diri setiap individu Muslim. Tanpa menafikan kepentingan metod dakwah yang lebih tinggi, metod dakwah dengan penampilan diri ini sebenarnya mampu dijayakan dengan mudah jika setiap Muslim menyedari akan peranannya dalam menyebar-luaskan dakwah Islamiah di bumi Allah ini. Dakwah yang dilakukan secara ikhlas merupakan satu ibadah.

Justeru, dengan berdakwah, secara tidak langsung kita dapat menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba yang sentiasa mengabdikan diri hanya untuk Allah bersesuaian dengan tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzaariyaat, ayat 56)

Sebaliknya, jika kita tidak mengawal diri serta tidak menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) seperti sombong, hasad dengki, tamak, bangga diri, rasuah, khianat dan sebagainya, maka secara tidak langsung ia memberi gambaran yang buruk kepada Islam. Inilah yang menjadi antara masalah utama yang membelenggu umat Islam daripada sentiasa dipandang mulia serta dihormati oleh orang lain. Jika perkara ini tidak diambil endah oleh umat Islam, sebenarnya ia akan mengundang fitnah kepada agama Islam sendiri. Orang di luar sana akan mengukur nilai yang ada pada umat Islam serta menghukum bahawa inilah ajaran yang dibawa oleh Islam kepada umatnya.

Pandangan negatif yang dilemparkan terhadap Islam oleh kerana sifat mazmumah orang Islam sendiri, sebenarnya akan memberi impak buruk bukan sahaja pada diri mereka selaku individu Muslim bahkan kepada umat Islam seluruhnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (dosa yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksa-Nya.” - (Surah al-Anfaal, ayat 25)

Marilah bersama kita mengubah sikap dan perilaku kita agar orang di luar sana akan tertarik dengan keindahan Islam yang sememangnya memandu umat manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang memiliki akhlak dan peribadi yang terpuji sehingga Baginda SAW mendapat pengiktirafan gelaran “al-Amin” oleh masyarakat Arab pada ketika itu, disebabkan akhlak dan peribadi Baginda yang terpuji dan luhur. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki akhlak yang sangat mulia.” - (Surah al-Qalam, ayat 4)

Sesungguhnya pahala yang besar menanti orang-orang yang sentiasa berjuang menegakkan agama Islam serta menyebarkannya kepada umat manusia. Harus diingat bahawa segala balasan baik itu hanya datang daripada Allah SWT dan jangan sesekali meminta kepada orang lain sebagai balasan atau timbalan balik atas usaha dakwah yang dijalankan sama ada berupa wang ringgit, pujian, pangkat dan sebagainya.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal nabi Nuh AS tatkala berkata kepada kaumnya yang bermaksud: “Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu; balasanku hanya dari Allah semata-mata; dan aku pula diperintahkan supaya menjadi sebahagian daripada orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” - (Surah Yunus, ayat 72)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Barangsiapa menyeru kepada petunjuk (Islam) maka ia akan mendapat pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sesuatu apapun.” - (Hadis riwayat Muslim)

Persiapkanlah diri bagi menggalas tugas sebagai seorang da’ie (pendakwah) untuk menyeru manusia kepada kebenaran. Tiada pengecualian bagi sesiapa pun yang bergelar Muslim daripada menjalankan amanah Allah SWT ini. Pastinya kita akan dipersoalkan pada hari Akhirat kelak tentang sejauh mana kita memikul amanah Allah SWT ini.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menyerahkan amanah yang mulia ini jika kita tidak mampu untuk memikulnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 286)

No comments:

Post a Comment