Tuesday, December 28, 2010

Sastera Islam Tidak Sempit, Jumud


Istilah "Sastera Islam" memang sudah lama menjadi polemik tanah air. Masing-masing bangkit dengan pemahaman dan takrifan yang tersendiri. Di Malaysia, nama-nama seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Shafie Abu Bakar, Bukhari Lubis dan beberapa lagi individu yang terlibat dalam dunia kesusasteraan turut melontarkan idea berkaitan istilah keramat ini.

Bagi saya, "Sastera Islam" mencakupi skop yang amat luas. Justeru, adalah kurang tepat jika dikatakan bahawa "Sastera Islam" itu mesti menggunakan istilah Arab, mesti memasukkan istilah-istilah agama (al-mustalahat al-diniyyah), mesti memanfaatkan ayat-ayat al-Qur'an dan Hadith Rasulullah SAW dan pelbagai lagi ciri-ciri yang digambarkan oleh beberapa tokoh dalam bidang ini.

Jika diteliti daripada maksud Sastera Islam yang digariskan oleh Pertubuhan Sastera Islam Sedunia, yang berbunyi:


الأَدَبُ الإِسْلاَمِيُّ هُوَ التَّعْبِيرُ الفَنِّيُّ الهَادِفُ عَنِ الإِنْسَانِ وَالحَيَاةِ وَالكَوْنِ وِفْقَ التَّصَوُّرِ الإِسْلاَمِيِّ

Terjemahan: "Sastera Islam adalah ungkapan yang berseni, yang terarah tentang manusia, kehidupan, dan cakerawala, menepati tasawwur Islam"


Daripada takrifan ini, jelas bahawa "Sastera Islam" itu tidak bersifat jumud dan terhad kepada ciri-ciri yang digambarkan oleh sesetengah individu.

Saya lebih cenderung untuk bersetuju dengan ciri-ciri "Sastera Islam" yang digariskan oleh Najib al-Kilani dalam bukunya "Madkhal ila al-Adab al-Islami". Terdapat 10 ciri-ciri yang digambarkan sebagai mewakili gambaran jelas "Sastera Islam", iaitu:

1. Sastera Islam merupakan sastera tanggungjawab, iaitu tanggungjawab berdasarkan prinsip Islam yang lahir daripada hati sanubari seorang karyawan Muslim.

2. Sastera Islam bukan sastera yang mengetepikan ciri-ciri keindahan luaran sesebuah karya bahkan ia menggalakkan unsur itu wujud dalam karya sastera.

3. Sastera Islam amat menekankan mesej atau kandungan sastera itu sendiri yang semestinya tercetus daripada asas-asas Islam. Keadaan ini menjadikan karya Sastera Islam cukup sempurna keindahannya sama ada dari segi luaran mahupun isi dalamannya bagi menyampaikan pengucapan yang benar, seterusnya memberi kesan yang mendalam terhadap diri khalayak pembaca.

4. Sastera Islam membicarakan semua aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia, sama ada yang berkaitan dengan perkara-perkara asas kehidupan mahupun masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Ia juga mampu menyelesaikan masalah-masalah kehidupan ataupun mengurangkan penderitaan dan keazaban yang dihadapi oleh masyarakat.

5. Sastera Islam mengungkap cita-cita dan harapan manusia dengan penuh kebenaran dan amanah. Ia memberi gambaran tentang kelemahan dan kesesatan dalam kehidupan manusia serta memberi penawar serta alternatif kepada penyelesaian masalah tersebut.

6. Sastera Islam bukan sastera yang sia-sia dan tidak mungkin ia bersifat sedemikian. Hal ini berbalik kepada tujuan penciptaan manusia ke dunia yang bukan untuk tujuan sia-sia, kesemuanya mempunyai tujuan dan bermatlamat. Namun keadaan ini tidak menolak wujudnya keseronokan yang bersifat sementara dalam kehidupan manusia yang sebenarnya bertujuan menguji mereka serta memberi peluang yang secukupnya untuk melakukan amalan. Segalanya kembali kepada akidah manusia itu sendiri yang memilih untuk memperbanyakkan amalan kebaikan ataupun keburukan.

7. Sastera Islam bukan satu sistem atau pendekatan yang sempit dan jumud, yang hanya menceritakan kehidupan dan realitinya, bukan juga merupakan ucapan nasihat yang dipenuhi ayat-ayat al-Qur’an dan hadith serta hukum-hukum agama semata-mata, tetapi ia merupakan satu bentuk atau gambaran yang indah dan sentiasa berkembang.

8. Sastera Islam merupakan sastera rasa hati yang hidup dan sihat sejahtera, sastera yang memberi gambaran yang tepat, juga imaginasi yang berpaksikan kebenaran.

9. Sastera Islam adalah sastera yang jelas dan bukan bermain-main dengan kekaburan yang menyesatkan ataupun kegelapan yang membunuh.

10. Sastera Islam tidak mungkin mampu untuk dihasilkan kecuali oleh mereka yang memiliki keyakinan dan berlapang dada serta didasari oleh landasan yang ditetapkan Allah. Ini kerana hanya dengan asas akidah yang sebenar, sastera yang bercirikan kebenaran mampu dihasilkan.

Satu perkara yang harus menjadi ingatan bahawa, "Sastera Islam" seharusnya sentiasa selari dengan tuntutan dan gesaan Islam. Islam amat mementingkan ilmu, justeru "Sastera Islam" harus menjadi wadah penting menyampaikan ilmu.

Jika diteliti dengan hati yang terbuka, ciri-ciri ke-3, 4, 6, 7 dan 9 berkait rapat dengaan perihal ilmu. Karya sastera seharusnya membawa masyarakat untuk berfikir dan bukan untuk berseronok.

Kebanyakan daripada para karyawan dewasa ini, lebih mengutamakan CERITA melebihi ILMU, sedangkan ilmu itu sewajarnya diketengahkan dalam karya sastera. Walau pun usaha untuk menghasilkan karya sastera yang betul-betul menyampaikan ilmu itu bukan satu kerja yang mudah, namun langkah perubahan yang drastik harus dilakukan agar masyarakat mendapat manfaat daripada hasil karya sastera.

Bagi para karyawan sastera, jika mereka memahami dan mempraktikkan konsep "taklif" yang dijelaskan oleh Hj. Mohd. Affandi Hassan melalui Gagasan Persuratan Baru, nescaya, mahu atau tidak, mereka tiada pilihan melainkan berusaha untuk melakukan perubahan dalam dunia sastera iaitu memartabatkan ilmu Islam yang benar dalam karya sastera.

Jika semua pihak, masih merasa selesa, dan paling teruk, menolak pula usaha ke arah memartabatkan ilmu dalam kesusasteraan, maka karya sastera akan kekal menjadi wadah untuk berseronok dan suka-suka sahaja. AWAS, jika pembaca dan masyarakat menjadi ketagih kepada keseronokan, tanpa manfaat, sia-sia, malah yang lebih teruk jika ia menggalakkan perkara mungkar, maka menjadi tanggungjawab para karyawan untuk menjawab kesemuanya di hadapan mahkamah keadilan Allah kelak.



5 comments:

  1. Assalamualaikum ustaz,

    Alhamdulillah, saya punya teman sefikrah mungkin. Insya-Allah ana juga dalam proses mendalami terma Sastera Islam yang paling tuntas.

    Insya-Allah, jika punya masa dan ketika, andai ustaz berkunjung ke Kuala Lumpur, mohon hubungi saya di 013-9698869.

    Syukran.

    ReplyDelete
  2. Ustaz Zahiruddin,

    Terima kasih di atas kesudian ustaz menziarahi blog saya. Sungguh bertuah apabila blog ini dikunjungi insan hebat seperti ustaz. Mohon beri komen untuk sebarang penambah-baikan. InshaAllah, ada rezeki, kita dapat berjumpa. Boleh juga hubungi saya 012-7069242. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum wbt,

    Semoga Allah merahmati ustaz,

    Salam perkenalan daripada saya, Suhili bin Nain.

    Saya cukup tertarik dengan penulisan ustaz di atas. Saya juga tertarik dengan gagasan PB yang dibawa oleh Mohd. Affandi Hassan untuk memperjuangkan dan memartabatkan Islam dalam dunia kesusasteraan di Malaysia.

    Izinkan saya kongsikan link blog saya di sini: cerpendakwah01.blogspot.com.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Tuan Suhaili,

    Wa 'alaikumussalam warahmatu Allah.

    Salam perkenalan juga dari saya kepada Tuan. Alhamdulillah, harapnya tulisan saya ini dapat memberi manfaat buat saya dan Tuan. Lebih-lebih lagi Tuan seorang penulis. Harapnya, kita semua dapat memahami apa yang ingin disampaikan oleh Tuan Hj. Affandi. Beliau ikhlas dalam memartabatkan ilmu dan Islam dalam bidang penulisan. Ikhlas dalam erti kata tanpa niat untuk pangkat, duit, pujian atau apa juga faedah komersil. Tulisannya yang kritis sepatutnya difahami oleh semua orang agar manfaatnya dapat kita perolehi bersama.

    Silakan Tuan, perkara yang baik itu mesti disebar-luaskan.

    Terima kasih. Wassalam.

    ReplyDelete
  5. salam tuan,
    mohon pencerahan.
    saya berminat didalam bidang literature /sastera terutama dalam bahasa inggeris,
    dan saya juga telah banyak membaca karya2 dari penulis barat, kebanyakannya karya fiction. (hobi)
    namun saya mula tertanya tanya adakah karya itu diiktiraf didalam islam, kerana ia bukanlah karya / sastera islam/ bercirikan islam?
    namun, tidak dapat saya nafikan kebanyakan mereka juga mempunyai tauladan/ pengajaran yang amat baik dan bermanfaat, meskipun ianya karya fiction.
    mohon pencerahan, kerana ilmu saya masih kurang,
    terima kasih tuan. :)

    ReplyDelete