Monday, January 31, 2011

Doa Yang Tak Putus Buat Dania...

Minggu ini semacam banyak perkara yang perlu saya runsingkan. Kelmarin saya diberitahu oleh Bonda yang sepupu saya Siti Arisya Dania dimasukkan ke Hospital Segamat.

Doktor memberitahu, pemeriksaan awal menunjukkan kemungkinan si kecil ini menghadapi masalah "buah pinggang".

MashaAllah, inilah sedikit dugaan yang telah ditetapkan oleh Allah buat kami sekeluarga.

Dania memang rapat dengan saya. Patut la sejak kebelakangan ni, saya pasti rindukan dia, setiap dua hari sekali, pasti hendak mendengar celotehnya.

Kini, setiap pagi, petang dan malam, saya harus menelefon Dania. Menanyakan khabar dan membuat pesanan agar kerap makan ubat.

Kepetahannya bercakap tiba-tiba jadi berkurangan, sentiasa menangis dan tak lalu makan.

Pemeriksaan doktor memberitahu, sample air kencing Dania mengesahkan dia mempunyai masalah yang nama saintifiknya dikenali sebagai AGN : Sila lihat pautan ini: (http://www.nephrologychannel.com/agn/index.shtml)

Sebagai ayah dan ibu, sememangnya sedih dan lemah semangat menyelubungi diri. Siapa yang tak sayangkan anak???
Namun, saya menasihati ayah dan ibu Dania yang merupakan pakcik dan makcik saya, agar sama-sama sabar dan berdoa agar Dania cepat sembuh.

Jangan menangis di depan Dania, kerana perbuatan itu bakal membuatkan Dania turut menangis dan rasa lemah.

Ubat itu adalah penawar penyakit, namun KUAT SEMANGAT juga memainkan peranan yang besar dalam proses penyembuhan penyakit, di samping doa yang tak putus-putus.

Selagi ada ruang dan peluang, kita sama-sama berikhtiar sehabis mungkin untuk sembuhkan Dania.

Sesungguhnya, Allah tidak akan menguji seseorang hamba, sekiranya si hamba tadi tidak mampu untuk menanggungnya.

Setiap kali saya menelefon Dania, pasti ungkapan ini yang ditanya: "Abang Rizal, bila nak balik? Bila nak bawak baby jalan-jalan. Baby rindu Abang Rizal ni..." :)




Tuesday, January 25, 2011

Tulisan Kita, Tanggungjawab Kita


Saya ada terbaca catatan seorang penulis prolifik dalam sebuah blog, beliau mendapat "durian runtuh" hasil tulisan kreatifnya. Bayangkan, si penulis boleh dapat ratusan ribu ringgit setiap tahun. Alhamdulillah, rezeki dari Allah SWT.

Pasti bagi mereka yang mempunyai bakat menulis, akan rasa teruja dan bersemangat untuk turut serta dalam perlumbaan menghasilkan karya kreatif masing-masing.


Namun, dengan rendah diri, saya tegaskan bahawa tugas yang dipikul oleh seorang penulis itu amat besar. Dia bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang ditulis dan dicoretkan dalam karya tersebut.

Tambahan pula bagi penulis yang mempunyai kelompok peminat yang tersendiri dan jumlahnya jutaan orang. Maka semakin besar tanggungjawab yang dipikul oleh si penulis.


P
endapat saya ini bukan satu ugutan, bukan juga satu ungkapan yang berniat untuk mematikan semangat para penulis sekalian! Namun, saya ingin mengajak para penulis agar sama-sama berfikir dan melakukan muhasabah di atas setiap kerja yang telah dilakukan. Hal ini secara langsung dapat memperbaiki mutu isi yang terkandung dalam karya kreatif tersebut.


~Sekadar gambar hiasan~

Usah sekadar ghairah dalam menghasilkan karya kreatif tanpa menitik-beratkan soal kandungan atau isi yang ditonjolkan dalam karya tersebut.

Oleh kerana keghairahan segelintir penulis yang mahukan kelainan, maka dilabel karyanya sebagai "Karya Sastera Islam", ditonjolkan ISLAM sebagai jenama yang menyejukkan mata yang memandang, walhal isinya menyimpang daripada ajaran Islam.


Melihat pada beberapa tajuk novel "Islam", khususnya yang menulis berkaitan "cinta Islamik", perkataan-perkataan seperti bidadari syurga, tahajjud, tasbih, Ilahi, tasawuf, Nabi, jihad dan beberapa lagi digunakan sebagai tajuk novel, bagi menyerlahkan "keislaman" novel tersebut. Apabila dibaca dengan teliti, si penulis tidak langsung mencerminkan tuntutan dan garis panduan Islam dalam hubungan "cinta" sesama manusia.

Apakah penulis betul-betul faham akan konotasi maksud perkataan-perkataan tersebut dalam Islam? Adakah penulis telah berhati-hati dalam mentakwilkan makna setiap perkataan itu? Adakah para pembaca bakal memahami perkataan-perkataan tersebut dalam konteks sebenar? Adakah penulis mematuhi adab-adab menggunakan perkataan-perkataan tersebut? Seperti BIDADARI SYURGA, bagaimana penulis memberi gambaran tentang istilah ini? Adakah menyamai dengan apa yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an?

Terdapat juga, para penulis yang giat memasukkan ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah SAW dalam tulisan mereka, namun sebenarnya kutipan-kutipan daripada dua sumber agung Islam itu telah dimanfaatkan dengan cara yang salah.

Sebagai contoh, pemanfaatan ayat al-Qur'an dalam apa juga bidang harus meraikan banyak aspek seperti al-Makki wa al-Madani, al-Qira'at al-Qur'aniyyah, al-nasikh wa al-mansukh, asbab al-nuzul dan banyak lagi. Kesemua aspek ini saling melengkapi antara satu sama lain bagi mengetahui makna ayat al-Qur'an tersebut dengan tepat.

Aspek-aspek ini jugalah yang menjadikan al-Qur'an itu sebuah Kitab Suci yang unggul, sesuai dengan martabatnya sebagai Kal
amullah dan mukjizat Rasulullah SAW.

Oleh itu, setiap penulis seharusnya betul-betul faham tentang perkara-perkara ini kerana ia membabitkan pemahaman khalayak pembaca terhadap ilmu atau manfaat yang berfakta, lebih-lebih lagi fakta yang melibatkan wahyu Ilahi. Penulis tidak sewajarnya mengambil pendekatan "copy" and "paste" dalam memanfaatkan ayat-ayat suci al-Qur'an dalam karya kreatif mereka.

Jika penulis melakukan kesalahan, dengan sedar, ditambah pula dengan ilmu yang tidak tepat atau tidak mencukupi, maka dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kesalahan tersebut.

Marilah sama-sama kita renungkan perkara ini serta mengambil perhatian yang serius kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia, pastinya akan dipersoal oleh Allah SWT di akhirat sana.

Jadilah penulis yang ikhlas dengan membawa khalayak pembaca menuju reda Ilahi. Jika selepas membaca hasil karya tersebut, khalayak tidak mendapat apa-apa manfaat melainkan fakta yang salah atau songsang, maka hasil royalti yang diterima bakal menjadi hujah jelas terhadap kesalahan yang dilakukan.

Allah al-Musta'an.



Sunday, January 23, 2011

Terima Kasih Buat Semua Yang Berbudi

Alhamdulillah, hari ini genaplah usia saya mencapai 26 tahun. Puji dan puja itu semuanya untuk Allah SWT yang telah menganugerahkan usia saya sehingga kini. 26 tahun satu jangka masa yang lama serta secara logiknya, banyak pahala dan dosa yang terkumpul dalam lingkungan masa tersebut.

Kepada Ayahanda dan Bonda yang banyak berkorban untuk saya, sejambak doa tulus dari anakanda moga Ayahanda dan Bonda sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah SWT. Segala jasa Ayahanda dan Bonda tidak dapat anakanda balas kecuali Allah SWT jua yang membalasnya. Moga Allah SWT mengampuni dosa-dosa Ayahanda dan Bonda tercinta.

Buat adikku Mohd Shahril Nasir serta Shazleen Nasir, abang doakan agar kalian berjaya dalam hidup masing-masing. Saat bercakaran sesama kita sepertimana semasa kecil dulu telah p
ergi. Sekarang, tugas kita amat besar untuk memastikan amanah Allah SWT untuk kita jaga, kasih serta hormat kepada Ayahanda dan Bonda sentiasa tersemat dalam diri.

Buat tiga orang insan yang banyak memberi dorongan dan semangat pada saya, namun tak sempat terus melihat keadaan saya... Allahyarham Othman Bin Alib (meninggal tahun 1997), Allahyarham Amat Bin Paijo (meninggal tahun 2008), Allahyarhamah Marsiam Bte Mansor (meninggal tahun 2007)... cucuanda mu menitip doa moga roh nendaku senantiasa dalam rahmat dan keampunan Allah SWT. Segala pesan dan nasihat nenda masih segar dalam ingatan cucuanda hingga ke saat ini.


Kepada barisan guru-guru saya selama ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru semua. Yang banyak memberi tunjuk ajar agar saya terus berjaya duniawi dan ukhrawi. Mohon dimaafkan semua salah silap saya sepanjang bergelar anak didik guru-guru sekalian. Moga Allah SWT merahmati hidup guru-guru yang saya amat hormati.


Ucapan terima kasih juga buat para ilmuan yang banyak membantu saya dalam mengharungi denai kehidupan yang lebih mencabar. Buat Prof. Dr. Ungku Maimunah Mohd Tahir (UKM), Prof. Dr. Ahmed Shehu Abdussalam (Illorin Uni. Nigeria), Prof. Dr. Abdul Razak Al-Sa'adi (UIA), Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf (UIA), Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad H. Osman (UIA), Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani (UPM), Prof. Madya Dr. Majdi Hj. Ibrahim (UIA), Prof. Madya Dr. Nasr El Din Ahmed Hussein (UIA), Dr. Badri Najib Zubir (UIA), Dr. Adli Hj. Yaacob (UIA), Dr. Kamarul Shukri Mat Teh (UniSZA) dan beberapa lagi yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dalam dunia akademik ini. Semoga semua jasa bakti termasuk dalam mizan hasanat para ilmuan sekalian.

Juga kepada insan yang banyak bersabar dengan kerenah saya, yang tak jemu memberi semangat, nasihat dan doa setiap hari. Moga hidup kita dirahmati-Nya.

Tidak lupa buat rakan-rakan saya yang sudi menjadi teman saya, yang ikhlas dalam persahabatan, yang sentiasa membantu saya dalam banyak hal, khususnya yang dapat saya sebutkan: Ilyasa Jaafar, Khairul Helmy, Izran Tugiran, Fadhli Ahmat, Ahmad Sauffy dan Soberi Zakaria. Kalian lah tempat aku berkongsi masalah hidup. Terima kasih sahabat.

Untuk anak didik saya di UIAM dan UniSZA, moga kalian menjadi "saham" tak ternilai saya di alam sana. Manfaatkanlah ilmu yang ada agar ianya tak menjadi fitnah yang akan membakar hasanat kalian pula di sana nanti. Doa saya sentiasa untuk anak didik saya yang saya kasihi.

Moga hidup yang seterusnya semakin mendapat rahmat dan petunjuk dari-Nya. Moga Allah SWT sentiasa merahmati hidup saya. Amin.

Allah al-Musta'an.



Friday, January 21, 2011

Hindar Diri Dari Sentuhan Syaitan


Sebagai manusia, sememangnya kekurangan diri sentiasa ada di sana sini. Perkara ini harus disedari oleh setiap insan. Kekurangan ini harus ditampung agar terpancar sinar kesempurnaan dalam diri, walaupun tidak secara menyeluruh.


Sifat "marah" merupakan antara kekurangan dalam diri manusia, khususnya marah yang membawa kepada kemaksiatan. Sifat marah ini, jika tidak dikawal dengan cara yang terbaik, ia boleh mengundang pelbagai perkara buruk yang dahsyat.

Bukan sekadar lontaran kata-kata kesat, malah pembunuhan juga boleh terjadi akibat rasa marah yang tidak dapat dikawal.




Justeru, Islam telah menggariskan beberapa tatacara untuk menangani sifat marah, antaranya:

1. Memperbanyakkan bacaan "ta'awwuz ". Maksud ta'awwuz ialah bacaan: "أعوذ بالله من الشيطان الرجيم". Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang kalau diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya (marah). Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

2. Mengubah posisi diri ketika marah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

3. Mendiamkan diri daripada terus berkata-kata ketika marah Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Apabila di antara kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Ahmad).

4. Mengambil wuduk. Hal ini merupakan saranan Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwuduk (mengambil air sembahyang).” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

5. Memperbanyakkan mengingati Allah dengan berzikir kepada-Nya (zikrullah). Firman Allah SWT di dalam al-Qur'an yang bermaksud: “Ingatlah dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

6. Berdoa memohon agar jiwa sentiasa dipandu ke arah kebenaran dan kewarasan ketika marah. Ini terkandung dalam makna sebuah doa yang disarankan oleh Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar aku dapat berbicara yang benar ketika marah dan reda.” (Hadis riwayat al-Nasa;i).

Begitulah serba ringkas beberapa panduan yang boleh kita praktikkan ketika berdepan dengan rasa marah. Sesungguhnya, marah itu adalah antara senjata syaitan yang ampuh buat menceburkan manusia ke dalam neraka Allah SWT.

Justeru, Rasulullah SAW memandang berat tentang perkara ini, lantas menganjurkan umatnya agar menghindari diri daripada sifat marah dengan melakukan perkara-perkara seperti yang telah disebutkan di atas.


D
aripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) telah berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,”. Baginda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis riwayat Bukhari)
.

Sesungguhnya amat besar ganjaran bagi mereka yang berjaya mengawal diri daripada sifat marah. Ganjaran ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya, Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari syurga.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi).


Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba-Nya yang sentiasa berjaya mengawal perasaan marah, sekali gus menghindarkan diri daripada masuk ke dalam perangkap syaitan laknatullah!




Friday, January 14, 2011

Al-Quran Penuh Perumpamaan (HARIAN METRO, Jumaat 14 Januari 2010)


Oleh: Mohd Shahrizal Nasir


AL-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi isinya perlu difahami, dihayati dan diamalkan.

Kitab suci umat Islam yang sarat dengan khazanah kekayaan ilmu Allah ini, seharusnya sentiasa dikaji agar manfaatnya dapat menerangi jalan menuju reda Ilahi.

Kitab suci ini penuh dengan hukum-hakam dan sejarah. Selain itu, ia turut memuatkan sesuatu yang amat menarik untuk diperkatakan iaitu 'perumpamaan'.

Jika diteliti dalam beberapa ayat al-Quran, Allah menerangkan bahawa penurunan ayat al-Quran yang mengandungi perumpamaan ini mengajak manusia sentiasa berfikir.

Inilah kelebihan dan keistimewaan manusia yang dikurniakan akal fikiran yang waras. Akal dapat membezakan antara manusia dengan haiwan serta makhluk Allah yang lain.

Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi saja yang mampu membentuk keperibadian insan yang sentiasa taat pada perintah Penciptanya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan ingatlah, perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya" (Surah al-Hasr ayat 21).

Antara tujuan ayat berbentuk perumpamaan berkenaan diturunkan kepada manusia, agar mereka sentiasa berfikir dan memahami maksud gambaran yang dinyatakan dalam ayat itu.

Selain itu, dalam ayat yang lain pula, Allah menyatakan bahawa hanya orang yang memiliki ilmu saja yang bakal mendalami maksud perumpamaan serta memahaminya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perumpamaan-perumpamaan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya." (Surah al-Zumar, ayat 27).

Justeru, wajib bagi individu Muslim berusaha menjadikan diri mereka sebahagian daripada orang yang berilmu. Malahan inilah yang menjadi tuntutan Islam agar umatnya sentiasa mendalami ilmu Allah yang amat luas ini.

Hanya al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mampu menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus ke dalam lembah kesesatan seperti yang termaktub dalam sebuah hadis Rasulullah.

Jadi ada beberapa ayat al-Quran yang mengandungi 'perumpamaan' untuk sama-sama kita fikirkan dan fahami maksudnya.

Sebagai contoh, ayat 261 dalam surah al-Baqarah yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji..." (surah al-Baqarah, ayat 261).

Maha besar ilmu dan kekuasaan Allah yang mampu memberi ganjaran yang begitu besar kepada hambanya yang ikhlas dalam melakukan amal kebaikan.

Ayat itu sebenarnya memberi motivasi kepada orang Mukmin agar tidak lupa menyalurkan sedikit daripada rezekinya ke jalan Allah. Sesungguhnya dalam rezeki yang kita peroleh itu, ada hak orang lain yang wajib kita tunaikan.

Selain itu, dalam ayat yang lain Allah membuat perumpamaan yang cukup jelas bagi menggambarkan perihal amal kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Walau sebanyak mana pun amalan mereka di dunia, tanpa iman, segalanya tiada nilai di sisi Allah.

Sekali lagi, ayat berkenaan memberi galakan kepada setiap individu Muslim agar terus melipat gandakan amal kebajikan mereka kerana semuanya itu bakal dinilai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari rebut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu." (Surah Ibrahim, ayat 18).

Begitulah peri pentingnya iman yang mendasari setiap amalan manusia. Sesungguhnya amalan manusia itu tidak sekali-kali memberi kesan kepada Allah.

Malah, kita tidak sekali-kali dapat membayar segala nikmat yang dianugerahkan kepada kita selama ini. Hanya rahmat Allah jua yang mampu menyelamatkan kita daripada azab neraka serta melayakkan diri ke syurga-Nya.

Satu lagi perumpamaan ayat al-Quran yang perlu menjadi renungan bersama ialah apabila Allah membuat bandingan perihal golongan Yahudi yang tidak mempercayai ayat Allah serta menidakkan kebenarannya.

Golongan Yahudi tidak menerima hakikat kebenaran seperti yang diwahyukan oleh Allah dalam kitab mereka.

Firman Allah yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang (Yahudi) yang ditanggung dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah..." (Surah al-Jumu'ah, ayat 5).

Sungguh hina bandingan bagi mereka yang menafikan ayat Allah yang diturunkan untuk kebaikan mereka. Wahyu Allah yang seharusnya menjadi panduan hidup bagi mengecapi nikmat dan keredaan Allah dinafikan kebenarannya, lantaran sifat angkuh manusia yang menutup semua pintu kebenaran.

Oleh itu, kalam Allah ini menyalurkan pelbagai gaya bahasa bagi menyampaikan isi kandungannya.

Melalui bentuk perumpamaan atau perbandingan ini, ia dapat mendidik manusia agar sentiasa memanfaatkan akal fikiran untuk memikirkan rahsia di sebalik ayat al-Quran.

Seperti yang dijanjikan Allah, hanya orang yang memiliki ilmu saja berupaya menggarap makna tersirat di sebalik firman Allah berkenaan. Marilah sama-sama kita menjadi umat yang sentiasa berlumba-lumba mendalami isi al-Quran.

Jika kita tidak mampu untuk menjadi orang yang mahir mengajar isi al-Quran, maka mengapa tidak kita berusaha untuk menjadi orang yang mahu mempelajari al-Quran.

Sesungguhnya, kedua-dua golongan ini adalah antara yang terbaik dan dipandang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik dalam kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (hadis riwayat al-Bukhari).




Friday, January 7, 2011



INTERNATIONAL CONFERENCE ON ARABIC STUDIES
CALL FOR PAPER. Organizer : Faculty of Arabic Language and Islamic Civilization, Sultan Sharif Ali Islamic University (UNISSA), Brunei Darussalam.
Date : 9 - 10 March 2011.

AWAS! Sentiasa Berhati-hati Dan Muhasabah Diri



Manusia sentiasa alpa. Hanya mereka yang sentiasa menjadikan akhirat sebagai destinasi utama akan sentiasa diberi petunjuk jika lupa. Sesungguhnya Allah tidak pernah sesekali alpa dan lalai dalam menghitung setiap inci gerak laku kita seharian.

Kadang-kadang, perilaku dan pertuturan yang kita hamburkan, langsung tidak menggambarkan bahawa kita tahu bahawa setiap apa yang dilakukan, sentiasa menjadi perhatian malaikat yang ditugaskan mencatat amalan kebaikan dan keburukan kita.

Firman Allah dalam al-Qur'an yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah mencipta insan, dan Kami tahu apa yang dirinya membisikkannya dengannya. Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leher (16). Apabila dua penerima menerima dari kanan dan dari kiri yang menemani (17). Tidak dia menyebut sesuatu kata-kata melainkan padanya pengawas yang bersedia (18)." (surah Qaf, ayat 16-18).

Dalam kitab tafsir al-Imam al-Qurtubi (meninggal tahun 671H) berjudul al-Jami' li Ahkam al-Qur'an ada menukilkan bahawa al-Hasan, Mujahid dan Qutadah berkata: "Dua penerima ialah dua malaikat yang menerima amalan kamu. Salah satunya daripada kananmu menulis kebaikan-kebaikanmu. Dan yang lain daripada kirimu menulis keburukan-keburukanmu ..."

Mujahid pula menambah katanya: "Allah menugaskan terhadap insan, bersama ilmu-Nya tentang keadaannya, dua malaikat ketika malam dan dua malaikat ketika siang, kedua-duanya menjaga amalannya dan menulis, mengharap dengan penugasan untuk pembuktian. Salah satunya daripada kanannya menulis kebaikan, dan yang lain daripada kirinya menulis keburukan ..."

Sungguh jelas kepada kita melalui catatan para mufassirin di atas bahawa, kita senantiasa diperhatikan. Setiap gerak geri kita tidak terlepas daripada catatan para malaikat yang tidak jemu mencatat setiap amalan dan gerak geri hamba-Nya.

Hasilnya, setiap apa yang kita lakukan, kesemuanya akan dapat kita saksikan tatkala buku amalan diserahkan kepada kita kelak. Perincian segalanya menentukan baik buruk kita di sana.

Firman Allah yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya (7). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula (8)." (surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Marilah kita bermuhasabah diri agar sentiasa sedar bahawa kita perlu kembali kepada jalan-Nya. Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka bagi hamba-Nya yang benar-benar takut dan mengharapkan rahmat-Nya.

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menghulurkan tangan-Nya(bersedia menerima taubat) pada waktu malam agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat, dan Allah menghulurkan tangan-Nya(bersedia menerima taubat)pada waktu siang agar orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."(hadith riwayat Muslim).

Selain itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat hamba-Nya yang bertaubat serta memaafkan kejahatan mereka lakukan; dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan." (surah al-Syura, ayat 25).

Para mufassirin menyebut bahawa Allah berjanji akan mengampunkan orang yang bertaubat dengan syarat ia mencukupi 4 perkara: iaitu insaf dengan hati, meninggalkan perbuatan maksiat/kesalahan, berazam tidak mengulang perbuatan itu dan dilakukan dengan penuh keredaan kepada Allah.

Betapa agungnya rahmat dan maghfirah Allah kepada hamba-Nya. Keadilan Allah yang tiada tolok bandingannya ini memberi petunjuk bahawa setiap hamba Allah, tiadk pernah dipersia-siakan oleh-Nya. Peluang dan ruang yang luas sentiasa terbentang bagi mereka yang sedia bertaubat.


Allah menyeru setiap Muslim segera bertaubat melalui firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (yang sebenar), mudah-mudahan Rabb (Tuhan) kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai..." (surah al-Tahrim, ayat 8).

Semoga kita semua diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar ini. Ayuh kita melakukan muhasabah diri bagi memperbaiki setiap perbuatan dan pertuturan kita, agar ianya sentiasa selari dengan kehendak Yang Maha Esa.

Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya sementara yang penuh dengan keseronokan dan tipu daya. Kehidupan ini merupakan satu dugaan daripada Allah kepada hamba-Nya bagi menilai sejauh mana ketaatan seorang hamba kepada Rabbnya.

Bagi mereka yang tersungkur dengan dugaan kehidupan dunia ini, maka balasannya amat berat di sisi Allah kelak. Justeru, amatlah mustahak bagi kita untuk sentiasa berdoa, memohon petunjuk dari-Nya ke jalan yang benar.

Hal ini sepertimana yang kita selalu tuturkan dalam surah al-Fatihah yang bermaksud: "Tunjukilah kami jalan yang lurus (6). (Iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (7)." (surah al-Fatihah, ayat 6-7).